29 October 2017

UMNO TERSENTAK DI PENDANG 6,000 SERTAI BERSATU

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyediakan pelbagai habuan dan gula-gula pilihan raya untuk memancing sokongan pengundi, ia tidak sedikit pun menggugat sokongan kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah.
Malah sokongan yang begitu memberangsangkan terbukti apabila 90 peratus daripada 6,700 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pendang, terdiri daripada mereka yang telah keluar Umno.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Armada Bahagian Pendang, Mohd Fauzi Ismail.Penyertaan yang begitu ramai ini memberi satu tamparan hebat kepada Umno dan BN di Pendang yang sering mendabik dada bahawa mereka masih diterima oleh ahli Umno di kawasan parlimen tersebut.
Menurut beliau lagi, daripada jumlah tersebut 60 peratus adalah mereka yang berada di bawah usia 50 tahun serta merupakan golongan muda.
Manakala 40 peratus lagi adalah mereka yang tergolong dalam usia lebih 50 tahun.
“Sokongan sehingga mencecah lebih 6,000 ahli ini adalah bukti bahawa Umno semakin tempang di Pendang.
“Mereka sudah tidak mampu untuk menyekat ramai ahli Umno untuk meninggalkan parti lama tersebut.
“Sekali gus ini memberi kekuatan kepada PH untuk menerobos kubu Umno dan merampas kerusi tersebut dalam pilihan raya umum akan datang,” jelasnya lagi.
Manakala itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan yang turut hadir dalam program ziarah tokoh tempatan serta pembentukan jawatankuasa jentera pilihan raya PDM Pulai kelmarin berkata, kerjasama erat antara AMANAH dan Bersatu dalam membawa semangat PH begitu utuh.
“Semangat PH yang ditunjukkan di Pendang pada kali ini memberi isyarat jelas kepada rakyat akan kemampuan PH untuk mengambil alih kepimpinan Negeri Kedah dan juga Putrajaya.
“PH bertekad untuk menyelamatkan rakyat daripada gula-gula politik Umno dan BN yang senantiasa memperdayakan rakyat.
“Sedangkan krisis ekonomi dan kos sara hidup terus meningkat sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan derita dalam diam,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, penduduk tempat khususnya di Pendang amat kecewa dengan janji-janji Umno dan BN khususnya mengenai pembinaan Hospital Pendang yang telah berlarutan sejak 15 tahun yang lalu.
“Bukan sahaja papan tanda telah usang, sebaliknya bisik-bisik mengenai projek RM220 juta tersebut terus menyepi dan senyap begitu sahaja.
“Janji ini telah ditaburkan sejak 15 tahun lalu, namun sehingga kini masih lagi menjadi igauan penduduk Pendang yang tidak kesampaian.
“Oleh kerana itu rakyat Pendang harus melihat kembali sokongan mereka kepada BN kali ini agar tidak menjadi mangsa untuk kali keempat dalam mengharapkan sebuah hospital yang dijanjikan tetapi tidak terlaksana oleh kerajaan sedia ada,” tambahnya lagi.
JELAS SEKALI BAWAHAN SEMAKIN SEDAR TIPU HELAH UMNO. SEMAKIN RAMAI RAKYAT AKAN BERSAMA PH BAGI MENUMBANGKAN PADA PRU 14 NANTI.

BAJET 2018 : UMPAMA MORFIN UBAT TAHAN SAKIT

Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najb Tun Razak pada Jumaat lepas tidak dapat menyelesaikan isu sebenar kesengsaraan rakyat.

Banyak insentif yang diumumkan adalah bersifat 'one off' yang tidak menguntungkan rakyat secara jangka panjang. Ia umpama ubat penahan sakit sementara yang hanya menghilangkan sakit dalam masa yang singkat dan selepas itu sakit itu datang kembali.

Kerajaan sepatutnya mengkaji punca utama kesengsaraan rakyat dan setelah diketahui puncanya maka langkah-langkah pembetulan untuk mengatasi masalah itu mesti diambil bagi meringankan beban rakyat dalam jangka masa panjang.

Masalah rakyat sekarang adalah peningkatan kos hidup yang semakin tinggi antaranya disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta juga peningkatan harga minyak. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini adalah berkaitan rapat dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak. 

Oleh itu kerajaan sepatutnya menangani masalah GST dan kenaikan harga minyak ini sebagai langkah paling utama bagi membantu meringankan beban rakyat semakin hari semakin tertekan dan menderita. 

Jadi langkah paling effektif bagi meringankan beban rakyat ini jelas sekali ialah dengan menghapuskan GST dan mengawal harga minyak tidak terus meningkat. Dengan penghapusan GST ini harga barang boleh dikawal dan diturunkan. Begitu juga dengan kenaikan harga minyak yang menjadi antara kos barangan dan perkhidmatan kerana peningkatan kos pengangkutan. Jika harga minyak tidak meningkat serta harga bahan juga tidak meningkat maka tidak ada sebab untuk harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sesuka hati.

Jadi langkah kerajaan yang mengekalkan pelaksanaan GST dan tiada langkah mengawal harga minyak serta barangan dalam Bajet 2018 benar-benar mengecewakan rakyat. Sepatutnya kerajaan mencontohi Bajet 2018 Pakatan Harapan yang jelas berjaya mencadangkan langkah-langkah konkrit untuk mengurangkan beban rakyat. 

Pemberian 'one off' seperti BR1M, RM1,500 kepada kakitangan awam dan lain-lain adalah hanya langkah sementara yang tidak mampu membantu rakyat untuk meneruskan kesejahteraan hidup pada jangka masa panjang. 

Kerajaan sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan memperkenalkan bantuan 'one off' dan beberapa skim baru yang sesetengahnya ditiru dari kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Namun mereka lupa bahawa rakyat sekarang sudah cerdik dan mampu untuk berfikir jauh ke hadapan tidak seperti masa lampau. Rakyat hari ini akses kepada maklumat alternatif tidak seperti masa lampau di mana rakyat hanya disumbat dengan maklumat dari RTM, TV3 dan media cetak yang berpihak kepada kerajaan semata-mata.

Hari ini rakyat mempunyai media elektronik, media sosial dan media maya yang diakses di hujung jari sahaja.

Jelas sekali Bajet 2018 gagal untuk meringankan beban rakyat terutama golongan miskin di seluruh negara.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Timbalan Pengerusi
Parti AMANAH Negara Negeri Melaka
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter