15 September 2018

BAHAYANYA SI PENGAMPU

Sekarang terdengar cakap-cakap bahawa para pembesar Umno - dengan diketuai presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - terhegeh-hegeh mencari rakan baru setelah ditendang keluar oleh rakyat jelata pada 9 Mei lalu.
Jadi menang betullah cerita yang tersebar di media tradisional dan media sosial mengenai saki-baki Umno akan bergabung dengan parti-parti lain dalam usaha untuk kembali berkuasa.
Secara tidak rasmi ia telah pun mula bekerjasama dengan PAS. Tapi ini nampaknya tidak memuaskan mereka kerana PAS juga di pihak yang kalah.
Perkongsian mereka tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan campuran di peringkat pusat dan telah ditolak dalam beberapa pilihan raya kecil.
Setelah empat bulan menjadi pembangkang, Umno mendapati keadaan itu tidak tertanggung olehnya.
Ini adalah kerana Umno terlalu biasa dengan kuasa dan duit, khususnya pada zaman “cash is king”. Tanpa kuasa dan wang Umno mendapati sukar untuk mereka hidup.
PAS pun tidak ada kuasa dan tidak ada duit. Malah khabarnya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Umno dan PAS hendak bayar gaji kakitangan awam mereka pun tidak mampu kalau tidak dibantu oleh kerajaan pusat.
Bagai anak ayam tiada ibu
Inilah bahana pemimpin yang tidak mendengar kata dan terlalu yakin kepada bisikan-bisikan palsu penjilat serta pengampu. Kerana dedak, mulut jadi bisu, mata jadi buta dan telinga jadi pekak.
Kalaulah tiga, empat tahun lalu Umno mendengar cakap sebahagian anggotanya sendiri dan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak, rasanya nasib parti itu tidak seburuk sekarang.
Malah ada pemerhati dan penganalisis politik berpendapat kalau menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu Najib mengundurkan diri, BN tidak akan kalah dan Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya boleh berpuas hati menjadi pembangkang.
Tetapi ini cara Allah SWT menyelamatkan negara kita iaitu dengan tidak membuka hati Najib untuk berundur, dan tidak memberi kejantanan kepada para pembesar Umno untuk menyuruh beliau berundur.
Dengan kekalahan Umno/BN maka terdedahlah kerosakan dahsyat yang Najib serta konco-konco dan konspirator beliau lakukan ke atas ekonomi dan institusi negara.
Kalau ditakdirkan BN menang lagi, segala kejahatan dan kerosakan itu akan berterusan tersembunyi daripada pengetahuan umum.
Hutang negara terus menggunung dan secara sistematik Malaysia akan tergadai kepada kuasa-kuasa asing.
Sekarang Umno umpama anak ayam kehilangan ibu – kesejukan, kelaparan dan ketakutan. Ke sana sini mencari tempat berlindung.
Baru-baru ini beberapa orang ketua mereka – termasuk Ahmad Zahid – menemui Tun Dr Mahathir Mohamad atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk “berbincang”.
Khabarnya, mereka tidak lagi bercakap mengenai Umno tetapi Pekembar. Pekembar adalah singkatan kepada nama bahasa Melayu bagi Umno iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Lebih ramai dijangka ke mahkamah
Konon ceritanya, mereka mahu meninjau kemungkinan menggabungkan Pekembar dengan BERSATU menjadi Pekembar Bersatu. Melaluinya mereka berharap dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan HARAPAN.
Itu ceritalah! Masuk akal. Tapi masakan BERSATU yang sudah pun menganggotai HARAPAN mahu atau boleh bergabung dengan Umno/Pekembar.
BERSATU tentulah faham muslihat Umno itu. Ia mungkin cara Umno memecah-belahkan HARAPAN dengan maksud ia akan kembali berkuasa.
Pendirian BERSATU jelas - anggota Umno dialu-alukan menyertai parti tetapi mereka hendaklah menyertainya sebagai individu dan anggota biasa. Mereka tidak boleh masuk berkumpulan sebagai cawangan atau bahagian.
Mereka masuk sebagai anggota biasa dan kalau bercita-cita hendak memimpin, perlulah melakukannya dalam kerangka BERSATU.
Majoriti anggota Umno dialu-alukan. Tetapi tentulah ada segelintir yang tidak akan diterima kerana imej mereka yang buruk dan amalan mereka yang menyalahi undang-undang.
Ini mengingatkan saya kepada makluman perdana menteri semalam bahawa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) kini semakin cergas menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kes berkaitan skandal 1MDB.
Perkembangan ini sangat melegakan kerana sebelum ini terdengar cakap-cakap bahawa tiga agensi penting terbabit terlalu perlahan bertindak, selain bertelingkah antara satu sama lain.
Keadaan berubah setelah ketiga-tiga mereka dipanggil serentak menemui perdana menteri baru-baru ini.

Tidak syak lagi perkembangan yang menggembirakan ini akan berkesudahan dengan lebih ramai ketua-ketua Umno era Najib mengekori bos mereka ke muka pengadilan.
Jadi secara tidak langsung proses pembersihan Umno sedang berlaku dan ini akan memudahkan kita membezakan di antara permata dan kaca dalam pertubuhan itu.
Yang bersih atau yang tidak terlalu teruk kesalahan dan kesilapan mereka bolehlah diterima masuk ke BERSATU atau sebagai sekutu HARAPAN dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri.
Kemasukan mereka - sama ada secara langsung atau sebagai sekutu - boleh membantu kerajaan mendedahkan dan mengatasi pelbagai skandal dan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Tulisan : A.Kadir Jasin - Mkini.

PAS-UMNO : DULU FITNAH SEKARANG KENYATAAN

Dahulu dikata fitnah dan tuduhan tanpa asas bila kita kata PAS dan Umno 'nak kahwin'. Macam-macam tuduhan dan cacian dilemparkan kepada kita oleh pimpinan PAS dan ahli-ahli PAS. Di kalangan ahli mereka pula menyatakan takkan PAS dan berkawan dengan Umno yang 'taghut', munafik, fasik dan sebagainya (tuduhan dan labelan dulu kepada Umno). Kami percaya pimpinan kami.

Kini sudah terbukti dan terpampang di hadapan mata. Naik berbulu mata kita melihat 'sucinya' pimpinan Umno hari ini yang beratur panjang memasuki dewan muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Berpeluk cium dan berlaga pipi antara 2 parti suci ini. Tidak lagi ada 'najis' dan 'dosa' antara mereka. Bertepuk tampar dan bercubit-cubitan umpama pengantin baru yang semuanya manis dan harum belaka.

Akhirnya ahli PAS tertipu dan ditipu oleh pimpinan mereka. Mereka menyatakan tidak boleh berkawan dengan DAP kerana DAP tentang hudud apa pula kurangnya MCA, MIC yang lebih kuat menentang hudud...............kita harap ahli PAS sedar dan ramai-ramai menyertai AMANAH dan PH untuk membina Malaysia Baharu.

PAS & PEMBANGKANG TAK WAJAR LETAK CALON

PAS tidak wajar meletakkan calon pada PRK Port Dickson yang akan berlangsung tidak lama lagi ini. Ini kerana ada beberapa sebab :

1) Pemimpin PAS baru-baru ini menyatakan bahawa PRK ini membazirkan duit rakyat. Oleh kerana itu untuk mengelakkan pembaziran duit rakyat maka PAS dan pembangkang mestilah tidak meletakkan calon bagi memberikan kemenangan percuma kepada PH dan Anwar.

2) Adalah terlalu sukar untuk PAS dan pembangkang menang pada PRK ini sebagaimana yang berlaku kepada 3 PRK yang berlangsung baru-baru ini iaitu Sg Kandis, Balakong dan Seri Setia di mana PH menang besar kesemuanya. Jadi lebih baik PAS dan pembangkang lain memberikan kemenangan percuma kepada PH bagi mengelakkan pembaziran masa dan wang.

3) Hasrat dan cita-cita PH untuk memberikan peluang kepada Anwar memasuki parlimen dan kemudian memasuki kabinet sudah termaktub dalam manifesto PH RU14 yang lalu dan rakyat menerimanya sebab itu majoriti rakyat mengundi PH dan mengangkat PH menjadi kerajaan. Jadi sudah tentu 'PD Move' ini diterima oleh rakyat.

Hari ini media melaporkan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang menyatakan kesanggupan PAS meletakkan calon bagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson jika tiada parti lain bersedia berbuat demikian. 
Menurutnya, PAS berpendirian Anwar tidak wajar diberi kemenangan percuma pada PRK berkenaan dan pada masa sama mahu meraikan demokrasi di negara ini.
Justeru kata presiden PAS itu partinya sanggup menurunkan calon di kerusi parlimen yang dimenangi PKR itu sejak tiga penggal lalu.
"PAS tak mahu bagi menang percuma, kalau tak ada orang bertanding PAS boleh bertanding," katanya kepada media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan media mengenai kesediaan PAS sekiranya parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di PRK Port Dickson.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter