.

.

12 June 2009

PRK MANEK URAI : KEIKHLASAN TOK GURU DAN ALLAHYARHAM PAK SU WEI BAKAL BENAMKAN BN

PRK Manek Urai akan menjadi ujian pertama buat Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Stopa Mamat. Kalau sebelum ini Stopa dikatakan hebat apabila hampir menumbangkan PAS pada PRU 2004, kini tugas berat Stopa untuk mengalahkan PAS di Manek Urai.

Stopa sudah pasti ngeri untuk berdepan dengan PAS di Manek Urai kerana DUN ini merupakan antara kubu kuat tradisi PAS. Sewaktu PAS tewas teruk pada PRU 1978 di mana PAS hanya tinggal 2 kerusi, rakyat Manek Urai tetap mengundi PAS bersama-sama dengan pengundi di DUN Sering dalam Parlimen Pengkalan Chepa.


Bayangkan betapa setianya rakyat Manek Urai kepada PAS berbanding rakyat di kawasan lain.

Kekalahan PAS di Manek Urai pada PRU 2004 bukan kerana kebencian rakyat kepada PAS sebaliknya mereka terpesona dengan ‘aura’ Imam Hadhari. Itupun PAS hanya tewas dengan majority 53 undi sahaja. Malah ramai yang menjangkakan jika Allahyarham Pak Su Wei bertanding pada PRU 2004 di DUN tersebut PAS akan tetap menang.

Kini rakyat di Manek Urai akan diuji lagi samada mereka tetap setia kepada perjuangan Islam yang menjadi tonggak kerajaan PAS Kelantan atau terpedaya dengan slogan retorik 1Malaysia yang entah dari mana asalnya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan siang-siang lagi sudah berlakon di hadapan rakyat Manek Urai apabila melakonkan watak Penoreh Getah bersama-sama menoreh di Manek Urai malah tidur di rumah rakyat.
Selain itu jentera kerajaan sudah dikerah ‘menghabiskan’ duit rakyat untuk memenangkan BN. Guru-guru Kemas, pegawai-pegawai dan kakitangan Kemas sudah keluar masuk kampong ‘mencula’ kecenderungan pengundi di samping menjanjikan habuan segera untuk rakyat. Syaratnya mereka mesti mengundi BN barulah habuan itu akan diberi.

Selepas ini ‘Santa Klaus’ akan beramai-ramai turun ke Manek Urai seperti juga yang mereka lakukan di kawasan-kawasan lain yang terjadinya Pilihanraya Kecil. ‘Santa Klaus’ akan membawa apa juga hadiah yang mereka fikirkan mampu mencairkan hati pengundi untuk memangkah BN. Tidak cukup dengan hadiah-hadiah segera mereka juga akan menjanjikan projek-projek hebat dan segera kononnya untuk kesejahteraan rakyat. Mengapa sebelum ini mereka tidak melakukan perkara yang sama? Bila YB meninggal baru mereka terhegeh-hegeh bertemu rakyat.

Saya yakin rakyat di Manek Urai tidak akan lupa jasa dan budi Allahyarham Pak Su Wei yang sudah lama menjadi penyejuk hati dan pembela mereka di kala duka. Selain itu Program Syiar Islam, projek pembangunan, program kebajikan kerajaan negeri Kelantan seperti Ladang Rakyat, Takaful Kifaalah, Bantuan Armaalah dan sebagainya sudah sebati dengan mereka dan tidak akan disia-siakan mereka.

Keikhlasan Tuan Guru Nik Aziz dan Allahyarham Pak Su Wei tetap akan dikenang mereka berbanding dengan lakonan manja Stopa Mamat dan Ahmad Maslan yang hanya dilakukan pada musim pilihanraya.

Saya yakin lakonan Stopa dan Ahmad Maslan hanya tidak akan meninggalkan kesan kepada rakyat Manek Urai bahkan mungkin mereka semakin meluat dan muak serta mual dengan lakonan kaku mereka.

ORANG TIONGHUA MASIH SANGSI DENGAN KERAJAAN PERPADUAN DAN HASRAT PAS UNTUK MENJADI SOLO

Saya diberitahu bahawa beberapa orang Tionghua menyatakan kekesalan mereka terhadap laporan media yang mereka baca iaitu PAS berhasrat untuk meneruskan kerajaan perpaduan.

Apabila diberitahu kepada mereka bahawa PAS tidak pernah berhasrat dan bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno, mereka tidak percaya.

Salah seorang peniaga Tionghua yang ditemui dengan jelas memberitahu bahawa orang Tionghua membaca banyak suratkhabar berbahasa Mandarin. Semua akhbar itu melaporkan bahawa PAS berhasrat untuk bersama-sama dengan Umno menubuhkan kerajaan perpaduan dan juga menanamkan cita-cita untuk menjadi solo.

“Olang Cina baca manyak sulat khabar bukan Utusan, suma sulat khabar Cina cakap itu macam, sulat khabar Cina tatak tipu macam Utusan”

“PAS mau jadi taiko ka, sulah kuat mahu jadi taiko” kata Taukeh tersebut.

Susah juga untuk kita menjawab persoalan yang ditimbulkan taukeh tersebut.

Kepada para tetamu blog ini jika anda diajukan soalan yang sedemikian rupa katakan dengan tegas bahawa pemimpin PAS sudah pun membuat kenyataan bahawa KERAJAAN PERPADUAN TIDAK AKAN DITUBUHKAN, SEBALIKNYA PAKATAN RAKYAT AKAN DIPERKUAT DAN DIPERKUKUHKAN LAGI.

Katakan pada mereka bahawa pemimpin PAS, DAP dan PKR akan menyelesaikan kekeliruan ini, jangan bimbang. Isu ini hanya menjadi besar setelah media dan musuh kita memperbesar-besarkannya demi masa depan survival politik mereka.

TUTUP MULUTMU WAHAI PEMIMPIN UMNO

Saya menggesa pemimpin Umno menutup mulut dari membicarakan tentang kerajaan perpaduan kerana isu tersebut sudah berakhir dengan kenyataan tegas pemimpin PAS dalam Harakah terbaru.
Isu seperti PAS akan menimbangkan kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno tidak berbangkit lagi.
Jika ianya dibangkit dan diungkit lagi oleh pemimpin Umno maka terbukti mereka memang pekak badak bertelinga satu dan bermata buta.
PAS dengan jelas menafikan semua dakwaan pemimpin Umno bahawa PAS berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.
Media pula mesti menghentikan isu ini serta merta sebelum tindakan tegas diambil oleh pemimpin dan ahli PAS.

11 June 2009

PASCA MUKTAMAR : MATA BERPINAR MENCARI SAHABAT LAMA

Setiap kali muktamar PAS Pusat berlangsung mataku berpinar mencari kelibat sahabat-sahabat lama yang hebat 'berjuang' di Kampus dulu.
Ada antara mereka menjadi Presiden MPP, PMI dan pimpinan tertinggi jemaah dan Persatuan-persatuan utama di kampus. Ada yang bergelar Amir, Ameerah dan sebagainya.
Namun kemana menghilangnya mereka ini.
Seperti biasa setiap kali muktamar sahabat-sahabat lama yang saya jumpa hanyalah Zuhairi Zubit (Setiausaha PAS Kawasan Pokok Sena), Raj Munni Sabu (Exco DMP Pusat), Rahman Sidek (NYDP PJS), Adnan Rahmat (AJK Parit Buntar), Ariffin Deraman (PAS Kuala Terengganu), Pok Ya, Ba (Gaal), Maznah MZ, Nasiaq dan seorang dua lagi, yang lain mana perginya?????? !!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Tahniah juga kepada Abang Azli Jupri, Kak Wan Rohani kedua-duanya pimpinan PAS Pengerang yang terus istiqamah di dalam perjuangan. Mungkin sahabat lain juga masih bersama-sama berjuang tetapi tidak berkesempatan untuk hadir dalam Ijtimak 'Muktamar' yang hanya dilangsungkan sekali setahun ini.
Rindu rasanya untuk bersua muka dengan mereka ini. Kalau dahulu mereka adalah naqib, naqibah yang hebat dengan jihad dan pengorbanannya apakah semangat tersebut masih segar bugar dalam diri mereka.
Apakah mereka lupa akan bai'ah semasa di Kampus dulu.? Susah senang kita mesti istiqamah dengan perjuangan menegakkan Islam.
Mungkin kereta besar, jawatan besar, bini besar, duit banyak, mahligai besar dan serba serbi besar maka perjuangan menegakkan Islam dilihat sebagai kecil dan remeh.
Kita dianugerahkan Allah dengan otak yang cerdik dan pintar, rezeki yang mudah, masa yang banyak, kenderaan yang hebat dan lain-lain, wajar dan wajib untuk kita berkorban untuk jemaah.

Apakah kita menunggu sudah pencen baru hendak berjuang iaitu di saat, gigi sudah tiada, badan asyik sakit, penyakit 3 beradik sudah menjadi sahabat baik dan sebagainya. Kalau itulah cita-cita kita maka ianya amat malang kepada kita semua.
Tarbiah yang kita terima di kampus dulu hanyalah sekadar untuk ilmu tetapi bukan untuk diamalkan.
Pesanan sebenarnya saya tujukan kepada diri saya sendiri yang amat dhaif ini. Namun begitu kalau sahabat-sahabat saya terbaca keluhan dan rengekan ini anggaplah ia sebagai hadiah dari seorang sahabat kepada dirinya sendiri dan juga kalian semua.
Mohon Ampun kepada Allah S.W.T dan maaf dari semua pembaca ....termasuk sahabat-sahabat yang mengenali saya.

ISU KERAJAAN PERPADUAN : TAHNIAH KEPADA PIMPINAN PAS

Tahniah diucapkan kepada pimpinan PAS, Dato Mustafa Ali dan Ustaz Nasaruddin Mat kerana telah membuat kenyataan yang tegas, tepat dan mudah difahami oleh rakyat seperti yang disiarkan oleh Harakah edisi terbaru (Bil 1446) yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan yang jelas dan tegas dari kedua-dua pemimpin tersebut berbunyi :-


1) PAS berpendirian bahawa PAS dan Pakatan Rakyat mesti diperkukuhkan

2) PAS tidak pernah mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan Umno dan BN

3) Polimek berhubung KERAJAAN PERPADUAN perlu dihentikan serta merta

4) Isu KERAJAAN PERPADUAN tidak relevan, mengelirukan dan tidak wajar ibincangkan oleh pemimpin parti di semua peringkat

5) Presiden PAS akan menjelaskan kekeliruan berkenaan KERAJAAN PERPADUAN kepada pemimpin PR

Sesungguhnya kenyataan tegas, padat dan matang inilah yang ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat bagi menamatkan kekeliruan yang timbul akibat serangan media dan jentera Umno/BN yang menggila.

Terbukti pemimpin PAS matang, terbuka dan sensitif terhadap kebimbangan dan kegelisahan rakyat tentang isu ini.

Apa yang jelas PAS adalah sebuah parti politik dan badan dakwah yang terbuka dan sentiasa mengambil kira kepentingan umum. Pintu perbincangan dan dialog terbuka kepada sesiapa sahaja dengan tidak mengira agama, ideologi dan warna kulit.

Syabas diucapkan kepada pemimpin dan ahli PAS yang matang dan hebat.

BN HADAPI SATU LAGI MIMPI NGERI?

ADUN Jawi dari DAP, YB Tan Beng Huat mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai ADUN kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng.
Surat tidak bertarikh itu dikemukakan untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri itu mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

“Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti,” kata Pengerusi DAP Pulau Pinang YB Chan Kon Yeow pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri di Pulau Pinang hari ini.

Tan diminta mengemukakan surat perletakan jawatan tersebut berikutan dakwaan Ketua Bahagaian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.
Teh membuat tuduhan tersebut semalam.

Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau berharap parti itu akan menyiasat perkara itu secara saksama bagi membersihkan namanya.
Namun Tan terbukti menghormati konsep CAT yang diamalkan oleh kerajaan negeri.
Inilah bezanya wakil rakyat PR dengan BN, di mana wakil rakyat contohnya Ali Rustam walaupun terbukti rasuah tetapi masih tidak mahu meletakkan jawatan. Tetapi wakil rakyat PR walaupun baru dituduh mereka telahpun sudi untuk meletakkan jawatan.
Jika tuduhan ini benar selepas siasatan dibuat maka sudah tentu BN akan menghadapi satu lagi mimpin ngeri selepas tewas pada 5 PRK sebelum ini. BN juga bakal kalah untuk kali keenam di Manek Urai pada 14 Julai ini.

TAHNIAH KEPADA MEREKA YANG DILANTIK ANGGOTAI 'KABINET' BARU PAS

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pimpinan yang dilantik menganggotai ‘kabinet’ baru PAS sessi 2009/2011 yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden PAS semasa mesyuarat AJK PAS Pusat yang pertama hari ini.

Dato Mustafa Ali dan Ustaz Idris Ahmad masing-masing dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan PAS yang baru manakala Dr Mohd Hatta Ramli dan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman masing-masing dilantik sebagai Bendahari dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat.

Selain itu kedua-dua calon Timbalan Presiden yang tewas iaitu Dato’ Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu dilantik sebagai AJK bersama-sama dengan Anuar Tahir, Dr Siti Mariah Mahmud.
Manakala YB Mohd Taufek Abdul Ghani dan YB Wan Ubaidah Omar merupakan 2 muka baru yang dipilih menganggotai 'Kabinet' baru PAS sessi 2009/2011 ini.

Saya yakin kabinet yang diumumkan oleh Presiden ini mampu membawa kegemilangan PAS yang sekarang merupakan antara parti yang sedang menganggotai kerajaan menanti.

10 June 2009

PASCA MUKTAMAR : ORANG PAHANG SANGAT BERBESAR HATI

Sebagai insan yang berasal dari Pahang, diriku turut terasa tempias pengiktirafan para perwakilan memberikan amanah yang besar kepada pemimpin yang berasal dari Pahang. Kini 2 sayap utama PAS diterajui oleh Pahang iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat masing-masing diterajui oleh Ustaz Nasruddin Tantawi yang berasal dari Keratong, Pahang dan Ustazah Nuridah Salleh yang berasal dari Pekan, Pahang Darul Makmur.
Malah orang nombor 3 iaitu Naib Presiden terkanan yang mendapat undi tertinggi juga dari Pahang iaitu Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Jelas sekali PAS Pahang mendapat kepercayaan yang tinggi dari perwakilan semasa muktamar baru-baru ini.
Saya sebagai anak Pahang juga bersyukur dengan perkembangan ini dan amat berharap PAS akan berkembang maju di Pahang bukan sekadar mendapat 2 kerusi di DUN iaitu DUN Kuala Semantan dan Beserah yang dimenangi oleh kedua-dua YB berketurunan Syed (Syed Hamid dan Syed Mohamad).
Selamat Maju Jaya kepada Dato' Tuan, Ustaz Nasruddin dan Ustazah Nuridah serta seluruh kepimpinan dan ahli PAS Pahang.

PPSMI BELUM SELESAI, TIMBUL ISU BARU PULA

Memang jelas kerajaan OneMalaysia pimpinan Najib bercelaru dan caca marba. Seperti juga sikap mentornya Mahathir yang memperkenalkan dasar PPSMI tanpa kajian teliti dan professional, kini kerajaan OneMalaysia juga mahu mengubah sistem dengan mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Di saat rakyat bermati-matian membantah PPSMI kini kerajaan menambahkan lagi beban kepada pelajar terutama pelajar luar bandar yang sememangnya lemah dalam Bahasa Inggeris.
Tidak mustahil jika dasar mewajibkan pelajar lulus subjek English ini diterima pakai akan lebih ramai lagi pelajar luar bandar yang tercicir kerana kandas SPM disebabkan mereka tidak lulus subjek English.
Maka saya mengharapkan kerajaan membuat kajian terperinci sebelum mengamalkan dasar ini. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran.

LANGKAH-LANGKAH PERLU UNTUK JERNIHKAN SUASANA

Berikut adalah cadangan saya kepada pimpinan PAS bagi menjernihkan suasana keruh berkait dengan isu kerajaan perpaduan :-
  • Sila buat satu kenyataan rasmi bahawa PAS TIDAK AKAN BERGABUNG DENGAN UMNO/BN menerusi apa yang dipanggil KERAJAAN PERPADUAN. PAS juga TIDAK ADA CITA-CITA UNTUK BERGABUNG DENGAN UMNO. Jelaskan bahawa keputusan untuk berbincang dengan Umno tentang Kerajaan Perpaduan tidak pernah diputuskan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat.
  • Setelah kenyataan rasmi ini dibuat HENTIKAN SEBARANG KENYATAAN tentang Kerajaan Perpaduan.
  • Hantar surat rasmi kepada semua media supaya tidak lagi membangkitkan isu ini. Jika ianya dibangkitkan maka ianya bukan kenyataan rasmi dari PAS dan jika ada unsur-unsur fitnah dan tohmah berkenaan dakwaan PAS mahu bergabung dengan Umno melalui KERAJAAN PERPADUAN, maka PAS mesti mengambil tindakan undang-undang.
  • Surat Rasmi hendaklah dihantar kepada seluruh PAS Kawasan dengan menyatakan PAS TIDAK ADA-ADA CITA-CITA UNTUK BERGABUNG DENGAN UMNO melalui KERAJAAN PERPADUAN.

Ini sekadar cadangan peribadi dari saya.


Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.

KENANGAN MUKTAMAR PAS KE 55











Gambar saya sedang update blog mutaligat.
Terimakasih kepada jurukamera Choo Choy May yang mengambil gambar ini dan menghantar kepada saya melalui email.

Moga berjumpa lagi pada muktamar tahun hadapan.




HUSAM - SETIAUSAHA, MAT SABU - KETUA PENERANGAN ?

Cadangan Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub agar Husam Musa dan Mat Sabu dilantik sebagai anggota Dewan Hairan mendapat reaksi yang baik dari pelbagai pihak. Tinjauan spontan saya mendapati rata-rata ahli dan penyokong PAS bersetuju dengan cetusan dan idea kedua-dua bekas Ketua Dewan Pemuda PAS tersebut.
Ada antara mereka yang mencadangkan supaya Husam dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan Mat Sabu dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat.
Atau salah seorang dari mereka boleh dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Bendahari Agong PAS Pusat. Untuk jawatan ini Husam dilihat sesuai kerana latarbelakang pengajian dan minatnya dalam bidang ekonomi.
Andaikata pimpinan tidak melantik mereka saya kiran PAS akan rugi besar kerana kedua-dua mereka merupakan pemimpin yang amat disegani bukan sahaja di Tanahair malah di peringkat antarabangsa.
Apapun semua cadangan di atas hanyalah lontaran idea dan cetusan terpulang kepada pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

SOKONG HUSAM DAN MAT SABU DILANTIK ANGGOTA DEWAN HARIAN

Saya menyokong penuh cadangan 2 Naib Presiden PAS yang baru iaitu YB Mahfuz dan YB Salahuddin agar kedua-dua calon Timbalan Presiden yang tewas pada pemilihan baru-baru ini dilantik menjadi anggota Dewan Hairan PAS Pusat.
Mahfuz dan Salahuddin membuat kenyataan itu seperti yang disiarkan dalam Harakahdaily hari ini.
Sesungguhnya tenaga, idea dan jihad Husam dan Mat Sabu amat diperlukan oleh PAS kerana kedua-dua tokoh tersebut dihormati oleh kawan, lawan dan seluruh rakyat Malaysia.
Mereka boleh dilantik sebagai Setiausaha Agong, Ketua Penerangan dan Bendahari. Kedua-duanya boleh menduduki mana-mana jawatan yang difikirkan sesuai untuk mereka.
Kedua-duanya juga mendapat sokongan sebahagian besar dari perwakilan di mana undi yang mereka perolehi jika dicampurkan melebihi undi Ustaz Nasaruddin Mat Isa.
Tidak syak lagi cadangan ini wajar diambil perhatian serius oleh Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden serta juga anggota majlis syura ulama'.

RAKYAT TOLAK KERAJAAN PERPADUAN

Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Ramli Dalip menyatakan kekesalan dengan laporan sebuah media arus perdana Rabu lalu yang melaporkan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini telah mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.
Laporan tersebut dimuatkan dimuka depan akhbar berkenaan. Ramli berkata setahu beliau idea penubuhan kerajaan perpaduan tidak langsung disentuh oleh Presiden PAS sebaliknya ucapan dasar tersebut dengan jelas menggariskan supaya Pakatan Rakyat di perkukuh dan diperkemaskan.
"Ternyata akhbar arus perdana tersebut mempunyai niat jahat untuk melaga-lagakan pemimpin dan ahli PAS serta juga cuba mengeruhkan perpaduan di dalam PR".
"Akhabr ini memang tidak bertanggungjawab dan cuba mencari peluang untuk mengelirukan rakyat dengan berita-berita yang tidak benar dan berunsur fitnah" kata Ramli.
Sementara itu rata-rata ahli-ahli PAS di negeri ini menolak gagasan kerajaan perpaduan yang diwar-warkan oleh media arus perdana sejak sebelum muktamar sehingga sekarang. Seorang pesara Haji Yassim Musa, 56 dari Paya Dalam menyatakan kekesalan beliau dengan isu ini kerana ianya ternyata menyebabkan rakyat dan terkeliru.
"Sekali nak kuatkan PR sekali dan bentuk kerajaan perpaduan mana satu yang betul ini"
"Beliau mengharapkan pimpinan PAS bertegas dalam hal ini supaya semuanya 'clear' dan tidak ada syak wasangka di kalangan ahli-ahli PAS dan parti komponen PR". kata beliau.

Seorang peniaga Amat Alang, 41 dari Batu Berendam menggesa pimpinan PAS supaya berhenti dari bercakap soal kerajaan perpaduan kerana majoriti rakyat dari pelbagai kaum sebenarnya tidak suka dengan idea ini kerana bagi mereka Umno/BN memang tidak layak dibuat kawan dengan 'track record' yang amat buruk.
"Mana mungkin kita ingin bergabung dengan sebuah parti yang jelas rasuah, zalim dan penipu dan sebagainya. Rakyat sudah serik dan muak dengan Umno, BN, takkan PAS nak berbaik dan bergabung pula dengan Umno dan BN"
"Rata-rata kawan saya tidak bersetuju dengan idea ini, malah orang Umno sendiri ramai yang tidak bersetuju kerana mereka bimbang Umno akan berpecah dengan kemasukan PAS dalam Umno atau BN" kata Amat serius.
Sementara itu Iskandar Abu Bakar, 23 dari Peringgit bertegas tidak bersetuju dengan idea ini kerana ianya jelas bertentang dengan ketetapan Muktamar PAS kali ke 54 di Ipoh tahun lalu.
"Malah Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz sendiri menyatakan idea ini adalah karut dan marut. Tok Guru sendiri mengalami penderitaan yang perit selepas PAS ditendang keluar dari BN pada tahun 1977 sehingga kerajaan PAS di Kelantan tumbang atas angkara Umno".
"Kalau Mursyidul Am pun tak setuju takkan kita ahli bawahan tidak mahu wala' dan taat kepada Tok Guru" kata Iskandar.
Jauhar Dawi 34 (gambar) dari Sungai Putat pula mengharapkan isu ini terus dipadamkan dan jangan diungkit-ungkit lagi oleh pimpinan PAS.
"Kalau kita dah tahu isu ini mengelirukan rakyat dan menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pemimpin PR buat apa kita nak ungkit-ungkit lagi, kalau diungkit lagi maknanya mereka sengaja menempah masalah".
"Bagi saya jelas PR mesti dipertahan dan diperkuatkan kerana ternyata ianya berjaya menarik sokongan rakyat seperti yang terbukti pada PRU 2008 dan PRK selepas itu" ujar Jauhar yang juga seorang pekerja swasta.

PRK MANEK URAI : BN MULA GUNA JENTERA KERAJAAN DAN KEMBALI KEPADA POLITIK LAMA

Awal-awal lagi BN sudah menunjukkan sikap biadap mereka apabila menggunakan jentera kerajaan yang dibiayai duit rakyat untuk berkempen.
Beberapa hari lepas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diarahkan membuat bancian/cula untuk menganalisa kecenderungan pengundi di Manek Urai. Dari laporan media dinyatakan bahawa 1,000 gagal dikesan walaupun nama mereka ada dalam daftar pemilih.
Inilah sikap BN yang tidak segan silu menggunakan duit rakyat dan jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka. Tidak perasaan segan, malu, takut, rasa berdosa, rasa bersalah dan sebagainya, BN merasakan duit rakyat duit BN, jentera kerajaan jentera BN.
Saya sebagai salah seorang rakyat yang membayar cukai TIDAK AKAN REDHA dan TIDAK MENGHALALKAN walaupun 1 sen duit rakyat digunakan oleh BN. Kita akan tuntut di mahkamah Allah diYaumil Mahsyar nanti.
Selain itu diberitakan juga BN akan terus mengamalkan cara POLITIK LAMA iaitu merasuah pengundi dengan barangan dan duit. Ini dinyatakan sendiri oleh Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Krai Anua Yusoff. Beliau berkata, jika BN menang, penduduk Manek Urai "akan mendapat apa sahaja yang mereka mahu" sebagai "hadiah kemenangan kepada BN" setelah kalah dalam beberapa pilihanraya kecil sebelumnya. Ini jelas merupakan suatu bentuk rasuah kepada pengundi Manek Urai.
Untuk itu saya menggesa SPRM supaya turun padang dan menyiasat perkara ini. Malah saya mencadangkan SPRM supaya membina khemah dan pejabat sementara di Kuala Krai bagi menangkap sesiapa sahaja yang cuba memberi rasuah dan mengamalkan politik wang.

09 June 2009

PILIHANRAYA UMUM MENGEJUT BAKAL DIADAKAN?

Umno/BN sedang mengatur strategi licik dan sulit untuk mengembalikan kuasa mutlak mereka di negara kita. Setelah mereka dikejutkan dengan kejayaan PR menafikan majoriti 2/3 di Parlimen, BN memerah otak untuk menyerang dan melemahkan lawannya PR.
Tidak semena-mena BN mendapat 'tongkat' baru iaitu mempopularkan istilah kerajaan perpaduan dengan menyatakan bahawa PAS mahu bergabung atau bekerjasama dengan Umno untuk menggagaskan kerajaan perpaduan.
Lebih malang lagi ada dakwaan menyatakan bahawa pimpinan kita sendiri seolah-olah seronok dan terliur untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno. Malah tiada penafian secara rasmi dan tegas dibuat oleh pimpinan samada benar atau tidak kerajaan perpaduan hendak dibentuk.

Akhirnya isu kerajaan perpaduan ini menjadi barah kepada PAS dan PR antara simptom yang kita dapat lihat ialah :-
  • Rakan-rakan dalam PR mula sangsi kepada PAS
  • Rakyat Malaysia yang bukan Islam mula 'confuse' dan hilang keyakinan kepada PAS
  • Ahli-ahli PAS dan penyokong PAS terkeliru, pening dan tertanya-tanya benarkah PAS mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Simptom di atas akan merebak jika tidak dibendung dengan cepat. Jika ianya merebak dan membarah, saya yakin BN akan mengambil kesempatan dan akan membubarkan parlimen kerana mereka yakin rakyat sudah sangsi kepada PAS/PR dan mereka akan menang dengan mudah kerana PR sendiri berada dalam kemelut dalaman yang hebat.

Untuk itu saya sekali lagi menyeru pimpinan atasan PAS membuat kenyataan segera berhubung ISU KERAJAAN PERPADUAN demi untuk memadamkan api dalam sekam yang kelihatan mula berkelip-kelip dalam diam dan tersembunyi.

Api ini jika tidak dipadam segera kemungkinan akan membakar sekam tersebut malah akan membakar bangsal dan rumahnya sekali. Pada masa itu siapa yang hendak dipersalahkan?

Dengan rasa rendah diri dan dengan hati yang tulus ikhlas saya mohon pimpinan supaya membuat tindakan cepat dan tangkas untuk mematikan isu ini dengan membuat kenyataan tegas bahawa PAS TIDAK PERNAH DAN TIADA CITA-CITA UNTUK MEMBENTUK KERAJAAN PERPADUAN DENGAN UMNO.

Jika ini tidak dilakukan saya yakin isu ini akan semakin merebah dan membarah.

MOHON PIMPINAN HENTIKAN ULASAN TENTANG KERAJAAN PERPADUAN

Saya sebagai salah seorang ahli PAS sejak lahir ingin memohon jasabaik pimpinan supaya menghentikan serta merta sebarang kenyataan tentang kerajaan perpaduan dan sebarang usaha untuk berunding dengan Umno.
Tidak ada gunanya kita berbincang dan berunding dengan Umno sedangkan pada masa yang sama kita bercakap tentang usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
Sekali bercakap soal memperhebatkan Pakatan Rakyat tetapi pada masa lain ada pula pihak yang seolah-olah bercakap ingin berunding dan berbincang dengan Umno dalam soal kerajaan perpaduan.
Ini menyebabkan ahli menjadi pening, penyokong terkeliru, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sangsi, simpatisan pelik dan sebagainya.
Apa perlunya kita berbincang dan berunding dengan Umno jika sekiranya kita sudah memutuskan untuk meneruskan agenda perjuangan dalam Pakatan Rakyat yang terbukti mendapat sokongan padu rakyat Malaysia.
Bersambung ...........

PASCA MUKTAMAR : WANITA DIKETEPIKAN DI DALAM PAS?

Keputusan pemilihan pada Muktamar PAS kali 55 di Stadium Malawati Shah Alam minggu lalu menunjukkan bahawa hanya seorang sahaja Ahli Jawatankuasa dari muslimat yang dipilih iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo Mohd Ghazali. Beliau menduduki tempat ke 11 dari 18 calon yang dipilih dengan jumlah 598 undi.

Dalam ucapan penggulungan beliau, Dr Lo' Lo' melahirkan sedikit terkilan kerana menurutnya peranan yang dimainkan oleh muslimat di dalam PAS semakin mengecil, sebagai contoh pemilihan kali ini di mana hanya beliau seorang sahaja dari kalangan muslimat yang dipilih sedangkan ramai lagi calon-calon muslimat lain yang bertanding seperti Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mohamad, Aiman Athirah Al Jundi dan lain-lain.

Dr Lo' Lo' juga melahirkan kekesalan kerana perwakilan kawasan-kawasan dari kalangan muslimat juga semakin berkurangan di mana beliau sendiri menerima beberapa aduan daripada Ketua Muslimat dan juga wakil Muslimat yang dinafikan mewakili kawasan.

Persoalannya benarkah muslimat diketepikan.?

Bagi penulis dakwaan ini boleh dipertikaikan. Kita dapat melihat bagaimana hampir semua negeri meletakkan calon muslimat pada pilihanraya umum yang lalu. Malah kerajaan negeri Kedah,Selangor dan Kelantan melantik masing-masing seorang exco wanita. Exco tersebut ialah Wan Ubaidah Omar(Kelantan), Dr Halimah Ali (Selangor) dan Ustazah Siti Aisyah Ghazali (Kedah).

Selain itu Kelantan juga mempunyai seorang lagi ADUN iaitu Rohani Abdullah.

Malah PAS juga mempunyai Ahli Parlimen Wanita iaitu YB Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa).

Beberapa pemimpin Dewan Muslimat juga diletakkan bertanding di beberapa negeri antaranya Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh bertanding di DUN Tahan (Pahang), bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat di DUN Luit (Pahang), Ustazah Mariam Naam (Parlimen Jempul), Dr Najihatussolehah (Parlimen Parit) dan ramai lagi.

Selain kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS juga telah melantik beberapa orang Senator di kalangan muslimat sejak dari dahulu. Antaranya Senator Khalthom Osman, Senator Wan Ubaidah Omar dan terkini Senator Mumtaz Mohd Nawi yang baru sahaja dilantik sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat yang baru.

Malah dakwaan bahawa tidak ramai perwakilan muslimat mewakili kawasan-kawasan pada muktamar kali ini juga boleh dipertikaikan kerana saya sendiri melihat banyak kawasan yang memilih muslimat untuk menjadi perwakilan antara Dr Rosni Adam mewakili PAS Bandar Tun Razak, Ustazah Mariam Naam mewakili Kawasan Jempol dan malah kawasan Cameron Highland Pahang menghantar 2 orang.

Keputusan pemilihan baru-baru ini yang menunjukkan hanya seorang wanita sahaja dipilih iaitu Dr Lo' Lo' tidak menunjukkan ujudnya diskriminasi jantina sebaliknya perwakilan memilih calon-calon berdasarkan karisma, pengalaman, ketahanan, populariti dan keilmuan.

Saya yakin Tuan Guru Presiden juga akan melantik beberapa orang lagi pimpinan di kalangan muslimat untuk menganggotai jawatankuasa tambahan yang bakal diumumkan Rabu ini apabila Jawatankuasa PAS Pusat yang dipilih akan bermesyuarat bagi menentukan kabinet penuh PAS Pusat sessi 2009/2011.

PASCA : SIAPA PUN YANG MENANG PAS TETAP JADI SASARAN MEDIA

Sudah menjadi resam media arus perdana di negara kita mencari kesalahan, keburukan dan cacat cela PAS untuk dipersembahkan kepada pembaca agar mereka semakin keliru, celaru dan berpaling tadah dari PAS.
Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 yang berakhir Ahad lalu juga menjadi sasaran mereka apabila PAS dihentam dan diasak dari segenap segi.
Paling memualkan media terus menerus memainkan isu kerajaan perpaduan kononnya PAS begitu beriya-iya dan bersungguh-sungguh untuk mengajak Umno membentuk kerajaan perpaduan. Malah lebih teruk PAS seolah-olah dilihat cuba memujuk dan merayu agar Umno menjemput PAS menyertai kerajaan perpaduan.
Kemenangan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa mempertahankan jawatannya menjadikan media semakin menggila memainkan isu kerajaan perpaduan ini. Media melihat kononnya Ustaz Nasaruddin sebagai salah seorang pendokong kuat kerajaan perpaduan yang ideanya pernah dilontarkan oleh Presiden PAS.
Ahli Parlimen Bachok tersebut dikatakan antara pemimpin PAS yang pernah berunding dengan Umno selepas Pilihanraya Umum ke 12. Namun Ustaz Nasaruddin sendiri menafikan bahawa rundingan tersebut adalah rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran.
Sebaliknya jika Husam Musa atau Mohamad Sabu menang pada pemilihan baru lalu, sudah tentu media akan menyerang PAS dengan menuduh bahawa ahli PAS mengenepikan ulama' kerana tidak memilih Ustaz Nasaruddin yang boleh digolongkan sebagai Ulama'. Husam dilihat sebagai seorang Professional manakala Mohamad adalah seorang aktivis parti dan juga seorang Professional.
Media sehingga ke hari ini seolah-olah mendapat tongkat baru iaitu kerajaan perpaduan untuk menyerang PAS kerana sebelum ini mereka lebih senang menggunakan isu Ulama vs Professional. Namun selepas melihat keputusan pemilihan dimana bilangan Ulama dan Professional yang dipilih adalah seimbang mereka berpatah balik kepada isu kerajaan perpaduan.
Dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden disandang oleh Ulama' manakala Naib Presiden pula disandang oleh seorang Ulama' iaitu Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan 2 orang aktivis parti iaitu YB Salahuddin Ayub dan YB Dato' Mahfuz Omar.
Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pula 9 orang boleh digolongkan sebagai Professional, 8 orang Ulama' dan seorang aktivis parti. Golongan professional yang dipilih ialah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin; Datuk Kamaruddin Jaffar; Datuk Dr Hassan Mohd Ali; Dr Mohd Hatta Ramli; Mohamed Hanipa Maiden; Dato Ir Amiruddin Hamzah; Dr Lo' Lo' Ahmad Ghazali; Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Ahmad An Nawawi.
Manakala di kalangan Ulama yang dipilih ialah Ustaz Idris Ahmad; Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin; Dato Hj Abu Bakar Chik; Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman; Ustaz Hashim Jasin; Ustaz Taib Azzamudeen Mohd Taib dan Dr Mujahid Yusof Rawa. Seorang lagi AJK yang dipilih adalah aktivis parti iaitu Mazlan Aliman.
Komposisi pemimpin yang dipilih jelas menunjukkan bahawa para perwakilan muktamar tidak melihat kepada status dan latarbelakang pendidikan sebaliknya mereka memilih pemimpin yang komited, berkarisma dan berpandangan jauh serta mempunyai daya juang yang tinggi selain dari populariti dan kesanggupan mereka untuk turun padang menemui ahli-ahli akar umbi parti.
Kesimpulannya usaha media untuk melaga-lagakan pemimpin PAS dan mencelarukan pemikiran ahli PAS tidak berjaya kerana kekuatan tarbiah dan kemurniaan perjuangan pemimpin dan ahli PAS yang sentiasa peka dan sensitif kepada pandangan dan nasihat pemimpin. Media arus perdana sudah tidak lagi menjadi rujukan mereka sebaliknya media dilihat sebagai pemecah belah parti dan masyarakat yang hanya mementingkan keuntungan material dan ketaatan kepada tuan mereka iaitu keraajaan BN.
Saya dengan ini menggesa media menghentikan segala tohmahan dan fitnah dengan melabelkan pemimpin PAS.

08 June 2009

PASCA MUKTAMAR : MEDIA HENTIKAN KERJA JAHAT LAGA-LAGA PEMIMPIN PAS & HUBUNGAN PAS-PKR-DAP

Saya menggesa media menghentikan kerja jahat mereka melaga-lagakan pemimpin PAS dan juga memecahbelahkan perpaduan dalam PR. Sesungguhnya kerja jahat yang kamu jalankan amat buruk dan busuk sehingga menyebabkan perkara baik menjadi buruk dan perkara buruk menjadi baik.

Hari ini Utusan Meloya sekali lagi memainkan perana keji dan mungkar mereka memfitnah pemimpin PAS. Utusan mensensasikan bahawa PAS tergila-gila ingin membentuk kerajaan perpaduan bersama-sama dengan UMNO.

Utusan cuba memutarbelitkan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS semasa muktamar berlangsung.

Saya yakin bahawa Tuan Guru tidak langsung berkata bahawa PAS mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno/BN. Apa yang Tuan Guru kata bahawa pintu rundingan sentiasa terbuka tetapi bukannya rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Sebenarnya media dan Umno/BN sendiri sudah nampak bahawa isu kerajaan perpaduan memang memberikan kelebihan kepada mereka kerana :-

  • Isu ini akan menyebabkan berlaku perbezaan pendapat dalam PAS. Yang mana mereka menyangka perbezaan pendapat ini akan menjadi parah sehingga memecahbelahkan PAS. Sedangkan pada hakikatnya isu ini tidak akan melemahkan PAS sebagaimana yang ditunjukkan pada muktamar semalam
  • Isu ini akan menyebabkan PAS mula dicurigai oleh DAP dan PKR. Namun saya yakin pimpinan kita sudah matang menangani masalah begini yang sememangnya menjadi taktik dan strategi BN untuk mengaut keuntungan politik seumpama isu perkauman dan agama.

PRK MANEK URAI : MAKAN PERCUMA, PENGINAPAN PERCUMA, PELAYAN JUGA PERCUMA

Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyeru kepada seluruh petugas jentera pilihanraya negeri agar turun beramai-ramai menggempur dan seterusnya menguburkan BN pada 14 Julai ini di Manek Urai.
"Tuan-tuan dan puan-puan diseru agar sama-sama turun ke Manek Urai bagi membantu memenangkan calon PAS di Manek Urai".
"PAS Kelantan dan Kuala Krai akan menyediakan makanan percuma, penginapan percuma dan pelayan percuma (tukang masak dan sebagainya)." kata beliau.
Katanya petugas PAS hanya perlu membawa badan dan tenaga sahaja untuk bekerja dari 6 Julai hingga 14 Julai.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS Pusat kali ke 55, Sabtu lalu yang berlangsung di Shah Alam.
Jadi apa tunggu lagi para tetamu sekalian, mari kita daftar nama di Pejabat PAS Kawasan atau negeri masing-masing untuk sama-sama menyumbangkan tenaga dan idea bagi menjamin kemenangan PR dan pada masa yang sama mengkafan dan menguburkan BN.

PASCA MUKTAMAR : CADANGAN KEPADA PIMPINAN TERTINGGI

Oleh kerana masih ramai yang kurang faham, 'confuse', tidak yakin dan terkeliru dengan isu muqabalah, tahalluf siyasi dengan PR maka saya cadangkan beberapa langkah yang mesti dilaksanakan segera oleh pimpinan tertinggi PAS :-
  • Kenyataan rasmi mesti dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi tentang PAS TIDAK AKAN MENYERTAI BN DAN PAS JUGA SENTIASA MEMBUKA PINTU UNTUK BERBINCANG ATAS APA JUGA ISU DENGAN SESIAPA JUGA TETAPI BUKAN BERBINCANG UNTUK MASUK BN. Kenyataan rasmi ini hendaklah didokumenkan dengan tandangan pimpinan tertinggi Tuan Guru Presiden, Mursyidul Am, Semua Ahli Dewan Harian PAS serta semua Ahli Majlis Syura Ulama'.
  • Kenyataan rasmi tentang komitmen PAS yang akan tetap setia bersama PR malah akan terus komited untuk memperkukuh dan memperkemaskan lagi PR. Kenyataan rasmi ini hendaklah didokumenkan dengan tandangan pimpinan tertinggi seperti di atas.
  • Semua pimpinan tertinggi di atas mesti berada bersama-sama dengan Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden semasa sidang akhbar dan kenyataan rasmi tersebut dikeluarkan.

Mungkin cadangan ini nampak 'simple' tetapi bagi saya ianya sedikit sebanyak akan meredakan kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh musuh PAS dan PR.

Cadangan di atas adalah cadangan peribadi saya yang dirasakan mampu mengurang atau menghapuskan prasangka buruk ahli, penyokong dan rakyat Malaysia kepada PAS. Malah ianya juga diharap dapat menghilangkan kesangsian parti-parti sahabat iaitu PKR dan DAP yang tidak senang dengan isu muqabalah dan sebagainya.
Cadangan ini juga diharapkan dapat menamatkan spekulasi dan provokasi Umno/BN dan media yang sentiasa menggunakan isu kerajaan perpaduan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR.

PASCA MUKTAMAR : PAS TAKKAN MASUK BN, TAPI MAHU TARIK AHLI BN MASUK PAS

Sudah terang lagi bersuluh. Presiden dan Timbalan Presiden PAS berkali-kali menegaskan bahawa PAS TAKKAN MASUK BN, TAPI AKAN TETAP MEMBUKA PINTU SELUAS-LUASNYA UNTUK TARIK AHLI UMNO/BN MASUK PAS.
Jadi saya mengharapkan ahli dan penyokong PAS terutama yang bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang dengan perkembangan ini. Yang jelas PAS TAKKAN MASUK BN (full stop).
Sebagai seorang ahli parti, saya juga memang bimbang dengan dakwaan adanya usaha-usaha untuk membawa masuk PAS ke dalam BN. Suatu perkara 'mengarut' yang tidak sepatutnya berlaku.
Kini setelah diperjelaskan oleh pimpinan tertinggi PAS saya mengharapkan ahli dan penyokong PAS tidak haru risau dan 'confuse' lagi. Teruskan kerja untuk menyelamatkan negara dan rakyat dari belenggu kezaliman BN.

KEPADA PIHAK MEDIA SAYA INGIN BERPESAN SUPAYA JANGAN UNGKIT DAN GEMBAR-GEMBURKAN LAGI ISU INI. SEMUANYA SUDAH JELAS.

TOK GURU NIK AZIZ SUMBANG HAMPIR RM2 JUTA KEPADA RAKYAT DAN KERAJAAN NEGERI SEJAK 1990

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyumbangkan kira-kira RM684,000 kepada rakyat dan kerajaan negeri Kelantan. Sejak beliau mentadbir negeri Kelantan beliau tidak pernah mengambil elaun rumah berjumlah RM3,000 sebulan yang sememangnya menjadi haknya.
Selain itu 40 % dari elaun bulanannya sebagai Menteri Besar juga didermakan kepada rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.
Dengan congakan yang mudah seperti yang dilaporkan oleh Blogger Misabah, katakan elaun bulanan yang Tok Guru terima setiap bulan sebagai MB RM 15 ribu, ini bermakna lebih kurang RM 1.3 juta tok guru sumbangkan elaunnya kepada rakyat selama 19 tahun sejak 1990.
Ditambah pula dengan elaun rumah yang tidak pernah dituntutnya selama 19 tahun iaitu hampir RM 684,000, ini bermakna RM 1.9 juta lebih atau hampir RM 2 juta telah diinfakkan oleh Tok Guru Nik Abd Aziz kepada rakyat dan kerajaan negeri Kelantan selama ini.
Ini tidak termasuk derma wajib yang sentiasa Tok Guru sumbangkan pada setiap kali Muktamar PAS Pusat yang kebiasaanya melebihi RM10,000. Sebagai contoh pada muktamar kali ini Tok Guru mendermakan sejumlah RM16,500 kepada PAS.

Inilah contoh seorang pemimpin Islam yang pemurah dan sentiasa mengutamakan Islam dan rakyatnya. Berbeza dengan sesetengah pemimpin yang ada hari ini yang bukan sahaja kedekut malah sanggup meragut apa juga peluang untuk menambah kekayaan sehingga sanggup makan rasuah, politik wang dan sebagainya.
Fakta diatas didedahkan oleh YB Dato Wan Abdul Rahim Abdullah ketika sessi perbahasan ucapan dasar Presiden pada muktamar PAS Pusat kali ke 55 yang berakhir semalam.

UCAPANKU KETIKA MEMBAHASKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN

Laporan Harakah 6 Jun 2009.

Perwakilan Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab mencadangkan agar pimpinan PAS mengisytiharkan harta untuk merealisasi politik ketelusan seperti yang digagaskan PAS hari ini.

Beliau yang berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS menegaskan perisytiharan harta itu perlu dilakukan kerana terdapat dakwaan pimpinan PAS menpunyai harta yang bernilai jutaan ringgit.

Dalam pada itu katanya, perkara yang sama juga harus dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat yang lain dengan mencontohi tindakan yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan Selangor yang mengisytiharkan harta mereka.

Sementara itu, Sofi juga berharap kepimpinan PAS lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan akhbar kerana dibimbangi kenyataan tersebut akan dimanipulasi media.

"Saya menyokong perwakilan Kedah walaupun media memberi tempat yang baik kepada PAS tetapi akhbar ini masih lagi menikam PAS. Terdapat kenyataan yang pimpinan PAS yang dimanipulasi oleh media seperti yang disiarkan dalam akhbar hari ini yang menyatakan seolah-olah PAS ingin menjadi solo daripada Pakatan Rakyat.

Media ingin mencari perkara buruk kerana ada antara kita yang membangkitkan perkara ini. Media mesti sentiasa adil dan telus bahawa PAS akan bersama Pakatan Rakyat.

"Kita berharap pemimpin kita akan berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Contohnya apabila akhbar bertanya mengenai rasuah, pemimpin kita memberi respons kepada pertanyaan tersebut. Keesokannya keluar kenyataan dalam akhbar PAS terlibat atau terdapat unsur rasuah dalam PAS walaupun pimpinan kita tidak sebut mengenai perkara itu. Justeru kita mengharapkan barisan kepimpinan berhati-hati kerana terdapat wartawan yang cuba 'provoke' sesuatu isu," katanya.

Dalam perbahasannya juga, Sofi Wahab mengharapkan gagasan Pakatan Rakyat mestilah diperkemaskan serta diperkukuhkan.

"Dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, PAS mendapat sokongan kaum Cina. Jika PAS dapat mengukuhkan sokongan di kalangan bukan Melayu, tidak mustahil kita juga dapat merampas Pagoh yang kini dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Beliau turut mencadangkan diadakan modul kepimpinan bagi pemerkasaan organisasi. Perkara tersebut katanya perlu diadakan kerana masih terdapat kepimpinan kawasan masih tidak mengetahui mengenai Majlis Tindakan Dun (MTD) dan Unit Pusat Undi (UPU).

Beliau turut mengusulkan agar lajnah pemerkasaan parti agar meletakkan target 'Key Performance Index' (KPI) kepada PAS kawasan dan negeri seperti bilangan ahli untuk sesuatu kawasan

Sofi juga berharap kepimpinan PAS dapat memacu perjuangan dengan 'menjenguk' negeri Melaka yang digelar Melaka 'Darul Rasuah'.

"Harap kepimpinan pusat dapat turun ke Melaka untuk melihat dan menggagaskan gerak kerja untuk menawan Melaka. Jangan hanya dekat pemilihan baru hendak turun ke Melaka. Kita pernah mengajak Ali Rustam berdebat isu rasuah tapi dia suruh kita berdebat dengan Tok Guru Nik Aziz dan Elizabeth Wong," katanya sambil berseloroh.

PASCA MUKTAMAR : BN TERUS MAINKAN ISU KERAJAAN PERPADUAN

Terbukti Umno/BN cuba memainkan isu kerajaan perpaduan demi untuk kepentingan politik mereka. Saya percaya antara sebab Umno/BN masih terus memainkan isu ini ialah supaya :-

  • PR berpecah kerana jika benar PAS ingin membentuk kerajaan perpaduan maka DAP dan PKR sudah tentu mencurigai PAS dan akan mula menjauhkan diri dari PAS
  • Penyokong-penyokong PAS dari kalangan bukan Islam dan Bukan Melayu sudah tentu tidak mempercayai PAS kerana mereka percaya PAS hanya mementingkan melayu sehingga sanggup bersekongkol dengan Umno
  • Memecahbelahkan perpaduan dalam PAS kerana mereka tahu ramai di kalangan pemimpin dan ahli PAS tidak bersetuju dengan perkara ini

Oleh itu saya harap pemimpin PAS perlu berhati-hati dalam meneruskan rentak perjuangan seterusnya. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran.

07 June 2009

INTIPATI UCAPAN PENANGGUHAN TUAN GURU PRESIDEN PAS, DATUK SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Beliau memulakan ucapan dengan membaca Surah Al Maidah Ayat 2 " Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamaKu dan aku cukupkan nikmatKu dan aku redha Islam menjadi agamamu"
Kata beliau dalam muktamar ada manis tapi jangan terlampau banyak nanti jadi kencing manis; ada pahit tetapi jangan banyak takut sembelit; Ada tawar tetapi jangan banyak takut banjir, disambut dengan gelak ketawa perwakilan dan pemerhati.
  • Ucapan terima kasih kepada pimpinan dan seluruh ahli serta tuan rumah
  • Mereka yang terjun dari bahtera PAS, mereka akan tenggelam
  • Islam Memimpin Perubahan Islam yang berjaya membina dan mengislahkan tamadun manusia. Islam bina tamadun baru mengambil nilai-nilai dari tamadun lain dan mengislahkan nilai-nilai tersebut.
  • Keruntuhan ekonomi kerana halalkan yang haram, semuanya kerana sekularisme memisahkan agama tiada perhitungan dosa dan pahala.
  • Islam mesti jadi penyelesai kepada semua masalah samada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.
  • Hikmah cara Islam yang dikawal oleh Islam menjadi pengawal kepada apa juga isu dan tindakan.
  • Islam terima apa juga kebijaksanaan tentang apa saja kepakaran untuk menyelesaikan masalah dan urusan dunia asalkan ianya tidak bertentangan dengan Islam
  • PAS tidak perlu menumpang bahtera orang lain samada BN dan sesiapa sahaja.
  • Wakil-wakil rakyat PAS tidak tumbang dengan politik wang kerana Islam menjadi tempat berpijak kita. Tidak seperti wakil-wakil rakyat yang lain yang tewas dengan politik wang.
  • Berjuang mesti bertemu dengan semua pihak, mengajak semua manusia (jahat dan baik) kepada Islam.
  • Mesti kenal musuh sebenar dan musuh yang direka (tiupan-tiupan syaitan) - musuh yang tidak faham.
  • Allah memerintah kita utamakan perdamaian - pendekatan muwajahah silmiyah bagi menarik ahli seberapa ramai yang boleh.
  • Jangan tutup pintu langsung kepada sesiapa sahaja kerana kerja kita adalah kerja baik dan mesti orang lain ke arah kebaikan.
  • Berbuat baik kepada musuh bagaikan pokok yang dilontar batu oleh kanak-kanak, pokok membalas dengan memberi buah atau lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.
  • Bersabar dengan kezaliman tetapi jangan sampai dipijak kepala.
  • PAS tetap membuka ruang kepada media supaya masyarakat dapat menilai apa yang baik dan buruk. PAS tetap telus dan professional.

Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyeru selepas muktamar kita bersama-sama :-

  • Suburkan sifat taqwa. Musuh hanya dapat ditewaskan dengan sifat taqwa.
  • Ketaatan dan Wala' mesti ada pada ahli selagi pemimpin taat kepada Allah. Jika pemimpin tidak taat kepada Allah maka jangan taat kepada pemimpin. Sahabat bukan sahaja taat kepada perkara yang mereka faham malah yang mereka tidak faham selepas itu mereka tanya jika tidak faham.
  • Ukhuwwah dan bai'ah mesti dipertingkatkan dan diperkemaskan.Ianya telah dilaksanakan kepada calon-calon pilihanraya dan di kalangan pimpinan pusat.
  • Kesatuan Ummah (Wehdatul Fikr), perjuangan kita bukannya Wawasan 2020. Hanya Islam sahaja yang boleh menyatukan ummah bukannya slogan-slogan seperti bersih, cekap, amanah, Islam Hadhari dan OneMalaysia.
  • Bangunkan manusia dahulu dari perkara lain.
  • Dermakan untuk membina kompleks bukan sahaja untuk pilihanraya.

Tuan Guru mengakhiri ucapan dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak.

PENYAKIT PARTI LAIN SEOLAH-OLAH NAK JANGKIT PADA PAS - HARON DIN

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata penyakit yang biasanya ada pada parti-parti bukan Islam seolah-olah hendak berjangkit ada PAS.
"Jika kita semua mendapati ianya sudah berjangkit maka kita mesti perbaikinya, ahli wajib taat kepada pemimpin"
"Ketaatan kepada pemimpinlah yang menjadikan Parti Islam kukuh selama ini" kata Dr Haron Din sambil membaca sebuah hadis yang panjang.
Beliau berkata mana mungkin ahli boleh menolak perkara yang dibentangkan oleh Presiden dan di'endorse'kan oleh Majlis Syura Ulama dalam apa juga hal.
Dr Haron juga menafikan bahawa beliau ada mendakwa ada musuh dalam selimut seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya tidak pernah menyebutnya dalam kertas kerja saya pada seminar sambutan jubli perak 25 tahun kepimpinan ulama".
Dr Haron juga berkata beliau mengingatkan bahawa musuh PAS berada di sekeliling PAS samada di belakang, depan, kiri atau kanan.
Ketika mengulas tentang Hadis Riwayat Abi Dzar, Dr Haron berkata bahawa bukan bermakna di dalam Islam tidak boleh meminta jawatan.
Dalam sejarah Islam, Umar pernah meminta jawatan Qadhi kerana Abu Bakar pening untuk menyelesaikan masalah siapa yang boleh menjadi Qadhi. Akhirnya Umar dilantik menjadi Qadhi tetapi selepas setahun lebih beliau meminta untuk meletakkan jawatan kerana tiada suatu kes pun yang diadili oleh Umar kerana menang tiada kes.

URUSKAN PERBEZAAN PENDAPAT DENGAN CARA ISLAM - USTAZ NASA

Intipati ucapan penangguhan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa:-
  • Jangan terikut dengan cara pihak lain berkaitan dengan menguruskan perbezaan pendapat
  • Jangan terikut dengan istilah-istilah yang digunakan media seperti ulasan media selepas keputusan pemilihan PAS diumumkan "Ulama Konservatif kuasai PAS". Istilah konservatif tidak tepat sama sekali kerana berapa banyak tahaluff siyasi telah dibuat oleh PAS.
  • Istilah konservatif digunakan supaya PAS dilihat sebagai Parti yang menutup pintu kepada orang Bukan Islam dan sebagainya
  • PAS akan pertingkatkan 'enggagement' dengan pimpinan luar termasuk pimpinan PAS akan membuat jawapan kepada ucapan Presiden Obama di Mesir baru-baru ini.
  • Beliau tidak mahu buat komen tentang pemilihan PAS sebelum ini kerana tidak mahu isu pemilihan PAS disensasikan. Pemilihan akan diselesaikan secara adik beradik di dalam PAS.
  • PAS bukan parti individu, Timbalan Presiden akan merangka program secara kolektif dan sentiasa mendapatkan nasihat dari Majlis Syura, Presiden, Dewan-Dewan dan pimpinan lain.
  • PAS perlu adunkan resepi untuk tingkatkan penerimaan orang bukan Islam
  • Beliau sekali lagi menegaskan bahawa TIDAK PERNAH ADA AGENDA PIMPINAN PAS UNTUK BAWA MASUK PAS DALAM BN
  • Pindaan perlembagaan parti yang diluluskan pada muktamar di Kedah telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Selepas muktamar ini ia akan berkuatkuasa.
  • Pindaan tersebut ialah Fasal perincikan kuasa dan keahlian Majlis Syura Ulama, Hal perpindahan cawangan ahli dalam kawasan yang sama; kuasa menangguhkan agenda pemilihan pada tahun berikut jika sekiranya berlaku dengan perkara-perkara mustahak, wakil-wakil dewan ke muktamar PAS Pusat akan ditambah kepada 20 orang;Perlantikan maksima 3 orang Penolong Setiausaha di semua peringkat dan lain-lain.
  • Selepas keluar dari muktamar ini adalah waktu untuk kita rapatkan saf kita bukan lagi masa untuk berselisih faham.

HUSAM TERIMA KEPUTUSAN PEMILIHAN, MINTA HARON DIN JELASKAN ISU KERTAS KERJA

Dato Husam Musa menerima keputusan perwakilan yang tidak memilih beliau sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
Di akhir ucapannya beliau meminta Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din menjelaskan tentang dakwaan beliau tentang ujudnya unsur luar, musuh dalam selimut dan lain-lain seperti yang beliau bentangkan pada Program Sambutan Ulang tahun ke 25 Kepimpinan Ulama' di Taman Melewar bulan lalu.
Husam juga mengharapkan keterbukaan Kelantan yang memberikan peluang pimpinan dari luar untuk bertanding di Kelantan seperti Dr Hatta (Kuala Kerai), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Ustaz Nasaruddin Mat Isa (Bachok) juga diikuti oleh negeri lain agar suatu hari nanti pemimpin PAS dari Kelantan diterima di negeri lain.
Beliau bersyukut kerana menurutnya 4 orang pimpinan dari Kelantan di pilih oleh perwakilan pada kali ini iaitu Dr Hatta, Salahuddin, Ustaz Nasaruddin dan Datuk Kamaruddin Jaafar.

MAT SABU TERUS BERJUANG

Haji Mohamad Sabu akan terus berjuang di dalam PAS walaupun tiada jawatan. Itu isi pantun beliau ketika mengakhiri ucapan penggulungan beliau sebentar tadi.

USTAZ AHMAD AWANG MOHON MAAF DALAM UCAPAN PENGGULUNGANNYA

Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Ahmad Awang memohon maaf kepada semua pimpinan dan ahli PAS atas apa juga kerja buat beliau sepanjang diamanahkan sebagai saf kepimpinan PAS sejak mula dilantik sebagai AJK Pusat sehingga dipilih sebagai Naib Presiden PAS penggal lalu.
Beliau berharap PAS akan bertambah maju dan perpaduan di dalam PR akan terus dipertingkatkan.
Ustaz Ahmad Awang melepaskan semua jawatan bagi menumpukan kepada kerja-kerja dakwah dan beliau akan terus memainkan peranan membantu PAS pada masa akan datang.

UMNO TERUS MAINKAN ISU KERAJAAN PERPADUAN

Umno mula memainkan isu kerajaan perpaduan apabila Pergerakan Pemuda UMNO berharap muzakarah di antara UMNO dan Pas akan dapat diteruskan.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata pemuda UMNO bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan PAS kerana sejak selepas pilihan raya umum lepas soal muzakarah atau perbincangan di antara kedua-dua parti itu sudah mula dibincangkan.

“Dengan kemenangan Ustaz Nasharudin agenda muzakarah ini dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Progran Dana Bakti Remaja Terengganu 2009, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.
Kenyataan Khairy ini dilaporkan oleh Utusan Meloya hari ini.
Ternyata isu ini cuba dimainkan semula mungkin ianya ada kaitan dengan pemilihan dalam PAS yang berlangsung semalam.
Insya Allah Umno akan terjerat dengan isu yang cuba mereka mainkan ini. PAS dan ahlinya sudah matang dan masak dengan taktik Umno yang cuba menangguk di air keruh.
PAS akan mematikan isu ini dengan Insya Allah kemenangan bergaya di Manek Urai nanti.

MAHFUZ CADANGKAN 'PERFORMANCE' LAJNAH DIUKUR

Naib Presiden PAS yang baru, Dato Mahfuz Omar mencadangkan 'performance' semua lajnah PAS Pusat dikaji dan dinilai bagi memastikan keberkesanannya.
"Report Card untuk setiap Lajnah mesti disediakan untuk memantapkan lagi setiap lajnah, ini Insya Allah akan meningkatkan lagi keberkesanan PAS dan lajnah-lajnahnya" kata beliau pada sessi ucapan penggulungan.
Ucapan beliau bertepatan dengan saranan PAS Melaka pada sessi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS semalam.

USRAH SANGAT PENTING - USTAZ IDRIS

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyeru seluruh perwakilan mengaktifkan kembali budaya usrah kerana usrah sahajalah yang mampu mengembalikan kegemilangan aktiviti tarbiah di semua peringkat.
"Malang sekali akhir-akhir ini budaya usrah semakin malap, ada kawasan yang mempunyai 99 cawangan tetapi usrah yang berjalan hanya di 3 cawangan"
"Saya mengharapkan selepas ini seluruh kawasan supaya mengaktifkan semula usrah di kawasan masing-masing" ujar Ustaz Idris.

Selain itu beliau juga menyeru ahli-ahli PAS supaya mendalami ilmu masing-masing melalui program Diploma Tasawwur Islam anjuran Lajnah Tarbiah PAS Pusat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sessi ucapan penggulungan pimpinan PAS Pusat.

MANEK URAI : JANGAN PANDANG RINGAN - DATO MUSTAFA ALI

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato Mustafa Ali mengharapkan seluruh pimpinan dan ahli PAS tidak memandang ringan terhadap pilihanraya kecil DUN Manek Urai kerana Umno akan bermati-matian untuk memenangi Pilihanraya Kecil tersebut.
"Impaknya sangat besar kepada kita dan BN, maka kita jangan pandang ringan kepada Manek Urai walaupun kita mempunyai kerajaan negeri di sana" tegas beliau.
Beliau menggesa seluruh jentera PAS dari negeri-negeri turun ke Manek Urai kerana PAS Kelantan akan menyediakan penginapan dan makanan percuma untuk semua petugas.

SABAR, KEDAH BARU PERINTAH 15 BULAN - USTAZ AZIZAN

Menteri Besar Kedah, Dato Seri Azizan Abdul Razak mengharapkan ahli PAS dan rakyat bersabar dengan segala maksiat dan program yang bertentangan dengan Islam.
"Kedah baru perintah 15 bulan, berbeza dengan Kelantan yang sudah perintah 19 tahun, jadi banyak benda yang kita belum dapat tunaikan manifesto, sabaq sikit" kata Ustaz Azizan.
"Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah tersebut perlahan-perlahan" kata beliau.

TOK GURU NIK AZIZ DERMA RM16,500; YAB NIZAR DERMA RM10,000

YAB Tok Guru Nik Aziz dan YAB Nizar masing-masing berderma sejumlah RM16,500 dan RM10,000 kepada PAS semasa muktamar sedang berjalan sekarang.

YAB NIZAR SOKONG USUL PPSMI

YAB Datuk Seri Mohammad Nizar berucap menyokong usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Rembau berkenaan PPSMI.
Anak YAB Nizar dan 3 orang lagi anak pimpinan PAS Perak antaranya Muhaimin Sulam telah menfailkan saman kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2008 atas pelaksanaan dasar PPSMI yang nyata melanggar perlembagaan negara.
Kes ini akan dibicarakan di mahkamah pada 25 Jun ini.

ANAK DAN ANAK SAUDARA TUN RAZAK KHIANATI BANGSA DAN BAHASA MELAYU - YB TAUFEK

ADUN Paroi, YB Mohd Taufek Abdul Ghani menyelar Perdana Menteri dan Bekas Menteri Pelajaran telah mengkhianati Penyata Razak yang mengariskan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar kepada pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan di negara kita.
"Najib dan Hishamuddin yang merupakan anak dan anak saudara kepada Tun Razak 'mengabihkan bogheh' apabila meminggirkan Bahasa Melayu apabila meluluksan dasar PPSMI" kata YB Taufek.
"Mereka berdua telah mengkhianati bapa dan bapa saudara sendiri" tambah Taufek.

YB TAUFIK WAKILI PAS REMBAU BENTANG USUL PPSMI

YB Mohd Taufik Abdul Ghani membentangkan usul membantah pelaksanaan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dengan fakta dan gaya penyampaian yang cukup meyakinkan usul ini juga dijangka akan diluluskan dengan sebulat suara.

USUL KEHAKIMAN SEDANG DIBENTANG OLEH DEWAN MUSLIMAT

Usul kehakiman sedang dibentang oleh wakil Dewan Muslimat Pusat, Hawa Yaakub yang menggesa prinsip pengasingan kuasa, tidak tunduk kepada sebarang arahan, tekanan, ancaman, ugutan mahupun ganjaran material yang ditawarkan kepada hakim.

USUL EKONOMI DEWAN PEMUDA DITERIMA SEBULAT SUARA

Usul Dewan Pemuda yang dibentangkan oleh Ahmad Sabki Yusof diterima sebulat suara oleh Muktamar PAS Pusat.

Semua perwakilan menyokong hujah yang dibentangkan Dewan Pemuda disokong oleh PAS Kawasan Jerlun dan PAS Titiwangsa.

MUKTAMAR PAS BAHAS 3 USUL - EKONOMI, KEHAKIMAN DAN PENDIDIKAN

Muktamar PAS Pusat hari ini membahaskan 3 usul iaitu Ekonomi, Kehakiman dan pendidikan. Usul Ekonomi dibawa oleh Dewan Pemuda, Usul Kehakiman di bawa oleh Dewan Muslimat dan usul Pendidikan dibawa oleh PAS Kawasan Rembau.
Ketika ini Muktamar sedang membahaskan usul ekonomi antara lain membincangkan kesan negatif kepada bumiputera dengan pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter