.

.

12 March 2015

PIMPINAN DAN AHLI PAS MELAKA SOKONG PERLANTIKAN DR HARON DIN


Rata-rata pimpinan pelbagai peringkat dan ahli-ahli PAS Melaka menyokong penuh perlantikan Tuan Guru Dato' Professor Dr Haron Din sebagai Al Mursyidul Am PAS yang baru. Mereka berpendapat perlantikan tersebut memang tepat kerana keilmuan, ketokohan, istiqamah dan pengalaman tokoh tersohor tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Mahani Othman berkata perlantikan Tuan Guru Dr Haron Din memang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan ahli PAS kerana kelayakan dan ketokohan beliau yang sukar dicari.

"Pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Mursyidul Am, Ketua Penerangan PAS Pusat, AJK PAS Pusat, pernah bertanding sebagai calon pilihanraya, seorang tokoh masyarakat, sering menjalankan kerja-kerja kebajikan melalui kaedah perubatan Islam di samping ilmu agama yang meluas, ini menjadikan beliau tokoh yang paling layak memegang jawatan itu selepas ketiadaan Tok Guru Nik Aziz" kata Mahani yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Katil.

Setiausaha PAS Kawasan Jasin, Amir Abdul Aziz berkata jawatan Mursyidul Am memerlukan seseorang yang mempunyai ketokohan kepimpinan, mampu memimpin semua manusia bukan setakat orang Islam sahaja malah semua lapisan rakyat tanap mengira bangsa dan agama.

"Saya yakin Mursyidul Am PAS yang baru, Tuan Guru Dr Haron Din mampu memikul amanah besar ini, bagi menggantikan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat"ujar beliau.

Pengerusi Kelab Veteran PAS Melaka, Bakrin Sidek pula mengalu-alukan perlantikan Tuan Guru Dr Haron Din dan menyifatkan perlantikan tersebut memang tepat kerana beliau sebagai Timbalan Mursyidul Am sebelum ini sudah tentu amat layak untuk memegang jawatan Mursyidul Am.

"Bagi pihak Kelab Veteran PAS saya mengalu-alukan perlantikan Tuan Guru Dr Haron Din yang mempunyai pengalaman luas sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS sebelum ini"ujar Bakrin.

Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Mohd Yasin Ibrahim berkata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dr Haron Din dan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah dua orang tokoh besar yang berilmu dan dihormati di mana kesihatan mereka wajar diambil kira.

"Kedua-dua tokoh yang disayangi kita iaitu Mursyidul Am dan Presiden adalah tokoh yang disegani dan dihormati di dalam dan luar negeri, kesihatan mereka juga harus difikirkan dengan tidak membebankan kerja-kerja yang berat dan rumit. Pimpinan dan ahli wajar mencari jalan untuk meringankan beban mereka"ujar Yassin.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Harun Mohamed berkata jawatan Mursyidul Am PAS boleh diisi oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

"Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang wajar diberi peluang sebagai Mursyidul Am PAS sepertimana Almarhum Tuan Haji Yusof Rawa yang dilantik sebagai Mursyidul Am selepas menjadi Presiden PAS" ujar Harun yang juga merupakan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Negeri Melaka.

Setiausaha PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Nordin Mohd Dahan dan Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Safarwan Abdul Ghani bersetuju dengan perlantikan Tuan Guru Dr Haron Din yang mereka sifatkan tokoh paling sesuai untuk menggantikan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Latarbelakang agama yang mendalam, pengalaman luas dalam politik dan kerja-kerja kebajikan memang sukar diperolehi dari tokoh lain. Pemilihan beliau memang tepat" ujar mereka.

Ahli PAS Cawangan Kg Bukit Katil, Amat Aki, 46 berkata perlantikan tersebut memang sudah dijangkakan kerana Dr Haron Din memang layak untuk diamanahkan sebagai Mursyidul Am.

"Tuan Guru Haron Din mempunyai pengalaman sebagai pimpinan PAS sejak era 70-an lagi, berilmu, berkarisma serta disegani oleh semua orang samada dari luar atau dalam negeri".

"Beliau bukan sahaja berpengalaman dalam bidang akademik malah sering mendekati masyarakat, berpengalaman dalam bidang siasah dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang tidak kira pegawai kerajaan dan rakyat bawahan' ujarnya.

Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS 8 Mac lalu dan perlantikan beliau dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Dato Takiyuddin Hassan semalam.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter