1MALAYSIA, 2 TIMBALAN PRESIDEN

1Malaysia nampaknya semakin goyah. Kalau sebelum ini Perak mempunyai 2MB, 2 Speaker, 2 Exco, 2 Sidang DUN dan 2 Setiausahan DUN kini MCA pula mempunyai 2 Timbalan Presiden.
Semuanya 2. Semalam Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengejutkan banyak pihak apabila membuat keputusan bahawa, Chua Soi Lek masih kekal sebagai Timbalan Presiden walaupun Jawatankuasa Pusat MCA telah melantik Liow Tiong Lai menggantikan beliau selepas dilucutkan jawatan. Tidak dapat dipastikan mengapa tiba-tiba ROS membuat keputusan itu, sedangkan sebelum itu ROS dilihat langsung tidak campur tangan.
Akibatnya MCA mempunyai 2 Timbalan Presiden.
Liow dalam reaksinya semalam mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden MCA walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek kekal memegang jawatan tersebut.
Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat petang ini, Liow berkata, beliau ada hak untuk merayu terhadap keputusan ROS itu.

Chua dipecat dari jawatan timbalan pesiden pada 26 Ogos. Jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Chua dan sebaliknya menggantung keahlian bekas menteri kesihatan itu selama empat tahun.

Manakala Liow yang dilantik memegang jawatan nombor dua tersebut pada 15 Oktober lalu, dianggap melawan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Bercakap dalam satu lagi sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, Tee Keat berkata, mesyuarat hari ini menerima keputusan ROS mengekalkan Chua sebagai timbalan presiden.

Liow memegang jawatan timbalan presiden selama 19 hari.

Terbukti bahawa kemelut dalaman MCA tidak dapat dikendurkan walaupun bermacam cara dan pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan.
Kini MCA dilihat mempunyai 2 kumpulan baru iaitu Kumpulan Ong-Chua dan Kumpulan Liow. Yang pasti Liow sudah tentu akan berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan ahli MCA bahawa kedua-dua pemimpin MCA itu mesti diturunkan dari jawatan mereka kerana terlibat dengan kontroversi yang memalukan parti.
Sebab itulah seminggu dua ini, Liow dilihat berusaha agar satu lagi EGM dilaksanakan bagi merealisasikan cita-cita beliau untuk menggantikan Ong sebagai Presiden MCA.
Walaupun sebelum ini Liow merupakan penyokong kuat Ong sejak mereka bersama-sama memimpin Pemuda MCA kini kedua-duanya menjadi musuh pula dek kerana perebutan kuasa dan pangkat.
Manakala Chua yang sebelum ini menjadi musuh ketat Ong kerana memecatnya dari jawatan Timbalan Presiden, kini kembali menyokong Ong kerana mereka berdua tahu bahawa kedudukan masing-masing tergugat dengan hasrat Liow menjatuhkan mereka. Mahu tidak mahu mereka terpaksa berpadu untuk menentang Liow.
Situasi semasa ini sukar untuk diramal. Apa yang penting ahli MCA mesti cerdas dan matang dalam menentukan halatuju parti mereka. Bagi saya mereka mesti memilih pemimpin yang bersih dari sebarang skandal dan kontroversi. Ini penting bukan sahaja kepada MCA tetapi kepada Malaysia sendiri kerana pemimpin tertinggi MCA sudah tentu akan menjadi Menteri Kabinet yang akan mentadbir kerajaan Malaysia.

Comments