.

.

14 June 2008

RAKYAT TERUS DITEKAN 6 DI TAHAN DI PERKARANGAN ISTANA NEGARA TERMASUK AHLI PARLIMEN

Rakyat terus menuntut hak mereka yang dicabuli oleh kerajaan. Hari ini rakyat sekali berhimpun menyatakan bantahan tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Perhimpunan di hadapan Istana Negara hari ini adalah perhimpunan anjuran penyokong Hindraf sebagai simbolik bagi mencerminkan anak-anak kepada tahanan ISA yang tidak dapat menyambutnya bersama bapa masing-masing yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Kumpulan itu termasuk 48 kanak-kanak yang membawa ‘teddy bear' untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Malangnya rakyat terus dizalimi. Mereka yang berhimpun secara aman di'kacau' oleh Polis. Enam orang, termasuk tiga ahli Parlimen PKR ditahan, dipercayai kerana mempertikaikan tindakan polis melarang sekumpulan 70 orang penyokong Hindraf berhimpun di depan Istana Negara.

Tiga ahli parlimen PKR yang ditahan itu ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Sivarasa Rasiah (Subang) dan PKR S Manikavasagam (Kapar).

Sivarasa adalah naib presiden PKR. Zuraidah adalah ketua Wanita PKR, manakala Manikavasagam pula adalah anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Tiga orang lagi ialah N Surendran (penasihat undang-undang Hindraf); Salmah Ismail (setiausaha Zuraida) dan Loude Mary (aktvis Hindraf).

TAHNIAH DEWAN MUSLIMAT NEGERI MELAKA

Saya sempat menghadiri majlis perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri hari ini bermula jam 2.30 ptg di INB Resort Ayer Keroh. Muktamar tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud merangkap AJK PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Dr Mariah dalam ucapannya mengharapkan muslimat Melaka bersedia untuk menjadi Calon Pilihanraya Umum akan datang. Muslimat, katanya, mesti bersedia dari sekarang untuk bersiap menjadi calon bagi mewakili PAS supaya nanti bila sampai masanya Dewan Muslimat tidak tercari-cari calon yang sesuai.

Selain itu beliau turut mencadangkan muslimat Melaka terjun ke tengah-tengah masyarakat bagi menangani apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat.

Pada muktamar itu juga Dewan Muslimat Negeri Melaka memilih Puan Aminah Md Saad, 73, dari Jasin sebagai Tokoh Muslimat negeri pada tahun ini. Beliau yang mempunyai 13 orang anak dan telah berjuang selama 38 tahun bersama PAS.

13 June 2008

SYARIKAT BAS AKAN GULUNG TIKAR

11 Jun 2008 lalu saya menghadiri sidang akhbar Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Melaka di Pejabat mereka di Melaka Sentral.

Pengerusinya Hj Razali Endun (gambar) menyatakan bahawa syarikat-syarikat Bas di negara mungkin gulung tikar jika sekiranya kerajaan gagal merangka suatu pelan tindakan yang dapat membantu syarikat-syarikat tersebut.

Dalam kenyataannya, Razali menjelaskan bahawa bahawa beliau sangat berdukacita di atas keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dan pada masa yang sama gagal membantu syarikat-syarikat bas untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Walaupun kerajaan menyediakan subsidi kepada pengusaha bas namun kouta yang disediakan kepada kami tidak mencukupi, malah kami terpaksa membelinya dengan harga pasaran disebabkan penggunaan melebihi kouta".

"Kementerian berkenaan telah berjanji untuk menambah kouta tersebut tetapi ianya masih dalam pertimbangan, jadi kami sekarang ini terpaksa beroperasi dengan menggunakan minyak yang dibeli pada harga pasaran" kata beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Malaysia.

Menurutnya lagi, terdapat pengusaha-pengusaha Stesyen Minyak yang meminta pengusaha bas membayar minyak setiap hari secara tunai pada harga pasaran sedangkan kouta yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak mencukupi.

Jadi pengusaha bas terpaksa berbelanja besar setiap sehingga kadang-kadang mereka terpaksa membayar minyak melebihi pendapatan harian.

Beliau memberikan contoh di mana salah sebuah syarikat bas yang menjalankan operasi antara Tampin ke Bandar Melaka yang sebelum ini membelanjakan RM160 sehari tetapi selepas kenaikan harga minyak mereka terpaksa berbelanja melebihi RM250, sedangkan kadang-kadang pendapatan harian mereka adalah kurang dari RM250.

"Jika keadaan ini berterusan tanpa apa-apa tindakan di ambil oleh kerajaan maka tidak hairan syarikat ini akan gulung tikar. Bukan syarikat ini sahaja menghadapi situasi ini, malah semua syarikat bas di seluruh negara terpaksa menghadapi masalah yang sama".

"Kami naikkan tambang sesuka hati bas kami kena sita, tak naikkan tambang syarikat kami akan 'tutup kedai', jadi kedua-duanya menyebabkan syarikat akan ditutup" tambah beliau lagi. Ditanya apa tindakan yang mungkin di ambil jika sekiranya kerajaan gagal menangani isu ini, beliau berkata kemungkinan banyak syarikat bas terpaksa menghadkan laluan atau mengurangkan kekerapan perjalanan bagi mengurangkan kos operasi.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan yang syarikat-syarikat bas akan memberhentikan operasi mereka dalam masa terdekat. "Kita akan tetap berkhidmat kepada orang awam, sekarang ini pun kami sudah menanggung kerugian tetapi atas dasar tanggungjawab kami terpaksa meneruskan operasi walaupun perkhidmatan kami mungkin tidak lancar, cuma kita harap kerajaan prihatin kepada masalah kami" kata beliau dengan nada kesal.

Haji Razali juga berpendapat bahawa kenaikan tambang dan peningkatan kouta subsidi kepada syarikat-syarikat bas tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Sebaliknya beliau menyarankan supaya kerajaan menyediakan 'master plan' yang lebih menyeluruh untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di negara kita.

Pengusaha bas, katanya, bukan sahaja berhadapan dengan masalah kenaikan harga minyak malah mereka juga sekarang ini dibebankan dengan kenaikan harga alat ganti, tayar (sudah 3 kali naik tahun ini), insurans dan sebagainya yang jelas gagal dikawal oleh kerajaan.

Beliau juga melahirkan kekesalan atas tindakan kerajaan negeri yang membenarkan Bas Panorama yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri yang pada asalnya untuk mengangkut pelancong, tetapi sekarang dibenarkan mengambil penumpang di kalangan orang awam pula.

Lebih malang lagi katanya syarikat tersebut tidak mempunyai kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). "Persatuan telah membuat laporan kepada JPJ tetapi sehingga sekarang tiada tindakan konkrit yang diambil oleh pihak berkenaan.

Sedikit sebanyak syarikat ini telah menjejaskan pendapatan ahli-ahli persatuan kami" tambah Razali. Selain itu Haji Razali juga mengharapkan sistem pengangkutan awam tidak dicampuri oleh orang-orang politik yang akhirnya akan menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk mendapatkan permit dan sebagai.

Beliau memberikan contoh di mana baru-baru ini beberapa permit teksi individu diluluskan di Kuala Lumpur sedangkan sebelum ini ia telah dibekukan. "Kita bimbang sekiranya pengaruh orang politik ini menular dalam pengangkutan awam maka tujuan kita menghasilkan sistem pengangkutan awam yang terbaik akan terjejas disebabkan pengaruh mereka mungkin mengatasi undang-undang yang sedia ada" tegas beliau.

Sementara itu Jaafar Atan, 50, dari Syarikat Bas Jebat Ekspres, menyokong penuh saranan dan keluhan yang dinyatakan Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Melaka yang mencadagkan kerajaan menyediakan satu 'master plan' yang komprehensif bagi menangani masalah kenaikan harga minyak ini.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menaikkan kouta subsidi minyak 100 % berbanding dengan kouta sebelum ini. Menurutnya sekarang ini syarikatnya menggunakan kira-kira 99,900 liter sebulan berbanding dengan kouta yang diberikan oleh kerajaan sebanyak 48960 liter sebulan. "Kami terpaksa berbelanja sekaliganda lebih dari kouta yang diberikan setiap bulan, sebab itulah saya mencadangkan kouta dinaikkan 100 %" kata Jaafar.

Rakan beliau, Rasul Mohamad, 51 mendakwa bahawa jika sekiranya keadaan ini berterusan tanpa sebarang tindakan diambil menaikkan kouta tersebut kemungkinan besar syarikatnya terpaksa menghadkan operasi hanya pada minggu iaitu Sabtu, Ahad dan Isnin. Ini kerana katanya, pada hari-hari tersebut sahaja bilangan penumpang yang agak ramai berbanding hari-hari lain.

Kesemua syarikat-syarikat bas yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Melaka menyokong penuh apa juga saranan dan cadangan persatuan tersebut dan berharap kerajaan membuat keputusan terbaik demi masa depan pengangkutan awam di Malaysia.

Persatuan Pengusaha-pengusaha bas Melaka dianggotai oleh 10 syarikat bas henti-henti dan 3 syarikat bas ekspres iaitu Syarikat Jebat Ekspress, SKA Ekspres dan Malacca-Singapore Expres.

BERSAMA RAKYAT MENENTANG KENAIKAN HARGA MINYAK

Hari ini 13 Jun 2008 bermula 2.30 petang saya sempat bersama-sama rakyat Malaysia menyertai demonstrasi anjuran DPP Pusat dan Pemuda Pakatan Rakyat.

Demo ini bertujuan untuk menzahirkan penentangan rakyat terhadap keputusan zalim dan bodoh kerajaan Islam Hadhari menaikkan harga minyak baru-baru ini.
Berpusu-pusu rakyat Malaysia berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru sehingga ke tengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur.

Rakyat Malaysia yang berada di bahu-bahu jalan, pekedai dan pelanggan-pelanggan semuanya secara terbuka memberikan sokongan. Malah pelacur-pelacur, mak nyah-mak nyah dan pelanggan-pelanggan mereka yang mengintai dari tingkap-tingkap hotel murah sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Tengku Abdul Rahman dan sekitarnya juga memberikan sokongan mereka.

Pendekata seluruh rakyat bersatu menentang kenaikan harga minyak yang sudah pasti mencengkam rakyat.

Ayuh Pak Lah undurLAH kalau kamu sudah tidak tahu untuk mentadbir negara sehingga rakyat semakin tertekan dan menderita.
------------------------
Laporan Pemudawilayah
Demontrasi Aman yang menghimpunkan pemuda-pemuda Pakatan dan rakyat pada hari ini berjaya mencapai matlamatnya iaitu menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat dalam dan luar negara terhadap kezaliman Barisan Nasional yang menaikan harga minyak minggu lepas.
Himpunan bermula dari Masjid kg. Baru kira-kira jam 2 petang dengan dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub bersama Hj. Mohamad Sabu, Ust. Idris, Syed Azman, Ust. Nuridah, Dr. Lo’lo’, serta Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Jonah@Khairul Annuar Ahmad Zainudin dari Angkatan Muda Keadilan.

Sekitar 5,000 orang menyertai himpunan ini dan pihak Polis yang menerima laporan bahawa perarakan akan berlangsung hingga ke Suria KLCC telah mengambil tempat.Laluan untuk memasuki jalan Raja Abdullah disekat berhampiran pintu keluar masjid. Untuk itu rancangan untuk ke KLCC dibatalkan dan himpunan berarak memasuki jalan Raja Alang di Chow Kit dan Keluar di Jalan Batu untuk menuju ke Sogo.

Rancangan berkenaan dilakukan bagi memastikan perarakan dapat dijayakan. Suria KLCC adalah rancangan di atas kertas yang akhirnya menyebabkan laluan alternatif menjadi lebih mudah tanpa gangguan Polis.

Pada pagi tadi, penganjur difahamkan bahawa pihak Polis telah mengadakan beberapa sekatan sepanjang laluan hingga ke KLCC dan terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa sekumpulan samseng yang diupah pihak tertentu menanti di KLCC untuk melakukan rusuhan.
Kita merancang, Allah Merancang dan perancangan Allah itu lebih baik. Maka pelan altenatif digunakan dan perarakan berlangsung dengan aman.

Tak sampai 100 orang anggota polis mengikuti perarakan ini kerana ramai yang berkumpul dilaluan sekitar Jalan Sultan Ismail hingga ke Jalan Ampang.

Laungan “BN..Barang Naik” dan “Turun….Turun…Turun BN” membakar kehangatan tengahari yang ternyata tidak mampu melunturkan semangat para demonstran.

Dalam ucapan pimpinan, Salahuddin menyatakan bahawa rakyat perlu bangkit dan membantah kenaikkan ini sebelum Barisan Nasional terus menerus mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesukahati.

Kerajaan BN dituntut untuk menurunkan harga barang dan rakyat akan teruskan melancarkan kempen PROTES sekiranya pemimpin BN terus bersikap angkuh.

Para demontran mengambil tempat di petak kuning berhadapan dengan Sogo bagi mendengar ucapan pimpinan. Lebih 20 minit, himpunan dilakukan disitu dan pihak polis langsung tidak menganggu himpunan. Mereka hanya memerhati dari jauh sambil turut mendengar ucapan dari para pimpinan.

Selepas sahaja Ust Idris habis memca doa, perarakan diteruskan hingga ke Pejabat Agung Pas di jalan Raja Laut.

Sebelum himpunan bersurai, Salahuddin mengingatkan semua agar dapat mengajak lebih ramai lagi rakyat untuk bersama dalam Himpunan Sejuta Rakyat Membantah Kenaikkan Minyak pada 5 Julai nanti.

Para demonstran ternyata berpuashati kerana dapat menyertai Himpunan ini dengan baik walaupun pada awalnya diwar-warkan seperti akan berlaku tangkapan dan adegan kejar mengejar dengan Polis.

Kita memahami bahawa Malaysia negara demokrasi, dan ini adalah sebahagian dari demokrasi yang dituntut rakyat iaitu untuk didengar suara serta pandangan walaupun dari kaki lima.

12 June 2008

CERAMAH AHLI PARLIMEN KOTA RAJA DI BUKIT KATIL 14 JUN

Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) akan berceramah di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil pada 14 Jun 2008 bermula pada jam 9.00 malam.

Beliau akan berceramah bersama-sama dengan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.


Dijangkakan ceramah ini akan mendapat sambutan hangat kerana sekarang banyak isu-isu nasional yang benar-benar menekan rakyat.



Seluruh rakyat Melaka dijemput hadir.

AYUH KE KL DEMO BANTAH HARGA MINYAK ESOK


Wahai sekelian rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak, ayuh tunjukkan bantahan kita semua esok di Masjid Kg Baru bermula jam 2.30 petang. Para Demonstran akan berarak terus ke Suria KLCC.

Tunjukkan kepada kerajaan BN yang tidak berhati perut bahawa semua rakyat menentang kenaikan harga minyak.

Ayuh Tuan-Tuan dan puan-puan, kecil besar tua muda tidak mengira agama dan warna kulit kita semua telah dizalimi.


Laporan Malaysiakini :


Pemuda PAS bersama pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat akan mengadakan perarakan besar-besaran sejauh lebih dua kilometer Jumaat ini.Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman mendadak kenaikan harga minyak sejak seminggu lalu.


Beberapa demonstrasi kecil pernah diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


Dianggarkan beberapa ribu orang akan hadir Jumaat ini bersama ketua-ketua pergerakan Pemuda Pakatan, antaranya Salahuddin Ayub dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter