.

.

18 December 2010

TENANG : SIAPA LAYAK WAKILI PR

Satu lagi pilihanraya kecil bakal dilangsungkan Januari ini berikutan kematian ADUN kawasan Tenang, Johor.

Pada pilihanraya 2004 dan 2008, PAS telah diamanahkan untuk bertanding di kawasan itu. Kali ini parti manakah yang akan mewakili PR.

BN agak gusar juga untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut disebabkan komposisi kaum yang jelas seimbang.

Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India.

PAS PARTI PALING MATANG DAN MANTAP

Di saat parti-parti lain takut untuk mengadakan pemilihan PAS tetap dengan amalan biasanya mengadakan pemilihan parti di semua peringkat tanpa menangguhkannya.

Umno, MCA dan DAP siang-siang lagi menangguhkan pemilihan mereka demi perpaduan dan takut kepada perpecahan parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13. Namun PAS tetap meneruskan pemilihan tersebut kerana pimpinan PAS yakin pemilihan itu tidak memberi kesan kepada PAS.

Ahli dan pimpinan PAS telah ditarbiah bahawa jawatan adalah amanah yang berat bukannya kemuliaan. Amanah tersebut akan dipersoal oleh Allah satu persatu dan ianya amat berat untuk dipikul. Tidak timbul soal perpecahan kerana pemilihan dalam PAS tidak melibat rasuah, fitnah memfitnah serta jatuh menjatuh. Pemilihan dalam PAS berlaku dalam suasana harmoni dan berakhlaq.

Inilah kelebihan PAS yang Insya Allah sentiasa dipelihara oleh Allah jika kita ikhlas berjuang kerana Allah.

MONORAIL AKAN HANYA TINGGAL RAIL??

Tidak habis dengan bukti Melaka negeri maju dengan masalah banjir dan longkang yang tidak sistematik, satu lagi bukti nyata dipaparkan dengan laporan projek monorel yang mungkin bakal menyusul Eye On Malaysia yang sudah ghaib di bumi Melaka.

Projek monorel yang dibangga – banggakan oleh Ali Rustam nampaknya menjadi bukti sahih ’Melaka Maju‘; maju kehadapan berbanding negeri – negeri lain dengan projek –projek yang gagal.

Sungguh maju sehinggakan monorel yang baru dilancarkan beberapa jam terus rosak 100 meter daripada Stesen Hang Jebat. Pengendali Menara Taming Sari Sdn Bhd terpaksa menggunakan kren untuk menyelamatkan 20 penumpang yang terperangkap di dalam monorel tersebut.

Dalam temuramah dengan wartawan, Ali Rustam yang kelihatan agak ‘marah’ dengan apa yang berlaku berkata, empat jurutera daripada China sedang cuba untuk memperbaiki masalah yang menimpa monorel tersebut.

Beliau seolah – olah ‘ mengugut ‘ tidak akan membeli lagi monorel daripada negara China untuk fasa yang berikutnya jika masalah ini berterusan.

Monorel tersebut dilaporkan mengalami masalah rim tayar dan skru yang selalu rosak. Selepas Kuala Lumpur, Melaka merupakan negeri pertama yang mempunyai khidmat monorel, yang matlamat utamanya adalah untuk menarik pelancong.

Dikatakan juga monorel tersebut bakal mengatasi masalah kesesakan trafik di Bandar Hilir. Dikhuatiri projek yang bernilai 15.9 juta ringgit ini bakal mengulangi siri kegagalan kerajaan negeri menguruskan wang rakyat.

Soalnya, adakah kerajaan negeri gagal memilih syarikat yang benar – benar berkemampuan untuk melaksanakan projek berjutaan ringgit di Melaka? Kalau benarlah dakwaan ini maka pembaziran yang maha besar telah dilakukan sekali lagi oleh kerajaan UMNO / BN Melaka.

Oleh : Musab Umair
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter