26 September 2018

AZEEZ BALING PUN KENA CEKUP

Dahulu bukan main garang lagi bila tidak boleh disentuh oleh SPRM dan badan penguatkuasa lain. Kini taring dan gigi kamu sudah tumpul malah tercabut. 
Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Azeez Abdul Rahim tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk proses permohonan reman pagi ini.
Azeez tiba bersama abangnya, Abdul Latiff, serta seorang saudara mereka pada pukul 10.35 pagi ini selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketiga-tiganya memakai baju lokap SPRM berwarna jingga serta bergari serta diiringi sejumlah anggota SPRM dan polis.
SPRM menahan Azeez dan abang awal pagi semalam - dan saudaranya pada lewat malam - mengikut Seksyen 16 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Sekumpulan penyokong Umno diketuai anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Lokman Noor Adam sedia menunggu di perkarangan mahkamah, dan menyambut ketibaan Azeez dengan laungan "hidup Azeez" dan takbir'
Aziz yang merupakan bekas pengerusi Tabung Haji menjadi perhatian ramai Mei lalu apabila SPRM menyerbu hartanah yang dikaitkan dengannya di Subang Jaya, Selangor dan Kedah.
Ketika itu SPRM merampas wang tunai berjumlah RM500,000 dan jam tangan mewah.
Azeez ketika itu mendakwa wang tunai tersebut adalah milik Umno dan sebahagian daripada jam tangan itu adalah palsu.

ROSMAH : LANGIT TIDAK SELALU CERAH

Dahulu kamu berkuasa kini kamu tiada apa-apa lagi. Sebab itu bila kita berkuasa jangan kita lupa bahawa kuasa bila ditarik oleh Allah bila-bila masa.
Sehari selepas anaknya Riza Aziz, hari ini giliran Datin Seri Rosmah Mansor pula untuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dipanggil ke SPRM untuk soal siasat.
Berbaju kurung hijau, beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bersama seorang pembantu pada kira-kira pukul 9.50 pagi.
Beliau kelihatan tersenyum dan sempat berbual-bual dengan pegawai SPRM yang menunggunya di lobi.
Khabar angin kuat bertiup bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok.
Ketika ditanya tentang perkara itu, peguamnya Datuk K Kumaraendran berkata beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.
Bagaimanapun, ketika dihubungi, timbalan pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki menafikan Rosmah akan ditahan dan didakwa.
"itu tidak betul," katanya ktika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada 5 Jun lalu, Rosmah dipanggil buat kali pertama dan disoal siasat selama lima jam bagi membantu siasatan terhadap bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Akhbar New Straits Times sebelum ini melaporkan Rosmah mungkin menghadapi 20 pertuduhan jenayah tidak lama lagi.
Dua hari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata suruhanjaya itu telah menyiapkan siasatan terhadap Rosmah dan telah menyerahkan kerta siasatan ke Pejabat Peguam Negara.

23 September 2018

BILA BERKUASA PEMILIHAN 'KERUSI TERBANG' MUNGKIN BERLAKU

Peristiwa baling kerusi, merusuh dan bergaduh pada pemilihan PKR semalam merupakan suatu peristiwa yang memalukan PKR dan PH sendiri. Peristiwa ini bakal berlaku di dalam semua parti komponen PH jika ianya tidak dibendung dan dikawal. Ahli-ahli perlu dberi kefahaman tujuan dan matlamat mereka menyertai parti politik.
Kita bimbang ramai di kalangan mereka yang menyertai parti politik khususnya ahli-ahli baru (yang masuk selepas PH menang) mempunyai agenda sendiri dan kepentingan tertentu. Memang tidak dapat dinafikan ada yang menyertai parti kerana kuasa, pangkat, wang dan projek. Mereka sudah tentu mempunyai agenda sendiri untuk memenangi jawatan tertentu atau bekerja untuk memenangkan orang tertentu lantaran dijanjikan dengan wang, kuasa dan pangkat. 
Oleh kerana itu parti-parti PH mesti berhati-hati dan mengambil langkah segera bagi memberi kefahaman kepada ahli dan seterusnya membendung gejala tidak sihat ini dari menular. Kalau dahulu kita biasa mendengar pemilihan MIC dan Umno sahaja yang ada drama kerusi melayang dan tumbuk menumbuk. Kini ianya berjangkit pula kepada komponen PH.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pemilihan parti beberapa negeri semalam dan hari ini bagi memastikan pemilihan bersih.
Katanya dengan penangguhan itu, ia akan memberi ruang kepada jawatankuasa pemilihan parti bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.
“Ada kelemahan-kelemahan dalam pemilihan, sebab itu Kedah semalam dan hari ini Perak, bagi memastikan pemilihan itu bersih…Saya punya jawapan, orang yang baling kerusi itu, saya akan ‘baling’ keluar dari parti,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 anjuran PKR Api-Api hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi PKR Sabah Christina Liew.
Semalam diumumkan, proses pengundian bagi pemilihan PKR di 4 negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian berikutan beberapa masalah yang dihadapi ketika proses pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah semalam.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop.
Ismail berkata proses pengundian akan bermula pada 30 Sept di Johor seperti ditetapkan JPP, iaitu selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.
Demikian juga tarikh pengundian bagi Negeri Sembilan dan Melaka.
Anwar menegaskan, pemilihan jawatan dalam PKR sekarang merupakan perlawanan dalam keluarga dan setiap ahli parti mempunyai 1 undi dan berhak untuk mengundi sesiapapun pemimpin yang terbaik untuk menjadi pemimpin dalam PKR.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan pidato umum bertajuk “Membina dan Merealisasikan Ideologi Kesatuan Bangsa”, pada Seminar Malaysia Baharu, Anwar berkata penangguhan itu ialah untuk memantapkan sistem pemilihan yang ada.
Beliau tidak mahu ada kecelaruan berhubung sistem pemilihan itu dan JPP PKR sudah diarah memperbaiki kelemahan itu.
Sementara itu, pagi tadi Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

BN : RETAK MENANTI BELAH, MEUJU KE LUBANG KUBUR

Selepas tiada lagi laba dan material untuk dipungut kini, gabungan BN sudah hampir berkubur. Malah parti tunjang Umno itu sendiri iaitu Umno dan MCA sudah pun menuju ke alam kubur sekarang. Umum mengetahui bahawa Umno dan MCA sebenarnya sebuah parti yang tiada prinsip perjuangan sejak akhir-akhir ini sehingga kepada hari mereka disepak oleh rakyat iaitu pada 9 Mei 2018 yang lalu. 
Dakwaan kedua-dua parti itu berjuang untuk kepentingan bangsa masing-masing sebenarnya hanyalah retorik untuk mengabui mata orang Melayu dan Tionghua sahaja. Padahal hakikat sebenarnya pemimpin-pemimpin mereka hanyalah berjuang untuk kepentingan perut dan bawah perut masing-masing sahaja.
Kehancuran BN semakin menyerlah apabila hari ini media melaporkan bahawa Presiden MCA Liow Tiong Lai memberi amaran MCA mungkin akan menyingkir Umno daripada Barisan Nasional jika Umno bergerak ke arah politik teokrasi.
Bercakap pada Konvensyen MCA Selangor 2018 hari ini , Liow menegaskan Barisan Nasional perlu terus memegang prinsip kemajmukan budaya dan mempertahankan keharominan kaum di negara ini.
Beliau berkata jika Umno mengambil pendekatan kaum dan agama, Barisan Nasional akan dibubarkan atau MCA akan menolak Umno daripada gabungan itu.
"Barisan Nasional akan memegang prinsip kesederhanaan. Jika ada sebarang parti komponen termasuk Umno, bergerak ke arah perkauman, agama, teokrasi atau ektremisme, maka kami hanya memiliki dua pilihan," kata Liow dalam ucapannya.
"Pilihan pertama adalah membubarkan Barisan Nasional kerana ia sudah tidak lagi menjadi gabungan keharmonian kaum. Pilihan kedua adalah tendang Umno keluar (BN).
"Kami (MCA) adalah parti yang mengamalkan kesederhanaan, kenapa patut kami tinggalkan BN? Kenapa kami tidak boleh menyingkirkan Umno?" Kata beliau lagi.
Ketika ditanya kemudian mengenai pandangannya terhadap kerjasama terbaru antara PAS dan Umno, Liow berkata MCA tidak setuju dengan sebarang bentuk gabungan antara Umno dan PAS.
"Umno telah memberi jaminan bahawa mereka (Umno dan PAS) hanya bekerja bersama dalam isu-isu tertentu, mereka bekerjasama dalam isu-isu, mereka tidak membentuk suatu gabungan.
"Saya sebenarnya telah menyatakan pendirian ini kepada Umno bahawa kami tidak bersetuju dengan sebarang bentuk gabungan atau membawa parti itu (Umno) khususnya sebagai parti komponen BN ke arah perkauman dan agama," katanya.
Beliau menegaskan kerjasama antara parti pembangkang dalam isu-isu tertentu boleh diterima tetapi bukanlah membentuk gabungan dengan mereka.
"Kami adalah sebuah parti yang sederhana, seperti yang saya katakan, BN itu sederhana. Jika kerjasama cuma dalam isu-isu tertentu, itu biar lah kerana kami semua adalah pembangkang," jelasnya lagi.
Selepas PRU14, Parti Gerakan serta lapan parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak mengistiharkan keluar daripada gabungan yang kalah pilihan raya umum itu.
Hal ini menyebabkan BN tinggal Umno, MIC dan MCA, manakala keanggotaan MyPPP pula masih menjadi pertikaian susulan perseteruan dalaman parti itu.
Selepas Umno dan PAS menunjukkan muafakat mereka pada pilihan raya kecil di Sungai Kandis dan Seri Setia, Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi mengetuai delegasi kepimpinan tertinggi partinya ke Muktamar PAS tahun ini di Kuala Terengganu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS yang berlangsung pertengahan September lalu itu juga memberitahu anggota partinya kemungkinan PAS mengadakan kerjasama politik dengan Umno dan parti lain.

//Mkini

HANYA YANG 'KUAT IMAN' KEKAL DALAM UMNO ......NAK TERMUNTAH

TINDAKAN orang kuat Umno Kelantan Mustapa Mohamed keluar parti mungkin disebabkan terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu, kata veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan itu kerana percaya Mustapa keluar parti disebabkan faktor peribadi.
Hanya yang kuat iman sahaja yang kekal dalam Umno....itu lebih kurang maksud Ku Li dipetik dari laporan sebuah portal media atas talian hari ini.
Bila pulak Umno bercakap soal hukum halal dan haram ........sebelum ini main redah je. Salah guna kuasa, rasuah dan akhlaq dan tak ada akhlaq dan sebagainya tiada dalam kamus Umno. Bila sudah ditendang dan dihukum oleh rakyat baru terperasan. Itu pun belum perasan sepenuhnya sebab itu pemimpin yang penuh kontroversi masih diangkat berada ditampuk utama parti. 
Gambar sekadar hiasan.

UMNO BELA MELAYU ....PEMBOHONG?

Dari dahulu, kini dan konon selamanya Umno ingin membela Melayu, tetapi hakikatnya itu semua bohong dan penipuan 'atas darat'. Bayangkan lebih 60 tahun Umno menjadi tulang belakang kerajaan BN sebelum runtuh pada 9 Mei 2018, apa yang Umno lakukan? Tanah rezab melayu semakin mengecil dan hampir pupus, ekuiti orang Melayu yang digagaskan oleh DEB jauh panggang dari api untuk dicapai dan bermacam-macam lagi fakta yang jelas membuktikan Umno bukan membela Melayu tetapi meruntuh dan menjahanamkan Melayu sebenarnya.
Terbaru media yang menjadi pendokong dan pemuja Umno yang menjadi milik Umno iaitu Utusan Melayu bakal menjadi majikan yang menindas dan menzalimi pekerjanya?
Skim pemisahan sukarela (VSS) yang dilakukan Utusan Melayu (M) Berhad ke atas 800 daripada 1,500 kakitangannya adalah tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Dalam satu kenyataan hari ini yang blog ini petik dari Bernama, NUJ berkata tawaran itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa melalui proses perbincangan, mendapatkan pandangan dan input daripada NUJ.
“Kami hanya dimaklumkan cara dan formula pelaksanaan dan penyelesaiannya sejam sebelum ia diumumkan kepada semua pekerja menerusi satu taklimat semalam (Jumaat 21 Sept 2018).
“Faedah yang ditawarkan VSS itu adalah lebih rendah daripada skim pilihan terakhir yakni pembuangan pekerja (retrenchment) yang terkandung dalam perjanjian bersama kami,” kata NUJ.
NUJ menegaskan, seharusnya sebagai skim pertama, tawaran itu mestilah lebih baik.
Justeru NUJ berpendapat adalah lebih bagus jika ahli kesatuan itu menunggu pembuangan pekerja dibuat berbanding menerima VSS yang ditawarkan ketika ini.
NUJ turut mempertikaikan kemampuan syarikat itu untuk membayar penyelesaian VSS terbabit yang sudah tentu cukup mencurigakan kerana mereka menjanjikan sebulan gaji dengan tahun berkhidmat tanpa mempunyai dana yang sudah sedia ada.
“Maknanya Utusan belum mempunyai wang dan masih perlu mencari dana ketika menawarkan VSS tanpa menunjukkan dengan jelas bukti meyakinkan dari mana mereka boleh memperolehnya.
“Pembayaran pula dibuat bukan secara sekaligus (lump-sum) tetapi secara ansuran bulanan yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan.
"Secara prinsipnya ia sudah lari daripada amalan biasa VSS dan memberi risiko besar kepada ahli kami,” kata NUJ.
Justeru, NUJ mendesak Umno sebagai pemegang saham terbesar dalam Utusan menilai kembali keputusan yang dibuat pengerusi eksekutifnya Datuk Aziz Sheikh Fadzir dan melepaskan pegangan saham jika tidak mampu membela pekerja
“Apa gunanya Umno melaungkan semangat untuk membela nasib orang Melayu selama ini sedangkan pekerja Melayu di syarikatnya sendiri tidak terbela nasibnya.
“Jika ini gagal dilakukan, NUJ buat kesekian kalinya meminta Umno melepaskan pegangan sahamnya demi kelangsungan akhbar yang cukup bersejarah ini dan kakitangan yang banyak berjasa yang bernaung di bawahnya,” tambahnya.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter