.

.

20 August 2010

UMNO GAGAL DAN NAZAK : MASA UNTUK PAS GANTI UMNO

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30% ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini. Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera di negara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat.

PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.

Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.

PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.

PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti 30% yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion, sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.

PAS pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.

PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

MAKSIAT DI MANA-MANA DI MELAKA?

Media hari ini melaporkan bahawa penduduk di Pangsapuri Malim berasa terganggu apabila pelbagai masalah berlaku di kawasan berkenaan semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

Penduduk, Suhaidah Suliaman, 50, berkata, antara perkara membimbangkan termasuk gejala sosial yang boleh mendatangkan keburukan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, masalah gejala sosial perlu ditangani segera supaya ia tidak mencemarkan maruah penduduk.

Untuk pengetahuan semua bukan sahaja di Pangsapuri Malim tetapi banyak tempat maksiat berlaku di negeri Melaka ini khasnya di sekitar Bandaraya Melaka. Tempat-tempat maksiat seperti di Melaka Raya dan sebagainya tidak pernah diusahakan supaya ditutup.

Malah dalam keadaan maksiat dan perzinaan berleluasa sekarang ini kerajaan negeri tidak pernah membuat perancangan untuk menutup pusat-pusat maksiat dan membasmi program-program maksiat. Apa yang dicadangkan oleh kerajaan negeri ialah menubuhkan Sekolah Mengandung yang tiada kaitan dengan mencegah kemungkaran malah ianya dilihat seolah-olah menggalakkan kemungkaran kerana orang yang melakukan zina bila mengandung mempunyai tempat untuk mengadu.

Selagi kerajaan negeri tidak serius menjalankan program mencegah kemungkaran dan membasmi punca-punca maksiat selagi itulah maksiat akan berleluasa berlaku dan gejala zina, mengandung luar nikah dan buang bayi tidak akan dibendung.

Seperkara lagi yang wajib dilakukan ialah mengamalkan Hukum Islam yang jelas dijamin oleh Allah bahawa ianya berkat dan mampu mengatasi masalah manusia.

SIASAT ZAHID DAN GUAN ENG

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zahid Hamidi menuduh bahawa nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disebut di dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid,

Katanya, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar sini, Permatang Pauh dan Jelutong.

Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini.

Pada masa yang sama Lim Guan Eng menegaskan beliau tidak menahu tentang perkara itu. Samada ianya benar atau tidak perkara ini akan disiasat oleh Exco Agama Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malek Kassim.Bagi saya mudah sahaja, jika benar tuduhan Zahid dan ianya dibuktikan maka tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut berdasarkan undang-undang dan peruntukan yang ada.

TETAPI jika tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dan ianya jelas fitnah dan pembohongan maka Zahid Hamidi mesti disiasat dan diseret ke muka pengadilan kerana membuat fitnah dan tuduhan palsu. Pihak yang dituduh mesti membawa perkara ini ke muka pengadilan kerana kita tidak mahu perkara begini berulang kembali.

Lebih malang jika perkara ini suatu yang palsu dan fitnah kerana ianya melibatkan kesucian institusi masjid dan negara.

AL FATIHAH : SETIAUSAHA PAS CAWANGAN SERKAM MENINGGAL

Setiausaha PAS Cawangan Serkam, Cikgu Abdullah telah kembali ke rahmatullah jam 5.00 pagi tadi.

Ketua Lajnah Kebajikan Negeri, Hj Ismail memaklumkan kepada saya melalui sms sebentar tadi. Sungguh manis hari kematian Allahyarham pada Hari Jumaat bulan Ramadhan.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan roh para anbia, solihin dan syuhada. Al Fatihah.

RAMADHAN : MASUK HARI KE 10, CEPATNYA MASA BERLALU

Ramadhan hari ini telah masuk hari ke 10. Betapa cepatnya masa berlalu. Mari kita 'check' apa yang telah kita lakukan sepanjang 10 hari lalu.

1) Berapa surah Al-Qur'an yang telah kita baca?
2) Berapa banyak sedekah yang telah kita buat?
3) Berapa rakaat solat sunat yang telah kita dirikan?
4) Berapa banyak doa yang kita panjatkan kepada Allah?
5) Berapa kali kita bertaubat kepada Allah?
6) Berapa kali kita pohon kemaafan dari ibubapa kita?
7) Berapa kali kita pohon kemaafan dari anak isteri, saudara-mara, jiran dan lain-lain?
8) Dan sebagainya ................

19 August 2010

AWAS OPERASI LALANG EDISI 1MALAYSIA

Parti Islam Se-Malaysia PAS bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

PAS bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika Umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin Umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan.

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

PAS mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin Umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan Melayu malahan juga telah ditolak oleh orang Melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

MANA PERLEMBAGAAN BARU WAHAI MUFTI???

Parti Islam Se-Malaysia PAS terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. PAS mendesak supaya beliau mendedahkan kandungan Perlembagaan baru dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.

PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan. Malahan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19/12/2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk :

• Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

• Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153

• Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan

• Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum

Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama.

PAS berpandangan sekiranya Tan Sri Harussani Zakaria tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini. Sebagai seorang tokoh agama mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.

PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

GAJI POSMEN NAIK, RAKYAT KENA TANGGUNG?

Pagi ini saya menerima aduan dari seorang pengguna yang merungut kerana surat-surat yang dihantarnya baru-baru ini semuanya kena tendang kerana stem yang digunakan tidak cukup harga. Mungkin beliau tidak perasan yang harga stem sudah naik dan jika kita gunakan stem yang murah dari kos sebenarnya surat kita akan dihantar balik kepada kita. Kasihan beliau kerana terpaksa menanggung kerugian kerana surat-surat tersebut lewat sampai.

Pada bulan April lepas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim mengumumkan penyusunan semula tangga gaji dan elaun posmen serta kerani pos agar selaras dengan penjawat awam lain, berkuatkuasa Julai.Kenaikan gaji mereka serentak dengan kenaikan harga stem 30 sen kepada 60 sen. Kenaikan seratus peratus harga stem, cukup tinggi.

Saya tidak mahu menyentuh tentang isu stem tidak cukup harga. Apa yang hendak saya sentuh ialah tentang kerugian Pos Malaysia dan kenaikan gaji kakitangannya.

Naik gaji merupakan berita gembira kepada mereka dan keluarga mereka hatta kita pun sama-sama tumpang gembira. Persoalannya sekarang ialah apakah kenaikan gaji posmen ini hendak dibebankan kepada rakyat sehingga rakyat terpaksa membayar harga setem dengan lebih tinggi iaitu sekali ganda.

Syarikat kroni rugi, gaji kakitangan syarikat kroni naik, RAKYAT YANG KENA TANGGUNG BEBAN......INIKAH KERAJAAN YANG MENDAHULUKAN RAKYAT?????

KELANTAN MAHU LAHIRKAN SATU KELUARGA SATU HAFIZ, MELAKA NAK LAHIRKAN APA?

Kerajaan Kelantan berharap semoga dalam satu keluarga akan lahir seorang hafiz al-Quran dan dalam masa yang sama tokoh dalam bidang pentafsiran al-Quran juga dapat dilahirkan dalam masyarakat negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata, sehubungan itu kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayai pengurusan pendidikan dan pembelajaran sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Bagaimana pula dengan Kerajaan Negeri Melaka. Apa yang mereka mahu lahirkan dari setiap keluarga. Apa yang kita lihat kerajaan lebih suka mengadakan program-program berunsur hiburan dan keseronokan. Tidak pernah saya mendengar kerajaan negeri hendak menghapuskan tempat-tempat maksiat dan basmikan program maksiat.

Apa yang terkeluar dari mulut Ketua Menteri ialah untuk menubuhkan Sekolah Mengandung. Adakah kerajaan negeri ingin melahirkan satu keluarga satu anak yang .....@##@#???

PULAU PINANG PRIHATIN BERI BONUS, MELAKA BILA NAK BERI???

Semua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang akan menikmati bonus istimewa RM400 bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri, geran kewangan istimewa yang membabitkan perbelanjaan RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini.

Pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang.

BAGAIMANA DENGAN KAKITANGAN AWAM NEGERI MELAKA DAN NEGERI BN LAIN YANG DIKATAKAN KERAJAAN NEGERI YANG KAYA, BILA LAGI HENDAK BERI BONUS?????

UMNO LAKUKAN FITNAH DALAM BULAN PUASA

UMNO Selangor semalam meminta semua orang Melayu dan umat Islam di negeri tersebut supaya sedar akan matlamat sebenar pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menghapuskan hak orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, kesedaran di kalangan golongan itu amat penting bagi memastikan hak orang Melayu serta bumiputera lain termasuk Islam, terus dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, kewujudan 'perlembagaan baru' yang didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menunjukkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak berhasrat untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan menegakkan Islam di negara ini

Sesungguhnya kenyataan di atas merupakan fitnah besar yang dilemparkan kepada PR dan sewajibnya pimpinan PR mengambil tindakan mahkamah ke atas Abdul Shukor.

Semua rakyat seharusnya faham bahawa PR dalam Konvensyen pertama di Shah Alam tidak lama dahulu dengan jelas menyatakan bahawa HAK ORANG MELAYU DAN KEDUDUKAN AGAMA ISLAM di negara kita tidak akan terjejas dan tetap akan dipelihara jika PR mengambilalih pemerintahan Malaysia. Malah pimpinan PR komited mempertingkatkan lagi kedaulatan Islam dan orang Melayu jika PR memerintah kelak.

Sedangkan kita semua sedar bahawa Kedaulatan Melayu telah terhakis di bawah pemerintahan BN apabila imuniti Raja-Raja Melayu telah dikurangkan melalui pindaan perlembagaan negara di era 90-an. Selain itu kedaulatan Islam juga semakin terhakis apabila gejala murtad, maksiat semakin hari semakin membarah

Tohmahan bahawa ujudnya Perlembagaan Baru juga merupakan fitnah besar yang dilemparkan kepada PR kerana tidak perlembagaan ini tidak pernah ujud dan tidak pernah dibincangkan oleh pimpinan PR. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad semalam mencabar pihak yang mendakwa ujudnya perlembagaan baru supaya membuktikan dakwaan tersebut kepada umum. Jika bukti tersebut tidak dapat ditunjukkan maka jelaslah ianya satu fitnah besar yang dilakukan atas niat jahat pihak terbabit.

PENGACAU KEPADA CERAMAH UJUD SEJAK ZAMAN NABI

Saya menghadiri kuliah seorang Ustaz baru-baru ini. Antara perkara menarik yang diceritakan oleh Ustaz tersebut ialah ujudnya pengacau yang diupah oleh Penguasa Kafir Quraisy untuk menganggu ceramah Nabi Mohammad S.A.W. Pengacau ini akan mengacau ceramah Nabi walau di mana Nabi berceramah.

Pengacau ini akan mengadakan 'ceramah' atau persembahannya di sebelah ceramah Nabi. Nama penyair dan penglipurlara iaitu ialah Nadr bin Harith yang didatangkan khas dari Toif.

Penglipurlara ini adalah seorang yang hebat yang mampu mereka cerita-cerita dongeng bagi menarik orang-orang Quraisy supaya tidak hadir pada ceramah-ceramah Nabi. Pada peringkat awalnya memang ramai yang hadir mendengar cerita-cerita dongeng Penglipurlara ini. Sehingga orang datang mendengar ceramah Nabi agak kurang.

Namun lama kelamaan orang-orang Quraisy mula sedar bahawa cerita-cerita Penglipurlara ini adalah bohong dan dongeng semata-mata. Akhirnya mereka tidak lagi mahu mendengar cerita-cerita dongeng tersebut dan kembali menyertai ceramah-ceramah Nabi.

Saya teringat kisah mutakhir ini di mana ada pihak-pihak yang menganggu ceramah-ceramah PAS. Di mana ada ceramah PAS di situ mereka mengadakan program mereka bagi menganggu ceramah PAS. Macam-macam program mereka aturkan antaranya menonton Piala Dunia, Makan Durian, Program bersama rakyat, program penyerahan bendera dan sebagainya.

Penglipurlara dalam program mereka hari ini bukan lagi Nadr bin Harith tetapi terdiri dari pembesar-pembesar ada di tempat kita sekarang. Maknanya cerita mengacau ceramah ini sudah ujud sejak zaman Nabi lagi cuma penglipurlara sahaja yang baru. Skripnya sama cuma pelakon dan pengarah sahaja yang bersilih ganti.

Saya mendoakan supaya mereka ini diberikan petunjuk oleh Allah supaya tidak busuk hati dan bersikap professional. Jangan kita mewarisi perangai orang-orang yang pernah memusuhi Nabi.

Semoga Ramadhan ini menginsafkan kita semua dan mendapat petunjuk dari Allah. Seperti kata seorang Ustaz semasa saya menghadiri tazkirah tarawikh malam tadi, Celakalah seseorang Islam itu jika ia tidak menjadikan Ramadhan sebagai madrasah untuk mendidik jiwa masing-masing. Celakalah seseorang itu jika selepas Ramadhan ini tiada perubahan dalam diri kita.

18 August 2010

SIASAT SOI LEK DAN MUHYIDDIN

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meminta pihak polis menyiasat Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung kenyataannya berhubung ekuiti bumiputera yang didakwanya "berbaur hasutan" dan "tidak mengambil kira sensitiviti bumiputera".

Dalam laporan polis oleh setiausahanya, Syed Hassan Syed Ali, NGO Melayu itu mendakwa kenyataan Dr Chua dalam Kongres Ekonomi Cina pada 14 Ogos lalu tidak bertanggungjawab dan bertujuan memecahbelahkan keharmonian kaum.

Bagi saya bukan Soi Lek seorang sahaja yang perlu disiasat tetapi Muhyiddin Yassin juga mesti disiasat kerana kenyataannya Muhyiddin sebelum ini menyebabkan Soi Lek tidak puashati dan mengeluarkan kenyataan balas.

Selain itu saya juga mencadangkan supaya kedua-dua pemimpin BN ini iaitu Soi Lek dan Muhyiddin disiasat kerana cuba mengeruhkan suasana dan memainkan api perkauman yang merbahayakan keharmonian rakyat Malaysia.

Walaupun mungkin kedua-dua pemimpin BN ini sengaja 'berlakon' memainkan perasaan kaum masing-masing bagi meraih sokongan tetapi perbuatan ini adalah merbahaya dan tidak patut dibiarkan. Pihak berkuasa jangan memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang demi keharmonian rakyat dan negara.

Komen Timbalan Presiden PAS.

Saya memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN,” kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar).

Amaran itu dibuat ekoran resolusi Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menggesa kerajaan untuk mengurangkan ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi baru-baru ini dilihat tidak matang dan tidak wajar.

Malah, katanya tindakan MCA yang menyokong dan memastikan resolusi tersebut diteruskan membuktikan mereka memperjuangkan politik perkauman yang sempit.

Menurutnya, apa yang diperjuangkan oleh MCA jelas menunjukkan bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional gagal mendapat konsensus yang mantap untuk memerintah negara setelah berlaku penafian 2/3 kuasa majoriti di Dewan Rakyat pada 8 Mac 2008 yang lalu.

Manakala Pakatan Rakyat pula, ujarnya telah sama-sama bersetuju untuk berpegang teguh dengan Dasar Pakatan Rakyat yang telah ditandatangani oleh PAS, PKR dan DAP pada bulan Disember 2009 yang lalu.

Berdasarkan dasar tersebut, beliau berkata Pakatan Rakyat akan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153.

“Ini membuktikan bahawa PAS, PKR dan DAP tetap akan mempertahankan perkara ini bila menerajui kerajaan nanti,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sebaliknya, dalam konteks hari ini, beliau memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN sehingga ia telah menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia.

BUKA PUASA DAN CERAMAH BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN 5 SEPT

Blog PAS Kawasan Bukit Katil melaporkan bahawa PAS Kawasan akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa pada 5 Sept bermula jam 7.00 malam. Program itu akan diadakan di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil.

Menurut blog tersebut para tetamu dijemput untuk menjamu selera sambil berderma dengan membeli kad-kad berharga RM10.00. Ianya boleh didapati di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil atau menelefon 013 - 2186886.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa selepas majlis berbuka puasa tersebut program ceramah Badar Al-Qubra akan diadakan di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil bermula jam 10.00 malam selepas solat tarawikh.

MCA : MARI 'JOIN' PAKATAN RAKYAT

Saya yakin MCA sudah nampak dan sedar sejak dari dahulu siapa sebenarnya Umno dan pemimpin Umno. MCA pasti mengenali Umno dari luar dan dalam. Parti-parti di luar BN mungkin kenal Umno dan pemimpinnya dari luar sahaja namun bagi MCA saya yakin mereka cukup mengenali Umno dengan mendalam.

Jika benar Soi Lek tidak setuju dan tahu permainan politik Umno apa lagi yang Soi Lek harus tunggu. Tinggalkan sahaja Umno dan BN, mari sama-sama kita perkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) bagi menumbangkan Umno dan BN. Kita bina kerajaan PR yang baru dengan nafas dan sistem baru.

Mari kita ujudkan sebuah negara Malaysia baru bukannya sebuah negara stail lama yang penuh dengan semangat perkauman sempit yang gagal menyatupadukan rakyat. Mari kita bina sebuah yang adil dan berkebajikan yang bukan sahaja memberikan kekayaan kepada kroni dan kuncu-kuncu tetapi memberi kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat.

Mari kita hapuskan sebuah sistem korup, zalim, tidak adil, tidak telus, menekan rakyat dan sebagainya yang dibina oleh Umno BN sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya.

Apa lagi yang hendak tunggu jika terbukti pekung dan kudis Umno telah diketahui. Apa lagi yang hendak dinanti jika kanser Umno yang membarah itu mustahil untuk diubati.

Mari sama-sama kita berganding bahu di dalam PR untuk kita tumbangkan kerajaan Umno BN pada Pilihanraya akan datang.

KERAJAAN NAZAK AKAN BERTINDAK KERAS KEPADA RAKYAT

Sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan yang tidak berupaya untuk berdepan dengan rakyat melalui hujah dan fakta akan menggunakan kuasa dan kekerasan untuk mempertahankan kuasa mereka.

Banyak kerajaan melakukan skrip yang sama bila rakyat bangkit mempersoalkan kezaliman, ketidakadilan, ketidaktelusan dan sebagainya yang dilakukan oleh kerajaan.

Sesebuah kerajaan yang zalim dan tidak adil serta korup malah buruk dalam segala segi sudah tentu tidak mempunyai hujah untuk menjawab isu yang disuarakan rakyat.

Itulah yang berlaku kepada BN pada hari ini yang menggunakan kekuasaan yang mereka ada untuk menghalang program-program PR seperti ceramah,dialog, jamuan dan sebagainya.

Kerajaan Shah Iran, Marcos dan sebagainya menggunakan kekerasan untuk menghalang kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang adil, demokratik dan telus.

Akhirnya rakyat bangkit secara aman dan berjaya menukar kerajaan tersebut.
Sejak akhir-akhir ini ceramah dihalang dan diganggu atas alasan tiada permit sedangkan ianya diadakan dalam premis persendirian.

Walaupun sudah banyak kes mahkamah memihak kepada penganjur ceramah tetapi pihak berkuasa terus juga melakukan gangguan dan menyekat ceramah seumpama itu. Di kawasan Bukit Katil, pihak berkuasa menghalang satu ceramah anjuran PAS Kawasan 3 Ogos lalu di Bukit Beruang. Ceramah hanya boleh dijalankan di dalam markas dan pembesar suara tidak dibenarkan dipasang di luar. Malangnya Umno dibenarkan pula berceramah secara terbuka di kawasan rumah penyokongnya.

Saya mengharapkan pihak berkuasa bersikap professional semasa menjalankan tugas bukannya bertindak sesuka hati tanpa berpegang kepada undang-undang yang ada serta budi bicara yang ikhlas. Rakyat bukannya ingin berlawan dengan sesiapa, apa yang rakyat mahukan ialah keadilan dan ketelusan serta kesejahteraan. Hanya kerajaan dan pihak berkuasa yang tidak bertamadun sahaja yang sanggup menentang rakyat sendiri dengan kuasa yang ada pada mereka.

ISYTIHAR HARTA : RAMADHAN SESUAI UNTUK YAKINKAN RAKYAT

Bulan Ramadhan adalah bulan mulia, bulan untuk kita membersihkan diri kita kerana bulan ini bulan rahmat di mana Allah membukakan seluas-luasnya pintu syurga. Oleh itu saya mengharapkan Ketua Menteri, Exco dan semua ADUN termasuk ADUN PR Melaka mengisytiharkan harta masing-masing bagi memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pimpinan BN dan PR di negeri ini bersih dan telus.

Selagi perkara ini tidak dilakukan, rakyat akan terus syak wasangkan kepada KM, Exco dan semua wakil rakyat negeri Melaka.

Terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang ditujukan khasnya kepada Ketua Menteri, Exco dan ADUN BN yang antara lain menyatakan Ketua Menteri, Exco dan ADUN BN mengumpul kekayaan dan harta yang tidak setimpal dengan pendapatan dan elaun mereka. Bagi menutup mulut pihak yang menuduh Ketua Menteri dan Exco kerajaan menteri Melaka, mereka mesti berani mengisytiharkan harta masing-masing kerana dengan cara inilah sahaja rakyat dapat diyakinkan bahawa semua itu adalah palsu. Apa yang hendak ditakutkan oleh pimpinan kerajaan negeri kalau mereka benar-benar bersih.

Oleh kerana itu saya amat berharap kepimpinan kerajaan dan ADUN-ADUN negeri ini dapat mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat bagi membersihkan nama mereka.

Pengisytiharan ini mestilah merangkumi harta isteri dan anak-anak mereka. Ianya boleh dilakukan di dalam DUN Melaka dan disiarkan di dalam media bagi membolehkan semua rakyat mengetahui fakta sebenar tentang harta mereka.

Sebelum ini saya merasa kesal dengan tindakan DUN Melaka menolak usul ADUN PR yang meminta DUN Melaka membahaskan usul untuk supaya Ketua Menteri, Exco dan ADUN mengisytiharkan harta masing-masing.

Penolakan ini menyebabkan rakyat semakin sangsi dengan ketelusan mereka. Apa yang hendak mereka takutkan jika benar mereka bersih dan telus.

GEJALA BUANG BAYI SELESAI DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Beberapa hari lalu media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku di negara kita.

Mac lalu media melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah di daftarkan pada tahun 2009. Saya yakin bayi yang dibuang itu adalah anak luar nikah.

Apa maknanya kedua-dua fakta di atas.? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari.

Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah 'Problem Solving', sebelum kita membuat 'Correctieve Action' atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.

Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah :-

1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.

2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.

3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibubapa serta undang-undang.

4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.

5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undangNya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.

6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlaq kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.

7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.

8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.

Tidak lama dahulu radio Ikim.FM ada membuat tinjauan rambang melalui feedback pendengarnya melalui telefon. Hampir 100 % pendengar mahukan undang-undang Islam di tegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini.

Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.

1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR Insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; Program Amar Makhruf dan Nahi Mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.

2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.

3) Dan lain-lain.

BAGI SAYA SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.

17 August 2010

MCA DAN UMNO BERLAKON LAGI?

Presiden MCA, Chua Soi Lek mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keadaan sosio-ekonomi Malaysia telah berubah dan sehubungan itu, tidak perlu baginya mengungkit lagi pertumpah berdarah 13 Mei 1969.

Dalam kenyataan hari ini, Chua melahirkan rasa kecewa dengan amaran Muhyiddin semalam yang mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Keadaan sosio-ekonomi Malaysia hari ini adalah jauh berbeza daripada 1969 di mana rakyat Malaysia kini mampu mengadakan perbincangan rasional tanpa perlu memalu gendang perang perkauman" kata Soi Lek.

Bagi saya pertelagahan ini tidak lebih hanya strategik MCA dan Umno yang cuba mengabui kaum masing-masing. MCA kononnya mahu menonjolkan diri menjadi jaguh bagi masyarakat Cina sehingga dilihat berani menyanggah pimpinan UMno yang juga pimpinan BN. Umno pula berlakon dengan kononnya memperlihatkan ketegasan mereka dalam isu-isu sebegini. Dengan ketegasan dan keberanian ini MCA mengharapkan orang Cina kembali menyokong MCA manakala orang Melayu pula akan bersatu di bawah Umno kononnya untuk mempertahankan Melayu.

Inilah taktik yang sudah lama digunakan MCA dan Umno dalam rangka meraihkan sokongan dari kaum masing-masing. Akhirnya dengan sokongan kedua-dua kaum itu kepada Umno dan MCA maka BN akan menang besar.

Hakikat ini mesti ditangani segera oleh pimpinan PR supaya rakyat dari kaum Cina dan Melayu tidak ditipu oleh MCA dan Umno khasnya pada setiap kali menjelang Pilihanraya Umum.

MANA SATU PILIHAN KALBU : YANG TUTUP SAR ATAU YANG BAGI BANTUAN KEPADA SAR

Ingatkah tuan-puan kepada kejadian tragis beberapa tahun dahulu apabila sebuah kerajaan yang diterajui oleh insan yang mengaku Islam dan bernama Islam memghentikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat. Tindakan kejam itu menyebabkan banyak sekolah agama rakyat (SAR) ditutup atau kalaupun hidup hanya nyawa-nyawa ikan, hidup dengan penuh kedhaifan dan kesengsaraan.

Kekejaman itulah yang menyebabkan ramai murid-murid yang dahaga untuk menimba ilmu Islam akhirnya terpaksa beralih arah kerana banyak SAR yang tidak dapat beroperasi dengan baik akibat kekurangan dana untuk membiayai kos operasi.

Sehingga kini kekejaman itu diteruskan oleh kerajaan pusat apabila bantuan perkapita kepada SAR tidak dipulihkan.

Tetapi di Selangor SAR amat bertuah kerana kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan PR memperuntukkan RM6 juta untuk sekolah agama rakyat pada tahun ini. Sehingga kini kerajaan negeri telah meluluskan RM2.666 juta untuk bantuan kepada SAR di negeri Selangor.

Kalau dahulu kerajaan BN menghentikan bantuan kini kerajaan PR memberikan bantuan kepada SAR. Jadi YANG MANA SATU PILIHAN KALBU BN ATAU PR?????

RUMAH TANGGA KUCAR KACIR, ADA HATI NAK KAHWIN SATU LAGI

Mesyuarat Agong Umno Bahagian Sg Petani kecoh dan huru hara; masalah Umno Bahagian Rantau Panjang terus membarah; Pimpinan Umno Cawangan di Bukit Bendera ugut hendak lompat parti dan macam-macam lagi kerenah dan masalah dalam Umno sekarang.

Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussein sendiri mengakui bahawa ujudnya pergaduhan dan pergeseran di dalam Umno. Beliau secara terbuka meminta pemimpin Umno supaya berhenti berkelahi sesama sendiri kerana rakyat sudah bosan dengan kerenah mereka.

Hishamuddin berkata demikian ketika diminta mengulas masalah yang berlaku di beberapa bahagian Umno, termasuk di Setiu, Terengganu.

Di peringkat atasan Umno juga berlaku masalah cuma ianya tidak digembar-gemburkan. Maka terbukti Umno penuh dengan masalah rumahtangga yang gagal diselesaikan.

Tetapi pada masa yang sama dengan muka yang tidak malu Umno cuba mengajak PAS untuk bersatu atau 'berkahwin'. Ianya umpama suami yang gagal mentadbir rumahtangga dengan baik tetapi ada hati kahwin seorang lagi (berpoligami). Memang dasar muka tak malu.

Bagi saya, Umno tak perlu bersusah payah ajak orang lain berpadu dan bersatu selesaikan rumahtangga Umno dahulu sebelum mengajak orang lain bersatu. Tunjukkan contoh yang Umno sentiasa bersatu selepas itu baru ajak orang lain bersatu.

16 August 2010

Pemimpin BN Kena Terima Nasihat Koh Tsu Koon

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyambut baik cadangan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menasihati parti politik supaya membuang budaya politik negatif dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni. Beliau dengan ikhlas menyatakan perkara ini terjadi terutama selepas PRU 2008, di mana politik dendam antara satu sama lain

PAS mengharapkan supaya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa idea ini ke Majlis Tertinggi Barisan Nasional supaya anggota komponan BN pandai menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang telah memilih parti-parti yang bertanding. Adat perlawanan ada pihak kalah, dan pihak menang. Hormatlah semangat federalisme yang telah diterima pakai di negara ini. Buanglah sifat tidak menghormati undang-undang dan perjanjian seperti hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

PAS menasihatkan supaya Umno dan BN belajarlah menjadi pembangkang yang baik, seperti yang PAS alami. Pemimpin BN perlu belajar daripada PAS dalam sepak terajang politik. PAS pernah bersama dengan kerajaan di peringkat pusat pada tahun 1970, sehingga ditendang keluar daripada BN. PAS pernah memerintah di Kelantan, kemudian kalah, setelah memerintah 18 tahun sejak 1959. Berkat kesabaran maka rakyat memberi kepercayaan kembali pada tahun 1990 hingga kini. Pas pernah menang di Terengganu 1959 kemudian jatuh melalui undi tidak percaya 1961, kemudian menang 1999 dan kalah 2004. Inilah roda putaran perjuangan PAS dalam sebuah negara demokrasi. Walaupun PAS sedar perjalanan demokrasi yang penuh tempang namun PAS tetap menyuburkan demokrasi, kerana ini adalah satu jalan untuk PAS merealisasikan cita-cita perjuangan PAS. Malangnya sikap ini tidak ada kepada Umno/BN, yang tidak sabar dan tidak tahu menjadi pembangkanag. Pemimpin BN kena sedar bahawa sebuah kerajaan ada ajal, terimalah hakikat ini. Perjuangan seperti roda , ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah.

PAS mengharapkan nota peringatan yang diberikan oleh Presiden Gerakan akan memberikan satu sinar baru dalam politik Malaysia. Biarlah tunjuk kematangan berpolitik setelah negara hendak menyambut kemerdekaan kali ke 53. Janganlah berpolitik seperti negara baru mengenal tamadun dan kemajuan.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PETUGAS PAS DIANCAM PENGERUSI JKKK DI PANTAI KUNDOR

Sekumpulan petugas PAS yang membuat kunjungan hormat ke rumah penduduk di DUN Pantai Kundor semalam diancam dan diugut oleh seorang yang mendakwa sebagai Pengerusi JKKK.

Kejadian tersebut berlaku di hadapan sebuat surau di seberang jalan bertentangan dengan Everly Hotel Ketika 4 orang petugas PAS sedang berehat selepas berbual dengan penduduk setempat di surau tersebut, mereka didatangi oleh seseorang yang tidak dikenali yang mengaku sebagai Pengerusi JKKK kampong tersebut.

“Dengan angkuh dan sombong beliau menyuruh kami balik ke Ayer Molek dan jangan kacau kampong dia”.

“Kami tidak membuat kacau atau menganggu penduduk kami hanya berbincang dan mengambil rekod nama-nama pengundi di kawasan tersebut, adakah ianya salah” tanya Haji Ismail Ahmad, Setiausaha MTD Ayer Molek yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil.

Haji Ismail berkata lelaki tersebut meminta mereka pulang dan menegaskan bahawa jika mereka enggan beliau tidak teragak-agak menggunakan kekerasan.

“Lelaki itu berkata tangan saya dan menggigil ni, saya boleh buat apa sahaja, tangan saya dah menggigil ini” kata Hj Yassim menceritakan tindakan lelaki tersebut.

“Kami bukannya buat kacau dan menganggu ketenteraman penduduk, kami datang dengan niat yang baik untuk bertukar-tukar pandangan, malah tidak ada seorang pun penduduk yang marah atau menghalau kami” tegas Haji Yassim yang juga merupakan Pengarah MTD Ayer Molek.

Program Turun Padang anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri tersebut adalah julung kali diadakan selepas PRU 12 lalu. Ianya mendapat sambutan yang baik di mana lebih dari 100 petugas seluruh negeri hadir di DUN Pantai Kundor.

15 August 2010

TRAGEDI BAZAR RAMADHAN DI JASIN, PERINGATAN UNTUK KITA SEMUA

Setiap perkara yang terjadi sudah tentu ada sebab musababnya. Sirah Rasul dan Nabi dahulu menceritakan kepada kita bagaimana umat Nabi Lut dibalakan oleh Allah dengan gempa bumi yang dahsyat manakala umat Nabi Nuh A.S diuji dengan bah besar sehingga tiada tempat untuk menyelamatkan diri.

Sebab itulah kita sebagai hamba mesti mengambil peringatan dan pengajaran dari setiap yang berlaku di atas dunia ini.

Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik apa yang berlaku di Jasin, tetapi dari pengamatan saya bazar Ramadhan di mana sahaja banyak perkara yang meragukan kita semua.

Bayangkan betapa awalnya para peniaga ini memulakan perniagaan. Ada antara mereka yang mula menjual air, nasi, nasi ayam, kuih dan sebagainya seawal jam 12 tengahari atau sebelum masuk waktu zohor. Persoalannya adakah benar pembeli-pembeli tersebut menyimpan makanan yang dibeli untuk juadah berbuka puasa 7 atau 8 jam kemudian atau adakah mereka 'berbuka awal' itu yang memusykilkan kita semua.

Kita bimbang peniaga dan pembeli bersekongkol untuk menyanggah kewajipan berpuasa sehingga 'mencabar' Allah kerana terang-terang mencemarkan kesucian Islam dan Ramadhan.

Saya berdoa agar semua pembeli yang membeli juadah seawal jam 12.00 tgh atau 1.00 petang memang menyimpan makanan untuk berbuka puasa pada waktu maghrib bukannya waktu zohor.

Mari sama-sama kita mengambil pengajaran kepada apa yang berlaku di Jasin. Salam takziah kepada keluarga 3 sahabat kita yang meninggal pada tragedi ribut Bazar Ramadhan Stadium Jasin. Al Fatihah.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter