.

.

06 November 2009

SEMINAR PEMERKASAAN PAS, JANGAN BUANG MASA LAGI

Saya harap Seminar Pemerkasaan PAS esok akan menjadi medan terakhir untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku.

Mahu tidak mahu sedikit sebanyak persepsi rakyat terhadap PAS sedikit tercalar dengan perselisihan kecil antara pimpinan kita.

Jadi selepas seminar esok jangan kita buang masa lagi, halakan idea, pemikiran, strategi, tenaga, wang ringgit dan seluruhnya kepada usaha untuk membebaskan Malaysia dari belenggu kezaliman dan penindasan BN yang membelakangkan agama, keadilan dan ketelusan serta demokrasi.

Jangn kita buang masa lagi membuat kritikan dan teguran di dalam blog, media dan melalui kenyataan akhbar terhadap sesama ahli/pimpinan kita dan sesama parti-parti komponen PR. Jika ada teguran, nasihat dan kritikan selesaikan secara professional di dalam mesyuarat, perbincangan di dalam parti kita dan sesama komponen PR.

Jangan buka masalah rumahtangga kepada umum sebagai contoh beritahu isteri ada kurap, ada panau ada pekung dan sebagainya. Apa yang penting kita ubati supaya semua keburukan itu sembuh.

TEGURAN DAN KRITIKAN PADA PIMPINAN MESTI DITELITI

Sejak akhir-akhir ini pimpinan PAS termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dikritik hebat oleh orang dalam dan luar PAS.

Ada yang menyatakan bahawa kedua-dua mereka condong untuk membentuk kerajaan perpaduan (UG) dengan Umno. Di satu pihak pula melabelkan Presiden PAS terlalu lemah dan tidak sesuai lagi untuk memimpin PAS kerana agendanya dilihat terlalu menekankan perjuangan Melayu dan Islam, seolah-olah meminggirkan agenda PAS For All.

Lebih teruk lagi ada pimpinan PAS sendiri yang menghentam Nasharuddin Mat Isa dan Mustafa Ali sebagai pemimpin yang mahu kepada kerajaan perpaduan dan gagal memimpin PAS dengan baik.

Bagi saya semua tuduhan dan kritikan tersebut wajar di kaji dan diteliti oleh pimpinan PAS. Mungkin ada yang benar dan ada yang tidak benar.

Namun begitu saya juga agak kurang senang dengan kritikan yang saya sifatkan agak keterlaluan yang dibuat oleh Prof Abdul Aziz Bari terhadap Presiden PAS yang dimuatkan oleh Malaysiakini hari ini.

Dalam laporan tersebut, Aziz mendakwa bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi sangat lesu dan gagal memimpin PAS dengan baik.

Jawapan saya mudah sahaja, mengapa ketika PAS berjaya menyakin pengundi bukan Islam mengundi PAS pada PRU 2008 sehingga PR berjaya menang Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, Aziz Bari tidak memuji PAS dan Tuan Guru.

Malah selepas PAS dan PR juga menang pada 7 pilihanraya kecil di Semenanjung, tetapi bila kalah sekali di Bagan Pinang riuh sekampung menyatakan pimpinan PAS lesu dan lembap.

Mengapa sebelum ini (sebelum PRK Bagan Pinang) tidak ada yang berani mengkritik pimpinan PAS tetapi selepas sahaja Tok Guru Nik Aziz memulakan episod barulah masing-masing menuding jari tidak tentu hala.

Saya menyeru kepada seluruh penganalisis politik, ahli dan penyokong PAS supaya menghentikan segala tohmahan dan kritikan melulu ini. Tunggu dan lihat apa hasil yang kita perolehi dari Seminar Pemerkasaan PAS esok. Insya Allah akan ada hasil dan natijah yang baik.

UMNO PENGKHIANAT MELAYU

Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu:

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.
2. Melemahkan sistem kehakiman negara.
3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.
4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.
5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.
6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.
7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.
8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.
9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.
10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.
11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.
12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.
13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.
14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.
15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.
16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.
17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.
18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.
19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.
20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.

Wan Nordin Wan Yaakob - Harakahdaily

NIZAR VS ZAMBRY : KEPUTUSAN TANGGUH, HAKIM TAK BERANI?

Perbicaraan semalam ditangguhkan oleh Panel Hakim kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Tidak diketahkui secara detail mengapa ianya ditangguhkan. Adakah kerana peguam-peguam belum habis berhujah, atau hakim belum cukup maklumat untuk membuat keputusan.

Namun saya yakin rakyat Malaysia mempunyai persepsi tersendiri mengapa keputusan ini ditangguhkan ...........

Ehem ehem .....

05 November 2009

NIZAR VS ZAMBRY : TEGAKKAN KEADILAN DAN DAULATKAN UNDANG-UNDANG

Sistem kehakiman di negara kita ini sudah acapkali ditohmah dan dicerca oleh negara luar apatah lagi oleh rakyat sendiri. Semuanya gara-gara ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa kes yang jelas kontroversi.

Antaranya kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kes-kes lain yang melibatkan kerajaan BN dan pimpinan BN.

Namun saya masih mengharapkan semua hakim yang sedang bertugas sekarang terutama yang sedang mendengar rayuan Datuk Seri Nizar tentang siapa Menteri Besar Perak yang sah, dapat menjalankan amanah yang besar dan mencabar ini.

Ingatlah bahawa Hakim merupakan suatu tugas yang mulia dan terpuji. Hakim yang adil akan sentiasa mendapat rahmat Allah dan budinya akan dikenang oleh makhluk. Manakala yang menjatuhkan hukuman kerana nafsu dan tunduk kepada tekanan akan dilaknat oleh sekelian makhluk dan Allah S.W.T sendiri.

Oleh itu saya mendoakan kelima-lima Yang Arif Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang bersidang mengadili kes Siapa Menteri Besar Perak yang sah dapat menjalankan amanah mereka dengan adil dan saksama. Jangan takut kepada tekanan dan hasutan manusia.

Sesungguhnya segala kerja buat kita setiap saat dan ketika dipantau oleh Yang Maha Esa. Insya Allah Yang Arif semua akan mendapat rahmat dan redha Allah jika benar-benar adil dan tulus ikhlas.

Jadilah tegakkanlah keadilan dan kedaulatan Undang-undang dengan sepenuh-penuhnya.

KEMELUT MCA : TIONG LAI BAKAL DI'PANCUNG'

MCA memang terkenal memancung pimpinannya yang tidak sebulu dengan Presiden. Kalau sebelum ini Chua Soi Lek pernah dipancung maka tidak mustahil Timbalan Presiden 19 hari, Liow Tiong Lai pula akan menerima nasib yang sama.

Semua sedia maklum bahawa Tiong Lai telah menolak pelan damai tajaan Ong Tee Keat sebaliknya mungkin akan mengambil langkah berkonfrontasi dengan Ong dan Chua.

'Drama' politik ini amat menarik untuk ditonton walaupun ianya mencemaskan Najib, Pengerusi BN. Walaupun Najib mendakwa Umno sekarang ini kuat dan bebas dari masalah, namun BN terus dirundung malang dengan pergaduhan dalam MCA, PPP, Gerakan dan MIC.

Banyak pihak meramalkan pergaduhan ini kian parah dan sukar diselesaikan melainkan EGM baru diadakan dan pemimpin baru dilantik.

KONVENSYEN BLOGGER PAS SEPATUTNYA SUDAH LAMA DIADAKAN

Cadangan untuk mengadakan Konvensyen Blogger Ahli PAS merupakan suatu langkah yang baik dan sepatutnya dilaksanakan sejak 4 tahun dulu atau lebih awal dari itu.

Namun ianya belum terlambat untuk diadakan. Syabas kepada Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad yang mengambil insiatif untuk menganjurkannya.

Saya mengharapkan seluruh blogger yang sudah sah sebagai ahli PAS mengambil bahagian dalam konvensyen ini. Insya Allah kita satukan hati, gerakerja dan pemikiran kita untuk menangkis segala tohmahan dan serangan musuh serta pada masa yang sama kita membongkar segala kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh keadilan yang sedang bermaharajalela di negara kita.

Di pihak saya, Insya Allah saya akan cuba menggerakkan seluruh blogger PAS di Melaka untuk sama-sama menyertai konvensyen ini.

SEMINAR 7 NOV : PERKASAKAN PARTI YANG SUDAH PERKASA

Seminar Memperkasakan PAS pada 7 Nov di Taman Melewar Insya Allah akan memperkasakan PAS yang sudah perkasa.
Siapa kata PAS lemah dan longlai serta sudah berpecah?
Tahukah anda bahawa keahlian PAS bertambah setiap hari dan bulan.
Tahukan anda bahawa cawangan PAS bertambah dari masa ke semasa.
Tahukah anda bahawa tidak ada seorang pun Wakil Rakyat PAS yang melompat parti sejak era kepimpinan Ulama'
Tahukah anda bahawa pemilihan jawatan dalam PAS tidak pernah menyebabkan perpecahan selepas era kepimpinan Ulama'
Tahukah anda bahawa ahli-ahli PAS menjalani sistem tarbiah yang sistematik dan terbukti berkesan
Tahukah anda setiap hari semakin ramai rakyat bukan Islam yang menyokong PAS dan menganggotai Kelab Penyokong PAS
Tahukah anda bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang diyakini istiqamah, tetap pendirian dan mempunyai kekuatan dalaman kerana adanya Iman dan taqwa kepada Allah.
Tahukah anda .................

NIZAR VS ZAMBRY : NIZAR TEWAS PUSINGAN PERTAMA

Sebelum perbicaraan sebenar berlangsung Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah tewas setelah Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah Tertinggi di negara ini menolak permohonan Nizar supaya rayuan tersebut didengar oleh panel 11 hakim atau anggota panel hakim ditambah.

Ternyata kita sudah boleh membayangkan apa keputusan perbicaraan tersebut yang sedang berjalan sekarang.
Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

UNDANG-UNDANG DISANGGAH, PERJANJIAN DILANGGAR

Pengumuman Perdana Menteri Najib Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.

Jelas sekali Kerajaan langsung tidak menghormati perjanjian yang telah lama dibuat sedangkan ianya jelas termaktub di dalam klausa yang berkaitan.

Mengapa begitu mudah mereka melanggar perjanjian ini sedangkan semua rakyat tahu bahawa perjanjian itu telah lama ujud.

Saya mengharapkan kerajaan negeri Kelantan dapat menjalankan kempen penerangan ke seluruh Kelantan untuk memberitahu rakyat bahawa mereka telah didiskriminasi oleh kerajaan pusat. Hak mereka telah diragut dan kini kerajaan pusat cuba mencari keuntungan politik dengan merampas hak mereka. Selepas itu mengaku pula wang itu mereka punya dan sedekahkan kepada rakyat Kelantan atas nama wang ehsan.

Lebih malang lagi kerajaan pusat akan menyalurkan wang tersebut kemungkinan besar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Ketua Umno Bahagian.

04 November 2009

NIZAR VS ZAMBRY : SIAPA MB YANG SAH?

Esok Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk memutuskan siapa Menteri Besar yang sah bagi Negeri Perak.
Sejak rompakan kuasa di lakukan oleh BN yang diketuai Perdana Menteri beberapa bulan lalu kemelut politik Perak menjadi tidak tentu hala dan caca marba.

Segalanya bukan lagi satu tetapi semuanya 2. 2MB, 2 exco, 2 Speaker dan sebagainya. Semuanya gara-gara BN tamakkan kuasa.

Esok mahkamah akan menentukan siapa MB yang sah. Saya sendiri tidak menaruh harapan yang besar kepada keputusan mahkamah esok. Semua orang kampung sudah tahu keadaan dan situasi serta ketelusan sistem kehakiman di Malaysia. Yang ini saya tidak mahu mengulas, tuan-puan boleh fikir sendiri.
Namun bagi saya apa pun keputusan esok ianya tidak akan dapat menghapuskan 'dosa' rompakan kuasa tersebut. Rakyat Perak tidak akan memaafkan kepala perompak dan 3 orang penyangak yang menyebabkan politik Perak menjadi berkecamuk seperti sekarang.
Saya yakin hanya satu jalan terbaik untuk selesaikan isu ini iaitu bubarkan DUN serta merta.
Sebab itu sesiapa pun yang akan dinamakan sebagai Menteri Besar yang sah esok, saya sarankan mengadap Sultan serta merta dan pohon perkenan supaya DUN Perak dibubarkan.

Dengan cara itu Insya Allah kemelut ini akan berakhir!!!!

WANG EHSAN. KELANTAN SEOLAH-OLAH MINTA SEDEKAH

Jawapan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Pusat akan memberikan wang ehsan kepada Kelantan benar-benar menghina kerajaan negeri dan rakyat Kelantan. Manakan tidak wang ehsan ini adalah seumpama wang sedekah yang diberikan oleh seseorang kepada peminta sedekah jalanan. Sedangkan mengikut perjanjian Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri ianya adalah wang royalti yang wajib di bayar kepada kerajaan negeri terbabit.
Terbukti Perdana Menteri cuba mempermainkan rakyat Kelantan dan kerajaan negeri. Malah semasa sessi soal jawab di Parlimen hari ini Najib sendiri tidak memberikan jawapan yang diyakini selepas diasak oleh beberapa orang Ahli Parlimen PAS antaranya Sallahuddin Ayub, Khalid Samad dan Siti Zailah Mohd Yusof.
Najib cuma bermain dengan kata-kata dan istilah bagi mengelirukan rakyat dan ahli parlimen. Dalam jawapannya Najib berkata bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti.
Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.
Dengan sinis Najib berkata yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan.

"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.
Kerajaan Pusat seolah-olah tidak ikhlas menyalurkan wang ehsan ini di mana Najib sendiri tidak berani menjelaskan bagaimana prosedur dan proses penyalurannya samada melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau Kerajaan Negeri.
Saya yakin Kerajaan Pusat akan mengamalkan sistem sama dengan yang digunapakai semasa PAS mentadbir Terengganu dulu, di mana wang ehsan disalurkan melalui JPP dan Ketua Umno Bahagian. Jika sistem ini digunakan sekali lagi maka sahlah BN tidak ikhlas kerana sepatutnya ia disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti termaktub dalam perjanjian Petronas- Kerajaan Negeri.
Demi maruah dan integriti mungkin lebih baik kerajaan Kelantan menolaknya dan pada masa yang sama menyaman kerajaan pusat kerana tidak menunaikan janji dalam perjanjian yang ditandatangani sejak sekian lama itu.

PARLIMEN BUBAR ? NAJIB NAFI

Beberapa polisi baru yang diperkenalkan Najib dilihat sebagai tanda-tanda bahawa Pilihanraya Umum akan diadakan dalam masa terdekat.
Kerajaan pimpinan Najib dilihat cuba mencuri hati rakyat dengan membebaskan beberapa tahanan ISA, memberikan insentif kepada rakyat, tidak menaikkan harga minyak, insentif kepada peneroka felda dan terbaru mengumumkan untuk memberikan wang ehsan kepada Kelantan. Selain itu banyak program untuk memulihkan imej BN dan Najib sendiri dilakukan dengan agresif setakat ini.
Terdapat pemerhati politik yang meramalkan Najib akan melakukan kejutan dtengan membubarkan parlimen dalam terdekat.
Kata mereka antara tujuan pembubaran parlimen ini ialah :-
1) Membersihkan saki baki Ahli Parlimen dan ADUN yang tidak sebulu dengan Najib, Ong Tee Keat dan Samy Vellu.
2) Mendapatkan majoriti 2/3 BN di parlimen walau dengan apa cara sekalipun
3) Mendapatkan mandat penuh dari rakyat terhadap kepimpinan Najib yang dilihat bermasalah.
Oleh kerana itu tidak mustahil jika Najib yakin BN akan menang selesa dengan maklumat yang mereka terima dari bahagian risikan sudah tentu beliau akan membubarkan parlimen walaupun Najib menafikannya.
Hari ini beliau menafikan bahawa keputusan kerajaan pusat memberi wang ehsan minyak kepada kerajaan PAS Kelantan, ada kaitan dengan spekulasi pilihan raya mengejut akan diadakan di peringkat pusat.
Spekulasi mengenai perkara itu tersebar luas ekoran tanggapan umum bahawa kerajaan pusat akan hanya memberi wang ehsan seumpama apabila pilihan raya sudah dekat.
Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, perdana menteri sebaliknya bertanya apa kaitan pemberian wang ehsan kepada Kelantan itu, dengan pilihan raya mengejut.

ROYALTI BUKAN WANG EHSAN. JANGAN TIPU RAKYAT

Kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Pusat akan menyalurkan wang royalti minyak kepada Kelantan harus disambut baik oleh rakyat Kelantan dan Malaysia.

Ini suatu perkembangan yang baik bagi mencerminkan semangat dan sistem Federalisme yang diamalkan di negara kita.

Najib dalam jawapannya di Parlimen hari ini menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan. Namun penggunaan istilah wang ehsan memberikan sedikit kebimbangan kepada saya dan tentunya rakyat Kelantan.

Saya memohon kerajaan pusat supaya tidak menggunakan istilah wang ehsan kerana apa yang termaktub di dalam perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri adalah royalti bukan wang ehsan.

Jika ianya wang ehsan maka kerajaan pusat berhak memberikan jumlahnya sesuka hati sahaja sedangkan peratusan royalti sudah jelas dinyatakan dalam perjanjian bertulis dahulu lagi.

Jadi janganlah kerajaan pusat cuba menipu rakyat dengan istilah wang ehsan dan istilah-istilah lain yang mengelirukan.
Adalah diharapkan wang royalti itu dapat diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut jadual dan amaun yang betul termasuk royalti tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

GELATIN BABI : SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN?

Siapa yang harus dipersalahkan apabila kajian membuktikan bahawa kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Mengapa kerajaan dan agensi-agensi terbabit tidak memantau perkara ini sehingga para pengguna yang beragama Islam termakan dan terpakai barangan haram ini.

Tidak cukupkah dengan dana dan duit rakyat yang diambil dari cukai yang kami bayar untuk digunakan bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku?

Semalam, Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang semalam.


JADIKAN SEMINAR 7 NOV MEDAN PERKASAKAN PAS

Saya mengharapkan Seminar Pemerkasaan Parti pada 7 Nov ini dijadikan medan untuk memperkasakan parti bukannya medan untuk mengkritik, menghentam, 'mentibai' pimpinan secara membuta tuli.

Para perwakilan disarankan bercakap dengan penuh beradab, berfakta dan berhujah dengan data dan informasi yang sahih dan tepat serta tidak meleret-leret sehingga keluar dari tajuk.

Pengalaman saya menghadiri muktamar PAS Pusat sejak 20 tahun lalu, ramai perwakilan yang berceramah politik bukannya memberikan saranan dan teguran membina di mana acap kali ucapan mereka yang mewakili negeri-negeri dan dewan-dewan terkeluar dari tajuk. Malah meleret-leret tidak tentu hala.

Adalah diharapkan kali ini kita semua dapat memberikan saranan dan teguran yang membina dalam memperkasakan parti.

Bagi saya ada beberapa perkara yang perlu disentuh, antaranya :-

1) Organisasi itu sendiri - dari struktur, fungsi dan keberkesanannya
2) Manpower/Human Resource - Adakah orang yang dipertanggungjawabkan itu sesuai dan 'perform' melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Terutama jawatan yang melibatkan lantikan seperti Setiausaha, Ketua Penerangan, Bendahari, Pengarah Pilihanraya dan lain-lain
3) Strategi dan taktik - Strategi politik dan taktik menyerang lawan dan bertahan. Termasuk dalam isu kenyataan akhbar, blog dan lain-lain
4) Komunikasi - Adakah komunikasi di dalam PAS ini efektif atau tidak. Samada komunikasi diantara pimpinan sesama pimpinan; pimpinan- ahli bawahan.

Banyak lagi yang perlu disentuh tetapi cukup setakat itu yang terfikir di saat ini.

PERSELISIHAN PENDAPAT BUKAN PERPECAHAN - PRESIDEN PAS

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa masalah dalam PAS yang didakwa berlaku sebenarnya bukan perpecahan dalaman tetapi perbezaan dan perselisihan pendapat yang boleh diselesaikan dengan kaedah yang bijaksana.
Itu antara intipati ucapan beliau pada pertemuan dengan pimpinan PAS Perak di Markaz Tarbiah PAS Air Kuning, Taiping semalam.
Datuk Seri Presiden telah menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul akibat mainan media yang sentiasa mencari peluang untuk memporak perandakan PAS.
Insya Allah perkara ini akan diterangkan dengan lebih lanjut pada Seminar Pemerkasaan Parti pada 7 Nov ini di Taman Melewar.

TUDUHAN KE ATAS MP SABAK BERNAM HANYA WAYANG KULIT

Ramai berpendapat tuduhan rasuah yang dikenakan kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri hanyalah wayang kulit untuk menunjukkan bahawa kerajaan 1Malaysia Najib komited membenteras rasuah. Sedangkan sebelum itu mereka memilih calon yang rasuah di Bagan Pinang.

Selain itu mengapa Rahman Bakri sahaja yang dituduh sedangkan berbakul-bakul bukti dan laporan dibuat terhadap Khir Toyo tetapi beliau masih bebas tanpa sebarang tuduhan. Rumahnya yang berjumlah puluhan juta pun tidak disiasat.

Adakah ini sandiwara Umno/BN dan Rahman Bakri yang dijadikan kambing hitam untuk mensucikan imej Umno yang tidur bangun baringnya atas rasuah.

Berapa ramai lagi pemimpin Umno lain yang dilaporkan rasuah oleh Ezam, PAS, DAP dan PKR semuanya terlepas.

Mengapa Ketua Menteri Melaka yang dihukum oleh Jawatankuasa Disiplin Umno tidak dihadapkan ke mahkamah setelah beberapa tahun perkara jijik itu dilakukan?

Jelas SPRM dan BN bersekongkol dalam hal ini. Pendakwaan dan pertuduhan terpilih masih diamalkan walaupun BPR sudah dinaikkan taraf menjadi SPRM.

BERSEDIA HADAPI PRK DUN PERAK

Nampak jelas kemelut politik Perak masih tidak dapat diselesaikan. Di Perak semuanya 2. 2 Dewan, 2 MB, 2 Speaker, 2 Exco, 2 Sidang dan bermacam-macam lagi. Zambry patut menggunakan slogan 2Perak.

Oleh kerana kemelut ini dilihat akan terus berpanjangan maka tidak mustahil BN akan membubarkan DUN bagi memberikan laluan kepada Pilihanraya Kecil Negeri.

Saya yakin jika BN merasakan mereka berada dalam keadaan selesa, DUN akan dibubarkan. Namun begitu BN sebenarnya takut dan tidak yakin akan mencapai kemenangan dengan majoriti kerusi yang besar.

Cuma Zambry seorang yakin akan menang selesa di DUNnya iaitu DUN Pangkor yang mempunyai pengundi pos lebih dari 50 % (kalau tidak silap).

Zambry bimbang takut-takut nanti beliau seorang sahaja yang menang. ADUN lain semua bungkus. Selain itu 3 'katak' lompat iaitu Osman Jailu, Jamaluddin Md Radzi dan Hee Yit Fong sudah tentu juga ngeri jika DUN dibubarkan kerana mereka sudah pasti tidak akan dipilih semula oleh BN untuk menjadi calon.

Berdasarkan perkembangan ini ramai meramalkan bahawa BN berada dalam keadaan 50:50 samada untuk membubarkan DUN atau tidak.

Namun kita semua perlu menggerakkan jentera dan bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

1MALAYSIA, 2 TIMBALAN PRESIDEN

1Malaysia nampaknya semakin goyah. Kalau sebelum ini Perak mempunyai 2MB, 2 Speaker, 2 Exco, 2 Sidang DUN dan 2 Setiausahan DUN kini MCA pula mempunyai 2 Timbalan Presiden.
Semuanya 2. Semalam Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengejutkan banyak pihak apabila membuat keputusan bahawa, Chua Soi Lek masih kekal sebagai Timbalan Presiden walaupun Jawatankuasa Pusat MCA telah melantik Liow Tiong Lai menggantikan beliau selepas dilucutkan jawatan. Tidak dapat dipastikan mengapa tiba-tiba ROS membuat keputusan itu, sedangkan sebelum itu ROS dilihat langsung tidak campur tangan.
Akibatnya MCA mempunyai 2 Timbalan Presiden.
Liow dalam reaksinya semalam mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.
Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Terbukti bahawa kemelut dalaman MCA tidak dapat dikendurkan walaupun bermacam cara dan pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan.
Kini MCA dilihat mempunyai 2 kumpulan baru iaitu Kumpulan Ong-Chua dan Kumpulan Liow. Yang pasti Liow sudah tentu akan berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan ahli MCA bahawa kedua-dua pemimpin MCA itu mesti diturunkan dari jawatan mereka kerana terlibat dengan kontroversi yang memalukan parti.
Sebab itulah seminggu dua ini, Liow dilihat berusaha agar satu lagi EGM dilaksanakan bagi merealisasikan cita-cita beliau untuk menggantikan Ong sebagai Presiden MCA.
Walaupun sebelum ini Liow merupakan penyokong kuat Ong sejak mereka bersama-sama memimpin Pemuda MCA kini kedua-duanya menjadi musuh pula dek kerana perebutan kuasa dan pangkat.
Manakala Chua yang sebelum ini menjadi musuh ketat Ong kerana memecatnya dari jawatan Timbalan Presiden, kini kembali menyokong Ong kerana mereka berdua tahu bahawa kedudukan masing-masing tergugat dengan hasrat Liow menjatuhkan mereka. Mahu tidak mahu mereka terpaksa berpadu untuk menentang Liow.
Situasi semasa ini sukar untuk diramal. Apa yang penting ahli MCA mesti cerdas dan matang dalam menentukan halatuju parti mereka. Bagi saya mereka mesti memilih pemimpin yang bersih dari sebarang skandal dan kontroversi. Ini penting bukan sahaja kepada MCA tetapi kepada Malaysia sendiri kerana pemimpin tertinggi MCA sudah tentu akan menjadi Menteri Kabinet yang akan mentadbir kerajaan Malaysia.

03 November 2009

AHLI PARLIMEN SABAK BERNAM WAJAR LETAK JAWATAN

Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri yang dihadapkan dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi projek yang tidak wujud wajar meletakkan jawatannya sertanya serta merta . Ini kerana integritinya jelas tertersebut. Saya yakin jika di negara barat atau Jepun, seseorang pemimpin yang dituduh rasuah sudah tentu akan meletakkan jawatannya.
Wakil rakyat Umno itu, yang juga bekas ADUN Sungai Air Tawar, dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000.
Namun begitu saya yakin Umno akan tetap mempertahankan pimpinannya walaupun terbukti mengamalkan rasuah. Buktinya jelas Isa Samad dan Ali Rustam masih segar bugar menjadi Wakil Rakyat malah masih terus menjadi Ketua Menteri.
Memang dasar Umno yang tidak bertamadun membiarkan pemimpin rasuah menjadi pemimpin rakyat.

KEMELUT MCA TERUS BERPANJANGAN

Keadaan menjadi lebih rumit sekarang. Sebelum ini Presiden MCA, Ong Tee Keat bergaduh dengan Timbalannya Chua Soi Lek sehingga Soi Lek dipecat kini, Tee Keat bergaduh pula dengan Liow Tong Lai.
Hari ini keadaan lebih rumit apabila Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan surat arahan bahawa Chua Soi Lek masih menjadi Timbalan Presiden MCA sedangkan sebelum ini Jawatankuasa Pusat MCA telah melantik Liow Tiong Lai menjawat jawatan tersebut.
Kini orang yang paling tersepit ialah Tiong Lai kerana seolah-olah beliau dipermainkan. Malah umum mengetahui bahawa Tiong Lai juga mempunyai agenda untuk mendesak MCA mengadakan satu lagi EGM bagi memberikan peluang kepadanya merebut jawatan Presiden dari Ong.
Keadaan ini benar-benar merumitkan. Ramai berpendapat bahawa kali ini Ong dan Chua akan berganding bahu menentang Tiong Lai. Ini bermakna kedua-dua pemimpin yang dilucutkan jawatan dalam EGM baru-baru akan berusaha mempertahankan jawatannya dari diragut oleh Liow.
Ong Tee Keat sudah memulakan langkah menyelamatkan dirinya apabila memecat beberapa orang kuat Liow dalam Jawatankuasa pusat.
Mesyuarat jawatankuasa itu juga dimaklumkan mengenai pemecatan empat anggota CC yang dilantik - kesemuanya penyokong Liow.

Ekoran iatu, tiga orang - Tan Chin Meng, Chua Tee Yong dan Datuk Donald Lim - dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat.

Manakala Senator Heng Seai Kie pula dilantik menggantikan Lee Wee Kiat dilantik sebagai ketua penerangan. Lee merupakan antara penyokong Liow.

Heng merupakan setiausaha agung Wanita MCA dan juga timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.
Perkembangan ini akan menyebabkan krisis dalaman MCA akan bertambah parah lebih-lebih lagi kedua-dua pemimpin MCA sekarang adalah orang yang bermasalah. Begitu juga dengan Liow yang juga dituduh mempunyai masalah.

PILIH CALON YANG ISTIQAMAH DAN TAHAN UJI

Sehingga kini sudah 5 orang ADUN PR keluar dari parti dan menyokong BN. Tidak seorang pun YB PAS yang berpaling tadah, Alhamdulillah.
Jadi jelas di sini bahawa pemilihan seseorang calon untuk bertanding pada mana-mana pilihanraya bukanlah perkara mudah dan enteng yang boleh dibuat sambil lewa dan tangkap muat sahaja.
Sebab itu saya mencadangkan mana-mana parti komponen PR yang tidak mempunyai calon yang diyakini istiqamah dan dan tahan uji boleh meminjam ahli PAS untuk bertanding atas tiket parti mereka. Umpamanya jika PKR tidak ada calon yang sesuai di sesuatu kerusi ahli atau pimpinan PAS boleh bertanding disitu dengan memakai lambang PKR (jika simbol PR masih tidak digunakan). Keadaan ini sudah lama dipraktikkan sejak pilihanraya umum 1999 lagi di mana beberapa orang ahli PAS dipinjamkan kepada PKR untuk mewakili PKR di beberapa kerusi.
Sebagai contoh pada pilihanraya umum 2008 dahulu ahli PAS iaitu Haji Abdullah telah bertanding atas tiket PKR di DUN Jelai Pahang.
Apa yang penting kita mahu disebabkan tindakan mereka berpaling tadah PR jadi haru biru sehingga kerajaan negeri pun tumbang contohnya di Perak.
Paling baru ADUN PKR Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah keluar dari PKR menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN.
Ada maklumat yang menyatakan bahawa Badrul bukanlah calon yang diyakini istiqamah namun oleh kerana tiada calon lain yang sesuai beliau dipilih juga. Begitu juga dengan kes DUN Sementa di mana Abdul Rahman Palil menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Umum 2008 kerana calon PKR menghilangkan diri. Saya yakin jika ahli PAS dicalonkan mewakili PKR Insya Allah perkara ini tidak akan berlaku. Inilah pentingnya tarbiah dan istiqamah terhadap perjuangan Islam.

PENEROKA FELDA TERUS DIBODEK

BN sudah lama sedar bahawa peneroka Felda adalah antara aset penting bagi mereka. Ini kerana peneroka Felda mudah digula-gula dan diumpan.
Di Pahang sebagai contoh lebih dari 2/3 DUN mempunyai felda. Maka memberi umpan kepada peneroka sudah tentu akan menjamin kemenangan BN di Pahang. Sebab itu Najib akan tetap memastikan peneroka Felda diberi 'makan' kenyang-kenyang. Malah dalam kawasan Parlimen Najib sendiri banyak rancangan Felda antaranya Felda Chini dan lain-lain.
Sebagai contoh DUN Bandar Jengka umpamanya hampir 100 % pengundinya adalah peneroka dan kaum keluarganya kecuali Peti Undi Bandar Pusat di mana ramai kakitangan kerajaan dan UiTM di sana.
Semalam Najib sekali lagi memberi umpan kepada peneroka Felda. Kali ini seramai 86,027 daripada 112,635 atau 76.4 peratus peneroka Felda akan menerima bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka bagi tahun 2009 yang melibatkan jumlah keseluruhan RM89.48 juta.
Najib mengumumkan perkara tersebut pada Majlis Malam Semai Bakti Felda di Kuala Lumpur malam tadi.
Namun dari maklumat yang diterima sebahagian besar wang yang dikatakan bonus sememangnya wang peneroka sendiri yang dikutip oleh Felda melalui potongan elaun/gaji bulanan Felda. Ini sama dengan apa yang berlaku pada masa dahulu di mana wang bayaran kembali peneroka kepada Felda sudah lama langsai tetapi geran masih belum dapat.
Saya yang merupakan juga seorang anak bekas Peneroka Felda amat arif tentang perkara ini.

Jadi diharapkan peneroka janganlah terlampau gembira. Periksa dahulu takut-takut nanti wang dikatakan bonus itu adalah wang kita sendiri, hak kita.

UMNO JANGAN MIMPI PAS BERPECAH

Tulisan seorang Kolumnis akhbar harian arus perdana hari ini meramalkan bahawa PAS akan berpecah teruk pada 7 Nov ini iaitu semasa Seminar Halatuju PAS di Taman Melewar.

Kolumnis itu meramalkan pertelingkahan antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi dan 'gang' masing-masing akan terserlah pada hari tersebut.

Saya ingin menjawab ramalan tersebut yang saya yakin akan meleset.

Kolumnis itu mungkin tidak perasan bahawa PAS di zaman kepimpinan Ulama' berbeza dengan zaman sebelumnya. Kami sekarang ini dipandu oleh Ulama'. Pimpinan sesama pimpinan dan ahlinya akan sentiasa dipandu oleh Al Qur'an dan Sunnah. Perselisihan dan perbezaan pendapat adalah perkara biasa namun ianya tidak akan sampai menggadaikan prinsip iaitu berpecah dan hilang kepercayaan kepada perjuangan PAS.

Pimpinan dan Ahli PAS akan tetap taat dan wala' kepada pimpinan selagi pimpinan tidak melakukan maksiat.

Perbezaan pendapat yang berlaku sekarang bukanlah atas perkara besar dan maksiat. Tetapi ia lebih kepada taktik dan strategi parti yang semuanya akan diterima jika syura' memutuskan sesuatu perkara. Sebab itu perkara ini saya yakin akan selesai dan sekarang pun hampir selesai. Cuma masalah teknikal tentang penyiasatan terhadap PAS Selangor sahaja yang masih dalam proses.

Saya yakin 2 orang Tok Guru PAS iaitu TGNA dan TGHH sentiasa berlapang dada dan boleh duduk semeja berbincang bagi menyelesaikan apa juga masalah jika ada.

Malah kedua-dua mereka sudahpun mengadakan pertemuan secara 4 mata dan hasilnya amat memberangsangkan.

Saya yakin Seminar Halatuju PAS Ahad ini akan memperkemaskan lagi gerakerja PAS bagi mendepani cabaran politik dan gerakan menjaga kebajikan rakyat.

Musuh politik PAS akan berputih jika mereka rasa PAS akan berpecah dan berkelahi. Hakikatnya merekalah yang berpecah dan berkelahi.

SEJAK BILA UMNO PENTINGKAN AGAMA?

Saya hairan dan terpinga-pinga bila Presiden Umno berkata semalam bahawa bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama. Sejak bila pula Umno pentingkan agama sedangkan sebelum ini Umno dan pemimpinnya mencemuh Islam dengan pelbagai tuduhan seperti hudud tidak sesuai, undang-undang Islam tidak boleh dijalankan di Malaysia kerana bertentangan dengan perlembagaan dan berbagai lagi cemuhan.

Tetapi dalam hal perundingan antara PAS dan Umno, tiba-tiba Umno ingin menjadi juara. Jelas bahawa Umno menggunakan Islam untuk kepentingan politik semata-mata.

Najib memberitahu semalam bahawa UMNO sentiasa mempunyai pendirian jelas bahawa selagi rundingan itu membawa kebaikan maka bersedia untuk mengadakan rundingan.

Hebat nampaknya Najib bercakap. Tetapi semua itu adalah untuk kepentingan politik Umno kerana mereka tahu jika rundingan itu berlaku sudah tentu akan berlaku perselisihan pendapat di dalam PAS. Jadi Umno untung.

"UMNO bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama, kami buat kerana tuntutan agama bukan kerana politik, itu adalah pendirian kita," kata Najib lagi pada Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Perdana Menteri berkata, rundingan antara UMNO dan Pas tidak bermakna kedua-dua pihak terikat tangan.

Semua rakyat tahu mengapa Umno terlalu kuat nafsunya untuk berunding dengan PAS. Ianya tak lain tak bukan untuk kepentingan politik Umno yang sedang terumbang- ambing selepas kekalahan pada PRU 2008 lalu.

SELAMAT BERTUGAS DATO RODWAN

Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Melaka yang baru Dato' Mohd Rodwan Mohd Yusof(kiri) yang dilantik menggantikan Dato' Mazlan Mansor(kanan).

Upacara serah tugas dilaksanakan di IPK Melaka semalam. Ianya disaksikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Latihan Bukit Aman, Dato' Mortadza Nazarene (tengah) yang juga merupakan Bekas Ketua Polis Melaka.

Selamat datang diucapkan kepada Dato Rodwan semoga beliau dapat menjalankan amanah tersebut dengan adil, saksama dan professional dalam usaha mencegah jenayah dan mengekalkan ketenteraman awam di negeri ini.

KES ASRI : JAIS WAJIB BERI PENJELASAN

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) wajib memberikan penjelasan mengapa Dr Asri ditangkap 2 malam lepas dan mengapa pula beliau tidak di dakwa di mahkamah semalam jika benar beliau bersalah.

Semua ini wajib dijawab segera untuk mengelakkan kekeliruan rakyat.

Kita harus ingat JAIS sememangnya mempunyai kuasa untuk menangkap sesiapa sahaja jika benar-benar individu terbabit melakukan kesalahan dari segi enakmen jenayah syariah negeri Selangor. Malah JAIS tidak perlu merujuk kepada kerajaan negeri atau Exco untuk menjalankan kerja-kerjanya.

Malangnya ada pihak yang seolah-olah meletakkan kesalahan dan kesilapan JAIS dibahu kerajaan negeri Selangor sedangkan JAIS mempunyai kuasa tersendiri.

Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan meminta Kerajaan Negeri menjelaskan isu ini, seolah-olah kerajaan negerilah yang bersalah atas kesilapan JAIS.

Namun begitu saya yakin JAIS akan memberikan penjelasan dalam terdekat mengapa kes ini berlaku.

02 November 2009

GESAAN 2 : SIASAT MENGAPA KAFA MELAKA GAGAL

Saya menggesa pihak berwajib mesti dipertanggungjawabkan dengan laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bahawa Program KAFA di Melaka gagal.
Dalam laporan itu Ketua Audit Negara mengjelaskan bahawa :-
  • Secara keseluruhannya, program KAFA yang dilaksanakan di peringkat negeri Melaka masih belum mencapai tahap memuaskan. Kegagalan mematuhi garis panduan yang disediakan menyebabkan wujudnya ketidakseragaman dalam pelaksanaan program KAFA secara berkesan.
  • Dari aspek tenaga pengajar KAFA, prosedur pelantikan tidak dipatuhi disebabkan tidak mengikut nisbah yang ditetapkan menyebabkan Kerajaan Negeri Melaka terpaksa menanggung perbelanjaan elaun, manakala pengurusan cuti guru adalah tidak mengikut kelayakan yang ditetapkan oleh JAKIM.
  • Dari segi pembelajaran pula, kurikulum KAFA tidak mematuhi dasar sistem pembelajaran yang disediakan oleh JAKIM
  • manakala dari segi pengurusan kewangannya didapati perbelanjaan menggunakan akaun amanah KAFA tidak mengikut prosedur dan garis panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM dan bantuan per kapita yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran tidak dibelanjakan mengikut tempoh dan matlamat pemberian. Selain itu, permohonan bantuan pembangunan dan pembaikan Sekolah Rendah Agama KAFA tidak dirancang dengan baik sehingga bertindih dengan bantuan agensi lain.

Semua pendedahan ini mesti disiasat dengan segera.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 1 : GURU KAFA TAK LAYAK DILANTIK

Kerajaan Negeri Melaka dan agensi-agensi di bawah telah melakukan kesalahan melantik Guru-Guru KAFA yang tidak layak.
Semakan Audit terhadap pelantikan guru KAFA mendapati:

i) Sehingga awal bulan April 2008 seramai 111 guru KAFA berumur antara 60 hingga
78 tahun
yang telah melebihi had kelayakan umur yang ditetapkan oleh JAKIM masih
menerima elaun tetap. ( Kelayakan : Perenggan 23 Garis Panduan Pelaksanaan KAFA menetapkan syarat kelayakan guru hendaklah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun hingga tidak melebihi 60 tahun)

ii) Seramai 145 guru KAFA hanya memiliki kelayakan Sijil Rendah Pelajaran, Darjah 5
dan Darjah 7. (Kelayakan Dan Pelantikan Guru KAFA Perenggan 23 Garis Panduan Pelaksanaan KAFA menetapkan syarat kelayakan Guru KAFA adalah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai pengetahuan serta kemahirandalam Al-Quran, Fardu Ain dan tulisan jawi.)

iii) Surat perjanjian pelantikan semua guru KAFA lantikan JAIM tidak disediakan.

iv) Had umur guru kontrak lantikan Kerajaan Negeri adalah pada usia 58 tahun
manakala guru KAFA lantikan JAIM tidak mengikut had umur tamat perkhidmatan
JAKIM pada usia 60 tahun.
Persoalannya mengapa perkara ini berlaku di mana Guru-Guru yang tidak layak dari umur dan kelulusan diterima menjadi Guru KAFA.
Saya mendesak suatu siasatan terbuka dilakukan serta merta bagi menyiasat mengapa penyelewengan ini berlaku. Jika terdapat bukti salah guna kuasa dan sebagai pihak terbabit mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

RESOLUSI KONVENSYEN PAS PERAK SESUAI UNTUK SEMUA NEGERI

Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak yang telah bersidang pada 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430 telah merumuskan beberapa resolusi.

Yang jelas resolusi ini wajar dan sesuai digunakan pakai dan dijadikan pelan bertindak di semua negeri.

Antara resolusi itu ialah :-

i. Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

ii. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

iii. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

iv. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

v. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

vi. Meneruskan prinsip 5 K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

vii. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

viii. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

ix. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan Allah swt sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

x. Jawatankuasa resolusi mencadangkan agar gagasan Pakatan Rakyat disegerakan pendaftaran diperingkat nasional dengan penggunaan 1 logo .
Sumber : Blog Episode Sebuah Perjaungan.

BEKAS MB TERENGGANU NYANYUK

Tidak semena-mena bekas MB Terengganu, Derih Jusoh yang dipecat selepas pilihanraya umum 2008, Derih Jusoh bersuara dengan kenyataan yang amat mengelirukan.

Derih menuduh penduduk di bebeberapa buah kampung di Besut mengamalkan ajaran sesat.

Mungkin Derih tersilap pandang. Agaknya beliau ingin menyatakan kerajaan langit, Ayah Pin yang sesat barat bukannya pihak yang dituduhnya itu.

Katanya, orang-orang kampung mendakwa ’dapat pahala’ jika tidur bersama dengan gambar seorang pemimpin parti pembangkang di negara ini.

"Selain tidur bersama gambar dan percaya apabila melihat gambar pemimpin berkenaan akan memperoleh pahala, penyokongnya juga ditanamkan dengan kepercayaan bahawa sekiranya bermimpi bertemu pemimpin itu maka pahala berganda akan diperolehi oleh orang tersebut.

"Ini satu perkara serius yang patut diperbetulkan kerana ia jelas telah memesongkan akidah yang bertujuan untuk mengekalkan populariti dalam politik," kata Idris kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega peringkat daerah di sini pada Sabtu, 31 Oktober, sebagaimana dilaporkan Bernama.


Saya agak tuduhan itu dihalakan kepada penyokong PAS. Jika benar maka ianya merupakan tuduhan liar yang mesti dibuktikan. Bicarakan sesiapa yang mempunyai iktikad sebegitu kerana dikhuatiri mereka akan bertambah sesat.

Namun jika tuduhan Derih itu tidak benar, maka Derih mesti memohon maaf dari orang kampung itu kerana belaiu telah membuat fitnah yang dahsyat.

Atau mungkin Derih sudah nyanyuk kerana masih sugul dengan kehilangan jawatan Menteri Besar.


MEDIA SOROK ISU SEBENAR : MASALAH DALAM BN MERUNCING

Media pengampu BN terus membongkar dan memfitnah PR dengan pelbagai isu bagi menjatuhkan imej PR supaya persepsi rakyat kepada PR merudum.

Namun hakikat sebenar sekarang ialah parti-parti komponen BN yang sebenarnya menghadapi masalah dalaman kronik. Antaranya MCA, PPP, Gerakan, MIC dan Umno sendiri.

Semalam Perdana Menteri, Najib Razak yang juga pengerusi BN sendiri mengakui bahawa BN sedang berhadapan masalah besar.

Ketika menyampaikan ucapan pada persidangan perwakilan nasional Gerakan di Cheras, Kuala Lumpur semalam, Najib Razak meminta parti komponen BN yang sedang bergelut dengan masalah dalaman, dapat menyelesaikannya dengan segera bagi menguatkan lagi gabungan itu.

"Kalau ada masalah dalaman, cepat-cepatlah selesaikan. Tunggu apa lagi? Selesaikan masalah, kuatkan BN. Pastikan kita ada landasan, halatuju dan prinsip yang jelas" katanya.

Jadi benarlah bahawa bukan PAS sebenarnya yang berhadapan dengan kemelut dalaman tetapi BN yang sedang berkecamuk dan berganyang sesama sendiri.

Malah sehari dua ini pimpinan Umno pula mendesakkan Presiden Gerakan, Koh Tsu Kon letak jawatan dari kabinet kerana dikatakan Tsu Kon gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan.

Dakwaan dan desakan ini menimbulkan kemarahan Gerakan sehingga mereka berdemo membantah desakan tersebut.

TANGKAP DR ASRI : SELESAIKAN SECARA BAIK

Saaa mencadangkan supaya pihak berkuasa agama di mana-mana negeri pun bertindak dengan hikmah dan bijaksana jika mahu menahan guru-guru agama yang sedang mengajar atau memberikan kuliah.

Kita tidak mahu melihat rakyat memandang serong dan hilang kepercayaan kepada Ustaz-ustaz dan Tuan Guru-guru.

Jika sekiranya seseorang Ustaz itu tiada tauliah tetapi mempunyai kelulusan yang diiktiraf oleh kerajaan saya kira ianya tidak menjadi kesalahan yang untuk mereka memberikan kuliah dan ceramah di mana-mana pun. Apa yang penting pihak berkuasa agama cuma perlu memantau bukannya menangkap. Jika Ustaz-ustaz mengeluarkan kenyataan songsang dan salah barulah mereka dihalang dari meneruskan ceramah atau kuliahnya.

Mungkin pihak berkuasa agama memberikan alasan tidak cukup kakitangan untuk kerja-kerja pemantauan. Bagi saya ini tidak jadi masalah kerana saya yakin jika seseorang Ustaz itu menyeleweng Insya Allah akan ada pendengarnya yang akan membuat aduan.

Bagi saya penangkapan Dr Asri oleh JAIS malam tadi boleh dielakkan jika semua pihak bertolak ansur dan memberikan kerjasama. Apa yang penting, imej ustaz-ustaz dan Tok Guru-tok guru ini mesti dijaga kerana mereka menjadi rujukan umat. Jangan kita hukum mereka tanpa usul periksa dan dakwaan yang sah dan berfakta.

Jika benar beliau bersalah dan tiada tauliah adalah lebih baik JAIS meminta ianya diberhentikan dengan memberikan masa sedikit kepada beliau menjelaskan situasi dan keadaan sebenar supaya orang ramai tidak keliru dan tidak memberikan tanggapan negatif.

Selain itu kita juga ingin melihat pihak berkuasa agama bertindak dengan penuh hikmah dan sopan santun agar integritinya dijaga.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter