KOTA SEPUTEH AKAN DIPUTIHKAN

Pengisytiharan bahawa kerusi DUN Kota Seputeh kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membuka ruang untuk satu lagi Pilihanraya Kecil setelah 9 pilihanraya kecil berlaku selepas PRU 12 Mac tahun lalu.

azlan

Saya mengharapkan supaya SPR tidak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya kes ini tidak tergantung berpanjangan menunggu persidangan Mahkamah Rayuan. Biarlah rakyat membuat keputusan siapa yang mereka mahu angkat menjadi Wakil Rakyat. Mereka mempunyai peluang untuk memilih Wakil Rakyat yang tidak ponteng sebagaimana Wakil Rakyat mereka dahulu iaitu Abu Hassan Sharif.
Rakyat Malaysia khasnya Kedah juga sudah pasti berharap bahawa BN dapat memberikan signal kepada SPR supaya jangan membuat rayuan. Kalau BN yakin mereka kuat dan gagah tidak perlulah mereka menyuruh SPR membuat rayuan.
Begitu juga SPR tidak perlulah mencari jalan bagi menghalang berlakunya pilihanraya kerana sudah memang tugas SPR menjalankan pilihanraya bila berlaku kekosongan di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen. Jangan ulangi lagi kesilapan SPR yang berusaha sedaya upaya agar pilihanraya kecil tidak berlaku di ketiga-tiga DUN yang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Perak selepas wakil-wakil rakyatnya keluar parti.
Inilah masa terbaik bagi BN dan Najib membuktikan bahawa kerajaan BN pimpinan Najib telah diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagaimana yang diwar-warkan oleh media pengampu BN.
Pilihanraya Kecil DUN Seputeh ini sudah tentu menjadi medan untuk mengukur sejauh mana penerimaan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Najib dan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Haji Azizan Abdul Razak selepas 20 bulan pemerintahan masing-masing.
Ianya akan menjadi indikator baru kepada Najib selepas tewas teruk di semua pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia kecuali di Bagan Pinang itupun dengan jumlah pengundi pos yang sangat besar.
Bagi PAS dan PR, keputusan Pilihanraya Kecil DUN Kota Seputeh ini sudah tentu amat dinantikan kerana sejak-sejak akhir-akhir ini pemerhati politik menjelaskan bahawa sokongan rakyat kepada PR semakin merosot teruk. Malah ramai pemerhati politik berpendapat jika berlaku pilihanraya umum sekarang, BN sudah tentu akan mencapai kemenangan dengan majoriti 2/3 di Parlimen. Fakta ini disokong oleh kajian Merdeka Centre yang mendapati bahawa sokongan masyarakat India kepada BN melonjak dari 35-40 % (PRU 2008) kepada 55% sekarang.
Begitu bagi pengundi Melayu sokongan kepada BN meningkat dari 53% (PRU 2008) kepada 55 % sekarang. Cuma pengundi Cina sahaja yang masih setia kepada PR dengan sokongan mereka tidak berubah iaitu 60-65 % masih menyokong PR.
Jika dilihat kepada kajian dan pendapat pemerhati politik ini, BN tidak perlu gusar dan seharusnya yakin untuk berdepan dengan PR di Kota Seputeh. Malah dengan serangan bertai arus terhadap PR dan pimpinannya, tidak ada sebab itu BN takut untuk ke medan tempur di Kota Seputeh.
Sejarah juga membuktikan bahawa DUN Kota Seputeh adalah kawasan selamat bagi BN di mana walaupun sokongan rakyat kepada PAS/BA pada era reformasi 1999, BN tetap dapat mempertahankan kerusi tersebut. Begitu juga pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, walaupun Kedah tumbang kepada PR tetapi Kota Seputeh gagal dirobohkan oleh PR. Abu Hassan Sharif menang dengan majoriti agak selesa iaitu 495 undi. Beliau memperolehi 8160 undi manakala calon PAS Haji Ismail Wan Teh mendapat 7665 undi. Pada Pilihanraya 2004 Abu Hasan menewaskan calon PAS Cikgu Abdul Wahab Abdul Rahman dengan majoriti 1573 undi.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh ini diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN yang bermula Selasa ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Comments