Dari dahulu, kini dan konon selamanya Umno ingin membela Melayu, tetapi hakikatnya itu semua bohong dan penipuan 'atas darat'. Bayangkan lebih 60 tahun Umno menjadi tulang belakang kerajaan BN sebelum runtuh pada 9 Mei 2018, apa yang Umno lakukan? Tanah rezab melayu semakin mengecil dan hampir pupus, ekuiti orang Melayu yang digagaskan oleh DEB jauh panggang dari api untuk dicapai dan bermacam-macam lagi fakta yang jelas membuktikan Umno bukan membela Melayu tetapi meruntuh dan menjahanamkan Melayu sebenarnya.
Terbaru media yang menjadi pendokong dan pemuja Umno yang menjadi milik Umno iaitu Utusan Melayu bakal menjadi majikan yang menindas dan menzalimi pekerjanya?
Skim pemisahan sukarela (VSS) yang dilakukan Utusan Melayu (M) Berhad ke atas 800 daripada 1,500 kakitangannya adalah tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Dalam satu kenyataan hari ini yang blog ini petik dari Bernama, NUJ berkata tawaran itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa melalui proses perbincangan, mendapatkan pandangan dan input daripada NUJ.
“Kami hanya dimaklumkan cara dan formula pelaksanaan dan penyelesaiannya sejam sebelum ia diumumkan kepada semua pekerja menerusi satu taklimat semalam (Jumaat 21 Sept 2018).
“Faedah yang ditawarkan VSS itu adalah lebih rendah daripada skim pilihan terakhir yakni pembuangan pekerja (retrenchment) yang terkandung dalam perjanjian bersama kami,” kata NUJ.
NUJ menegaskan, seharusnya sebagai skim pertama, tawaran itu mestilah lebih baik.
Justeru NUJ berpendapat adalah lebih bagus jika ahli kesatuan itu menunggu pembuangan pekerja dibuat berbanding menerima VSS yang ditawarkan ketika ini.
NUJ turut mempertikaikan kemampuan syarikat itu untuk membayar penyelesaian VSS terbabit yang sudah tentu cukup mencurigakan kerana mereka menjanjikan sebulan gaji dengan tahun berkhidmat tanpa mempunyai dana yang sudah sedia ada.
“Maknanya Utusan belum mempunyai wang dan masih perlu mencari dana ketika menawarkan VSS tanpa menunjukkan dengan jelas bukti meyakinkan dari mana mereka boleh memperolehnya.
“Pembayaran pula dibuat bukan secara sekaligus (lump-sum) tetapi secara ansuran bulanan yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan.
"Secara prinsipnya ia sudah lari daripada amalan biasa VSS dan memberi risiko besar kepada ahli kami,” kata NUJ.
Justeru, NUJ mendesak Umno sebagai pemegang saham terbesar dalam Utusan menilai kembali keputusan yang dibuat pengerusi eksekutifnya Datuk Aziz Sheikh Fadzir dan melepaskan pegangan saham jika tidak mampu membela pekerja
“Apa gunanya Umno melaungkan semangat untuk membela nasib orang Melayu selama ini sedangkan pekerja Melayu di syarikatnya sendiri tidak terbela nasibnya.
“Jika ini gagal dilakukan, NUJ buat kesekian kalinya meminta Umno melepaskan pegangan sahamnya demi kelangsungan akhbar yang cukup bersejarah ini dan kakitangan yang banyak berjasa yang bernaung di bawahnya,” tambahnya.
Comments