.

.

16 July 2010

MINYAK NAIK 5 SEN : KERAJAAN TERUS ZALIMI RAKYAT

Slogan 1Malaysia rakyat didahulukan hanyalah retorik semata-mata apabila kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 5 sen. Sudah pasti kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan termasuk juga harga pengangkutan. Maka rakyat akan terus menjadi mangsa sedangkan pemimpin negara senang lenang.

Rakyat akan terus menderita dan sengsara walaupun kenaikan harga minyak hanyalah 5 sen. Tetapi kita mesti ingat kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan kenaikan harga keperluan harian termasuk kos perkhidmatan.

Terbukti kerajaan tidak berhati perut dengan menaikkan harga minyak ini. Tergamak mereka mendera rakyat sedangkan rakyat sudah cukup derita sehingga kini.

15 July 2010

KUASA DUNIA HANYA SEMENTARA DAN TERBATAS

Kuasa yang tidak ada didunia ini hanya sementara dan tidak akan kekal lama. Ia hanya 'ciput' sahaja jika hendak dibandingkan dengan kuasa Allah S.W.T. Oleh itu bagi siapa yang mempunyai kuasa ingatlah bahawa kuasa 'ciput' yang kita punyai itu tidak akan kekal lama dan ianya akan hilang dari kita pada suatu masa kelak.

Sebagai contoh jika kita berkuasa untuk mengharam dan meluluskan permit sesuatu media janganlah kita gunakan kuasa untuk menindas mereka hanya disebabkan kerana tekanan dan suruhan orang atasan/orang politik.

Sesungguhnya semua kerja buat kita di dunia ini akan dikira oleh Allah walaupun sebesar zarah.

14 July 2010

JANGAN LAYAN MEDIA

Cerita perpaduan PAS-UMNO timbul lagi. Dalam Sinar Harian ianya dijadikan tajuk utama. Sudah berapa kali blog ini mencadangkan kepada pimpinan PAS supaya tidak melayan provokasi dan soalan media tentang perpaduan antara Umno-PAS kerana kita faham semuanya itu timbul bila Umno/BN berada dalam keadaan lemah dan longlai. Mereka tidak ikhlas. Mengapa selepas PRU 2004 mereka tidak pun berhajat untuk berbincang dengan PAs tetapi baru sekarang berminat untuk berpadu.

Sudah acapkali blog ini mengingatkan pimpinan supaya tidak melayan soalan mengenai perpaduan ini. Biar Umno sahaja bercakap soalnya. Kita bagi satu sahaja jawapan selagi Umno tidak berubah dan menolak Islam selagi itulah lupakan soal perpaduan.

PIMPINAN PAS DIPANGGIL POLIS

Beberapa orang pimpinan PAS Kawasan di panggil Polis untuk memberikan keterangan tentang penganjuran ceramah PAS di Kampung Bukit Pulau 10 Julai lalu. Langkah ini difahamkan diambil kerana berlakunya gangguan terhadap ceramah PAS di dua tempat sebelum ini iaitu di Bukit Baru Dalam dan Bukit Pulau. Umno ternyata sengaja mengaturkan ceramah berdekatan dengan ceramah PAS yang menyebabkan berlakunya gangguan suara yang menyebabkan suara penceramah PAS tidak jelas didengari oleh pendengar.

Menurut sumber dalaman PAS Kawasan pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak keselamatan. Namun begitu mengikut sumber dalaman tersebut pihaknya tidak mendapat kepastian samada pimpinan BN termasuk Ali Rustam sendiri dipanggil mengadap Polis.

Suatu lagi persoalan yang timbul ialah mengapa Polis tidak menghalang ceramah BN yang dijalankan di tempat terbuka iaitu di rumah seorang penduduk di Bukit Pulau. Tidakkah ceramah tersebut memerlukan permit? Apakah permit Polis diberikan kepada BN untuk mengadakan ceramah tersebut.

Bagi PAS mereka mengadakan ceramah tersebut di kawasan mereka sendiri iaitu di kawasan Pejabat PAS atau Markas PAS.

13 July 2010

Satukan Umno Dulu, Sebelum Ajak PAS

Parti Islam Se-Malaysia PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam agenda perjuangan politiknya di Malaysia. Penegasan ini telah dikukuhkan lagi untuk kali terakhir di Reatreat Pimpinan Tertinggi PAS di Port Dickson pada 9-11/Julai 2010. PAS merasa selesa untuk melaksanakan agenda perjuangannya bersama dengan Pakatan Rakyat di negara ini, dan sudah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang walaupun bukan PAS yang mengetuai kedua-dua negeri tersebut. Program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun. Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar.

PAS menasihati mereka yang cuba untuk berusaha untuk menyatukan PAS dengan Umno, tolong satukan sesama Umno dulu sebelum menyatukan orang lain.Parti Umno yang berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut “kek projek “ yang semakin kecil. Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identitit dan krisis nilai di kalangan ahlinya. Perjuangan yang hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi. Mereka yang memimpin Umno semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisma perjuangan seperti mereka yang terdahulu. Masuk Umno kerana projek dan “mengalibabakan” khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat.

PAS hendak menasihatkan Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan. Mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa. Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai. Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunei, 217 hektar tanah KTM di faraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?

PAS menasihati mereka ini, hentikanlah menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama sama dengan PAS dan serulah rakyat untuk bersama dengan PAS bukannya mengajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

GANTUNG PERMIT MEDIA : NEGARA AKAN MUNDUR DAN TIDAK BERTAMADUN

Suaran Keadilan dan Harakah tidak perbaharui permit penerbitannya dengan pelbagai alasan yang diberi oleh Kementerian Dalam Negeri. Baru-baru ini. Harakah diberi surat tunjuk sebab antara lain kerana lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Jelas sekali pihak berwajib cuba mencari alasan supaya media kepunyaan PR itu tidak diterbitkan. Hanya media pengampu dan pembodek sahaja yang boleh diterbitkan.

Blog ini mencadangkan supaya pihak berwajib tidak perlu berselindung dengan apa juga alasan bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Jelas sekali dakwaan bahawa kebebasan akhbar dan media di Negara sudah berkubur ada benarnya. Ini kerana media yang menongkah arus sering dihimpit dengan amaran dan pergantungan permit. Sampai bila agaknya Negara kita akan menjadi Negara yang maju dari segi fizikal, spiritual dan kebebasan media serta mempertahankan hak asasi manusia.

Dari sehari ke sehari kita melihat cengkaman makin kuat. Media yang cuba membongkar penyelewengan dan rasuah dituduh sebagai pemfitnah dan pemecahbelah masyarakat. Manakala media yang menjadi ‘Yes Man’ dan tidak menegakkan kebenaran dan tidak mencegah kemungkaran dikatakan media terbaik dan telus.

Sampai bila rakyat hendak dididik menjadi masyarakat ‘Pak Turut’ dan ‘Yes Man’ yang tidak berani membongkar penyelewengan, salah laku dan rasuah. Rakyat hanya dimomokkan dengan kebaikan dan kemurniaan pemerintah sedangkan sudah pasti akan ada kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh mereka yang bukannya maksum.

Kita yakin jika ini caranya Negara kita sudah pasti tidak akan maju dan menjadi Negara yang bertamadun kerana budaya menegur, mengkritik dan menasihat tidak disuburkan di dalam Negara. Sebaliknya budaya bodek, mengampu dan ‘Yes Man’ pula diterapkan saban waktu.

12 July 2010

KALAU ANWAR EJEN/ALAT CIA, BN PULA APA?

Anwar dituduh sebagai alat atau ejen CIA oleh media arus perdana berdasarkan tulisan seorang penulis blog barat yang menuduh Anwar bersifat demikian. Dalam keadaan terkapai-kapai Umno/BN mencari apa sahaja hujah dan fakta untuk memburuk-buruk Anwar bagi mencari ‘political mileage’. Dalam usaha mereka untuk mempertahankan diri kerana terbukti mengambil APCO sebagai penasihat mereka, Umno/BN terpaksa menuduh Anwar menjadi Ejen/Alat CIA bagi menggambarkan bahawa sebenarnya Anwarlah kawan baik dan talibarut Yahudi bukannya Umno/BN.

Pelbagai cerita direka untuk menghalalkan fitnah mereka. Kalau mereka boleh memfitnah Anwar dalam kes liwat pertama dahulu tidak mustahil mereka akan membuat apa juga fitnah untuk mengaburi mata rakyat. Liwat dan zina pun mereka boleh tuduh (tuduhan/fitnah berat di sisi Islam) apalah sangat dengan tuduhan ejen/alat CIA sudah tentu mereka tidak kisah untuk melakukannya.Halal dan Haram bukannya mereka ambil kira.

Utusan Malaysia semalam meneruskan serangan terhadap Anwar Ibrahim dalam laporannya - kali ini akhbar itu memetik tulisan seorang penulis blog - yang mendakwa ketua umum PKR itu adalah "alat" kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Dalam edisi Ahadnya - Mingguan Malaysia - memetik tulisan Elaine Meinel Supkis, yang digambarkannya sebagai "seorang penulis blog terkemuka", mendedahkan bahawa Anwar merupakan "alat" CIA .

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar." Ternyata tidak ada bukti konkrit boleh mengaitkan Anwar dengan tuduhan sebagai Ejen/Alat CIA.
Apa yang pasti sehingga ini Umno/BN gagal menafikan secara jelas bahawa mereka membelanjakan RM78 juta untuk APCO menaikkan imej Umno/BN dan pemimpinnya. Malah di dalam parlimen sendiri Umno/BN tidak dapat menafikannya apabila ditanya oleh Ahli Parlimen PR.

Oleh kerana gagal menjawab isu ini maka Umno/BN mencari helah untuk sebaliknya menuduh Anwar sebagai alat atau ejen CIA. Bagi blog ini mudah sahaja untuk menangani isu ini heret Anwar ke muka pengadilan jika benar beliau seorang pengkhianat dan pembelot kepada Negara dengan menjadi ejen atau alat CIA.

Selepas ini sudah pasti lebih banyak fitnah dan tuduhan akan dilemparkan kepada Anwar bagi memburuk-burukkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Bukan Anwar sahaja tetapi semua pimpinan PR akan menghadapi tuduhan dan fitnah semacam ini.
Semua ini sebenarnya merupakan dalil dan tanda bahawa Pilihanraya Umum semakin hampir dan kita mesti bersiap siaga untuk meneruskan program mendekati dan memenangi hati rakyat.

UMNO MENGGELUPUR BILA RAKYAT TAK LAYAN KETUA MENTERI

Dilaporkan Umno Cawangan Bukit Pulau mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi bagi membincangkan tentang ceramah Ketua Menteri di Bukit Pulau Sabtu lalu yang tidak mendapat sambutan dari penduduk setempat.

Ceramah Umno/BN yang dilangsungkan bersebelahan dengan ceramah PAS bagi tujuan mengganggu ceramah PAS tersebut hanya dihadiri oleh kira-kira 100 orang sahaja itupun di’import’ dari luar, sedangkan ceramah PAS dihadiri oleh 300 orang yang sebahagian besarnya penduduk setempat.

Sumber dalaman Umno memberitahu bahawa pimpinan Umno naik berang dengan keadaan itu yang membuktikan bahawa rakyat semakin meluat dan muak dengan Umno dan Ketua Menteri sendiri. Imej seorang yang bergelar Ketua Menteri sudah tentu tercabar kerana orang kampong Bukit Pulau sendiri tidak mahu keluar mendengar ceramah beliau.

Tamparan sudah tentu lebih hebat kerana Penolong Setiausaha Umno Bahagian Bukit Katil, Yunos Hitam juga berasal dari Bukit Pulau. Beliau sendiri nampaknya tidak dapat memujuk penduduk Bukit Pulau untuk keluar mendengar ceramah Ali Rustam.

Beberapa penduduk Kampung Bukit Pulau memberitahu bahawa penduduk kampong sudah muak dengan ucapan Ali Rustam yang jelas tidak mempunyai fakta dan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat dalam isu-isu seperti banjir, Eye On Malaysia, Lapangan Terbang Batu Berendam,rasuah dan lain-lain.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah Mohamad, jawapan yang diberikan oleh Ali Rustam pada ceramahnya malam itu benar-benar memperbodohkan rakyat umpamanya berkaitan dengan Eye On Malaysia, di mana Ali berkata kerajaan negeri dan rakyat tidak rugi apa-apa kerana ianya adalah projek swasta sedangkan rakyat tahu bahawa kerajaan negeri melalui KMB mempunyai kepentingan dalam syarikat usahasama itu.

“Janganlah cuba tipu rakyat kerana rakyat hari ini sudah cerdik dan mudah mendapat maklumat melalui internet dan media alternative” ujar Abdullah.

11 July 2010

SERANG DAN FITNAH PIMPINAN PR : TANDA PRU MAKIN HAMPIR

Anwar alat Yahudi, Anwar ejen CIA, Anwar talibarut Yahudi, Nik Aziz sesat, Haji Hadi kafirkan orang dan lain-lain semua itu adalah skrip yang di'filem'kan semula bila menjelang Pilihanraya.

Media alternatif ditarik permir atau tidak diperbaharui, diberi amaran, di beri kata dua dan sebagainya, itu juga dalil PRU mungkin diadakan dalam masa terdekat. Dengan tindakan itu maka PR tidak mempunyai medan untuk menjawab dan mempertahankan diri dari fitnah BN.

Bila ceramah PAS diganggu dengan BN/Umno berceramah di sebelah seperti di Melaka, itu tanda PRU dah dekat.

Jadi semua orang mesti bersedia untuk menghadapi PRU ini dengan memastikan semua ahli keluarga, jiran dan sanak saudara mendaftar menjadi pemilih berdaftar. Selain itu tuan-puan mesti menjadi Dai'e atau pendakwah untuk mengubah minda lapok menyokong BN kepada menyokong dan mengundi PR pada PRU akan datang.

Terangkan kepada seluruh rakyat tentang kebobrokan, rasuah, kezaliman, penyelewengan dan penindasan serta lain-lain perkara yang dilakukan BN/Umno guna untuk memberikan kefahaman kepada rakyat agar tidak terpalit sekali dengan dosa maksiat pemerintah BN/Umno yang tidak pernah insaf dan sedar untuk kembali kepada Islam dan demokrasi tulen.

CERITA LUCU KETUA MENTERI MELAKA

Malam tadi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sekali lagi mencemarkan imejnya sendiri apabila sekali lagi mengetuai Umno Melaka menggangu ceramah PAS di Kg Bukit Pulau, Bukit Baru.

Seperti biasa beliau dimalukan sendiri oleh penyokong dan rakyat negeri Melaka apabila hanya kira-kira 100 orang sahaja yang hadir mendengar 'lawak' beliau malam tadi.

Sebelum memulakan 'lawaknya' malam tadi Ali Rustam berkata tujuan Umno mengadakan ceramah bersebelahan dengan ceramah PAS adalah untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh PAS secara 'cash' atau tunai. Sungguh melucukan kerana setiap 10 minit 'orang suruhannya' akan membawakan nota-nota kecil yang mencatatkan isi ceramah PAS. Kalaulah pencatatnya tersilap tulis atau cuba memalukan Ali Rustam tak ke 'naya'.

Beberapa cerita lucu yang hendak dikongsikan di sini :-

1) Isu banjir - Ketika menjawab isu banjir Ali berkata Kelantan pun banjir, jadi yang hendak dipelikkan. Melaka belanja berjuta ringgit untuk atasi masalah banjir. Komen Mutaligat : Masalahnya sampai sekarang banjir masih belum dapat diselesaikan walaupun ratusan juta telah dibelanjakan oleh kerajaan. Inikah sebuah negeri yang dikatakan akan maju pada 20 Oktober 2010.

2) Isu Eye On Malaysia - Ali berkata bukan kerajaan negeri yang rugi RM8 juta tetapi syarikat swasta. Ali sebenarnya cuba menipu rakyat dengan memutarbelitkan fakta. Namun rakyat sudah cerdik dan tahu bahawa syarikat yang mengendalikan Eye On Malaysia ialah syarikat yang ditubuhkan secara usahama antara anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan MST Ad Suria Sdn Bhd. Jutaan ringgit duit rakyat dilaburkan dalam KMB dan akhirnya duit rakyat hangus begitu sahaja kerana Eye On disita. Jadi Ketua Menteri cuba memutarbelitkan fakta dengan menyatakan kerajaan negeri tidak rugi dan duit rakyat tidak hangus.

3) Pulau Melaka terbengkalai - Ali berkata itu projek swasta bukan projek kerajaan negeri. Bukankah tugas kerajaan negeri memantau dan memastikan semua projek berjalan lancar dan tidak menjadikan rakyat mangsa kegagalan sesuatu projek. Kegagalan projek Pulau Melaka bermakna kerajaan negeri gagal menunaikan tanggungjawabnya yang menyebabkan ramai rakyat yang membeli hartanah disitu mengalami kerugian besar.

4) Isu Allah - Ali berkata BN tidak membenarkan perkataan Allah digunakan oleh golongan kristian. Tetapi Ali terlupa bahawa di Sabah dan Sarawak ianya dibenarkan. Tidakkah ini menggambarkan bahawa kerajaan BN bersikap double standar dan tidak konsisten. Pengharaman perkataan Allah bukannya sebab agama tetapi atas kepentingan politik sebab itulah di sesetengah negeri tidak boleh dan di Sabah serta Sarawak dibolehkan.

5) Ali Rustam berkata kita berpolitik memang untuk mencari pangkat dan darjat jadi jangan kita berpolitik sehingga melupakan kepentingan Islam dan Melayu. Komen Mutaligat: PAS berpolitik bukannya untuk mencari pangkat dan darjat tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah. Sebab itulah pemimpin PAS tidak membina kekayaan dan empayar seperti pemimpin BN. Lihatlah bagaimana zuhud dan sederhananya Tok Guru Nik Aziz walaupun sudah 20 tahun menjadi Menteri Besar tetapi masih tinggal di rumah buruknya dan dirinya dan anak-anaknya tidak menjadi jutawan seperti anak-anak pemimpin BN dan bekas-bekas pemimpin BN.

Banyak lagi sebenarnya cerita lucu dan melucukan yang diperdengarkan oleh Ali Rustam, Insya Allah lain kali kita nukilkan di sini.

BN TERGUGAT : RETORIK TAKUTKAN MELAYU

Para pemimpin PR menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin bahawa orang Melayu akan berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika terus berpecah belah sesama sendiri lebih bertujuan untuk meraih sokongan Melayu.

Muhyiddin cuba menakutkan orang Melayu bahawa mereka kononnya akan kehilangan kuasa jika PR mengambilalih pemerintahan negara.

Memainkan isu melayu terancam dan hilang kuasa tidak lagi sesuai dengan perkembangan politik hari ini kerana rakyat khususnya generasi muda boleh menilai kemampuan Umno dan BN memerintah negara sejak 50 tahun lalu

PAS berkeyakinan pendekatan yang dibawa PR berteraskan keadilan dan pembelaan untuk semua kaum, dan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan akan terus terpelihara.

Pemerintahan yang diketuai PAS di Kelantan dan Kedah serta PR di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan kedudukan Melayu dari sudut ekonomi dan sosial tetap terpelihara tanpa perlu bergantung kepada Umno.

Kenyataan Muhyiddin jelas bermotif politik dan sengaja mencetuskan rasa kebimbangan dan ketakutan orang Melayu terhadap perubahan yang mungkin berlaku pada Pilihanraya Umum(PRU) akan datang.

Orang Melayu akan lebih selamat dan lebih terjamin kuasa politiknya apabila berani membuat perubahan politik yang lebih jernih dan terbuka berdasarkan prinsip Islam.

IMEJ ALI RUSTAM TERCALAR TERUK

Sebagai seorang Ketua Menteri sepatutnya ke mana sahaja beliau pergi sudah tentu disambut dengan bilangan rakyat yang ramai apatah kalau Ketua Menteri menyampaikan ucapan dan ceramah.

Tetapi tidak berlaku di Melaka apabila ceramah Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam di kawasan kubu kuatnya sendiri malam ini dihadiri kira-kira 100 orang sahaja itupun diumpan dengan jamuan makan durian.

Kawasan Bukit Pulau memang menjadi kubu kuatnya sejak sekian lama tetapi pada pilihanraya lepas Ali Rustam menang tipis sahaja di peti undi tersebut iaitu 359 undi pada PRU 2008 sedangkan pada PRU 2004 beliau menang dengan majoriti 1547 undi.

Fakta ini terbukti benar apabila ceramah beliau malam tadi di Bukit Pulau tidak mendapat sambutan sebaliknya ceramah PAS yang diganggu oleh beliau dihadiri oleh kira-kira 300 orang yang kebanyakannya adalah penduduk di sekitar Bukit Pulau dan Bukit Baru. Ini merupakan tamparan hebat bagi Ali Rustam.

Itulah hakikat yang berlaku kepada Ali Rustam kerana orang Umno sendiri sudah meluat dengan gelagat beliau yang kebudak-budakan menggangu ceramah PAS sejak-sejak akhir ini.

"Macamana tak meluat kalau ada banner berkait dengan program kerajaan atau agensi kerajaan di gantung di Melaka ini gambar dia mesti ada".

"Semasa SUKMA dahulu bukan binatang jadi maskot tetapi seolah-olah Ali Rustam jadi maskot SUKMA sebab gambar dia lagi banyak dari gambar maskot pada banner-banner SUKMA" ujar Salehan Osman Ahmad dari Taman Merdeka.

Latip Abdullah dari Bukit Baru berkata orang Umno sendiri meluat dengan ucapan Ketua Menteri yang tarafnya boleh disamakan dengan ucapan AJK JKKK kampung sahaja.

"Bayangkan betapa tidak cerdiknya Ali Rustam apabila mengadakan ceramah berdekatan ceramah PAS dan isi ceramahnya memang tidak ada fakta dan melucukan" kata Latip.

MALANGNYA RAKYAT MELAKA PUNYA KETUA MENTERI SAMA 'STANDARD' DENGAN JKKK

Bukit Baru : Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Iskandar Abdul Samad berkata malang bagi rakyat Melaka kerana mempunyai seorang Ketua Menteri yang 'standard'nya sama dengan JKKK.

"Kalau di Selangor, orang macam jauh dari layak untuk jadi Menteri Besar, jadi Exco memang tak layak, kalau bertanding JKKK pun nyaris untuk menang, tak menang".

"Sepatutnya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri mestilah mempunyai kredibiliti dan professional bukannya macam Ketua Menteri tuan-tuan yang menggangu ceramah kita malam ini" kata YB Iskandar.

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran MTD Bukit Baru dan UPU Bukit Pulau di perkarangan Pejabat PAS Cawangan Bukit Pulau dekat sini malam tadi.

Iskandar berkata tindakan Umno/BN yang diketuai sendiri oleh Mohd Ali Rustam mengacau ceramah PAS merupakan tindakan yang melucu dan menggelikan hati kerana berperangai macam budak-budak.

Gangguan yang dilakukan oleh Umno/BN malam ini merupakan gangguan kedua selepas ceramah YB Salahuddin di Bukit Baru pada 29 Jun lalu.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter