.

.

07 November 2008

KES ANWAR GAGAL DIPINDAH KE MAHKAMAH TINGGI ~ Ref Malaysiakini

Pendakwa gagal memindahkan perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini memutuskan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan ini sedikit sebanyak mengembalikan semula kepercayaan orang ramai kepada institusi kehakiman negara. Kalau sebelum ini jangan di harap untuk kes seumpama ini dimenangi oleh pihak yang dituduh.

Hakim Mahkamah Sesyen Jalan Duta, S.Komathy Suppiah mula membacakan penghakiman ketika sidang bermula pada jam 3.17 petang tadi.

Komathy menetapkan hari ini untuk membuat keputusan bagi mengesahkan sama ada sijil perakuan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sama ada sah atau tidak.

Pada 31 Oktober lalu, peguam bela yang diketuai Sulaiman Abdullah mengemukakan hujah tambahan berhubung isu campur tangan Abdul Gani yang telah menandatangani surat kuasa memindahkan kes tersebut.

Sementara itu, pasukan pendakwa raya turut mengemukakan hujah tambahan berkaitan isu tersebut.

Mahkamah kini mendengar permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes liwat ini ke Mahkamah Tinggi.

Kes Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berada di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

RAJA PETRA BEBAS, TAPI BILA-BILA MASA BOLEH MASUK DALAM? ~ Ref Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Walaupun beliau dibebaskan, namun saya yakin pembebasan ini tidak lama kerana masih banyak lagi 'perangkap' dan 'jerat' yang boleh memerangkap beliau bila-bila masa.

Seperti yang kita tahu rakyat negara ini sebenarnya tidak bebas dan sebelah kaki mereka sentiasa berada di 'dalam' kerana di sana pelbagai akta membelenggu mereka. Antaranya ISA, OSA, Akta Hasutan dan sebagainya.

Tidak mustahil Raja Petra boleh ditangkap semula dengan tuduhan-tuduhan lain yang kadang-kadang tidak masuk akal.

Hari ini Hakim Syed Ahmad juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Raja Petra atau juga dikenali dengan RPK ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.

TAHNIAH KEPADA TUN SALLEH & LAIN-LAIN, KERAJAAN MESTI MOHON MAAF ~ Ref Malaysiakini

Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Salleh dan lima bekas Hakim Kanan lain iaitu Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin kerana telah menerima bayaran ex-gratia yang besar dari kerajaan.

Walaupun ucapan tahniah ini agak lambat namun tetapi besar ertinya bagi saya sebagai rakyat yang mahukan keadilan dan ketelusan.

Keenam-enam mereka yang dikatakan dipecat pada zaman Dr Mahathir dulu rupa-rupanya tidak dipecat dan mereka hanya diminta bersara awal. Namun walaupun dengan apa juga alasan pemberhentian awal mereka yang dilakukan oleh kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir memang tidak adil dan zalim.

Sesungguhnya pemberian ex-gratia ini membuktikan bahawa mereka tidak bersalah dan nama mereka sekarang bersih.

Malah kerajaan BN wajib memohon maaf dari keenam-enam mereka dan juga kepada rakyat Malaysia kerana kehilangan hakim-hakim yang hebat dan berwibawa untuk mengadili rakyat yang didakwa bersalah.

Gambar : Tun Salleh menerima ex-gratia dari Bekas Menteri DiJabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim tidak lama dulu.

PRESIDEN MCA YANG KELIRU ~ Ref Malaysiakini

Jelas sekali Presiden Baru MCA, Ong Tee Keat keliru dengan isu perlantikan Pengurus Besar PKNS.

Dalam kenyataannya disiarkan oleh Utusan Meloya hari ini Ong dilaporkan sebagai berkata bahawa reaksi daripada sesetengah ahli politik daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang berhubung pelantikan itu menunjukkan bahawa mereka masih lagi berada di dalam kepompong perkauman mereka sendiri.

Ong masih belum menerima penjelasan dari PAS Selangor bahawa penentangan mereka kepada perlantikan itu bukan berdasarkan perkauman tetapi ianya disebabkan kegagalan pentadbiran PKNS sebelum itu yang gagal menguruskan PKNS dengan baik dan Madam Low Siew Moi juga adalah bekas salah seorang pegawai kanan PKNS. Jadi ini membuktikan bahawa Low dan pegawai-pegawai lain juga tidak berupaya menjalankan pentadbirannya dengan baik sebelum ini.

Saya hairan bagaimana Ong masih memainkan isu perkauman dan menuduh PAS yang masih menganuti fahaman tersebut. Sedangkan sebenarnya teman 'tidur' Ong sendiri iaitu Umno yang masih pekat dengan semangat perkauman. Malah Umno Selangor secara terang-terang menyatakan mereka membantah perlantikan Madam Low kerana beliau seorang Cina. Sebaliknya PAS tidak pernah memberikan alasan tidak bersetuju dengan perlantikan Madam atas sebab perkauman.

Saya mengharapkan MCA dan Umno berhenti dari memainkan isu perkauman sebegini kerana ianya sudah lapuk. Rakyat hari ini sudah semakin matang menilai yang mana intan yang mana kaca.

Negara kita mempunyai peraturan dan undang-undang. Hak istimewa orang Melayu masih dipertahankan, kedaulatan Raja-raja tidak pernah dipertikaikan. Hanya Umno sahaja yang berani mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila meminda perlembagaan negara di awal 90-an dulu.

06 November 2008

ISU MENARA TAMING SARI : CEO NAFI IANYA ROSAK ~ Ref Malaysiakini

Saya berterima kasih kepada Tuan CEO Menara Taming Sari Sdn Bhd kerana menghubungi saya semalam menjelaskan kekeliruan terhadap isu Menara Taming Sari (MTS) yang dikatakan rosak oleh ramai pelanggannya.
Beliau telah membuat panggilan telefon, menafikan MTS tersebut rosak sebaliknya beliau menyatakan ianya adalah pemeriksaan biasa yang dilakukan terhadap peralatan menara jika berlaku sesuatu 'error'.
Menurutnya, peralatan tersebut diperiksa setiap hari untuk memastikan ianya berada dalam keadaan baik. Alat kawalannya juga sangat sensitif dan terbukti berkesan untuk mengesan sebarang masalah.

Kenyataan beliau bertentangan dengan kenyataan pelanggan MTS yang menyatakan ia rosak.
Saya berkesempatan bertemu dengan salah seorang pelanggan MTS malam tadi dan beliau sekali lagi mengulangai kekesalannya kerana menurutnya bagaimana pemeriksaan biasa atau maintenance dijalankan begitu lama sehingga ramai yang terpaksa menunggu pada hari tersebut. Beliau yakin bahawa memang MTS itu rosak sebagaimana yang dinyatakan oleh pekerja MTS sendiri.
Jadi maklumat menyatakan menara itu rosak yang diberikan oleh pekerja-pekerja menara pada hari ianya berhenti operasi tersebut tidak diketahui samada benar atau tidak. Pelanggan kata rosak, pekerja kata rosak hanya CEO sahaja yang kata tidak rosak.

Maka untuk penjelasan lanjut dan lebih terperinci para pengunjung blog ini boleh menghubungi Tuan CEO Menara Taming Sari.
Kepada pelanggan tadi, beliau bolehlah menulis surat kepada Tuan CEO Menara Taming Sari untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

PARLIMEN MALAYSIA JADI TEMPAT GANTUNG AHLI ~ Ref Malaysiakini

Nampaknya Parlimen Malaysia sudah bertukar fungsi bukan lagi tempat menggubal undang-undang tetapi menjadi parlimen yang suka menggantung ahli parlimen.

Dalam minggu ini sahaja sudah 3 orang ahli parlimen dihalau dan digantung dari mengambil bahagian dalam mesyuarat. 2 hari lepas Ahli parlimen Batu, YB Chua Tian Chang telah diperintah keluar dari dewan dan digantung dari menghadiri mesyuarat pada hari tersebut.

Hari ini dua orang lagi ahli parlimen PR mengalami nasib yang sama atas alasan tidak patuh kepada speaker. Kedua-dua ahli parlimen itu ialah ahli parlimen Batu Gajah, YB Fong Po Kuan dan ahli parlimen Kuching, YB Chong Chien Jien. Kedua-duanya dari DAP.

Malangnya ahli parlimen BN yang bercakap dengan bahasa kesat dan celupar tidak pula dikenakan sebarang tindakan.

Nampak jelas Speaker Dewan Rakyat semakin hari semakin berpihak dan tidak adil. Ketiga-tiga mereka iaitu Speaker dan 2 Timbalan Speaker terbukti tidak bersikap professional dalam menjalankan tugas mereka.

TAMING SARI : PIHAK PENGURUSAN MESTI TELUS DAN IKHLAS ~ Ref Malaysiakini

Saya postkan di sini komen dari blogger angkasanuri tentang jawapan kepada Pengurus Pemasaran dan Jualan Menara Taming Sari yang mendakwa bahawa Menara Taming Sari ditutup baru-baru ini adalah kerana kerja-kerja penyelenggaraan bukan disebabkan kerosakan.

Jawapan balas yang diberikan oleh sahabat saya ini menambahkan keyakinan saya bahawa Menara tersebut rosak bukannya ditutup untuk penyelenggaraan.

Saya hairan mengapa susah benar pihak Menara Taming Sari untuk mengakui ianya rosak sedangkan kerosakan itu sendiri membahayakan pengunjung dan pelancong yang melawat dan menggunakan kemudahan di Menara tersebut.

Ini jawapan balas dari Blogger angkasanuri :-

MENARA TAMING SARI : RAKYAT SEMAKIN KELIRU

Pihak pengurusan Menara Taming Sari semalam mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Menara Taming Sari pernah mengalami kerosakan seperti yang pernah disiarkan di dalam bolg ini. Menurut pengurusan pemasaran dan jualannya, Mohd. Husni Husin apa yang berlaku merupakan prosedur biasa penyelenggaraan bangunan tiga kali setiap bulan. Setiap proses penyelenggaraan mengambil masa satu ke dua hari.

Dia turut menafikan bahawa pengunjung menara tidak pernah merungut sepanjang menara tersebut beroperasi.

Maklumat yang diterima adalah berdasarkan daripada pihak Menara Taming Sari sendiri. selain melalui panggilan telefon, guru-guru pengiring yang terlibat dalam lawatan ke Menara Taming Sari membawa pelajar turut dimaklumkan perkara yang sama. Menara rosak bukannya diselenggara!

Malah rombongan dari sekolah lain dari dalam dan luar Melaka dimaklumkan perkara yang sama oleh pihak menara. Menara Taming sari rosak!

Apa yang menimbulkan kemusykilan, kenapa menara tersebut kena diselenggara tiga kali setiap bulan? Berapa pula kos penyelenggaraannya? Bagaimana pula kos yang terpaksa ditanggung untuk 'menyelenggara' selepas tempoh setahun ?

Adakah kutipan RM 2.5 juta yang dinyatakan tak sampai setahun beroperasi berbaloi dengan kos RM 23 juta yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri? Berapa pula kos operasinya termasuk kos 'penyelenggaraan'?

Penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan Menara Taming Sari sebenarnya lebih banyak menimbulkan persoalan dan kekeliruan. Dalam hal ini pihak kerajaan negeri dan pengurusan menara perlu penjelasan lanjut kepada orang ramai khususnya kepada penduduk negeri Melaka yang telah banyak berkorban.

Ini kerana penduduk Melaka terpaksa 'berkorban' kerana memberi laluan kepada projek pelancongan seperti Menara Taming Sari di negeri ini. Misalnya penduduk Melaka terpaksa'berkorban' menghadapi banjir setiap kali hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak sempurna. Pesakit dan pelawat di Hospital Besar Melaka terpaksa 'berkorban' bersesak-sesak kerana jumlah wad yang tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit dan tempat letak kereta yang tidak mencukupi.

Akibatnya ada yang terpaksa 'berkorban' disaman gara-gara meletak kereta di bahu jalan di kawasan hospital Melaka kerana ruang yang sangat terhad untuk meletak kereta.

RAKYAT MELAKA BOLEH MASUK KAPAL SELAM DAN MAIN BOWLING TIAP-TIAP HARI ~ Ref Malaysiakini

Selepas ini apabila siapnya Malacca International Bowling Center (MIBC) berharga RM23.2 juta dan Muzium Kapal Selam 'Qeusant' yang dibawa dengan harga RM4 juta maka bolehlah rakyat Melaka main bowling dan bermain-main dalam kapal selam itu tiap-tiap hari. Biarkan beras mahal, barang mahal tidak menjadi masalah asalkan dapat main bowling dan kapal selam tiap-tiap hari ianya cukup 'mengenyangkan'.

Selain itu rakyat Melaka juga boleh menguji kehebatan mereka memandu Go Kart di litar Go Kart terpanjang di Asia yang berharga RM 9.9 juta.

Saya yakin selepas ini akan ada rakyat Melaka menjadi Juara Go Kart Dunia atau setidak-tidak juara di peringkat Asia.

Pak Cik-pak cik dan mak cik-mak cik warga emas juga boleh berlumba di litar tersebut. Mungkin kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada rakyat Melaka untuk memandu Go kart ini dengan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk mereka menguji kehebatan masing-masing.

Jadi selepas ini kalau rakyat susah hati barang mahal dan kehidupan semakin terhimpit boleh hiburkan diri masing-masing dengan bermain bowling, memandu Go Kart dan naik kapal selam yang tidak bergerak itu.

Selamat bersuka ria rakyat Melaka.

KERAJAAN MELAKA DISERU KAJI GAJI PEKERJA INDUSTRI ~ Ref Malaysiakini

Ketua Lajnah Buruh dan Setinggan PAS Kawasan Bukit Katil, Md Yani Ismail menggesa kerajaan Negeri Melaka mengkaji rungutan pekerja industri di dalam negeri Melaka yang resah dengan tangga gaji mereka masih di bawah RM1,000.

Yani berkata, para pekerja di sektor tersebut terutama operator rata-rata menerima gaji dibawah RM1,000.

"Bagaimana mereka ini boleh 'survive' dengan gaji sejumlah itu sedangkan sekarang harga barangan melambung tinggi".

"Gaji ini juga lebih rendah dari paras garis kemiskinan yang sepatutnya sekarang RM1,500 sebulan disebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup"

Menurutnya, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin serta Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunos Hussin mesti menjalankan kajian secepat mungkin dan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini.

"Saya sendiri sering didatangi kawan-kawan saya yang bekerja di sektor industri di negeri ini agar menbawa perkara ini kepada pihak atasan".

Yani juga berpendapat sudah sampai masanya majikan-majikan ini membuat semakan semula kepada tangga gaji minima pekerja-pekerja mereka kerana masalah ini juga akan menjejaskan produktiviti pekerja dan majikan itu sendiri.

KERAJAAN CACA MARBA, BENTANG BAJET 2 KALI? ~ Ref Malaysiakini

Di awal Sidang Dewan Rakyat yang lalu, Pakatan Rakyat mengusulkan kepada kerajaan supaya membentangkan bajet baru disebabkan berlaku perubahan ketara tentang harga minyak dunia dan kedudukan ekonomi negara yang jauh berbeza semasa pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri September lalu. Namun pada ketika itu pihak kerajaan berapi-api mempertahankan bahawa Bajet baru tidak perlu dibentangkan.

Namun tiba-tiba Menteri Kewangan yang baru, AlNajib Selasa lepas semasa menggulung perbahasan tentang Bajet 2009 seolah-olah membentangkan bajet. Lebih berat lagi AlNajib langsung tidak memberi peluang untuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) untuk bertanya dan meminta penjelasan.

Inilah sikap tidak professional bakal Perdana Menteri yang baru ini.

Semalam Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama dua jam ekoran bantahan oleh wakil-wakil PR terhadap angka-angka tambahan kepada Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, AlNajib Razak.

Kira-kira jam 12.30 tengahari, Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menangguhkan sidang sehingga jam 2.30 petang selepas pembangkang enggan membenarkan pakej rangsangan bernilai RM7 bilion dibincangkan di peringkat jawatankuasa.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Wan Junaidi bahawa mengikut Seksyen 66 (15) Perintah Tetap, dewan mesti dimaklumkan dua hari sebelum pembentangan sebarang pindaan kepada Rang Undang-undang Perbekalan.

Menurutnya, usul mengenainya juga mesti diedarkan kepada semua ahli Parlimen.

KERAJAAN MELAKA TERUS BOROS DI SAAT EKONOMI MERUDUM ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan Negeri Melaka dilihat terus boros dan menjalankan projek-projek yang membazir di saat ekonomi merudum, inflasi meningkat dan rakyat semakin tertekan dengan kos hidup semakin meningkat.

Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2009 untuk negeri Melaka semalam mengumumkan bahawa beberapa lagi projek untuk menarik pelancong ke negeri yang sesetengahnya disifatkan membazir dan tidak memberikan banyak faedah kepada rakyat terbanyak.

Antara projek yang disifatkan tidak memberikan banyak faedah kepada rakyat ialah :-

1) Projek Eye On Malaysia yang menelan belanja RM38.5 juta
2) Menara Taming Sari berharga RM25 juta
3) Kompleks Melaka International Bowling Centre (MIBC) bernilai RM23.2 juta
4) Litar Go-Kart terpanjang di Asis bernilai RM9.9 juta
5) Kapal Selam 'Qeusant' Malaysia di bawa dari Perancis dengan kos penghantaran sebanyak RM4 juta. Ini tidak termasuk harga kapal, tapak dan sebagainya.
6) Monorail dari Taman Rempah ke Bunga Raya Pantai sepanjang 1.4 km bernilai RM16 juta.

Saya berpendapat projek-projek diatas tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat walaupun kerajaan negeri mendakwa ianya untuk menarik pelancong datang ke Melaka.

Di saat kadar inflasi negeri Melaka meningkat dari 3.7 % tahun lepas kepada 4.2 % (dari Januari-Jun 2008) kerajaan negeri sewajarnya mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan negeri. Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang semakin terhimpit dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Selain itu kerajaan negeri juga sepatutnya mengambil kira kelembapan ekonomi Malaysia dan dunia dalam membuat keputusan untuk membina projek-projek di atas yang kurang memberi faedah kepada rakyat.

PARLIMEN : MENGAPA NAJIB TAKUT BERBAHAS ~ Ref Malaysiakini

Terbukti semacam ada persekongkolan antara Speaker Dewan Rakyat dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri yang tidak membenarkan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta penjelasan dan membahaskan ucapan penggulungan bajet oleh Menteri Kewangan yang baru ini.

Mengapa AlNajib begitu takut untuk berbahas dengan saf ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR)?

Mungkin ini dijawapannya :-

1) AlNajib tidak yakin kepada diri sendiri untuk menjawab pertanyaan dan perbahasan ahli parlimen PR

2) AlNajib tidak mampu untuk mengeluarkan idea sendiri dan terpaksa bergantung kepada pegawai-pegawai dalam hal menguruskan kewangan negara. Maka sudah tentu beliau tidak berupaya untuk berbahas secara spontan.

3) AlNajib tidak berupaya untuk berhujah secara berfakta dan professional kerana kelemahan beliau dalam ilmu ekonomi dan kewangan

Jelas dalam penggulungan itu AlNajib tidak bersikap 'gentleman' sehingga langsung tidak memberi peluang kepada PR mencelah dan bertanya. Setiap kali ahli parlimen PR bangun dan meminta laluan beliau menjawab, biar saya habiskan dulu ucapan dan masa masih banyak lagi untuk PR bertanya dan berbahas kemudian.

Inilah sikap sebenar seorang bakal Perdana Menteri. Sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi beliau sudah mula menunjukkan sikap tamak kuasa dan tidak professional. Mungkin selepas mendapat kuasa beliau akan lebih 'samseng' dan sombong.

05 November 2008

PENANG TUTUP LADANG BABI, MELAKA TUTUP ATAU BENARKAN? ~ Ref Malaysiakini

Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP akan menutup operasi lapan ladang ternakan babi di kawasan milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Maung hujung tahun ini.

Menurut YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terdapat lapan ladang dan kira-kira 800 ternakan yang terlibat. Operasi itu akan dihentikan sepenuhnya hujung tahun ini. Semua penternak akan diberi pampasan.

Namun kita sudah lama tidak mendengar berita tentang ladang penternakan babi di Melaka. Adakah ianya akan ditutup atau terus dibenarkan beroperasi. Beberapa bulan lalu iaitu sebelum pilihanraya riuh rendah kerajaan negeri 'berperang' dengan rakyat untuk menghapuskan babi di Paya Mengkuang. Tetapi sehingga kini tidak tahu apa perkembangan terakhir isu tersebut.

Beberapa persoalan timbul :-

Adakah para penternak dibayar pampasan yang setimpal dengan kerugian akibat ternakan mereka dipindah atau dibunuh?

Berapa ekor lagikah babi yang masih diternak di sana?

Bagaimana dengan pencemaran di kawasan itu?

Adakah 'target' dan perancangan kerajaan BN tercapai dalam isu ini, atau adakah isu ini dibangkitkan hanya untuk mendapat sokongan rakyat kepada kerajaan BN?

Bagaimana dengan status penternak di Paya Mengkuang dan sekitarnya adakah mereka telah diberikan lesen dan tanah ladang mereka diberi hak milik sepenuhnya?

Bagi saya walau apa pun keputusan kerajaan BN ianya mestilah mengambil kira kebajikan semua rakyat samada penternak babi dan rakyat disekelilingnya.

Kerajaan BN mestilah mengotakan semua janji kepada rakyat iaitu memberikan pampasan yang setimpal dengan kerugian penternak dan pada masa yang sama memastikan pencemaran dan kesejahteraan rakyat sekeliling dipelihara.

Saya bercadang untuk melawat kawasan Paya Mengkuang sekali lagi tetapi entah bila agaknya niat saya ini dapat dilakukan.

PERSIDANGAN PARLIMEN DITANGGUH KERANA NAJIB TAK TAHU PERATURAN DEWAN? ~ Ref Malaysiakini

Menteri Kewangan, Najib Tun Razak seolah-olah tidak tahu peraturan Persidangan Dewan Rakyat apabila membentangkan angka-angka tambahan kepada Bajet 2009 tanpa memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dua hari sebelum pembentangan sebarang pindaan kepada Rang Undang-undang Bekalan.
Kegagalan Najib dan kerajaan dalam menuruti peraturan ini amat memalukan lebih-lebih Najib adalah bakal Perdana Menteri. Bagaimana beliau boleh menjadi Perdana Menteri kalau peraturan macam ini pun tidak tahu.
Sehubungan dengan itu Persidangan Dewan Rakyat telah ditangguhkan ekoran bantahan oleh ahli Parlimen pembangkang.
Kira-kira jam 12.30 tengahari, Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menangguhkan sidang sehingga jam 2.30 petang selepas pembangkang enggan membenarkan rang undang-undang dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) memberitahu Wan Junaidi bahawa mengikut Seksyen 66 (15) Perintah Tetap, dewan mesti dimaklumkan dua hari sebelum pembentangan sebarang pindaan kepada Rang Undang-undang Bekalan.Menurutnya, usul mengenainya juga mesti diedarkan kepada semua ahli Parlimen.

MELAKA GAGAL TANGANI MASALAH PENGANGGURAN DI KALANGAN SISWAZAH ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan negeri Melaka ternyata gagal menangani masalah pengangguran di kalangan Siswazah apabila terdapat kira-kira 1,300 penganggur siswazah pada suku kedua 2008. Jumlah ini adalah kira-kira 50 % dari keseluruhan penggangur di negeri ini.

Mengikut statistik suku kedua 2008, bilangan penganggur di kalangan mereka yang berpendapatan rendah adalah 200 orang (7.7%) dan pendidikan menengah 1,100 orang (42.3%). Jumlah keseluruhan penganggur adalah 2,600 orang.

Dari statistik diatas terbukti bahawa kerajaan negeri gagal menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini walaupun kerajaan negeri melaung-laungkan bahawa Melaka negeri maju dan banyak peluang pekerjaan disediakan.

Lebih malang lagi separuh dari penggangur adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Sehubungan dengan itu saya mencadangkan kerajaan negeri supaya mengenalpasti sebab mengapa golongan ini gagal mendapatkan pekerjaan.

Bilangan penganggur siswazah yang ramai ini membuktikan bahawa kerajaan negeri gagal dalam pentadbirannya walaupun ramai siswazah dihasilkan tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan.

KEROSAKAN PASAR MELAKA SENTRAL : SIASAT JIKA TERDAPAT PENYELEWENGAN ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan Negeri Melaka mengaku bahawa Pasar Melaka Sentral mengalami kerosakan yang agak serius di mana berlaku enapan di keliling bangunan dan dibahagian dalam bangunan; berlaku keretakan pada sebahagian dinding, rasuk, lantau dan di tingkat satu serta tiang-tiang; berlaku pesongan pada sebahagian lantau tingkat satu bangunan tersebut.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam SekitarKerajaan Negeri, Datuk Abdul Latif Thamby Chik ketika menjawab soalan ADUN Kesidang, YB Goh Leong San pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka pagi ini.

Kerosakan ini, menurut Latif adalah berpunca dari penurunan struktur bangunan yang tidak seragam akibat daripada enapan cerucuk yang menyebabkan struktur bangunan terherot dan berlaku keretakan.

Menurut Latif projek ini dilaksanakan secara 'design & build' yang diuruskan oleh PKNM menerusi kontraktor Technochase Sdn Bhd manakala HMA Engineering & Consultancy sebagai Consultant.

Kerosakan ini merupakan suatu yang serius yang mesti disiasat secara telus dan professional. Saya menggesa kerajaan negeri membentangkan hasil siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak jika didapati bersalah terlibat dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

HARAP KELUARGA DR VIJAYARATNAM BERSABAR ~ Ref Malaysiakini

Saya mengharapkan keluarga Bekas Naib Presiden Gerakan, Dr S Vijaratnam supaya bersabar dengan pemergian beliau semalam.

Dr Vijayaratnam, 58, ditemui mati di hadapan kliniknya di bangunan Vijaya Mahal milik keluarganya di Jalan Tunku Hassan, Seremban tengah hari semalam.

Memang adat kehidupan yang muda menjadi tua dan yang hidup akan pergi meninggalkan kita. Apa yang penting yang hidup mesti tabah meneruskan kehidupan demi masa depan keluarga.

SIAPA PRESIDEN AMERIKA SAMA SAHAJA ~ Ref Malaysiakini

Sejarah telah membuktikan bahawa siapa sahaja yang menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS)samada Republikan atau Demokrat kedua-duanya sama sahaja dari segi dasar luar, dasar kepada umat Islam dan dasar ekonomi kapitalisnya.

Boleh dikatakan dasar Obama dan McCain tidak banyak bezanya terhadap isu Iraq, Iran, Afghanistan dan dasar memerangi apa yang dikatakan keganasan. Kedua-dua sudah pasti tunduk kepada pengaruh Yahudi yang sejak sekian lama berakar umbi di Amerika.

Media hari ini melaporkan bahawa Obama bakal menjadi Presiden AS kulit hitam pertama dalam sejarah. Walaupun beliau berkulit hitam saya yakin tindakan dan corak pemerintahan tidak akan berbeza dengan Presiden berkulit putih.

Dilaporkan juga bahawa setakat ini, lebih 30 juta pengundi telah turun mengundi awal di 30 buah negeri dengan majoriti pengundi terbabit memberikan sokongan kepada Obama berbanding lawannya daripada Parti Republikan, John McCain.

Angka yang dipetik dari negeri-negeri berkenaan menunjukkan bilangan keluar mengundi adalah tertinggi dalam sejarah bagi beberapa buah negeri utama termasuk Georgia, Iowa dan North Carolina.

04 November 2008

PAK LAH DIHUKUM KERANA LUPA PESANAN DATUKNYA ~ Ref Malaysiakini

Membaca posting Kadir Jasin dalam blognya yang bertajuk 'Najib menang tapi awas politik' wang, saya tertarik dengan perenggan akhir catatannya itu.

Kadir menulis dalam perenggan akhir bertajuk Pesanan ulama

PADA 12 November 2003 iaitu 12 hari selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri, Utusan Malaysia menyiarkan rencana saya berjudul 'Abdullah Tiada Kurang Teladan'.

Dalam rencana itu saya memetik dua pesanan Sheikh Abdullah Fahim daripada buku 'Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan' karangan Mokhtar Petah (Pustaka Antara, 1997), yang berbunyi:

1. Bila kita dah merdeka, jangan pula ada pemimpin-pemimpin kita mengaut kekayaan di atas belakang rakyat; dan.

2. Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam menjaga tanah air kita.

Akhir kalam, renungkanlah kebenaran nasihat dan amaran Sheikh Abdullah Fahim - "Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina.


Demikian tulisan Kadir.

Apa yang ingin saya komen di sini ialah nampaknya Pak Lah lupa kepada pesanan datuknya seorang ulama' terkenal iaitu Sheikh Abdullah Fahim.

Pak Lah membiarkan anak menantunya kaya raya mengautkan keuntungan tanpa batas. Banyak sekali projek yang dibolot oleh anak menantunya.


Menantunya pula dilihat begitu sombong hingga dikatakan menguasai semua keputusan Pak Lah.

Menantunya ini menjadi Jaguh yang berada di Tingkat 4 yang sangat berkuasa dan berpengaruh.

Tidak siapa yang dapat menyangkal fakta bahawa gagal mengawal anak dan menantunya atau mungkin juga Pak Lah sendiri yang menggalakkan anak dan menantunya menjadi sedemikian rupa.

Akhirnya Pak Lah menerima hukuman di atas dunia lagi apabila dimalukan oleh ahli-ahli Umno dan rakyat.



NAJIB MESTI HUKUM SEMUA PESALAH RASUAH TERMASUK DIRI SENDIRI? ~ Ref Malaysiakini

Bakal Presiden Umno, AlNajib mesti menghukum semua pesalah rasuah di dalam Umno termasuk dirinya sendiri jika didapati bersalah tanpa memilih bulu. Hanya ini sahaja caranya untuk menyelamatkan Umno dan kepimpinannya.

Semua orang tahu bahawa Umno sekarang dipimpin oleh individu yang rata-rata terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan sekarang. Sebab itulah Dr Rais dan Ku Li secara terbuka mendedahkan perlakuan rasuah ini kepada media.

Tidak seorang pun pemimpin Umno yang berani bersuara dengan aduan dan dakwaan bekas Presiden dan Timbalan Presiden Arwah Parti Melayu Semangat 46 ini. Sepatutnya jika perkara ini tidak berlaku sudah tentu kedua-dua ahli politik veteran ini akan dimaki hamun oleh pemimpin Umno lain.

Saya mencabar AlNajib dan Pak Lah supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Rais dan Ku Li jika dakwaan mereka adalah palsu. Jangan hanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib dan disiplin sahaja, kerana jawatankuasa tersebut tidak ada kuasa dan takut untuk bertindak dengan telus dan ikhlas. Sudah tentu mereka tidak berani mengambil tindakan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang lebih tinggi dan sedang berkuasa sekarang.

Kenyataan Rais dan Ku Li ini benar-benar mencabar maruah dan imej Umno. Sepatutnya kedua-dua mereka dihadapkan ke mahkamah jika mereka membuat tuduhan palsu.

Malangnya Pak Lah dan AlNajib hanya diam seribu bahasa seolah-olah tidak menafikan berlakunya rasuah yang maha hebat.

SALAH SEORANG CALON JAWATAN TERTINGGI UMNO BELANJA RM10JUTA ~ Ref Malaysiakini

Dakwaan Ku Li dan Rais Yatim bahawa jawatan dalam Umno sepatutnya ditender memang tepat dan betul. Ianya sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Malah ada sumber dalaman Umno memberitahu bahawa salah seorang calon jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno kali ini membelanjakan RM10 juta untuk memastikan pencalonannya cukup dan beliau boleh memenangi jawatan tersebut.

Dari mana beliau memperolehi RM10 juta itu. Ini yang menjadi persoalaannya. Saya sendiri dan para pengunjung blog ini mungkin boleh meneka siapa gerangan calon tersebut yang menggunakan duit sebanyak itu untuk kepentingan diri sendiri.

Malah ada sumber dalaman Umno juga menyatakan bahawa wang tersebut diperolehi dengan cara yang tidak sah dan menyalahi undang-undang. Malangnya tiada yang berani tampil ke hadapan membuat laporan polis atau BPR. Mereka sanggup bersekongkol demi untuk menjaga periuk nasi dan pangkat mereka.

Biasanya orang yang berkuasa di peringkat pusat dan negeri sahaja yang berkuasa untuk 'mencuri' duit rakyat sebegini.

Jika budaya ini berterusan kita bimbang negara kita akan hancur kerana wang rakyat tidak lagi selamat. Malah pemimpin Umno yang menang dan menjadi pemimpin kerajaan ini juga adalah pemimpin rasuah dan tidak bermaruah.

SELANGOR HARGAI GURU AGAMA, MELAKA HARGAI ARTIS ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) terus membuktikan janji-janji mereka dalam manifesto pilihanraya umum lalu bukannya omongan kosong apabila menaikkan elaun bagi guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibarhim mengumumkan bahawa elaun tersebut dinaikkan kepada RM1,000 sebulan mulai Januari tahun depan berbanding RM738 sekarang.
Seramai 6,262 orang guru KAFA di seluruh negeri Selangor akan menerima kenaikan tersebut.
Sesungguhnya langkah kerajaan negeri ini amat bertepatan dengan situasi semasa di mana rakyat sedang terhimpit dan tertekan dengan kenaikan harga barang lantaran kegagalan kerajaan pusat menangani masalah ini sejak Jun lalu.
Bayangkan bagaimana seorang rakyat Malaysia yang dikelilingi dengan belenggu kenaikan harga barang dan kos hidup yang meningkat naik, boleh menjalani kehidupan dengan gaji di bawah RM800 sebulan.
Jadi langkah kerajaan negeri Selangor ini memang membuktikan kerajaan tersebut prihatin dan sentiasa memikirkan masalah rakyat yang semakin terhimpit sekarang.
Lebih manis lagi Abdul Khalid juga berkata dalam masa dua atau tiga tahun lagi jika keadaan kewangan kerajaan negeri mengizinkan, elaun itu mungkin dinaikkan di atas garis kemiskinan RM1,500 sebulan yang ditetapkan kerajaan negeri.
Persoalaannya sekarang bila kerajaan negeri Melaka hendak menaikkan elaun guru KAFA di Melaka sehingga RM1,000 sebulan seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor. Rakyat amat berharap supaya kerajaan negeri Melaka tidak hanya mengiktiraf peranan artis bollywood sahaja tanpa mengambil tahu kebajikan guru-guru KAFA yang jauh lebih berjasa dari Datuk Bollywood tersebut.

EUROCOPTER : KEPUTUSAN PAC MEMANG SUDAH DIJANGKA ~ Ref Malaysiakini

Memang dari awal lagi saya berkeyakinan bahawa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang diketuai Azmi Khalid sudah pasti tidak akan menemui sebarang 'findings' atau 'abnormality' dalam urusan pembelian helicopter Eurocopter yang telah digantung.

'Skrip' ini memang sudah disediakan sejak dari awal. Sebagaimana juga tugas PAC untuk lain-lain kes. Seolah-olah PAC bukannya mencari 'findings' tetapi berusaha untuk mencari jalan bagi melepaskan pihak-pihak yang terlibat dengan urusan tersebut.

Azmi dalam kenyataannya semalam, memberitahu bahawa mesyuarat PAC mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan prosedur dalam proses tender pembelian Eurocopter.

Bagaimanapun, PAC memandang berat pemeriksaan fizikal tidak dilakukan ke atas 12 helikopter Eurocopter yang hendak dibeli oleh kerajaan itu.

Bagi saya tidak perlu PAC memberi pelbagai fakta dan alasan kerana kita sendiri tahu bahawa majoriti ahli PAC adalah dari BN. Maka selagi seseorang itu menjadi ahli BN maka selagi itulah mereka akan menganut fahaman 'Yes Man' atau 'tidak berani melawan ketua'. Sudah tentu Pengerusi dan ahli-ahli PAC dari BN takut hendak menyiasat ketua mereka sendiri.

Kegagalan jawatankuasa pembelian membuat pemeriksaan fizikal kepada 12 helikopter Eurocopter bagi saya merupakan satu isu yang berat kerana ia membabitkan wang rakyat berjumlah berbilion ringgit.

Jawatankuasa ini mesti disiasat seterusnya mengenai kecuaian ini. Pihak yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya kecuaian itu membabitkan perlanggaran undang-undang. Kita bimbang kegagalan pihak terbabit membuat pemeriksaan fizikal keatas pesawat itu adalah disebabkan unsur-unsur luar yang tidak sihat.

Saya hairan mengapa pemeriksaan yang sangat penting dan 'mandatory' itu tidak dilakukan. Kita bukannya hendak membeli helikopter mainan untuk anak dan cucu kita. Sedangkan permainan anak dan cucu kitapun kita 'check' dengan rapi sebelum membelinya inikan pula helikopter untuk kegunaan pertahanan kita.

03 November 2008

MENANTI NUR DI DALAM HATI RAKYAT MALAYSIA ~ Ref Malaysiakini

Saya hairan mengapa kejahatan dan kebobrokan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin Umno semasa pemilihan sekarang tidak dinilai dan diambil iktibar oleh rakyat Malaysia khususnya orang melayu.

Mengapa orang Melayu majoritinya masih menyokong Umno walaupun Umno jelas parti jijik lagi menjijikkan. Rasuah dan politik wang bukan lagi perkara yang diselindung tetapi ia berlaku secara terang-terangan seperti dakwaan yang dibuat oleh Dr Rais Yatim dan Ku Li.

Sampai bilakah rakyat akan terus melelapkan mata memekakkan telinga terhadap gejala kotor ini.?

Sampai bilakah rakyat akan sedar dan insaf serta bersedia untuk menolak Umno dan BN.

Benarlah apa yang dikatakan bahawa HIDAYAH datang dari ALLAH bukan dari manusia.

UMNO PARTI TENDER ~ Ref Malaysiakini

Jawatan dalam Umno ada yang berharga RM2 juta untuk satu pencalonan. Begitulah pendedahan calon Presiden Umno yang kecundang sebelum masuk gelanggang. Begitu dahsyat sekali pengaruh duit kepada orang Umno sehingga seolah-olah tidak ada lagi yang dapat menghalang mereka dari berajakan duit kalaupun bukan bertuhankan duit.
Bawalah sesiapa juga pemimpin yang hebat untuk Umno, jika pemimpin itu tidak ada duit dan tidak mahu bagi duit nescaya ia akan tersungkur.
Buktinya nyata Dr Mahathir yang pernah disanjung dan dipuja sebagai adijagat dunia, wira dunia ketiga, negarawan ulung dan sebagainya juga tertiarap di Kubang Pasu oleh kerana wang.
Maka kali ini juga, sekali lagi Ku Li tewas kerana pengaruh wang. Beliau mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, kini permintaan dan tawar-menawar ganjaran bagi pencalonan-pencalonan yang diberikan berlaku secara terbuka.

Menurutnya ahli-ahli Umno kini secara terbuka mahukan manfaat-manfaat kewangan apabila mahu memberi pencalonan.

Katanya, satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta.

Dua minggu lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan 'berpeluang' memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Ketika ditemui di sini awal bulan lalu, Razaleigh mendedahkan kira-kira RM200 juta digunakan untuk tujuan kempen dan membeli undi dalam pemilihan Umno kali ini.
Jadi jelaslah sekarang semua pemimpin Umno yang menang dan dipilih pada pemilihan kali ini adalah pemimpin rasuah dan keji. Rakyat mesti menghukum mereka pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

KAHWIN BESAR-BESARAN, CERAI PUN BESAR-BESARAN ~ Ref Malaysiakini

Sudah menjadi resam di Malaysia kita, artis berkahwin secara besaran-besaran sehingga belanja keseluruhan mencecahkan jutaan ringgit. Wang hantaran pula berjumlah ratusan ribu ringgit. Memang betul-betul membazir.

Ada orang berkata kahwin besar-besar, belanja besar-besar untuk perkahwinan tak berkat. Sebab itulah kita lihat ramai artis-artis yang berkahwin dengan belanja besar-besar tidak lama selepas bercerai-berai secara besar-besar juga. Maksud saya dibesar-besarkan oleh media untuk melariskan jualan akhbar atau majalah mereka.

Kalau kita, pasti rasa malu untuk menceritakan masalah 'dalam kelambu' atau rumah tangga kita kepada umum tetapi tidak bagi artis kita, mereka seolah-olah berbangga apabila masalah rumah tangga di siarkan oleh media.

Media pula tidak ada sedikit pun rasa bersalah menyiarkan berita yang mengaibkan orang lain. Memang media yang tiada 'akidah dan iman'.

Selepas satu pasangan satu pasangan cerita artis bercerai-berai. Baru-baru ini cerita seorang artis berstatus janda yang berkahwin, tetapi tidak lama selepas itu beliau dilaporkan bercerai. Yang hebatnya beliau langsung tidak memberitahu siapa suaminya em em em ....

Kini cerita sepasang artis muda beranak tiga pula sedang hangat diperkatakan di dada akhbar. Macam-macam cerita disiarkan. Bergaduhlah, khalwatlah, minta cerailah dan sebagainya.

Saya nasihatkan kepada akhbar cukuplah mengaibkan maruah orang lain. Jadilah media yang beretika dan bermaruah.....

ADA PIHAK MELENTING DENGAN POSTING SENTUH PAS MELAKA ~ Ref Malaysiakini

Ada pihak yang melenting bila saya sengaja menyiarkan satu kenyataan dan keluhan dari seorang ahli PAS yang 'membantai' pemimpin PAS Melaka yang bertajuk 'PAS MELAKA PERLU ANJAKAN PARADIGMA YANG HEBAT'.

Bagi saya ianya tidak menjadi masalah asalkan keluhan dan pendapatnya itu rasional dan ada kebenarannya. Sepatutnya saya sendiri yang rasa terpukul dengan posting tersebut sebab ianya terkena ke atas batang hidung saya sendiri. Saya sendiri mengamalkan dasar terbuka dan sedia untuk dikritik dan dinasihat secara membina. Bukan kritikan membabi buta dan maki hamun.

Tulisan ahli PAS Komited itu ditujukan khas kepada pimpinan PAS Melaka terutama kepimpinan tertinggi dan boleh sifatkan sebagai kepada seluruh Ahli Badan Perhubungan PAS Melaka. Jangan kita cepat melatah, apa yang penting kita ambil kebenarannya dan kita perbetulkan.

Tulisan ahli PAS Komited mendapat reaksi dari salah seorang pembaca yang menamakan dirinya Maryam yang agak kurang setuju dengan pandangan ahli PAS komited.

PAS MELAKA PERLU ANJAKAN PARADIGMA YANG HEBAT ~ Ref Malaysiakini

Saya telah lama memerhatikan perkembangan PAS Melaka sejak saya menyertai PAS Melaka sebagai ahli biasa. Tidak nampak banyak perubahan yang berlaku di dalam PAS Melaka selain dari saf kepimpinan baru dan muda yang ditonjolkan pada sessi ini 2007/2009.
Saya sebenarnya optimis yang kepimpinan muda PAS yang dilantik pada sessi ini akan berjaya membuat perubahan besar kepada PAS Melaka, namun akhirnya harapan saya tidak kesampaian.
Saya tidak menafikan berlaku sedikit perubahan dari kepimpinan terdahulu tetapi peratusannya terlampau sedikit. Ini kerana PAS Melaka gagal mengubah persepsi rakyat berbilang kaum, parti-parti sahabat, Jabatan Kerajaan dan NGO kepada PAS Melaka.

Saya yakin perubahan ini tidak akan berlaku jika ianya tidak datang dari pemimpin nombor satu di Melaka.
Saya melihat PAS Negeri lain terutama Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Penang berjaya meletakkan diri mereka sebagai alternatif kepada BN dari semua segi. Mereka mendapat persepsi yang baik dari rakyat berbilang kaum, parti-parti politik, jabatan kerajaan, NGO dan lain-lain. Maka tidak hairanlah mereka mudah untuk mendekati rakyat dan mendapat undi dari rakyat pada pilihanraya lalu.
PAS Melaka dilihat masih banyak bergerak dalam kepompong sendiri dan tidak benar-benar terjun menyelami masalah rakyat.
Program yang dijalankan banyak bersifat dalaman dan tidak menerobos masuk ke tengah-tengah masyarakat. Sudah lah program boleh dikira dengan jari ditambah pula dengan sifat 'syok sendiri' yang akhirnya masyarakat dan rakyat tidak nampak kehadiran PAS di tengah-tengah masyarakat. Mungkin rakyat merasakan bahawa ada atau tidak ada PAS di Melaka ini sama sahaja.

Kepimpinan yang ada sekarang terutama kepimpinan tertinggi ternyata gagal mempengaruhi persepsi rakyat kepada PAS. PAS Melaka masih dilihat:-
1) Jumud (tidak mahu bergaul dengan orang ramai)
2) Tidak berjaya menjuarai isu-isu masyarakat
3) Tidak menjadi tempat pergantungan rakyat dalam apa juga isu dan bala bencana yang menimpa rakyat
4) Tidak berupaya melahirkan pemimpin yang boleh diterima oleh rakyat berbilang kaum
5) Gagal meyakinkan pengundi bukan Melayu pada Pilihanraya umum lalu.
6) Lebih banyak menghukum dari mendidik dan mendekati golongan sasaran
7) Gagal menjalankan program-program kebajikan dan meninggalkan kesan di kalangan rakyat
8) Gagal menambahkan bilangan cawangan dan keahlian dengan agresif
9) Gagal menjalinkan hubungan yang erat dengan DAP dan PKR
10)Gagal menjalinkan hubungan yang erat dengan Jabatan Kerajaan, NGO dan pertubuhan kemasyarakatan.
Segala fakta di atas walaupun tidak dikuatkan dengan angka tetapi saya yakin ianya ada kebenaran berdasarkan pemerhatian saya dari akhbar Harakah, pergaulan dengan pemimpin dan ahli-ahli PAS, pandangan pemimpin peringkat pusat, pandangan pemimpin DAP dan PKR, pandangan kaum Tionghua dan India kepada PAS serta juga pengelibatan saya sebagai ahli PAS di peringkat cawangan.
Saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa PAS Melaka masih belum terlambat untuk memperbaiki kelemahan di atas. Kepimpinan yang ada pada hari ini sebenarnya berupaya memperbetulkan segala kelemahan yang ada jika mereka benar-benar komited untuk melakukannya.
Nukilan : Ahli PAS komited ( dihantar melalui email).
Komen-komen

maryam said...
Untuk melakukan satu perubahan yang besar memerlukan kerjasama dari semua peringkat ..bermula dari peringkat pimpinan ke peringkat kecawanagn..Menuding jari kepada satu pehak saja adalah tidak adil...Menaruh harapan yang optimis kepada pimpinan muda dalam masa yang terlalu sengkat juga tidak adil. Apa yang sebenarnya ingin kita capai adalah "Keredhaan ALLAH'.. Dakwah itu diwajibkan untuk semua..tidak terkecuali...apakata kita sama-sama bagi idea kepada peringkat pimpinan apa yang perlu dilakukan untuk satu anjakan paradigma yang hebat dimelaka. InsyaALLAH, kita akan mendapat keberkatan dan kejayaan disana nanti..Ahli PAS Melaka
angkasanuri said ...
sebab tu le sekarang ni Melaka muncul kubu umno paling kuat di dunia. Di antaranya kelemahan ketara pas di melaka. Program ada tapi tak fokus, pimpinan syok sendiri, masa pilihanraya masing2 sibuk nak jadi calon tapi bila tanya cula atau gerak kerja pilihanraya jawapannya 'elek'.Bila PKR nak kerusi dun, marah pulak. siap tepuk2 meja .Masa mesyuarat meleret2...masa muktamar pula bila minta laporan lujnah...dengan selambe jawab tak ada...macam mana le Allah nak beri kemenangan.
lembik's said...
bila PAS Melaka nak buat konvensyen ???Pandangan ahli PAS sepatutnya kena dilontarkan agar pimpinan dapat melihat kepincangan yang berlaku.

'FATWA' SONGSANG SHAHIDAN KASSIM ~ Ref Malaysiakini

Dalam kemelut pemilihan Umno sekarang, pelbagai cara digunakan oleh calon-calon untuk menonjolkan diri masing-masing agar diri mereka dicalonkan untuk jawatan tertentu. Bagi mana-mana calon yang tidak ada jawatan besar di pusat dan negeri mereka mulalah mencipta isu agar kenyataan dan gambar mereka disiarkan di dalam media.

Salah seorang menteri besar yang dipencenkan oleh raja, iaitu Shahidan Kassim juga menggunakan taktik ini bagi meraih populariti. Shahidan yang semakin dilupakan orang Umno memang dikenali bernafsu besar dan gila jawatan serta pangkat. Namun 'kegilaan' beliau akhirnya terkulai layu kerana gagal mendapat pencalonan yang banyak bagi jawatan Naib Presiden dan terpaksa memalukan diri sendirinya dengan menarik diri dari pemilihan Naib Presiden. Tetapi beliau masih 'berahi' untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

Jadi untuk menonjolkan dirinya, semalam beliau membuat kenyataan sonsang dengan berkata bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibarahim perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu.

Shahidan marahkan Zaid yang mendakwa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu malah beliau menyifatkan konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara. Zaid membuat kenyataan tyersebut baru-baru ini.

Bagi saya pandangan Zaid ini adalah pandangan peribadi beliau yang tidak menjejaskan aqidah dan keimanan. Hanya pandangan yang menjejaskan akidah dan keimanan sahaja yang wajib seseorang itu bertaubat. Melayu bukannya Islam dan Islam bukan Melayu.

Mengapa sebelum ini Shahidan tidak meminta Zaid bertaubat semasa Zaid menzahirkan dirinya sebagai penyokong kuat IFC, sedangkan banyak pandangan IFC bertentangan dengan Islam.

SELAMAT BERSARA KU LI DARI UMNO, LEBIH BAIK SERTAI PAKATAN RAKYAT ~ Ref Malaysiakini

Dengan kejayaan AlNajib mendapatkan lebih dari 133 pencalonan semalam, maka tertutuplah harapan Ku Li untuk menentangnya pada pemilihan Umno Mac ini.
Sehingga hari ini AlNajib sudah mendapat 141 pencalonan untuk jawatan Presiden, manakala Ku Li hanya mendapat 1 pencalonan dari Bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang.
Jadi hanya tinggal 49 Bahagian lagi belum mengadakan persidangan. Andai Ku Li membolot kesemua pencalonan dari bahagian-bahagian tersebut Ku Li hanya akan mendapat 50 pencalonan iaitu kurang dari 8 pencalonan untuk melayakkan beliau menentang AlNajib. Maka peluang untuk Ku Li layak bertanding sudahpun tertutup.
Sekali lagi terbukti bahawa demokrasi telah lama tertutup dalam Umno.

Cubaan Ku Li untuk kesekian kalinya merebut jawatan Presiden Umno ditewaskan oleh Sistem Kouta bukannya oleh calon Presiden lain. Ku Li tersungkur sebelum masuk gelanggang lagi. Pemimpin-pemimpin Umno dan ahli-ahlinya perlu sedar dan insaf bahawa tidak ada gunaya berada di dalam Umno kerana parti itu sudah tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya.

Saya mencadangkan Ku Li supaya bersara dari Umno buat kali kedua dan terakhir sebagaimana pernah beliau lakukan pada tahun 1987 dahulu selepas tewas kepada Dr Mahathir untuk jawatan Presiden pada pemilihan Umno tahun tersebut. Tidak ada gunanya Ku Li untuk terus berada di dalam Umno sedangkan pemimpin dan ahli Umno jelas tidak mahu berubah dan membaiki Umno yang rosak terus dari segi imej dan dasarnya.

Imej Umno tidak dapat dibaiki lagi lantaran gejala rasuah, politik wang, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang begitu berleluasa. Oleh kerana pemimpin yang korup dan hilang maruahnya ini menang dan pemimpin Umno dan kerajaan maka perangai dan stail pentadbiran terbawa-bawa di dalam pengurusan kerajaan. Akhirnya rakyat sedar dan menghukum Umno/BN pada Pilihanraya umum Mac lalu. Namun pemimpin Umno yang ada pada hari ini buta, tuli dan enggan membaiki perkara ini seperti yang dicadangkan oleh Ku Li. Jadi tidak perlu lagi untuk Ku Li berada di dalam parti yang seumpama ini yang akan menghancurkan Islam, Bangsa Melayu dan negara.

Suara Ku Li langsung tidak dihiraukan oleh pemimpin dan ahli Umno, malah beliau dicemuh dan ditohmah sebagai pemimpin yang sudah 'expired' dan tidak berguna lagi. Bagi saya tidak perlulah Ku Li duduk lagi dalam Umno ibarat 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.

Maka perjuangan yang paling relevan untuk Ku Li dan sahabat-sahabatnya ialah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Islam, Bangsa Melayu dan negara. Rakyat jelas semakin faham dan sedar dengan kebobrokan dan kejahatan yang dilakukan oleh Umno/BN. Ternyata inilah masa yang sesuai untuk Ku Li bersama-sama dengan PR untuk membentuk kerajaan baru kalaupun tidak dalam masa terdekat, pilihanraya umum ke 13 Insya Allah PR akan berjaya.

02 November 2008

RAKYAT SELANGOR DAPAT DURIAN RUNTUH, RAKYAT MELAKA DAN NEGERI LAIN DAPAT APA? ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan menunaikan janji manifesto pilihanraya Umum lalu dengan melancarkan 3 insentif terbaru kepada rakyatnya.

Insentif itu ialah :-

1) Perlindungan insurans kepada setiap anak kelahiran negeri itu sehingga berusia 18 tahun di samping memastikan mereka mendapat RM1,500 pada usia tersebut untuk membiayai pendidikan mereka.

2) Tabung Warisan Anak Selangor atau Tawas menghadiahkan RM100 kepada anak yang baru lahir di negeri itu.

3) Skim hadiah anak masuk universiti bernilai RM1,000 khususnya kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Bagaimana pula dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN apa yang rakyatnya dapat walaupun telah 50 tahun diperintah oleh BN.????

Insentif terbaru ini diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.


PEMIMPIN UMNO YANG AKAN MASUK PR IALAH DOLLAH BADAWI? ~ Ref Malaysiakini

Sahabat saya blogger Angkasanuri bertanya adakah Dollah Badawi pemimpin yang dimaksudkan Presiden PAS yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Bagi saya sesiapa sahaja berkemungkinan menyertai PR jika pemimpin itu rasional dan dapat berfikir secara waras. Kalau Pak Lah seorang yang rasional dan tidak meletakkan kepentingan diri maka beliaulah yang dimaksudkan Tuan Guru tersebut.

Ini kerana hanya orang yang tidak berfikir secara rasional dan ada kepentingan diri sahaja yang masih mahu bersama Umno.

Mengapa saya berkata demikian. Di bawah ini alasan saya :-

i) Umno sudah tidak relevan tiada ideologi perjuangan seperti dulu; pemimpin Umno hanya mementingkan kepentingan diri sehingga menggunakan apa juga cara untuk menang
ii) Umno sudah jauh menyimpang dari Islam, rasuah menjadi pakaian pimpinan Umno, undang-undang Islam diketepikan, murtad dibiarkan, maksiat menjadi zikir amalan Umno
iii) Kedaulatan Bahasa Melayu sudah tidak diperjuangkan oleh Umno, Bahasa Melayu tidak digunakan lagi untuk kebanyakan subjek di Sekolah
iv)Kedaulatan Bangsa Melayu semakin hari semakin terhakis akibat pemerintahan Umno, tanah melayu semakin mengecil, kepentingan melayu semakin tergadai
v) Kekayaan negara dibolot oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN serta kroni-kroni mereka.
vi) Rakyat semakin terhimpit dan tertekan dengan sikap pemimpin Umno yang hanya mementingkan diri dan langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat.

Banyak lagi alasan yang saya boleh berikan tetapi cukup rasanya yang diatas ini untuk memberikan kefahaman kepada tuan-puan.

Jadi saya yakin ramai di kalangan pemimpin Umno yang masih rasional cuma mereka tidak berani untuk menzahirkannya. Insya Allah bila tiba masanya mereka akan berbuat demikian.

Masa saya tidak hairan jika Pak Lah adalah orang yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Presiden kerana Pak Lah juga sudah tentu masih mempunyai pemikiran yang rasional dan mungkin sudah tidak sanggup bersengkongkol dengan Umno.

Mungkin Pak Lah serik dengan perangai pemimpin Umno yang begitu gilakan kuasa dan pangkat sehingga Pak Lah sendiri di'terajang' oleh Najib dan kuncu-kuncunya. Atas alasan ini mungkin juga Pak Lah sendiri yang akan menyertai Pakatan Rakyat. Siapa tahu !!!!

Insya Allah. Amin

PAS KAWASAN BUKIT KATIL PERLU BERSIAP HADAPI PILIHANRAYA KECIL? ~ Ref Malaysiakini

PAS Kawasan Bukit Katil perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan BN jika berlaku pilihanraya kecil Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru dalam waktu terdekat. Ini kerana besar kemungkinan jika Ketua Menteri Ali Rustam memenangi kerusi Timbalan Presiden beliau akan mengosongkan kerusi DUN Bukit Baru dan mengarahkan Ahli Parlimen Bukit Katil, Mat Sirat Abu supaya berbuat demikian juga.

Ali pernah membuat kenyataan bahawa tidak menjadi masalah baginya untuk menukar haluan ke pusat andai beliau menang kerusi no 2 Umno tersebut. Malah melihat kepada keadaan semasa kemungkinan besar Ali akan menang pada pertandingan itu nanti memandangkan Pak Lah secara terbuka memberikan sokongan kepadanya.

Malah Najib juga dijangka akan memberikan sokongan kepada Ali bagi menentang Muhyiddin pada pemilihan Mac nanti. Ini tidak mustahil kerana Najib sudah pasti mencari timbalan yang lembap, lemah dan bersifat 'yes man' seperti Ghafar Baba. Maka orang yang bersifat demikian tidak lain tidak bukan ialah Ali Rustam, berbanding dengan Muhyiddin yang lebih cerdik, langtang dan suka melawan 'taukeh'. Sudah tentu Najib tidak mahu Muhyiddin menang kerana takut nanti Muhyiddin melawan 'taukeh'.

Jadi tidak syak lagi Ali Rustam mempunyai peluang yang paling cerah berbanding dengan Muhyiddin dan Mat Taib.

Oleh itu saya mencadangkan PAS Kawasan Bukit Katil supaya bersedia dari sekarang untuk menghadapi pilihanraya kecil mengejut ini. Jangan nanti Ali umumkan untuk bertukar kerusi dan kerusi tersebut telah dikosongkan baru 'terhegeh-hegeh' untuk memperkemaskan jentera pilihanraya di kawasan tersebut.

RASUAH DAN SKANDAL SEKS HALAL DI SISI BN ~ Ref Malaysiakini

Ternyata rasuah dan skandal seks terus dihalalkan oleh BN terutama Umno dan MCA. Buktinya 2 orang pemimpin Umno dan BN yang terlibat dalam 2 kegiatan jijik itu terus mendapat kepercayaan ahli-ahli mereka.

Chua Soi Lek pelakon utama 'filem seks' yang beliau sendiri mengaku diangkat kembali menjadi Timbalan Presiden MCA. Sungguh tidak bermaruah Chua dan ahli-ahli MCA.

Manakala di dalam Umno Bekas Naib Presidennya, Isa Samad yang dihukum kerana mengamalkan rasuah politik kembali dipilih menjadi Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang tanpa bertanding.

Malah beliau kini hanya memerlukan 2 pencalonan sahaja lagi untuk layak bertanding jawatan no 3 Umno itu.

Saya juga hairan mengapa ahli-ahli Umno menhalalkan dua perkara jijik ini dengan mengangkat semula kedua-dua pemimpin bersifat 'malaun' ini. Adakah ahli-ahli Umno juga ikut sama ingin menjadi 'malaun' juga. Namun saya yakin ada unsur-unsur lain yang menyebabkan kedua-dua pemimpin ini diangkat semula menjadi pemimpin parti mereka. Apa unsur-unsur lain itu? Saya yakin tuan-puan boleh memikirkannya.

Tidak syak lagi bahawa memang BN menghalalkan kedua-dua perkara jijik ini. Jadi selepas ini kalau mahu dipilih menjadi pemimpin BN calon-calonnya bolehlah mengamalkan skandal seks dan rasuah.

Parti BN ini memang parti yang tidak bermaruah, dipimpin oleh pemimpin yang tidak bermaruah.

SIAPA PEMIMPIN UMNO YANG TELAH SERTAI PAKATAN RAKYAT? ~ Ref Malaysiakini

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mengesahkan bahawa sudah ada pemimpin Umno yang telah menyertai Pakatan Rakyat (PR). Cuma menurutnya menunggu masa untuk diumumkan. Siapakah pemimpin Umno tersebut?

Menurutnya cerita dari sumber-sumber dalaman Umno, pemimpin tersebut ialah ........... tunggu masanya akan tiba.

Malah menurut salah seorang ahli Majlis Syura PAS, nama-nama pemimpin Umno dan BN yang telah menyatakan kesediaan untuk menyertai PR juga sudah ada dan menunggu masa untuk diumumkan.

Jadi rakyat tidak perlu risau dan hendaklah bersabar jangan terlampau ghairah. Kita kena berhati-hati. Andai ianya benar-benar berlaku maka Insya Allah kita akan mendapat kerajaan baru dan ianya merupakan bonus kepada kita semua. Andai ianya tidak berlaku, jangan bimbang kita masih mempunyai peluang yang cerah pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Umno dan BN sudah berada pada tahap nyawa-nyawa ikan dan seperti kata veteran Umno, Musa Hitam, Umno dan BN sedang tenat kerana menghadapi sakit tua. Orang yang sakit tua biasanya nyanyuk, ganyut dan tidak tahu apa yang dilakukan.

UTUSAN TAK SERIK TERUS JADI JURU ADU DOMBA ~ Ref Malaysiakini

Utusan Meloya memang tidak serik dan tidak takut kepada Allah. Hari ini Utusan Meloya meletakan tajuk "Hadi mahu penjelasan" di muka depan akhbar pembodek tersebut.

Dalam laporan tersebut Utusan cuba melaga-lagakan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan PKR. Laporan itu berbunyi begini,

"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Selangor melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kata Abdul Hadi, sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu dan beragama Islam, sistem pentadbiran sepatutnya diterajui oleh kaum tersebut.
Sehubungan itu, beliau akan meminta penjelasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung pelantikan Siew Moi itu.


‘‘Secara umum apa yang saya dapat katakan pemerintahan dan pentadbiran negara mestilah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam.

“Saya tidak boleh komen lebih-lebih kerana perlu meminta penjelasan daripada rakan-rakan kami di Selangor terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ijtimak Kepimpinan Pas Terengganu di bandar Chukai di sini, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan Siew Moi yang sepatutnya bersara tahun ini tetapi dilanjutkan tempoh persaraannya sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS untuk tempoh setahun bagi mengambil alih tugas Pengurus Besar PKNS sekarang, Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan ini.

Ekoran keputusan itu, enam persatuan kakitangan PKNS menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid dan mendesaknya menarik balik pelantikan Siew Moi itu kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan sosial dan ekonomi bumiputera.

Abdul Hadi berkata, Pas tidak boleh membuat sebarang pendirian berhubung keputusan yang dibuat oleh PKR di Selangor.

Menurutnya, pelantikan Siew Moi hanya sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS yang menjalankan tugas-tugas pengurus besar agensi itu.

“Jawatan Pengurus Besar itu masih belum sah dimiliki sepenuhnya oleh Siew Moi,'' jelasnya.
Beliau berkata, isu pelantikan orang bukan Melayu itu juga bukan merupakan perkara dasar pentadbiran di Selangor kerana ia hanya melibatkan sebuah organisasi."


Jelas sekali laporan atau berita di atas telah dimanipulasi dan berniat jahat. Saya menyokong penuh gesaan yang dibuat oleh Naib Presiden PAS Husam Musa hari ini supaya semua rakyat tidak percaya dengan apa juga berita dari Utusan Meloya terutama yang berkait dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Utusan Meloya mesti meminta maaf dan memohon ampun kepada Allah (Ketua Pengarangnya mesti mohon ampun) kerana berita ini sudah tentu akan memesongkan kenyataan sebenar Tuan Guru.

Saya juga mencadangkan supaya Tuan Guru mengambil tindakan mahkamah terhadap Utusan Meloya yang jelas tidak pernah serik dan insaf dalam membuat laporan dan menyiarkan berita.

HARGA BERAS TURUN : RAKYAT MASIH TERBEBAN ~ Ref Malaysiakini

Harga beras terkini :

Beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram.

Beras 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram.

Harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram.

Pada pandangan anda adakah harga beras ini munasabah dan sama dengan harga sebelum kenaikan harga minyak dahulu?

Dari angka di atas ternyata rakyat masih terbeban dengan harga yang masih tinggi. Semua ini gara-gara tindakan kerajaan BN yang tidak cerdik yang gagal mengawal harga beras sebelum ini.

KERAJAAN LEMAH DAN LEMBAP, GAGAL TANGANI HARGA BARANGAN MAHAL ~ Rej Malaysiakini

Perdana Menteri, Pak Lah Badawi berkata kerajaan memerlukan kerjasama rakyat dan persatuan pengguna dalam usaha memastikan peniaga menurunkan harga barang keperluan berikutan harga petrol dan diesel yang semakin rendah.

Beliau berkata, tindakan serta merta yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan memilih kedai menjual harga rendah untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka termasuk di pasar raya yang telah bersetuju menurunkan harga barangan.

Dalam hal ini ternyata kerajaan gagal memainkan peranannya sebagai pihak berkuasa sehingga menyerahkannya sendiri kepada rakyat untuk menangani isu harga barangan yang mahal.

Cadangan menyuruh rakyat membeli di kedai-kedai yang menjual barangan dengan harga murah memang tidak masuk akal kerana kebanyakan kedai menjual barangan dengan harga yang tinggi kerana mendapat bekalan dengan harga yang tinggi juga.

Rakyat sendiri tidak mempunyai keupayaan dan kuasa untuk membuat 'survey' kedai mana yang menjual barangan dengan murah. Malah kalau ada perbezaan harga pun cuma 5 sen dan 10 sen sahaja. Tidak berbaloi untuk rakyat menghabiskan masa membuat kajian dan 'survey'.

Amat malang bagi sebuah kerajaan yang sentiasa meletakkan beban kepada rakyat atas kesilapan dan kebodohan dalam mentadbir negara.

Bagi saya sebab utama harga barangan melambung adalah kerana kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak sehingga 78 sen Jun lalu. Oleh kerana itu pembekal dan peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga barang sehingga ke paras yang tidak masuk akal. Kini bila harga minyak turun ke pembekal dan peruncit tidak mahu menurunkan harga barang.

Maka kerajaan sebagai pihak berkuasa yang melakukan kesalahan menaikkan harga minyak Jun lalu mesti bertanggungjawab untuk mengambil apa juga tindakan agar harga barangan diturunkan.

Kerajaan mesti memikirkan mekanisme, akta dan undang-undang yang sesuai untuk menangani isu ini. Jika perlu mungkin undang-undang dan akta baru mesti digubal bagi menjaga kebajikan rakyat terbanyak.

Satu lagi cadangan nkerajaan yang tidak masuk akal ialah cadangan supaya membeli di pasas raya -pasar raya seperti Giant dan Tesco yang dilaporkan telah menurunkan harga barang. Bagi saya cadangan ini merupakan cadangan yang juga tidak masuk akal. Adakah kerajaan tidak sedar bahawa Giant dan Tesco hanya terdapat di bandar-bandar besar sahaja.

Saya ingin tanya Giant dan Tesco ada atau tidak di Hulu Tembeling, Kuala Berang, Lenggong, Sik dan lain-lain?
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter