.

.

03 September 2010

TOTO HALAL? ANAK YATIM JADI MANGSA

Terbaca berita di dalam The Star hari ini (3 Sept 2010) membuatkan
saya tertanya-tanya samada Sport TOTO dah mendapat sijil halal ker?
Dlm sibuk-sibuk JAKIM memeriksa hotel yang tiada sijil halal bagi
memastikan umat Islam dapat berbuka dengan makanan halal,
tertanya-tanya saya adakah halal menggunakan wang yg datang dari
sumber yg disahkan haram untuk memberi makan berbuka puasa kepada
anak-anak yatim Islam?

Kesihan saya kepada anak-anak yatim tersebut terpaksa menurut saja
arahan pentadbiran yang dungu salam cetek agama. Sepatutnya mereka
menolak dengan baik jemputan Sport TOTO tersebut sekalipun amat
memerlukan bantuan hari raya. Adakah pada mereka tu keadaan terdesak
hingga yg haram pun menjadi halal?

Sumbernya boleh didapati dari sini...


http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2010/9/3/central/6943790&sec=central

Di hantar melalui email oleh Kamal Sanusi Penang

ROBOH PASTI JAYA INSAN DAN SURAU TINDAKAN DENDAM DAN BUSUK HATI

Penduduk Bukit Katil menbantah pembinaan jalan baru yang menghubung jalan utama ke beberapa buah taman melalui Lorong Dato Demang Hussein.

Lorong tersebut akan dibesarkan saiznya dan pembesaran ini akan menyebabkan Bangunan PASTI Jaya Insan dan surau akan dirobohkan.

Tindakan pihak berkuasa dilihat tidak logik kerana jika benar lorong tersebut hendak dibesarkan mengapa ianya tidak menggunakan tanah kosong disebelah tersebut yang tidak membabitkan perobohan PASTI Jaya Insan dan Surau.

Malah jika benar jalan baru itu hendak dibina adalah lebih baik ianya dibina di atas tanah berhadapan dengan Klinik Desa Kg Bukit Katil kerana ianya tidak akan melibatkan rumah dan bangunan-bangunan lain seperti PASTI dan Surau.

Perancangan ini seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk menghapuskan bangunan PASTI dan Surau yang telah lama dibina.

PASTI Jaya Insan amat berjasa kepada masyarakat setempat kerana ia menjadi pusat pendidikan kanak-kanak pra-sekolah manakala Surau tersebut menjadi tempat menimba ilmu agama yang sentiasa mendapat sambutan penduduk setempat. Kelas-kelas pengajian agama hampir setiap malam di adakan di samping kuliah subuh dan juga lain-lain program kemasyarakatan.

Tindakan pihak berkuasa yang dilihat sengaja memasukkan Bangunan PASTI dan Surau ini mengundang bantahan hebat dari penduduk setempat. Mereka berpendapat jika jalan tersebut dibina dengan tidak melalui tapak PASTI dan Surau jalan tersebut akan lebih lurus. Mengapa pula pihak berkuasa sengaja ingin membina jalan yang bengkok sedangkan jalan lurus lebih baik dan mudah.

Bantahan awal telah dizahirkan oleh penduduk setempat pada 31 Ogos lalu apabila kira-kira 150 orang penduduk berkumpul beramai-ramai di seberang jalan berhadapan masjid Bukit Katil menyatakan rasa tidak puas hati di samping mereka menyambut Hari Merdeka. Mereka menurunkan tandatangan masing-masing pada sebuah kain pemidang menyatakan rasa tidak puas hati tentang cadangan pihak berkuasa ini.

Sementara itu PAS Cawangan Bukit Katil dan Bukit Bayan telah membentuk Jawatankuasa Bertindak menentang projek tersebut di mana Ketua PAS Cawangan Bukit Katil, Haji Mohd Yassin Abdul Ghani telah dilantik menjadi Pengerusinya.

Jawatankuasa ini telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam beberapa hari lepas bagi menyampaikan bantahan awal. Dalam perjumpaan tersebut Ketua Menteri telah memberikan pelbagai alasan yang tidak logic tentang pembinaan jalan tersebut. Jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat secepat mungkin bagi merangka tindakan seterusnya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil Cikgu Yusof Wahab berkata tindakan pihak berkuasa ini sebenarnya berniat jahat dan mereka menghalalkannya atas nama pembangunan.

"Mengapa mereka sengaja membuat jalan di kawasan itu sedangkan banyak tanah kosong lain yang tidak melibatkan bangunan dan ianya lebih lurus boleh diambil"

"Jelas mereka sebenarnya busuk hati dan berdendam dengan kita, mereka sakit hati melihat surau dan pasti ini diimarahkan oleh penduduk setempat"

"Kita akan menentang projek ini dengan pelbagai cara dan saluran" jelas Yusof yang juga merupakan Penyelia DUN Bukit Baru.

02 September 2010

Kita pun buka aurat di masjid!

Oleh - Abd Jalil Ali (Sinar Harian)

Terus terang saya tidak kenal, malah tidak pernah mendengar pun nama Teo Nie Ching sebelum ini. Rupa-rupanya dia seorang wanita bertubuh langsing, boleh tahan juga wajahnya, dan bergelar Yang Berhormat. Beliau ialah Ahli Parlimen DAP kawasan Serdang.

Sehari dua ini namanya naik, dan sekelip mata beliau dikenali bukan sahaja di Parlimen yang diwakili, malah di seluruh negara. Beliau disebut bukan sahaja oleh rakyat biasa di kawasannya, tetapi juga oleh para pemimpin kerajaan dan pembangkang, termasuk Perdana Menteri.

Kalau tidak kerana YB berkenaan masuk surau Al-Husna, Kajang, mungkin tidak ramai orang mengenalinya. Niatnya ke surau itu tentu sekali baik, iaitu untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat. Biasalah wakil rakyat menyampaikan sumbangan menjelang hari raya.

Kesilapan beliau ialah masuk ke dalam surau, dengan tidak menutup aurat. Beliau berkebaya, nampak sopan, tetapi mendedahkan rambutnya. Agaknya wakil rakyat Cina itu tidak tahu bahawa rambut juga dikira aurat, dan perlu ditutup. Untuk memburukkan lagi keadaan, Teo dibenarkan pula berdiri di ruang solat utama, dan memberi ucapan ringkas.

Itulah kontroversi terbaru yang sempat menghangatkan suasana puasa dan hari raya kita. Kata sesetengah ulama orang kafir tidak boleh masuk tempat solat Islam, lebih-lebih lagi di ruang utama, dan tidak menutup aurat pula. Ada yang menganggap ini sebagai mencemar kesucian rumah ibadat orang Islam.

Ada pula ulama kata tidak salah orang kafir masuk ke masjid atau surau. Mereka kata zaman Rasulullah dulu orang kafir Quraisy bukan sahaja dibenarkan masuk masjid, malah diberi makan dan boleh tidur di situ. Kalau mereka tidak menutup aurat pun tidak salah sebab yang diwajibkan menutup aurat adalah orang Islam.

Biarlah bijak pandai agama menentukan mana yang salah dan mana yang betul. Kalau itu sesungguhnya satu kesalahan, maka patut sekalilah YB berkenaan dikenakan tindakan yang wajar mengikut undang-undang yang ada. Dan ini sepatutnya dijadikan panduan untuk YB-YB bukan Islam yang lain. Sepatah kata pepatah, masuk kandang kambing, mengembek.

Saya lebih tertarik untuk bercakap mengenai rambut wakil rakyat itu yang didedahkan ketika masuk surau. Sebab ada NGO Islam yang nampaknya marah betul Teo membuka kepalanya ketika berdiri di ruang solat utama. Mereka kata ini satu penghinaan, dan kesucian telah dicemari.

Apakah betul begitu? Kalau betul rasanya ini bukan kali pertama terjadi, dan pasti Teo bukan orang pertama mencemar kesucian tempat ibadat kita. Sebenarnya dalam hal tutup kepala, masjid dan surau kita sudah sekian lama dicemari dan tidak dihormati. Dan, mencemari bukan orang kafir tetapi oleh orang Islam sendiri.

Saya kerap menyaksikan orang kita kahwin di masjid, termasuk di beberapa masjid terkenal di Kuala Lumpur. Di sinilah saya melihat di hadapan mata, orang kita tidak sedikit pun menghormati tatatertib di rumah Allah itu. Mereka yang datang, terutama wanita, ternyata tidak prihatin – mungkin juga mereka tidak mengetahui hukum agama, sama seperti orang bukan Islam.

Bukan salah menjadikan masjid atau surau tempat bernikah. Malah itu mungkin lebih baik sebab mengikat kasih sayang dua insan di rumah Allah. Apa yang salah ialah apabila yang hadir pada majlis tersebut tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh agama. Ramai yang tidak menutup rambut, betul-betul sama seperti Teo masuk surau Al-Huda.

Walaupun di kebanyakan masjid ada peringatan bertulis supaya mereka yang masuk menutup aurat, pada majlis pernikahan amaran itu seperti tidak dipedulikan, dan para pegawai masjid pun tidak berbuat apa-apa apabila ada yang masuk ke dewan solat utama dalam keadaan mendedahkan.

Satu hujung minggu beberapa hari sebelum puasa saya menghadiri upacara akad nikah di sebuah masjid besar di Kuala Lumpur. Mempelai adalah dari keluarga berada dan bergelar. Ada sekitar 50 orang hadir pada majlis tersebut, sebahagian besarnya wanita. Ramai mendedahkan rambut, tidak bertudung walau sedikit pun. Malah ada seorang dua macam megah menayangkan rambut yang telah diwarnakan. Mungkin besar belanjanya mendandan rambut di salun terkenal, sebab itu rasa membazir pula sekiranya yang diset mahal itu tidak ditontonkan kepada umum.

Ramai juga hadir hanya menutup sebahagian kepala. Berselendang, tetapi rambut bahagian hadapan dibiarkan terjurai di atas dahi. Apakah pada hemat mereka bahagian hadapan rambut yang berambu-rambu itu tidak termasuk aurat? Atau, mereka sengaja memperlekeh masjid?

Ada juga hadir bukan sahaja mendedahkan rambut, malah berpakaian mendedahkan lengan, dan apabila duduk bersimpuh kelihatan jelas betis yang putih melepak. Memang saya berdosa masuk masjid dengan mata liar begitu! Tetapi kalau tidak didedahkan, mungkin tidak ada orang akan tengok.

Saya sama sekali tidak menyokong YB wanita DAP masuk ke surau dengan rambut terbuka. Maka, tidak bersetuju jugalah saya pada wanita Islam sendiri yang masuk ke masjid berkeadaan seperti wakil rakyat kafir itu.


Dipetik dari akhbar Sinar Harian

AURAT : SIAPA YANG TAK HORMATI AGAMA SEBENARNYA?

Riuh 1Malaysia tentang pimpinan DAP dan PKR bukan Islam mencemarkan Masjid dan surau dengan memasukinya tanpa menutup aurat. Saya tidak hairan jika mereka masuk masjid dan surau dengan tidak menutup aurat kerana mereka bukan dan belum Islam. Tetapi yang menghairankan saya ialah isteri-isteri dan anak-anak perempuan pimpinan sebuah parti politik (semua orang tahu) kononnya parti Islam terbesar yang di luar dan di dalam masjid tidak menutup aurat.

Umur dah lebih separuh abad sesetengahnya tetapi kewajipan menutup aurat belum di fahami atau sengaja tak mahu faham. Apakah mereka ini menghormati masjid dan surau dengan memasuki rumah Allah itu tanpa menutup aurat. Walaupun mungkin mereka meletakkan selendang di kepala tetapi rambut dan batang leher masih kelihatan.

Mengapa media dan pimpinan parti politik tersebut tidak pula menegur isteri pimpinan mereka yang jelas masuk masjid dan surau tanpa menutup aurat.

Itu sebabnya sebelum kita membuat tuduhan dan fitnah sebegini kita mestilah melihat diri kita sendiri apakah kita sendiri menutup aurat yang jelas menjadi kewajipan bagi umat Islam. Bagi wanita hukumnya ialah menutup keseluruhan badan kecuali muka dan tapak tangan malah ada yang berpendapat muka juga aurat. Bagaimana dengan wanita yang bertudung tetapi jambul dan rambut terjuntai keluar atau mungkin leher jinjang dan leher pendeknya nampak.

Tidak perlulah saya menamakan siapa antara isteri-isteri pimpinan yang tidak menutup aurat kerana apa yang lebih ialah kita semua wajib menutup aurat apatah lagi isteri pimpinan mestilah menunjukkan tauladan supaya dicontohi oleh rakyat. Apakah pimpinan dan isterinya yang ingkar akan perintah Allah ini wajar untuk kita ikuti dan kita sendiri beriya-iya mendokong perjuangan sebuah jemaah yang menutup aurat pun tidak wajib dan boleh dipermainkan, kadang-kadang letak kelubung atas kepala (itupun tak tutup aurat), dan di masa lain langsung tidak meletakkan seurat benang di atas kepala.

Di bukan yang suci ini mari kita muhasabah diri kita, apakah kita ini sedang dipimpin oleh pimpinan yang benar-benar taat kepada Allah. Mari kita muhasabah diri kita apa jemaah/parti yang kita dokong selama ini adalah parti yang memang menjunjung segala perintah. Kalau perkara asas seperti menutup aurat pun tidak dititikberatkan oleh pimpinan, apakah pimpinan itu boleh kita harapkan untuk memimpin kita dunia dan akhirat????

01 September 2010

POLITIK TIDAK ADA KENA MENGENA DENGAN AGAMA? AJARAN SIAPA?

Utusan Meloya menyiarkan berita bahawa para pemimpin Islam sepatutnya tidak menggunakan hujah-hujah yang berasaskan agama untuk tujuan politik.

Dalam laporan tersebut Utusan memuatkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Saifuddin Abdullah yang berkata bahawa peringatan daripada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah perlu dijadikan iktibar kepada semua pemimpin Islam untuk kepentingan ummah.

''Kenyataan baginda sangat tepat kerana apabila berhujah, seseorang pemimpin itu perlu memastikan bahawa hujah tersebut berasaskan fakta dan untuk kepentingan umum.

''Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam di negara ini supaya bersatu serta mengutamakan kepentingan ummah dan bukannya kepentingan parti politik masing-masing,'' katanya ketika dihubungi Utusan Meloya semalam.

Saya tidak pasti apa sebenarnya yang dinyatakan oleh Saifuddin tetapi tajuk laporan Utusan iaitu 'Jangan guna hujah agama berpolitik' membuktikan bahawa prinsip Agama Suku Politik Suku (Politik tidak ada kena mengena dengan agama) mahu dipopularkan semula oleh pihak tertentu yang sebenarnya memang mengamalkan 'ajaran' ini.

'Ajaran' ini amat merbahaya kerana jelas memisahkan agama dari politik. Maka mudahlah orang politik untuk melakukan apa juga yang bertentangan dengan agama kerana agama hanya sekadar diamalkan untuk solat, zakat, puasa, haji, nikah kahwin, harta pusaka dan kematian. Dalam soal pemerintahan, ekonomi, pentadbiran dan berpolitik ianya tidak ada kena mengena dengan agama, ini merupakan satu perkara yang amat mengelirukan dan boleh menjejaskan fahaman Islam seseorang.

Terbukti pihak-pihak tertentu masih memisah politik dengan agama sedangkan Nabi Mohamad S.A.W sendiri adalah Ketua Politik di Madinah di mana Nabi menjadi Ketua Negara Madinah.

ISU PERKAUMAN : KENYATAAN NAJIB MESTI DIBUKTIKAN

Parti Islam Se-Malaysia PAS bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sempena kemerdekaan negara ke 53, menyatakan bahawa masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama. Kenyataan ini perlu ditujukan kepada pemimpin Umno dan BN yang sering mengeluarkan kenyataan yang memanaskan suasana politik seperti panasnya cuaca di negara pada hari ini.

Sebenarnya suasana politik negara ini menjadi panas selepas keputusan PRU 12, apabila BN tidak mendapat sokongan 2/3 di Parlimen dan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Beberapa siri demo dan provokasi seperti demo di Pulau Pinang pada 14 Mac 2008 kononnya YAB Lim Guan Eng hendak hapus Dasar Ekonomi Baru, Demo di Perak 16 mac 2008 kononnya kerajaan Pakatan Rakyat menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu, sehinggalah yang terakhir ucapan yang diucap oleh seorang Pengetua Sekolah di Kulai Jaya Johor dan Guru Sekolah di Bukit Selambau Kedah. Sebenarnya berlaku ini adalah kerana Umno/BN tidak boleh belajar menjadi orang kalah. Ditambah pula kenyataan dan tindakan PERKASA yang memanaskan suasana politik di negara ini.

Tindakan yang melampau dalam agama seperti pembakaran gereja ketika isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Peristiwa kepala babi dilemparkan di dalam Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun Petaling Jaya Selatan. Mutakhir ini isu doa untuk memberi hidayah kepada YAB Lim Guan Eng telah digambarkan, kononnya Lim Guan Eng mengganti Yang Dipertuan Agong, semuanya ini bertujuan untuk menanamkan prejudis dikalangan rakyat di negara ini. Sekali lagi Umno bersikap memperalatkan agama untuk kepentingan politik dalam isu lawatan YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang ke Surau Al-Huda Kajang pada 22 Ogos 2010. Membuat fitnah bahawa YB Teo memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS. Sedangkan apa yang berlaku ialah beliau memberi derma RM1000 kepada surau dan memberi taklimat berkenaan skim pendidikan kerajaan Selangor. Kenapa Umno tidak pernah marah selama ini, kerana ada di kalangan wakil rakyat bukan Islam dari kalangan BN yang datang ke surau/masjid.

PAS menganggap bahawa negara menyambut kemerdekaan negara kali ke 53 dalam suasana yang agak suram dengan sentimen perkauman dan tindakan melampau dalam agama yang dilakukan oleh pimpinan Umno. Sepatutnya negara yang sudah mencapai umur kematangan setelah negara merdeka. Tetapi apa yang berlaku ialah keadaan seolah-olah negara baru sahaja mencapai lima tahun merdeka. Ini adalah gambaran bahawa BN gagal memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat di negara ini. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, kerana ia akan memberi gambaran buruk kepada generasi selepas merdeka. PAS sebagai sebuah parti yang berpegang dengan prinsip Islam, akan sentiasa bergerak di atas landasan agama. Walaupun kadang-kadang umno melihat PAS pelik, kerana tidak menyokong tindakan Umno seperti isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan isu orang bukan Islam masuk masjid atau surau. Perlu diingat pemimpin PAS ada kemampuan untuk merujuk satu hukum berdasarkan ilmu yang Allah kurniakan. PAS tidak mahu tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam.

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

WISEL PENAMAT DITIUP TIDAK LAMA LAGI

Tepat jam 7:24 malam nanti, bilal akan meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid berdekatan.

Untuk makluman saudara sekalian, Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Tamak meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang barisan pemain muda United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi David Serakah, Carlos Tamak, Mario Berahi dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari).

Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros, Yaya TakIngatDosa dan James Maksiat yang menggunakan kaum Hawa sebagai alat menganggu konsentrasi pemain Taqwa United terutama di sudut padang sekitar pusat membeli-belah dan bazaar Ramadhan.

Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho Kolo TidoLajak dan dibantu oleh Jerome BosanBeribadah, JBB. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti tembok besar pasukan Nafsu City itu agar gol-gol kemenangan dapat dijelmakan.

Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aidilfitri.

Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka bergelar Juara.

Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.

Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini?

Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim ini ? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.

Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawan akhir ini.

Sekian dari saya, Hizbullah Awang untuk anda yang masih termenung di luar sana.

Diterima melalui email seorang tetamu blog ini.

31 August 2010

SAMBUTAN MERDEKA PAS KAWASAN BUKIT KATIL

Hari ini 31 Ogos 2010 jam 9.30 pagi, PAS Kawasan Bukit Katil mencatat sejarah buat pertama kali menyambut merdeka secara rasmi dengan mengadakan perbarisan di sepanjang jalan di hadapan Pejabat PAS Kawasan di Bukit Katil.

Saya diamanahkan untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai memulakan program sambutan merdeka tersebut. Antara acara lain menyerikan program tersebut ialah nyayian lagu kebangsaan, Negaraku; lagu negeri Melaka dan lagu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Begitu semangat sekali kanak-kanak dan para muslimat dan keseluruhan ahli yang hadir. Mereka mewarnai tebing jalan betul-betul di hadapan masjid Bukit Kati. Kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada kami.

31 OGOS : APAKAH AKU BENAR-BENAR MERDEKA?

Terdetik di dalam lubuk hatiku, apakah aku dan rakyat negaraku benar-benar merdeka? Mengapa?

1) Sahabat-sahabatku didiskriminasikan dalam apa juga program kemasyarakatan dan diharamkan memegang jawatan dalam institusi masyarakat.

2) Partiku diharamkan dari menggunakan kemudahan awam sedangkan parti lawan menjadikan kemudahan awam macam mak bapak mereka punya.

3) Aku sendiri diugut dan diganggu kerana menjadi pimpinan Parti Islam SeMalaysia yang sah di sisi undang-undang.

4) Program-program partiku di halang dan diganggu atas pelbagai alasan

5) Rakyat yang menyokong parti selain BN diugut, ditakut-takutkan dengan pelbagai cara sedangkan PAS adalah parti berdaftar yang sah.

6) Anak-anak muda terus dibelenggu dengan sogokan hiburan dan keseronokan dunia yang akhirnya menyebabkan mereka hanyut maksiat zina, dadah, lepak, rempit dan maksiat lain.

7) Rakyat dan pimpinan parti selain BN dinafikan hak untuk bersiaran di media seperti TV, Radio maupun media cetak arus perdana.

8) Media-media yang bukan pengampu BN dinafikan permit penerbitan dan jika dibenarkan pun hanyalah untuk edaran di terhad.

Banyak lagi sebenarnya bukti bahawa aku BELUM MERDEKA .........

30 August 2010

UMNO TAKUT LEBIH RAMAI MELAYU SOKONG PR

Umno ternyata begitu takut dengan kecenderungan pengundi melayu menyokong PR. Sebab itulah media pak turutnya bertalis arus memfitnah, mentohmah PR dan pemimpinnya setiap hari. Ada sahaja isu yang ditimbulkan oleh mereka semata-mata untuk menampakkan buruknya PR dan pimpinannya.

Fitnah, pembohongan dan tohmah dibuat tanpa segan silu tidak mengira masa, ketika dan keadaan. Pada bulan Ramadhan inipun mereka langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada bulan suci ini.

Tidak kira Islam atau bukan Islam semuanya menjadi 'mangsa' fitnah mereka. Lebih malangnya lagi mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Apa tidaknya jawatankuasa Majlis Fatwa dengan jelas menyatakan orang-orang bukan Islam dibenarkan memasuki masjid dengan berpakaian sopan, tetapi media pak turur Umno memfitnah dan menghentam pimpinan PR bukan Islam yang masuk masjid dengan niat baik. Malah mereka mengaitkan pula dengan isu perkauman dan agama.

Begitu terdesak sekali Umno/BN untuk mempertahankan kuasa mereka.

ZAM DIBERI MASA 3 HARI TARIK BALIK FITNAH

Parti Islam Se-Malaysia memandang serius fitnah yang dilemparkan oleh
bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengatakan
bahawa semasa Tragedi 13 Mei 1969 PAS minta Allahyarham Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika
Konfrontasi Malaysia-Indonesia PAS menyebelahi Indonesia supaya
‘mengambil’ Malaysia.

Kenyataan yang dibuat dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan
Jahat PAS" bersama umno-online itu adalah satu fitnah yang besar dan
cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang-orang Cina
dan rakyat keseluruhannya. Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta
bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang
mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat.

PAS yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukkan PAS dan
sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan
bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka.

Umno sudah sinonim dikaitkan dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan
propaganda jahat demi survival politik mereka yang kini tertekan
dengan penolakan bukan Melayu dinegara ini. Tuduhan bahawa PAS
menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga sengaja direka bagi
menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai
tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan
negara dan menjaga kepentingan rakyat.

PAS menuntut Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan
memohon maaf dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik
fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan
dewan-dewan untuk membuat laporan Polis dan seterusnya akan
mengemukakan saman kepada beliau.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

UMNO NAZAK, GUNA APA JUGA ISU UNTUK TARIK SOKONGAN

2 isu terhangat yang digunakan Umno untuk menarik sokongan Melayu ialah isu khutbah yang mendoakan Lim Guan Eng, isu YB Teo Nie Ching masuk surau dan terbaru YB William Leong masuk masjid.

Namun terbukti Umno jahil tentang agama dan tidak berhati-hati membuat tuduhan dan fitnah.

Hujah dan fitnah Umno ini akhirnya mudah dijawab dengan adanya Fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan tidak salah untuk orang bukan Islam masuk masjid.

Begitu juga dengan isu khutbah tidak salah mendoakan Bukan Islam untuk mendapat hidayah dari Allah.

BUKAN ISLAM JAUH DARI ISLAM SEBAB UMAT ISLAM JAHIL

Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Harakahdaily

29 August 2010

ISU MASUK MASJID : TOK GURU PERTAHAN YB TEO NIE CHING

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. — Bernama
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter