.

.

21 November 2009

KOTA SEPUTEH : MENGAPA BN TAKUT?

BN takut hendak bertanding di DUN Kota Seputeh. Mengapa:-

Jika BN benar-benar kuat mengapa Umno takut. Hari ini Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah berkata Umno yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar ekoran terdapat petanda pengundi akan kembali menyokong parti itu

Katanya lagi , berdasarkan maklumbalas, sekiranya 40 peratus pengundi menyokong pembangkang tahun lalu, kembali menyokong BN, maka kerusi Kota Siputeh akan dapat dikekalkan.

Namun mengapa Umno/BN beriya-iya merayu supaya keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini diketepikan,

Isnin lalu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, semasa membenarkan semakan kehakiman oleh Abdul Isa, memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hassan menghadiri dua sidang dewan pada tahun ini.

Bagaimanapun sehari selepas itu, bekas ADUN Kota Siputeh itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, calon BN Datuk Abu Hassan Syarif mendapat 8,160 undi, menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh yang memperolehi 7,665 undi.

Secara jelas bahawa BN memang takut akan berlakunya Pilihanraya Kecil Kota Seputeh. Sebabnya memang BN gusar dan tidak yakin menang.

20 November 2009

KRISIS MCA : PELAN PERBALAHAN SEMAKIN HEBAT

Presiden MCA, Ong Tee Keat semalam menggesa Pelan Perpaduan yang ditaja oleh beliau disegerakan pelaksanaannya.

Nampaknya Ong Tee Keat ini sudah pening lalat. Mulut kata mahu perpaduan tetapi tindakan tidak mencerminkan kata-katanya. Buktinya habis semua orang kuat Liow Tiong Lai dicantas dari Majlis Presiden, hanya Tiong Lai seorang yang tinggal.
Ketua Pemuda dan Wanita, 2 sayap utama parti juga dipecat dari Majlis Presiden. Ini merupakan tindakan luarbiasa yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden MCA sebelum ini. Ong lebih brutal dan ganas dari semua Presiden MCA sebelum ini.
Semalam Ong berkata bahawa Pelan Perpaduan Menyeluruh (GUP) perlu dilaksanakan segera.

Katanya, beliau memerlukan pasukan yang menyokong 100 peratus usaha menyatupadukan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan, parti itu tidak boleh lagi mempunyai pemimpin yang menentang usaha tersebut terutama mereka yang cuba menganggu pelan yang telah direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata-katanya dipetik dari blog peribadinya.

UMNO KEDAH BERPUAK-PUAK?

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah menafikan bahawa pimpinan Umno Kedah berpuak-puak.

Beliau berkata (dipetik dari media hari ini), semua pemimpin serta ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di peringkat bahagian termasuk pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi badan itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Baguslah kalau begitu, jangan berpuak-puak itu semua kerja buang masa. Rapatkan saf sesama kita, jangan masam muka. Kalau disingkirkan dari sebarang jawatan termasuk Pengerusi Perhubungan jangan marah pada pimpinan.

Kalau pimpinan pusat tak iktiraf kepimpinan kita sehingga digantikan dengan orang luar jangan kita berkecil hati.

Dari mana timbulnya isu berpuak-puak ini? Cuma satu yang saya biasa dengar bak kata pepatah, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

JUMPA DI KL AHAD INI

Kepada sahabat-sahabat Blogger ahli PAS dan penyokong PAS ayuh kita ke Seminar Blogger anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat, 20 Nov 2009, Ahad ini di Markaz Tarbiah Taman Melewar.
Kehadiran tuan-tuan amat dialu-alukan. Untuk keterangan lanjut hubungi email: penerangan.paspusat@yahoo.com

19 November 2009

PAS AKAN MENANG DI KOTA SEPUTEH?

PAS akan menang di Kota Seputeh jika ditakdirkan pilihanraya berlaku. Itu sebab BN takut untuk berdepan dengan PAS di sana.

Banyak sebab menunjukkan PAS akan menang walaupun di sana lebih 95 % pengundi Melayu. Antara sebabnya Kerajaan PR pimpinan PAS dilihat berjaya mentadbir Kedah dengan baik tanpa banyak masalah dan kerenah. Rakyat berpuas hati dengan prestasi PAS memerintah Kedah walaupun tiada projek mega dan hebat.

Apa yang dapat kita lihat PAS dan PR mendapat kerjasama yang baik dari Pegawai Kerajaan, Agensi-agensi kerajaan dan rakyat. Tidak banyak masalah yang timbul. Semua ini adalah kerana kepintaran kepimpinan kerajaan negeri menangani masalah yang berbangkit.

Projek dan program kebajikan banyak dijalankan dan ini cukup disenangi oleh rakyat. Mereka tidak memerlukan duit yang banyak, projek mega dan hebat tetapi mereka hanya mahukan kebajikan mereka terbela, sakit dan susah senang mereka diambil berat. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah.

Saya yakin oleh kerana penerimaan rakyat yang baik terhadap Ustaz Azizan, Exco dan Wakil Rakyat, Kota Seputeh akan terlepas ke tangan PAS jika pilihanraya kecil berlaku.

Inilah yang sangat ditakuti oleh Najib dan BN kerana mereka bimbang momentum Bagan Pinang hanya berakhir di sana sahaja tidak melarat ke Kota Seputeh.

MEMALI : 19 NOV MASIH SEGAR DALAM INGATAN KU

Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata bonda tercinta saya ketika saya baru pulang dari sekolah menduduki peperiksaan SPM 24 tahun lalu iaitu pada 19 November 1985.

Bonda saya berkata " Mat (nama mesra saya), ada orang beramuk di Baling, 14 orang meninggal"

Saya mendengar dan minat. Tidak lama selepas itu RTM terus memfitnah Ustaz Ibrahim sebagai penderhaka, pengamal ajaran sesat dan sebagainya.

"Sapa yang dibunuh tu mak" tanya saya.

"Dengar cerita orang PAS, Ustaz PAS dan anak-anak muridnya" jawab Bonda saya yang ketika itu berumur dalam linkungan 48 tahun.

Walaupun saya baru berumur 17 tahun ketikan itu namun saya sudah terlibat dengan usrah PAS cawangan dan kawasan secara langsung dan saya faham akan perjuangan PAS dan perjuangan Ustaz Ibrahim Libya.

Bertungkus lumus Tuan Guru Nik Aziz mempertahankan Allahyarham As Syahid Ustaz Ibrahim Libya di Parlimen. Ketika itu Tok Guru satu-satu Ahli Parlimen PAS (Pengkalan Chepa) dalam dewan.

Akhirnya segala-gala teki terjawab apabila Sultan Kedah sendiri mencemar duli menziarahi pusara Ustaz Ibrahim. Selain itu ada anggota majlis fatwa Kedah yang memfatwakan Ustaz Ibrahim dan sahabat-sahabatnya adalah syahid.

As-Syahid kental mempertahankan nyawa, maruah, keluarga, pondok dan hartanya dari anggota pasukan keselamatan yang menyerang mereka atas arahan pimpinan Umno/BN ketika itu.

Ketika saya menuntut di utara tanahair saya sempat melawat kesan-kesan kezaliman penguasa ke atas As Syahid. Kesan peluru di dinding-dinding, pokok dan sebagai masih ada. Itupun selepas 2 tahun kezaliman dilakukan.

Seingat saya sudah 2, 3 kali saya menziarahi makam As Syahid dan sahabatnya. Setiap kali saya menziarahinya, air mata saya mengalir kerana sayu mengenangkan kezaliman penguasa keatas rakyat yang tidak berdosa. Mengapa begitu kejam mereka ini, tanya hatiku.

Kepada para Syuhada, aman dan damailah kailan di sana mendapat nikmat dari janji Allah.

Apa yang diharapkan kerajaan yang bertanggungjawab ke atas peristiwa ini jenguk-jenguk mangsa Memali ini. Berilah bantuan dan pertolongan semaksima mungkin. Guna untuk menebus dosa yang telah dilakukan. Walaupun ianya mungkin tidak mampu mengembirakan mangsa Memali tetapi setidak-tidaknya keperitan hidup mereka dapat dibela.

Tahniah juga kepada pihak Madsrasah Islahiah Memali kerana berjaya membangung institusi tersebut sehingga menjadi sebuah institusi pendidikan yang besar sekarang ini. Cita-cita As Syahid untuk membangunkannya akhirnya tercapai. Syabas dan tahniah.

Kepada seluruh pencinta perjuangan Islam, hulurkan apa juga bantuan yang boleh diberi kepada mangsa Memaali dan Madrasah ini.

18 November 2009

KETUA PEMUDA DAN KETUA WANITA TIDAK BERGUNA

Bagi MCA Ketua Pemuda dan Ketua Wanitanya tidak berguna seolah-olah tiada apa-apa sumbangan kepada parti. Sebab itulah Kedua-dua watak penting itu digugurkan dari Majlis Presiden MCA yang amat berkuasa itu.

Hari ini perang dalam MCA kian parah dan ledakannya kian hebat dan terasa. Bahangnya kian panas dan hangat walaupun sekarang musim hujan.

Kedua-dua Ketua Pemuda dan Wanita MCA itu terpaksa menangis mengeluarkan air mata yang berharga merayu ahli MCA supaya hadir pada EGM MCA tajaan kumpulan Liow yang dijadualkan pada 28 Nov ini.

Semakin jelas bahawa Liow akan digugurkan dari kepimpinan MCA kerana orang-orang kanannya seramai 9 0rang semua telah di'pencen'kan dari Majlis Presiden. Kini tiada apa lagi yang boleh dibanggakan oleh Liow. Kedua-dua ketua sayap parti sudah dihumbankan keluar dari Majlis Presiden, beliau sebatang kara dalam Majlis Presiden sekarang.

Adalah lebih baik Liow dan rakan-rakan keluar sahaja dari MCA dan sertai mana-mana parti Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh menjadi ahli Kelab Penyokong PAS yang semakin diterima kaum Tionghua sekarang.

RASUAH MAKIN PARAH : KETUA SPRM MESTI LETAK JAWATAN

Usaha kerajaan BN pimpinan Najib untuk membenteras rasuah hanyalah retorik semata-mata. Buktinya :-

  • Ali Rustam terus dibenarkan menjadi Ketua Menteri Melaka walau jelas mengamalkan rasuah
  • Bapak rasuah, Isa Samad diangkat menjadi calon BN di Bagan Pinang dan menang pada pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.
  • Semua kes-kes melibatkan pimpinan BN tidak disiasat secara professional dan telus antaranya kes PKFZ, Video Linggam, Kes Khir Toyo dan lain-lain
  • Kes-kes melibatkan pimpinan PR disiasat sepantas kilat manakala kes-kes melibatkan mereka dilengahkan atau dibakulsampahkan
  • Berlakunya penyaluran peruntukan kerajaan melalui Ketua Bahagian Umno tidak melalui wakil rakyat PR yang dipilih rakyat. Ini dikhuatiri menyebabkan berlakunya penyelewengan tetapi ianya tidak pernah disiasat
  • Serta banyak lagi isu dan kes yang sememangnya dilihat berlakunya rasuah tetapi tidak disiasat atau disiasat hanya sekadar mengabui mata rakyat.

Natijahnya Indeks Persepsi Rasuah (IPR atau CPI) dunia negara kita merudum teruk di kedudukan 56 dari 180 negara yang dinilai. Lebih memalukan Malaysia berada di tangga ketiga dari negara-negara di Asia Tenggara.

Malaysia mencatatkan penurunan dalam indeks persepsi rasuah pada tahun ini dengan hanya memperoleh 4.5 mata berbanding 5.1 mata pada 2008 dan 5.28 pada tahun 1995.

Kemerosotan berkenaan jelas menunjukkan kegagalan negara memerangi rasuah walapun pelbagai janji dibuat pihak berkuasa untuk menanganinya.

Presiden TI-Malaysia, Paul Low dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa peristiwa lompat parti sehingga menjatuhkan kerajaan antara yang telah memberikan sumbangan utama kepada persepsi ini.

Oleh itu saya menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletakkan jawatan ekoran kejatuhan ranking paling teruk Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (IPR atau CPI) dunia.

Terbukti beliau gagal memaii memainkan peranan yang berkesan bagi membenteras rasuah di negara kita. Rasuah bukannya berkurang malah meningkat dengan lebih teruk.

SKIM PENYAYANG PAS MELAKA RINGANKAN BEBAS WARIS

Saya menyeru seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan supaya menyertai skim penyayang PAS Negeri Melaka bagi meringankan bebas waris yang kematian orang tersayang.

Skim Penyayang ini memperuntukkan RM7,000 untuk waris yang kematian anggota keluarga yang umurnya 18-65 tahun dan RM2000 bagi anggota keluarga yang berumur 66 tahun ke atas.

Peserta Skim Penyayang ini hanya perlu mencarum sebanyak RM20 setahun sebagai caruman untuk Skim ini.

Setakat ini sudah ramai yang memperolehi manfaat ini termasuk seorang waris berbangsa Tionghua di Sungai Putat, Batu Berendam.

Sebarang pertanyaan diajukan kepada Pejabat PAS Negeri Melaka di talian 06-284178o atau 016-2772288

KEMELUT MCA : PINTU TERBUKA UNTUK LIOW SERTAI PR

Kemelut dalaman MCA kian kronik dengan cantas mencantas, gugur menggugur terus menjadi amalan untuk Presiden dan Timbalan Presidennya mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka.

Hari ini Bekas Timbalan Presiden MCA (19 hari), Liow Tiong Lai menerima tamparan dan lempangan hebat apabila 9 penyokong setianya digugurkan dari Majlis Presiden termasuk Ketua Pemuda dan Ketua Wanita iaitu Wee Ka Siong dan Chew Mei Fun.

Hanya Liow seorang terkontang-kanting dalam Majlis Presiden.

Saya mengharapkan Liow menilai semula kedudukannya di dalam MCA kerana terbukti tiada lagi demokrasi di dalam MCA. Semuanya mabukkan kuasa dan pangkat sebagai pimpinan MCA. Sudah sampai masanya Liow keluar dari MCA dan menyertai Pakatan Rakyat sebagaimana Bekas Naib Presiden MCA, Chua Jui Meng.

Tidak ada gunanya berada dalam MCA jika suara ahli diketepikan begitu sahaja.

Pintu terbuka luas untuk Ahli Parlimen Bentong itu untuk bersama-sama dengan PR memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat.

PESTA SEKS : AWASI ANAK DAN SAUDARA ANDA!

Awasi anak-anak dan saudara anda dari terjerumus ke kancah maksiat seperti pesta seks dan sebagainya. Sudah banyak cerita yang kita dengar dan baca di media tentang kegiatan sebegini.

Terbaru enam penuntut kolej diperdaya oleh lelaki hidung belang dengan dipujuk mengikuti mereka menjalankan kegiatan maksiat tersebut setelah termakan dengan pujuk rayu dan setelah itu diberi dadah dan minum arak.

Bagaikan hilang arah selepas diperdaya dengan madah cinta lelaki-lelaki berkenaan, dengan rela hati penuntut terbabit mengikut kehendak pasangan masing-masing.

Difahamkan, enam penuntut kolej berusia 19 tahun itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pasangan, tetapi dengan rela hati berhibur sambil berpesta seks ketika khayal di bawah pengaruh alkohol.

Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, yang melancarkan serbuan di sebuah pangsapuri di pusat peranginan dekat Bentong, diketuai Pegawai Operasi, Cif Inspektor M Pirabaharan bersama sepasukan anggota, jam 3 pagi, baru-baru ini.

Hasil serbuan itu, polis menahan enam penuntut perempuan terbabit bersama enam lelaki berusia 20 hingga 22 tahun, ketika mereka sedang menaiki tangga menuju pangsapuri disewa.

Saya mengharap semua keluarga yang mempunyai anak gadis supaya berhati-hati dan sentiasa memantau tingkah laku anak-anak mereka supaya tidak terjerat dengan kegiatan maksiat ini.

Kadang-kadang anak-anak gadis ini pandai berlakon di depan kita tetapi di belakang kita macam-macam yang mereka lakukan.

KOTA SEPUTEH : BN PENGECUT

BN terbukti pengecut takut untuk berdepan dengan PR pada Pilihanraya Kecil Kota Seputeh. Sebab itulah BN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kerusi itu kosong.

Bekas Wakil Rakyat BN yang dilucutkan jawatannya kerana ponteng Sidang DUN, Abu Hassan Sharif menfailkan rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1.35 tengah hari melalui peguam yang mewakilinya Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Mengapa BN begitu takut untuk berdepan dengan PR di Kota Seputeh sedangkan kerusi tersebut adalah kubu kuat BN sejak zaman berzaman. Tidak ada apa yang perlu BN takutkan kalau benar kepimpinan Najib dan slogan 1Malaysia sudah diterima oleh majoriti rakyat. Malah kemenangan di Kota Seputeh nanti sudah tentu akan menguatkan lagi hujah bahawa BN sudah kembali kuat dan diterima rakyat.

Jadi saya menyarankan kepada BN dan Abu Hassan supaya menarik balik rayuan tersebut dan kita bertanding secara anak jantan di gelanggang.

17 November 2009

AZIZ YUSOF CALON BN KOTA SEPUTEH

Saya menyokong cadangan sahabat saya, Blogger Angkasanuri agar Pengerusi SPR, Aziz Yusof dipilih menjadi calon BN pada Pilihanraya Kecil DUN Kota Seputeh andaikata SPR tidak dapat mencari jalan supaya ianya tidak diadakan.

Beliau adalah calon BN paling sesuai dan terbaik kerana beliau tahu semua selok belok pilihanraya apatah lagi SPR sejak akhir-akhir sudah layak dan sesuai menjadi parti komponen BN.

Tidak ada gunanya beliau menjadi Pengerusi SPR andaikata kata-kata beliau sering dilihat berpihak kepada BN malah sering melemparkan sindiran-sindiran tajam kepada PR pada setiap kali pilihanraya.

Lebih baik beliau terjun ke arena politik dan bertanding sebagai anak jantan dengan PR. Berilah peluang kepada orang lain menerajui SPR agar badan tersebut dapat dipulihkan.

Tidak ada gunanya seorang yang dilihat tidak telus dan bersikap berat sebelah menerajui SPR yang sememangnya mestilah bersih, telus dan professional.

Harapan besar rakyat kepada Aziz Yusof sewaktu beliau dinamakan sebagai pengganti Pengerusi SPR terdahulu, Abdul Rashid Abdul Rahman berkecai begitu sahaja dengan sikap Aziz yang jelas dilihat berat sebelah dan berpihak.

Janji beliau untuk membuat perubahan kepada SPR hanyalah omongan kosong yang amat mengecewakan rakyat.

KITA NAK RM1500 BUKAN RM700 SEBULAN

Kerajaan Pusat khasnya Kementerian Sumber Manusia memang tidak cerdik apabila meminta majikan menetapkan gaji minima RM700 sebulan sebagai gaji minimum pekerja. Bukankah RM700 itu masih di paras kemiskinan. Apa yang mereka boleh makan dengan gaji minima RM700 sebulan.
Sejak dari dahulu lagi PR menggesa kerajaan menetapkan gaji RM1500 sebulan sebagai gaji minima semua pekerja di Malaysia. Namun ianya tidak mendapat sokongan dari kerajaan pusat. Akhirnya rakyat yang menderita dengan dasar kerajaan pusat yang enggan menuruti cadangan PR.
Lebih malang lagi Kementerian Sumber Manusia seolah-olah puashati dengan keadaan sekarang sedangkan rakyat yang berpendapatan rendah menderita akibat di'dera' majikan dengan gaji serendah RM400-RM500 sebulan.
Semalam Menteri Sumber Manusia, Dr Subramniam berkata usaha kerajaan berbincang dengan sektor perindustrian untuk memohon kenaikan gaji mula menunjukkan hasil positif.
Beliau berkata sejajar dengan perkembangan industri pembuatan yang kembali aktif kebelakangan ini, permintaan kementerian untuk mendapatkan gaji asas RM700 sudah menampakkan hasil apabila ramai pekerja tempatan kembali bekerja.

Jelas sekali Menteri ini gagal memahami dan menyelami masalah rakyat yang semakin terhimpit dengan pendapatan RM700 atau kurang dari itu sebulan.
Saya mengharapkan kerajaan dapat menggubal undang-undang untuk menetapkan gaji minima RM1500 sebulan ini untuk semua pekerjadi semua sektor samada awam atau swasta. Dengan gaji minima ini rakyat akan hidup lebih sejahtera dan pada masa yang sama dapat mengurangkan masalah sosial.

NIZAR VS ZAMBRY : BILA NAK 'SETTLE'?

Keputusan Mahkamah Persekutuan tentang siapa Menteri Besar Perak yang sah masih tertungggu-tunggu. Semua pihak masih menunggu dengan debar keputusan Mahkamah tersebut. Mengapa begitu lama masa yang diperlukan untuk memutuskan suatu keputusan yang sangat penting tersebut.
Bagi saya semua pihak Insya Allah akan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana tidak ada gunanya kita ingkar kepada keputusan mahkamah walaupun banyak pihak mendakwa mahkamah di Malaysia amat diragukan ketelusan dan keadilannya.
Namun begitu kita tidak ada pilihan lain selain mendapatkan khidmat mahkamah ini bagi menyelesaikan apa juga kemelut.
Tetapi terdapat lagi satu cara untuk menyelesaikan isu ini dengan cepat, pantas dan menggembirakan semua pihak iaitu bubarkan DUN dan biarkan rakyat menentukan siapa yang layak menjadi kerajaan dan Menteri Besar, tidak perlu tunggu keputusan mahkamah.
Saya juga tidak yakin dengan penerimaan kedua-dua pihak tentang keputusan mahkamah nanti. Akan ada pihak yang tidak berpuashati dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pentadbiran negeri nanti. Yang pasti Sidang DUN sudah tentu akan terus caca marba kerana masing-masing mempunyai kerusi yang sama banyak cuma bezanya BN ada 3 kerusi Bebas yang menyokong mereka, sedangkan kerusi solid mereka hanya 28 kerusi sama dengan PR.
Jadi mahu tidak mahu saya cadangkan jika Zambry diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah maka elok kiranya beliau membubarkan DUN dengan perkenan Ke Bawah Duli Sultan. Begitu juga jika Nizar menang kes tersebut, eloknya beliau segera mengadap Sultan mohon perkenan supaya DUN dibubarkan.
Sudah banyak kali saya menulis isu dan tajuk ini, namun saya tidak jemu untuk terus menyentuhnya kerana ianya amat penting demi keadilan kepada rakyat negeri Perak dan menebus nama baik negara dari krisis demokrasi ekoran tindakan liar BN merompak kuasa rakyat dari Pakatan Rakyat yang diberikan mandat memerintah Perak selepas Pilihanraya Umum Mac 2008.

DR MAHATHIR MALUKAN DIRINYA SENDIRI

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memalukan dirinya sendiri semalam ketika memberi komen di atas perlantikan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor.
Antara lain Mahathir berkata Anwar tidak tahu apa-apa pasal ekonomi. Sebab itu ketika krisis ekonomi 1998 Anwar mahu mengikut telunjuk IMF kemungkinan besar ekonomi negara akan hancur jika ianya ditangani oleh Anwar. Itu antara intipati komen Mahathir.
Namun Mahathir sendiri tidak sedar bahawa beliaulah yang melantik Anwar menjadi Menteri Kewangan bermakna beliau sendiri mengikhtiraf skill dan pengetahuan Anwar dalam menguruskan ekonomi negara. Anwar tidak melantik dirinya sendiri tetapi Mahathir yang terhegeh-hegeh melantik Anwar.

Jadi sebenarnya Mahathir sendiri mengikhtiraf Anwar ketika itu. Mahathir malukan dirinya sendiri.

KOTA SEPUTEH AKAN DIPUTIHKAN

Pengisytiharan bahawa kerusi DUN Kota Seputeh kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membuka ruang untuk satu lagi Pilihanraya Kecil setelah 9 pilihanraya kecil berlaku selepas PRU 12 Mac tahun lalu.

azlan

Saya mengharapkan supaya SPR tidak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya kes ini tidak tergantung berpanjangan menunggu persidangan Mahkamah Rayuan. Biarlah rakyat membuat keputusan siapa yang mereka mahu angkat menjadi Wakil Rakyat. Mereka mempunyai peluang untuk memilih Wakil Rakyat yang tidak ponteng sebagaimana Wakil Rakyat mereka dahulu iaitu Abu Hassan Sharif.
Rakyat Malaysia khasnya Kedah juga sudah pasti berharap bahawa BN dapat memberikan signal kepada SPR supaya jangan membuat rayuan. Kalau BN yakin mereka kuat dan gagah tidak perlulah mereka menyuruh SPR membuat rayuan.
Begitu juga SPR tidak perlulah mencari jalan bagi menghalang berlakunya pilihanraya kerana sudah memang tugas SPR menjalankan pilihanraya bila berlaku kekosongan di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen. Jangan ulangi lagi kesilapan SPR yang berusaha sedaya upaya agar pilihanraya kecil tidak berlaku di ketiga-tiga DUN yang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Perak selepas wakil-wakil rakyatnya keluar parti.
Inilah masa terbaik bagi BN dan Najib membuktikan bahawa kerajaan BN pimpinan Najib telah diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagaimana yang diwar-warkan oleh media pengampu BN.
Pilihanraya Kecil DUN Seputeh ini sudah tentu menjadi medan untuk mengukur sejauh mana penerimaan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Najib dan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Haji Azizan Abdul Razak selepas 20 bulan pemerintahan masing-masing.
Ianya akan menjadi indikator baru kepada Najib selepas tewas teruk di semua pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia kecuali di Bagan Pinang itupun dengan jumlah pengundi pos yang sangat besar.
Bagi PAS dan PR, keputusan Pilihanraya Kecil DUN Kota Seputeh ini sudah tentu amat dinantikan kerana sejak-sejak akhir-akhir ini pemerhati politik menjelaskan bahawa sokongan rakyat kepada PR semakin merosot teruk. Malah ramai pemerhati politik berpendapat jika berlaku pilihanraya umum sekarang, BN sudah tentu akan mencapai kemenangan dengan majoriti 2/3 di Parlimen. Fakta ini disokong oleh kajian Merdeka Centre yang mendapati bahawa sokongan masyarakat India kepada BN melonjak dari 35-40 % (PRU 2008) kepada 55% sekarang.
Begitu bagi pengundi Melayu sokongan kepada BN meningkat dari 53% (PRU 2008) kepada 55 % sekarang. Cuma pengundi Cina sahaja yang masih setia kepada PR dengan sokongan mereka tidak berubah iaitu 60-65 % masih menyokong PR.
Jika dilihat kepada kajian dan pendapat pemerhati politik ini, BN tidak perlu gusar dan seharusnya yakin untuk berdepan dengan PR di Kota Seputeh. Malah dengan serangan bertai arus terhadap PR dan pimpinannya, tidak ada sebab itu BN takut untuk ke medan tempur di Kota Seputeh.
Sejarah juga membuktikan bahawa DUN Kota Seputeh adalah kawasan selamat bagi BN di mana walaupun sokongan rakyat kepada PAS/BA pada era reformasi 1999, BN tetap dapat mempertahankan kerusi tersebut. Begitu juga pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, walaupun Kedah tumbang kepada PR tetapi Kota Seputeh gagal dirobohkan oleh PR. Abu Hassan Sharif menang dengan majoriti agak selesa iaitu 495 undi. Beliau memperolehi 8160 undi manakala calon PAS Haji Ismail Wan Teh mendapat 7665 undi. Pada Pilihanraya 2004 Abu Hasan menewaskan calon PAS Cikgu Abdul Wahab Abdul Rahman dengan majoriti 1573 undi.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh ini diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN yang bermula Selasa ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

16 November 2009

PERSEMPADAN BARU KAWASAN PILIHANRAYA UNTUNGKAN BN

Pilihanraya Umum akan datang bakal menyaksikan beberapa kawasan baru parlimen dan DUN diujudkan di seluruh negara. Seperti yang kita sedia maklum setiap 10 tahun sekali SPR akan membuat persempadanan baru kawasan pilihanraya mengikut keadaan dan situasi semasa.
Namun pengalaman lepas terbukti persempadanan baru ini sering dikaitkan dengan kepentingan Umno/BN di mana ianya direkacipta supaya memberikan kelebihan kepada parti tua bangka ini.
Umpamanya persempadanan baru pada tahun 2004 menyaksikan banyak kerusi Melayu/Bumiputera diujudkan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah. Manakala tiada penambahan atau sangat sedikit penambahan kerusi di Kelantan dan Terengganu serta Kedah. Sebagai contoh kawasan Baling yang luas dan ramai pengundinya tidak dipecahkan semata-mata takut PAS menang.
Kali ini berdasarkan kepada keputusan Pilihanraya Umum 2008, pengundi Cina dan India menyokong PR manakala pengundi Melayu masih seperti dahulu. Jadi agaknya bagaimana BN dan SPR akan membuat persempadanan baru.
Kemungkinan besar tidak banyak penambahan kerusi di kawasan pengundi bukan Melayu yang padat. Manakala di kawasan Melayu kerusi-kerusi parlimen dan DUN akan ditambah khasnya di kawasan pengundi tegar BN seperti Melaka dan Johor.
Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak. Saya jangkakan lebih banyak kerusi parlimen akan diujudkan di kedua-dua negeri terbabit kerana terbukti Sabah dan Sarawak menjadi penyelamat kepada kemenangan tipis BN pada PRU 2008 dahulu.
Saya jangkakan Sabah dan Sarawak akan mendapat tambahan lebih dari 4 kerusi Parlimen, Johor - 4 kerusi, Melaka - 2 kerusi, Terengganu - 2 kerusi, Pahang - 2 kerusi, Perlis - 1 kerusi, Perak - 2 kerusi, Selangor - kerusi, Negeri Sembilan - 2 kerusi. Negeri -negeri lain hampir pasti tiada penambahan cuma persempadanannya akan dirobek bagi memberikan kelebihan kepada BN.
SPR sememangnya sangat berpeirngalaman menjalankan persempadanan ini dan mereka juga amat arif dengan nafsu buas tuan mereka.
Namun saya yakin PR akan tetap mempertahankan fakta dan rasional bagi menjustifikasikan persempadanan baru tersebut. Kita harus ingat BN tidak mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan persempadanan baru ini tanpa sokongan PR di parlimen.

SERANGAN UMNO/BN PADA PR TIDAK GUGAT KEPERCAYAAN RAKYAT

Sejak akhir-akhir ini serangan demi serangan dihamburkan oleh Umno/BN kepada PR dan parti-parti komponen PR juga kepada pimpinan PR. Antara fitnah, tohmah dan serangan-serangan tersebut ialah :-

1) PAS berpecah kerana isu kerajaan perpaduan
2) Tok Guru Nik Aziz terima imbuhan naik haji dan akan disiasat
3) Menantu Tok Guru, CEO PMBK makan suap
4) PAS eksploitasi wanita dalam isu Bai'ah
5) PKR akan hancur ramai pimpinan letak jawatan, keluar parti dan lain-lain
6) Perpaduan dalam PR semakin goyah
7) Azmin Ali dan keluarga beli saham RM8juta.

................dan lain-lain. Namun hakikatnya semua isu di atas adalah isu lapuk yang diulang tayang untuk mengelirukan rakyat.

Saya yakin semua isu tersebut telah dapat diatasi dan semua serangan tersebut telah dijawab atau terjawab dengan sendirinya.

Terbukti Umno begitu kemaruk dan menyerang secara sembrono tanpa bukti dan fakta kukuh. Akhirnya serangan tersebut makan tuan.

PELAN DAMAI ATAU PELAN PERANG

Nampak jelas pertentangan antara kumpulan Ong Tee Keat-Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai semakin hebat. Kedua-dua kumpulan tidak duduk diam cuba meraih sokongan dari akar umbi.

Liow mendakwa bahawa keputusan sesi dialog MCA di Kuala Lumpur semalam yang menyokong Pelan Perpaduan Menyeluruh, tidak menggambarkan pandangan keseluruhan akar umbi.

Beliau berkata, keputusan tersebut hanya dibuat oleh sesetengah pemimpin parti dan bukannya disuarakan oleh perwakilan.

Manakala Ong-Chua mendakwa 620 perwakilan bahagian-bahagian yang hadir pada taklimat semalam sebulat suara menyokong pelan perpaduan dan mereka juga tidak akan hadir pada EGM 28 November ini yang diadakan oleh kumpulan Liow.

Chua Soi Lek berkata Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua yang dipanggil pada 28 November ini adalah tidak sah.

Chua berkata, mesyuarat tersebut dianggap tidak sah kerana usul-usul yang akan dibawa dalam EGM itu bercanggah dengan perlembagaan MCA.

Siapa yang betul dan siapa yang salah, tidak diketahui. Masing-masing mendakwa mengikut perlembagaan parti. Kemelut ini akan berlanjutan dan berpanjangan tidak dapat dipastikan bila akan berakhir.

Pelan damai atau perpaduan seolah-olah menjadi pelan perang.

BN MENANG SELESA JIKA PILIHANRAYA SEKARANG

CEO Merdeka Center, Ibrahim Suffian mendakwa bahawa BN akan menang Selasa jika Pilihanraya Umum di adakan sekarang.

Samada benar atau tidak apa yang diperkatakan oleh beliau tidak penting, apa yang lebih penting ialah PR mesti buka mata dan berubah. Perbetulkan mana yang silap, baiki mana yang tempang dan giatkan usaha mendekati rakyat dan tunaikan semua janji yang ditabur dalam manifesto dahulu.

Ibrahim menyatakan demikian pada program Sembang-Sembang mingguan di Komplek Masyarakat Penyayang di Pulau Pinang semalam.

Katanya, BN akan menang 2/3 kerusi parlimen manakala PR hanya menang antara 50 - 60 kerusi sahaja. Ini berdasarkan survey yang dijalankan oleh Merdeka Centre ke atas 1000 responsden yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan mencakupi semua lapisan masyarakat dan geografi.
Ibrahim juga berkata bahawa rakyat semakin menerima kepimpinan Najib walaupun pelbagai kontroversi dan masalah dalam berlaku di dalam pentadbiran Najib. Masyarakat India dan Melayu semakin hari semakin menerima kepimpinan Najib di mana pada PRU 12, 35-45 % pengundi India menyokong BN tetapi kini ianya melonjak kepada 55 % manakala pengundi Melayu dari 53 % kepada 55 %.
Namun pengundi Cina masih tetap menyokong PR sebagaimana pada PRU 12 Mac 2008 lalu iaitu hanya 35 -40 % sahaja menyokong BN.

Jadi sekarang masanya untuk seluruh kepimpinan PR, ahli dan penyokong PR berusaha sedaya upaya untuk meraih sokongan rakyat dan mengekang serangan serta fitnah BN yang tidak kunjung padam.

15 November 2009

PARLIMEN BUBAR?

Ramai pihak berpendapat Parlimen Malaysia akan dibubarkan lebih awal jika BN dapat menyelesaikan segala kemelut dalaman parti-parti komponennya.

Sebab itu jentera penerangan Umno/BN setiap saat melancarkan serangan bertali arus terhadap semua komponen PR tanpa mengira serangan itu berupa fitnah, tohmah dan bohong. Harapan mereka dengan serangan tersebut rakyat akan melupakan masalah dalaman BN dan pada masa yang sama persepsi rakyat terhadap PR dan komponennya semakin hari semakin buruk.

Dari masa ke semasa think thank Umno/BN akan membuat kajian dan survey tentang kedudukan terkini BN samada berada dalam keadaan memuaskan di hati rakyat. Sebab itu tidak mustahil jika Najib akan membubarkan parlimen lebih awal seawal tahun 2010 iaitu setelah semua masalah dalaman BN tamat.

Lebih menggembirakan Najib ialah kedudukan terkini PAS dan PKR yang dikatakan menghadapi masalah dalaman sedangkan sebenarnya masalah tersebut bukanlah masalah serius yang sudahpun diselesaikan.

Najib sebenarnya tidak sabar untuk membubarkan Dewan Rakyat lantaran kerimasannya berhadapan dengan PR di parlimen di mana BN tidak mempunyai 2/3 selepas PRU 12 lalu. Banyak perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Najib sewenang-wenangnya tanpa majorit 2/3 ini.

Oleh itu PR mestilah bersedia bila-bila masa untuk berhadapan dengan BN yang sudah pasti akan menggunakan wang ringgit dan segala kekuatan untuk mendapatkan undi dan kerusi sebanyak mungkin. Duit, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang tidak menjadi soal bagi Najib dan kuncu-kuncunya.

Rakyat mesti diberi kefahaman dan ketahanan dalaman supaya menolak parti dan pemimpin durjana ini demi kelangsungan negara Malaysia yang bertamadun dan berdaulat.

MELAKA SYURGA URUT MENGURUT

Melaka boleh dikategorikan sebagai syurga rumah urut apabila dilaporkan terdapat 118 buah rumah urut di negeri ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum tempat berkenaan sering dikaitkan dengan kegiatan maksiat kerana hampir keseluruhan tukang urut adalah wanita dan pelanggannya adalah lelaki. Lebih teruk lagi kebanyakan rumah urut menjalankan kegiatan ‘hiliran’ iaitu khidmat seks.

Diharapkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat memantau dan mengambil tindakan segera ke atas semua rumah urut terbabit. Apa yang penting ianya mesti ditutup dan pengusahanya dibawa ke muka pengadilan.

Jika kerajaan negeri gagal bertindak maka jelaslah kerajaan negeri bersekongkol dan menggalakkan kegiatan maksiat ini.

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter