.

.

04 September 2009

ONG TEE KEAT MESTI LETAK JAWATAN

Saya menggesa Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat meletakkan jawatannya serta merta kerana terlibat dengan kontroversi PKFZ sehingga beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.
Ketua pegawai eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa beliau memberikan duit itu kepada Ong tahun lepas untuk kegiatan MCA.
Ong bagaimanapun menafikan menerima RM10 juta daripada Tiong tahun lepas, dan telah membuat laporan polis serta memfailkan saman RM500 juta terhadap Tiong.
Ternyata isu penuh kontroversi oleh itu Ong wajar meletakkan jawatannya sebagai menteri, Ahli Parlimen dan Presiden MCA. Jika Ong seorang yang bermaruah dan berjiwa besar beliau wajar meletakkan jawatan.
Saya mengharapkan Majlis Presiden MCA mengambil tindakan yang sama seperti yang dikenakan kepada Timbalan Presiden mereka iaitu Chua Soi Lek yang dipecat kerana salahlakunya berkaitan video seksnya.
Sebagai seorang yang bermaruah Ong sekurang-kurang mengambil cuti sementara siasatan tentang keterlibatannya dalam isu ini selesai. Selagi beliau tidak berbuat demikian rakyat akan tetap mempersoalkan beliau.

Media melaporkan bahawa Ong Tee Keat sekali lagi disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pembantu Ong, mengesahkan menteri berkenaan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selama sejam.
Semalam, SPRM memanggil Ong untuk kali pertama dan menemubualnya selama tiga jam berhubung skandal PKFZ dan dakwaan beliau menerima RM10 juta daripada kontraktor projek siap guna itu.

ADUN NS MENINGGAL : SATU LAGI 'TEST' UNTUK BN

Nampaknya penggal ini adalah di mana ramai wakil rakyat meninggal dan meletakkan jawatan. Baru sahaja kita selesai pilihanraya kecil di Permatang Pasir kini satu lagi Pilihanraya Kecil bakal berlaku iaitu di DUN Bagan Pinang, Teluk Kemang Negeri Sembilan.
ADUNnya Azman Mohd Noor meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.
Namun begitu mungkinkah SPR akan mencari alasan untuk menafikan pilihanraya kecil. Kalau boleh memang SPR tidak mahu pilihanraya kecil diadakan tetapi nampak gayanya mereka tiada alasan lagi kerana tiada peruntukan untuk tidak mengadakan pilihanraya jika seseorang wakil rakyat meninggal dunia.
BN pula kali ini akan menghadapi satu lagi ujian besar berhadapan dengan rakyat di kubu kuatnya ini. Walaupun BN menang besar pada Pilihanraya Umum lalu namun kali ini BN tidak semestinya selamat kerana 'mood' rakyat untuk menolak BN sangat tinggi sekarang.

MERDEKA : INIKAH RUMAH RAKYAT YANG MERDEKA

Inilah rupa rumah Pak Cik Murad Mat, 80 yang terletak di Kampung Pida 5, Sematang Jawa, Jitra, Kedah.
Tidak terfikir oleh saya bagaimana sebuah negara yang merdeka dan mewah seperti Malaysia masih ada rakyatnya melarat sebegini.
Mungkin ada yang menuding jari kepada kerajaan Kedah, apa yang depa buat sehingga rakyatnya melarat macam ini.
Namun jangan lupa lebih 50 tahun negeri Kedah diperintah BN sedangkan PR baru menjadi kerajaan pada tahun lepas.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Gambar : Harian Metrok

KEMELUT DI TERENGGANU SEMAKIN PARAH

Kemelut politik BN Terengganu semakin parah sehingga memaksa Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’.
Terbukti Hishamuddin Hussein yang menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu gagal untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO Terengganu yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Muhyiddin berkata, beliau sedia bersemuka dengan pemimpin terbabit dan percaya kemelut itu dapat diselesaikan kerana ia hanya membabitkan masalah peribadi.
Saya cadangkan kepada Muhyiddin tidak perlulah beliau bersusah payah untuk selesaikannya. Biarkan ADUN terbabit dan MB selesaikan sendiri. Mungkin jalan penyelesaiannya ialah bubarkan DUN biarkan rakyat tentukan siapa yang layak untuk menerajui kerajaan negeri Terengganu yang baru.

TAHNIAH UNTUK MUSA HASSAN

Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana disambung kontraknya setahun lagi. Ini komen saya :-
1) Musa diberi kesempatan untuk memperbetulkan kesilapan lalu dengan kesempatan yang ada setahun lagi.
2) Tidak adakah pegawai lain yang layak untuk memegang jawatan Ketua Polis Negara sehingga kontrak beliau disambung setahun lagi.
3) Kerajaan tidak mengambil kira performance dan track record seseorang dalam membuat keputusan untuk menyambung kontrak
4) Rakyat akan menilai dan memantau kepimpinan Musa setahun lagi setelah banyak tindakan beliau yang tidak mesra rakyat.

UMNO : BUKAN PINDA PERLEMBAGAAN TAPI BUBAR PARTI

Jika ditanya komen saya tentang hasrat Umno untuk meminda perlembagaannya untuk membasmi rasuah dalam Umno, saya akan jawab bahawa tak perlu pinda perlembagaan tetapi bubarkan sahaja Umno. Ini kerana penyakit rasuah dalam Umno sudah tidak dapat diubati lagi. Ianya ibarat kanser yang sudah sampai ke tahap kritikal yang hanya menunggu ajal.
Pindaan perlembagaan tidak akan membawa apa-apa erti jika perangai, ketahanan dan kekuatan iman tidak ada dalam diri masing-masing. Mungkin RM100 boleh tahan kalau dah ditawarkan dengan RM1 juta macamana kalau iman tak kuat.
Jadi kepada pemimpin Umno tak perlu ubah perlembagaan tetapi bubar sahaja parti.
Semalam Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam Musa Sheikh Fadzir berkata pindaan perlembagaan Umno dibuat sekadar "melepaskan batuk di tangga" dalam keadaan tergesa-gesa pada perhimpunan agung tahunan Oktober ini walaupun ahli tidak memahaminya.

03 September 2009

BN LUMPUH?

Politik dalaman BN yang semakin berkecamuk sekarang membayangkan parti tersebut akan lumpuh menjelang pilihanraya umum akan datang.
Bermula dengan kekalahan paling buruk dalam sejarah pada PRU 2008 lalu, BN dilihat gagal mengembalikan kepercayaan rakyat apabila tewas 7-0 pada Pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia.
Ianya ditambah lagi dengan masalah dalam Umno yang jelas menjadikan rasuah sebagai pakaian; krisis kepimpinan dalam MCA dan MIC yang sehingga kini terus membarah.
Rakyat semakin hilang kepercayaan kepada BN dan tidak mustahil BN akan dikuburkan rakyat pada PRU ke 13 nanti.
Hari ini media melaporkan BN Perak semakin teruk dengan kemasukan seramai 600 anggota parti komponen BN di Perak didakwa akan menyertai PKR pada satu majlis di Dewan Tow Boo Keong di Ipoh, Sabtu ini.
Bekas anggota parlimen Lumut daripada MCA, Datuk Dr Yap Yit Thong berkata 90 peratus daripada kelompok berkenaan merupakan anggota parti MCA, Umno, MIC dan PPP dan hanya 10 peratus adalah mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini.
Tidak syak fenomena ini akan berterusan dari sekarang sehinggalah BN berkubur.

02 September 2009

ADUN DAP IKUTI USRAH PAS

ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong bukan sahaja menghadiri program kemasyarakatan bersama rakyat malah turut juga menghadiri majlis usrah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.
Minggu lalu beliau telah menghadiri program usrah dwimingguan Dewan Pemuda PAS bertempat di rumah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Puhat Bedol di Taman Jati, Batu Berendam.
Ketika ditemui YB Khoo berkata beliau ingin mendalami ilmu Islam yang sememangnya sesuai untuk semua kaum tanpa mengira agama dan tempat.

"Saya memang minat untuk mengetahui serba sedikit tentang agama Islam kerana ia adalah agama rasmi negara kita, kawan-kawan saya memang ramai orang Melayu tetapi sebelum ini saya tidak ada kesempatan untuk mendalaminya".

"Dengan kesempatan berkawan bersama orang PAS saya kira ini peluang terbaik untuk saya mempelajari serba sedikit tentang Islam lebih-lebih lagi saya sebagai Wakil Rakyat memang patut tahu kerana dalam Dewan Undangan Negeri banyak isu Islam di bahaskan" ujar Khoo.
Khoo berkata acapkali Sidang DUN Melaka membahaskan isu berkaitan dengan Islam tetapi beliau tidak dapat mengambil bahagian kerana tidak memahami asas-asas Islam. "Kalau saya ada sedikit ilmu tentang Islam sudah tentu saya senang untuk faham dan mungkin boleh sama-sama berbahas dalam isu tersebut" tambah Khoo.

Sementara itu Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Khairul Che Salleh menyambut baik kesedian YB Khoo Poay Tiong untuk bersama-sama menyertai Usrah Dewan Pemuda PAS Bukit Katil.

"Kita tiada halangan kerana Islam memang sesuai untuk semua itu sebab slogan kita 'PAS FOR ALL".

"Kita memang mengalu-alukan kehadiran beliau dan memberikan peluang sepenuhnya kepada beliau memberikan pandangan dan idea dalam usrah kita" tambah Khairul.

Pendapat Khairul dipersetujui oleh Ketuanya Puhat Bedol yang turut sama menjemput YB Khoo pada setiap kali usrah dan program-program lain.

"Pemuda akan sentiasa menjemput YB Khoo untuk bersama-sama dengan kita dalam apa juga program kemasyarakatan dan seumpamanya bagi menggerakkan jentera Pakatan Rakyat Melaka dalam usaha kita mendekati rakyat".

"PAS, DAP dan PKR mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu menegakkan keadilan dan kebajikan di samping matlamat utama parti masing-masing, jadi tidak ada sebab untuk kita tidak boleh menggerakkan program bersama dengan lebih serius dan bersungguh-sungguh" ujar Puhat.

LARIAN MERDEKA DAP MERIAH

Larian Merdeka anjuran DAP Melaka yang diadakan mendapat sambutan yang hebat dari masyarakat setempat.Kira-kira 100 peserta dari pelbagai kaum mengambil bahagian dalam program tersebut yang bermula pada jam 8.00 pagi di mana ianya dimulakan dengan upacara pengibaran bendera di perkarangan Pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan di sini Ahad lalu.

Program tersebut telah disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik. Ia jelas menggambarkan perpaduan rakyat Malaysia yang amat cintakan negara.

Salah seorang peserta larian, Ahmad Bakhtiar Abdullah, 34 dari Bachang berkata beliau sangat gembira kerana dapat mengambil bahagian dalam acara larian tersebut.

"Ini julung kalinya saya menyertai larian kemerdekaan seperti ini dan lebih menarik kali ini saya mengikuti aktiviti sambutan kemerdekaan DAP".

"Kalau sebelum ini saya sering menyangka bahawa DAP adalah parti anti-kerajaan dan anti negara tetapi semua itu adalah tidak benar apabila hari ini pimpinan DAP sendiri turut sama menganjurkan acara sambutan kemerdekaan ini" tambah Ahmad Bakhtiar.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Puhat Bedol mengucapkan tahniah atas inisiatif DAP Melaka yang mengadakan program ini yang dapat menaikkan semangat cintakan negara.

"Kami Pemuda PAS sama-sama menyertai program ini bagi menunjukkan sokongan padu kami kepada negara dalam menghadapi apa juga masalah".

"Pemuda PAS juga sentiasa komited untuk bersama DAP dalam program-program sebegini demi dan program-program lain, kami sentiasa bergerak secara bersama dalam usaha untuk mendekati rakyat" tambah Puhat yang turut sama menyertai larian tersebut.

Turut hadir pada program tersebut ialah Pengerusi DAP Melaka, YB Goh Leong San, ADUN Bachang YB Lim Jak Wong, ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong, ADUN Bandar Hilir YB Tey Kok Kiew, AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Khairul Che Salleh dan beberapa pimpinan DAP dan PAS setempat.

NAJIB 'SERANG' SELANGOR, ANWAR 'SERANG' TERENGGANU

Najib secara terang-terangan berkata Selangor mesti direbut kembali dari Pakatan Rakyat. Bagaimana caranya saya tidak pasti. Mungkin cara yang sama seperti yang mereka lakukan semasa merentap kuasa Kerajaan PR di Perak.
Semua orang tahu bahawa BN sememangnya tiada maruah dan sering membelakangkan undang-undang dalam apa juga tindakannya. Yang penting mereka mendokong 'aqidah' matlamat menghalalkan cara. Sebab itulah mereka tidak kisah dengan apa juga cara samada halal atau haram asalkan matlamat tercapai. Demokrasi dan Islam ditolak ketepi.
Menariknya kali ini, Najib berusaha keras untuk menumbangkan kerajaan PR di Selangor tetapi pada masa yang sama Anwar pula dilaporkan pernah berjumpa dengan ADUN Terengganu yang tidak puas hati kepada MB Terengganu Ahmad Said. Ada laporan menyebut ADUN tersebut mengugut untuk keluar dari Umno dan menyertai PKR. Ianya tidak mustahil.
Khabarnya 9 orang ADUN BN sedang berkira-kira untuk membuat kejutan. Jika mereka menyertai PKR dan bergabung dengan 8 orang ADUN PAS maka kerajaan PR Terengganu dapat dibentuk.
Namun bagi saya jika ianya menjadi kenyataan kerajaan tersebut pastinya kerajaan yang tidak kukuh dan longgar kerana ianya dianggotai oleh ADUN BN yang tidak puashati terhadap Ahmad Said bukannya tidak suka kepada prinsip dan kebobrokan BN. Bila-bila masa mereka boleh berubah.

SIDANG DUN BERSEJARAH KALI KEDUA

Negeri Perak terus mencatatkan sejarah dalam arena politik negara kita apabila Sidang DUNnya buat kali kedua tidak dijalankan di Bangunan SUK yang menempatkan DUN Perak.

Hari ini Sidang DUN bersejarah itu diadakan di sebuah bilik di Hotel Heritage, Ipoh. Speaker menggunakan kuasanya untuk memanggil sidang tersebut dan ianya boleh diadakan di mana sahaja hatta di bawah pokok seperti yang berlaku sebelum ini.

Syabas PR Perak kerana tetap istiqamah mempertahankan demokrasi dan suara rakyat.

Semua ADUN PR hadir kecuali yang ditangkap dan seorang sedang mengerjakan Umrah di Mekah.

Gambar ihsan : Blog Cina Islam

ADUN UMNO TERENGGANU LOMPAT PARTI?

Semakin hari semakin panas isu ADUN Umno Terengganu hendak melompat parti. Krisis berpanjangan antara Ahmad Said dan Derih Jusoh dilihat sudah sampai ke kemuncak apabila ada sebilangan ADUN yang mula berjinak-jinak dengan PR.

Sudah bukan menjadi rahsia lagi bahawa memang ada ADUN yang berani bersembang tentang lompat parti. Namun begitu sehingga kini semua mereka masih takut dan tidak berani.

Bukan senang untuk lompat parti. Masuk PR bermakna mereka akan kehilangan segala-galanya,antaranya :-

1) Projek
2) Wang Peruntukan ADUN berjumlah ratusan ribu
3) Duit dari pelbagai sumber
4) Tidak boleh bermewah-mewah
5) Kena meninggalkan segala perangai tak elok dan tak baik

dan macam-macam lagi...

Namun bagi saya ada baiknya mereka meninggalkan Umno/BN pada bulan puasa ini kerana saya yakin mereka juga sedar bahawa Umno/BN adalah sebuah parti yang sudah rosak dan tidak sesuai untuk dijadikan wasilah untuk perjuangan menegakkan Islam dan keadilan.

SPEAKER DUN AKAN DIGANTIKAN OLEH PENGERUSI SPR

Semua Speaker DUN di Malaysia akan digantikan oleh Pengerusi SPR tidak lama lagi. Itu komen spontan rakan saya sebaik menerima berita bahawa DUN Kota Seputeh kekal di tangan BN kerana SPR tidak menerima notis kekosongan yang dihantar oleh Speaker DUN Kedah.
Ini adalah kali kedua SPR memainkan peranan sebagai Speaker iaitu invididu yang paling berkuasa di dalam DUN yang boleh menentukan status sesuatu kerusi. Namun sejak kes melibatkan DUN Perak tempohari SPR sudah mencabul tugas dan tanggungjawab Speaker sehingga kuasa menentukan status sesuatu DUN diambilalih oleh SPR.
SPR yang fungsinya mengendalikan pilihanraya kini bertindak sebagai badan penentu kepada status sesuatu DUN atau Parlimen.
Rakan saya itu mencadangkan kepada Pengerusi SPR supaya beliau sendiri mengambilalih tugas Speaker di semua DUN termasuk mengendalikan Persidangan DUN.
Semalam SPR bermesyuarat lebih empat jam bagi menentukan sama ada perlu diisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong ataupun sebaliknya. Namun keputusannya adalah seperti yang dijangka DUN tersebut kekal di tangan BN.

SIDANG DUN PERAK : 2 USUL LULUS SEBULAT SUARA

3 Usul dibentang pada Sidang DUN Perak di Hotel Heritage pagi ini. Sidang yang bermula jam 11.45 pagi meluluskan 2 usul sebulat suara.

Usul pertama diluluskan sebulat suara - yang mengesahkan laporan jawatankuasa hak dan kebebasan DUN mengenai:

1. (Speaker BN) Datuk R Ganesan, yang bukan seorang ADUN, yang masuk ke dewan DUN tanpa kebenaran speaker dan enggan keluar sewaktu sidang 7 Mei lalu, apabila diperintah berbuat demikian oleh speaker (Sivakumar).

2. (Bekas timbalan speaker) Hee Yit Fong, yang keluar DAP dan didakwa bertindak sebagai speaker, dan mempengerusikan sidang DUN (pada 7 Mei) dan menjalankan pengundian yang memilih Ganesan sebagai speaker.

Usul ketiga juga dijangka diluluskan sebentar lagi.

SIDANG DUN BERMULA 11.45 PAGI

Sidang DUN Perak bermula jam 11.45 pagi tadi di sebuah bilik di Hotel Heritage setelah Speaker dan ADUN dihalang dari memasuki Bangunan SUK untuk memasuki DUN Perak.

Speaker DUN, V Sivakumar memulakan persidangan mengikut agenda yang ditetapkan beliau.

MERDEKAKAH KITA : 100 RAKYAT TELAH DITAHAN

Peristiwa hitam di sebuah negara merdeka seperti Malaysia berlaku hari ini apabila dipercayai 100 orang dilaporkan telah ditahan Polis di perkarangan Bangunan SUK di Ipoh.

Tragedi merupakan satu lagi peristiwa hitam selepas Polis berpesta menangkap rakyat pada himpunan mansuhkan ISA 1 Ogos lalu.

Polis dilihat cuba mengawal pokok demokrasi dengan membuat halangan agar Sidang bawah pokok ke 2 tidak dapat dijalankan.

MERDEKA : PESTA TANGKAP MENANGKAP BERULANG HARI INI

10.30 pagi : 3 ADUN PR iaitu YB Ngeh Koo Ham, YB Chan Meng Kai dan YB Keshvinder Singh telah ditangkap dengan kasar.

YB Keshvinder ditolak jatuh dan pengsan. Beliau kemudian dihantar ke Hopsital.

Speaker, YB Sivakumar mengumumkan bahawa Sidang DUN dilangsungkan di Hotel Heritage.

MERDEKA : ADUN PAKATAN KENA TANGKAP

ADUN PR yang juga Pengerusi DAP Perak, YB Ngeh Koo Ham ditangkap di perkarangan Bangunan SUK pagi ini.

Pengerusi DAP Perak itu bertengkar dengan Polis mengenai perintah mahkamah melarang perhimpunan itu diadakan.

"Perintah mahkamah melarang orang awam berada di situ, tetapi tidak menyebut tentang ahli dewan undangan negeri. Adalah salah untuk menghalang ADUN menjalankan tugas mereka...

"Lagi pula, Seksyen 90 Kanun Prosedur Jenayah menyebut perintah tersebut mesti diwartakan,” tegasnya.

Mereka kemudiannya cuba meneruskan perarakan itu tetapi dihalang oleh anggota polis mencegah rusuhan. Ngeh ditangkap pada jam 10 pagi.

Perarakan tersebut bermula jam 9.45 pagi di mana semua ADUN PR termasuk Menteri Besar, Nizar Jamaluddin turut sama berarak.

Turut ditangkap ialah Stanley Tan, seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, yang dikatakan turut disepak ketika ditahan.Dia kedengaran menjerit kepada polis: "You nak kerja, kita pun nak kerja."

Para peguam Pakatan dijangka memfailkan permohonan di mahkamah pagi ini untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam, melarang sebarang perhimpunan diadakan dalam kawasan sekitar 30m dari bangunan sekretariat.

Perintah diperolehi pihak polis bagi menghalang perhimpunan ADUN Pakatan itu berkuatkuasa dari jam 1 pagi ini hingga 11 pagi esok.Semalam, Ketua Polis Ipoh, ACP Azisman Alias berkata hanya kakitangan kerajaan yang bertugas di bangunan itu dibenarkan masuk hari ini.

Notis untuk mengadakan sidang hari ini dikeluarkan minggu lalu oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, yang juga ADUN Tronoh.Speaker BN, Datuk R Ganesan bagaimanapun meminta para ADUN supaya mengenepikannya kearna ia dikeluarkan oleh sumber yang tidak sah.

Malaysiakini

DUN PERAK : SIDANG BAWAH POKOK BERMULA?

Apakah Sidang DUN Perak akan bersidang buat kali kedua di bawah pokok.? Berita dari Ipoh melaporkan bahawa Polis terus mempertahankan tradisinya berkawal di jalanraya bagi menghalang Sidang DUN berlangsung di Bangunan SUK seperti yang mereka lakukan pada Sidang bawah pokok pertama dulu.

Sejak dari jam 6.30 pagi lagi Polis sudah berkawal dan semua jalan menuju ke Bangunan SUK ditutup.

Wakil rakyat PR termasuk Menteri Besar dan Exco berkumpul di Wisma DAP Perak berhampiran Bangunan SUK kira-kira jam 9.00 pagi tadi.

Berita lanjut menyusul ..........

KOTA SEPUTEH : KALAU BN BUAT SEMUA BETUL

Di bawah ini adalah alasan SPR untuk menghalalkan BN terus menguasai DUN Kota Seputeh. Apakah ianya akan turut dilakukan oleh SPR jika DUN tersebut milik PAS?
Alasan SPR :-
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.
"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.
"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.
"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

01 September 2009

KOTA SEPUTEH : KEPUTUSAN SEPERTI YANG DIJANGKA

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan status quo kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kekal di tangan Barisan Nasional.

SPR mengumumkan demikian melalui kenyataan yang dikeluarkan di pejabatnya di Putra Jaya, hari ini.
Keputusan SPR ini menimbulkan spekulasi seterusnya terhadap tahap professionalisme SPR. Ramai berpendapat status kerusi tersebut adalah jelas di mana berdasarkan kegagalan ADUN terbabit memaklumkan kepada Speaker tetang ketidakhadiran beliau pada sidang DUN 2 kali berturut-turut, kerusi tersebut sepatutnya kosong.
Keputusan ini menambahkan lagi koleksi tindakan kontroversi SPR dalam mengendalikan kes seumpama ini.

BANTULAH MANGSA KEKEJAMAN ISA

Sempena Ramadhan marilah kita membantu mangsa-mangsa yang telah dan sedang dizalimi oleh orang-orang yang tidak berhati perut yang tidak takutkan Allah S.W.T.
Bantuan anda boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5640 7000 0336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM.
Moga amalan anda diterima oleh Allah dan penyelamat kepada azabNya yang pedih.

MCA : 1 KAPAL 2 NAKHODA, 1MALAYSIA TAPI 2MCA

1MCA tetapi kini sudah jadi 2MCA. MCA pertama dipanggil MCA PKFZ dan MCA kedua dipanggil MCA Video. Kedua-duanya tidak boleh dipakai dan diikuti. Oleh kerana itulah kaum Tionghua jelas menolak MCA pada 7 Pilihanraya Kecil dan Pilihanraya Umum yang lalu.
MCA sebagai komponen BN sebenarnya tidak jauh bezanya dengan saudara mereka Umno dan MIC yang tidak luput dari masalah yang melibatkan kepimpinan mereka. Kalau Umno terkenal dengan kaki rasuah, MCA juga dikatakan apa kurangnya. Kalau MIC terkenal dengan sikap diktator pimpinannya, MCA juga dilihat bergerak ke aah itu.
Maka tepat sekali keputusan yang dibuat oleh Kaum Tionghua bahawa MCA dan BN sudah tidak boleh dipercayai dan di sokong lagi.
Di saat kerajaan BN melaungkan slogan 1Malaysia, MCA sudah jadi 2MCA. MCA sudah terkena penyakit H1N1 (selsema babi) sebagaimana yang dihidapi oleh satu lagi parti komponen BN iaitu PPP yang mempunyai dua kepala iaitu Kayveas dan Murugiah.
Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA akan diadakan dua kali? Apakah senario PPP (Parti Progresif Penduduk) akan berulang pada MCA? Atau Timbalan Presiden MCA, Dato' Chua Soi Lek dan penyokongnya akan menghadiri EGM yang ditetapkan oleh Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat?

Persoalan ini mula berlegar di kalangan pemerhati politik apabila baru-baru ini, Ong telah mengarahkan supaya diadakan EGM parti itu, seminggu selepas parti itu memecat Chua.

KOTA SEPUTEH : KEPUTUSAN HARI INI

Samada SPR akan dilihat professional atau jelas terus berpihak akan dapat kita lihat hari ini. Jika SPR tidak akur dengan notis kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh sebagaimana surat makluman dari Speaker DUN Kedah maka rakyat boleh menilai siapa SPR sebenarnya.
Sebaliknya jika SPR bersetuju bahawa kerusi DUN tersebut kosong jelas SPR adalah professional dan telus.
Persoalannya apakah SPR akan menggunakan kuasanya mengatasi kuasa Speaker DUN Perak sebagaimana yang dilakukannya terhadap 3 kerusi DUN di Perak dahulu.
Hari ini media melaporkan bahawa SPR akan memutuskan status DUN Kota Seputeh tersebut. Isu ini timbul selepas ADUN berkenaan tidak hadir pada Sidang DUN Kedah 2 kali berturut-turut tanpa memaklumkan kepada Speaker.

Ada beberapa alasan yang saya kira boleh dilakukan oleh SPR untuk tidak bersetuju dengan Speaker DUN Kedah :-
1) ADUN tersebut mungkin dikatakan telah menghantar MC (Medical Certificate) 'back dated' kepada Speaker.
2) ADUN tersebut mungkin dikatakn sudah menghantar surat makluman kepada Speaker selepas 2 kali tidak hadir Sidang DUN.
3) ADUN berkenaan boleh membuat rayuan dan tindakan mahkamah
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata semalam, mesyuarat yang akan bermula pukul 10.30 pagi Selasa di ibu pejabat SPR.
SPR akan meneliti segala dokumen berkaitan antaranya sijil cuti sakit (MC) Abu Hasan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dan surat Speaker DUN Kedah memaklumkan kekosongan kerusi.

Aziz berkata SPR akan kaji kesemua dokumen ini dari aspek perundangan.

Katanya, keputusan muktamad terletak di tangan SPR sama ada berlaku kekosongan luar jangka di kerusi DUN Kota Siputeh. Keputusan akan dimaklumkan selepas mesyuarat.

ADUN Kota Seputeh Abu Hasan Sharif yang menjadi wakil rakyat Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut didapati tidak hadir dua kali berturut-turut persidangan DUN pada 9 April dan 9 Ogos lalu tanpa kebenaran.

Berikutan itu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, berdasarkan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, jika mana-mana wakil rakyat tidak hadir dalam dewan dengan tiada kebenaran Speaker dua kali berturut-turut, tempatnya itu hendaklah dikosongkan.

Menurut Speaker itu, artikel tersebut jelas membuktikan Abu Hasan telah melanggar peraturan tersebut dan beliau tiada ruang budi bicara dalam hal ini.

30 August 2009

GERAKERJA BEBASKAN MELAKA DARI RASUAH KIAN MANTAP

Kerjasama PAS-DAP Melaka kian mantap.

- ADUN DAP hadir usrah Pemuda PAS
- Program daftar pemilih bersama
- Program turun padang temui rakyat bersama
- ‘Press Statement’ bersama
- Ceramah bersama
- Dan lain-lain.

Selepas ini Pakatan Rakyat akan memperhebatkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga parti bagi merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat membebaskan rakyat Melaka dari cengkaman pemimpin rasuah, tamak dan suka membazir.

MELAKA BAKAL JATUH KE TANGAN PAKATAN RAKYAT?

Melaka bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya ke 13 nanti. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah umpama angan-angan ‘Mat Jenin’ yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Malah penyokong dan pemimpin BN sudah pasti mentertawakan sesiapa sahaja yang mendakwa mereka akan kecundang pada Pilihanraya Umum akan datang.

Namun begitu pernah kita terbayang, Selangor dan Khir Toyo; Perak dan Tajol Rosli; Tsu Kon dan Pulau Pinang serta Kedah dan Mahdzir akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum ini. Sudah tentu tiada siapa yang menduga selepas Pilihanraya Umum ke 12 semua negeri-negeri kuat BN itu akan bertukar pemerintah.

Begitu juga keadaannya dengan Johor dan Negeri Sembilan yang dikatakan tidak mempunyai ruang langsung untuk PAS menang walaupun dengan satu kerusi. Tetapi itulah yang berlaku. Apabila Johor dan Negeri Sembilan berjaya diteroka oleh PAS apabila PAS menang masing-masing 2 dan 1 kerusi DUN pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu yang penuh dengan sejarah.

Maka tidak hairanlah semua perkara mustahil seperti itu juga bakal berlaku di Melaka. Pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 5 kerusi DUN melalui DAP. 5 DUN yang dimenangi oleh DAP ialah Kesidang (YB Goh Leong San), Kota Laksamana (YB Betty Chew), Bandar Hilir (YB Tey Kok Kiew), Bachang (YB Lim Jak Wong) dan Ayer Keroh (YB Khoo Poay Tiong).

Dengan 5 kerusi yang sudah dalam tangan Pakatan hanya memerlukan 10 kerusi lagi untuk merampas negeri Melaka yang penuh sejarah ini. Apakah ini mustahil? 15 kerusi DUN sudah cukup bagi Pakatan Rakyat memperolehi majority mudah iaitu kelebihan 2 kerusi dari BN untuk memerintah Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN secara keseluruhannya. Jika Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi maka BN sudah tentu hanya mendapat 13 kerusi DUN sahaja.

Dari pengamatan pemerhati politik, Melaka juga akan mengalami perubahan iklim politik pada Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Ini berdasarkan kepada ‘mood’ rakyat keseluruhannya yang dilihat semakin hari semakin condong meyokong Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan kemenangan 7 kali berturut-turut Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia yang tempiasnya terkena kepada rakyat negeri Melaka.

Rakyat Melaka khasnya kaum Tionghua dan India semakin jelas menyokong Pakatan Rakyat sepertimana rakan-rakan dan saudara mara mereka di negeri-negeri lain. Jika senario seperti ini terus kekal hingga Pilihanraya Umum akan datang Pakatan Rakyat dijangka dengan mudah merampas kerusi DUN seperti Lendu, Machap, Bemban, Duyong, Klebang, Bukit Baru, Paya Rumput dan Merlimau yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang melebihi 20 %. Dengan kerja kuat yang berterusan Pakatan Rakyat dijangka dapat merampas 2 lagi kerusi majorit Melayu yang lain.

Oleh itu hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk merobohkan ‘khurafat’ (hanya BN yang boleh memerintah Melaka) di Melaka akan menjadi kenyataan.

Namun begitu gerakerja untuk menyedarkan rakyat Melaka tentang betapa pentingnya negeri Hang Tuah ini di perintah Pakatan Rakyat bukan suatu perkara yang mudah dan enteng. Seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat dari sekarang tanpa menoleh ke belakang.

Pakatan Rakyat Melaka juga mesti memantapkan perpaduan sesama mereka bagi memberikan gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menerajui Negeri Melaka. Persepsi ini amat penting kerana selagi rakyat tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat maka selagi itulah mereka tidak akan mengundi Pakatan Rakyat.

Gerakerja secara kolektif, terancang, interaktif, kreatif dengan komitment tinggi di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat mesti dimulakan dengan segera tanpa berlengah.

Sejak akhir-akhir ini, Pakatan Rakyat Melaka dilihat mula menggerakkan jentera secara kolektif di mana banyak program-program bersama telah dijalankan. Antaranya gerakan mendaftar pengundi baru, ceramah bersama, program kebajikan rakyat secara bersama dan program turun padang bersama. Ini merupakan perkembangan sihat yang cukup menggerunkan BN Melaka.

Isu-isu tempatan yang begitu banyak sudah tentu boleh digunakan Pakatan Rakyat untuk menenggelamkan Ali Rustam dan kuncu-kuncunya. Isu paling besar yang sebenarnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat ialah isu rasuah Ali Rustam, isu pembaziran kerajaan negeri, isu hutang lapuk kerajaan negeri, isu kronisme dan lain-lain sebenarnya belum dieksploitasi sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat.

Rakyat Melaka juga mesti diberi kefahaman yang cukup tentang hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Contoh-contoh program dan aktiviti kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang mesti diwar-warkan supaya rakyat negeri Melaka faham dan mengerti perbezaan antara pemerintahan Pakatan Rakyat yang mementingkan kebajikan rakyat dan pemerintahan kerajaan BN yang lebih mengutamakan tembolok pemimpin dan kroni-kroni mereka.

Dengan bantuan isu nasional dan antarabangsa maka tidak mustahil rakyat Melaka akan berubah dan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum akan datang.

SELOKA KOTA SEPUTEH & LUNAS

Kota Seputeh Parlimen Jerlun
Lunas Parlimen Kulim Bandar Bharu
Sudah 7 kali BN kena balun
Sampai sekarang tergaru-garu

Politik lama amalan Barisan Nasional
Politik baru gagasan Pakatan
Semakin hari semakin tak rasional
Akibat tamak dan kejar habuan

Kota Seputeh kerusi dah kosong
BN berjuang tidak ikhlas
7 kali sudah melopong
Rakyat tolak tanpa belas

YB lunas tiada maruah
Jual kerusi tak rasa malu
BN takut dan rasa susah
Ditolak rakyat bertalu-talu

Ponteng sidang tanpa alasan
YB Kota Seputeh tak rasa malu
Speaker DUN sudah maklumkan
SPR membisu buat tak tahu

Muka YB muka tak malu
Itulah sikap ADUN Barisan Nasional
Sikap SPR kita dah tahu
Tidak telus tidak professional

BN takut hendak berlawan
Terpaksa guna jentera kerajaan
Rakyat cerdik pandang ke hadapan
7 kali BN kena hukuman

Najib Muhyiddin terus bingung
Kalah terus tak ada yang menang
7 kali kepala berdengung
Muka pucat hati meradang

Zahid Hamidi Hishamudin Ketua Puteri
Shafei Afdal dan juga Khairi
BN berkubur menyembah bumi
Perjuangan lapuk pentingkan diri
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter