.

.

07 August 2010

MCA MAIN ISU PERKAUMAN DAN AGAMA UNTUK PROVOK ORANG MELAYU

Presiden MCA, Chua Soi Lek cuba merangka strategi serampang dua mata untuk kepentingan MCA dan BN. Kenyataan beliau semalam yang menyatakan bahawa jangan optimistik bahawa jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap, sebenarnya mempunyai tujuan dan strategi tertentu.

Beliau juga menambah bahawa perlu diingat ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Dua kenyataan yang dibuat oleh 'Pelakon Video' ini adalah untuk menaikkan semangat orang melayu dan Islam supaya bersatu tanpa mengira parti politik. Soi Lek dan kepimpinan BN faham bahawa jika isu perkauman dan agama dimainkan oleh orang Cina dan bukan Islam sudah tentu orang Islam akan bersatu dan bangkit menentangnya.

Selain itu Soi Lek cuba menimbulkan keraguan di kalangan orang Cina yang semakin yakin dengan PAS. Jadi beliau sengaja membangkitkan persoalan samada PAS dapat membasmi rasuah andaikata dipilih menjadi kerajaan pusat bersama PR.

Strategi menggunakan isu agama dan perkauman seperti ini telah digunakan oleh Umno, MCA dan MIC sejak zaman berzaman. Kali ini BN melalui MCA sekali lagi mahu menggunakan isu ini untuk kepentingan BN.

Mereka tahu jika orang Melayu bersatu sudah tentu mereka akan bernaung di bawah Umno terutama rakyat yang tidak berparti.

Bagi saya Soi Lek dan pemimpin BN sebenarnya jauh ketinggalan. Di saat politik perkauman sempit sudah ditolak oleh rakyat, BN masih mahu mengamalkannya. Saya yakin rakyat Malaysia sudah matang dan masak dengan taktik serta strategi BN ini. Rakyat sudah membuktikannya pada PRU 12 dahulu apabila orang Cina dan India sudah tidak takut untuk mengundi PAS dan orang Melayu tidak takut untuk mengundi DAP.

BN sebenarnya tidak putus-putus merancang untuk memecah belahkan PR. Mereka tidak ada idea lain selain menggunakan isu sensitif seperti agama dan perkauman. Namun BN tidak sedar bahawa isu agama dan perkauman sudah tidak laku dan telah lama dibuang oleh rakyat Malaysia.

SOI LEK BIADAP : UMAT ISLAM MESTI TOLAK MCA/BN

Kenyataan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang menyatakan bahawa Jangan optimistik bahawa jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap adalah biadap.

Beliau juga menambah bahawa perlu diingat ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Kenyataan biadap Pelakon Video ini dibuat pada pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam.

Kenyataan Soi Lek tersebut sebenarnya bukannya menyinggung pendokong dan ahli PAS sahaja tetapi juga umat Islam seluruh dunia. Pelakon Video itu patut sedar bahawa Islam mengharamkan rasuah dan segala bentuk penyelewengan. Masalah rasuah yang berlaku khususnya di Malaysia adalah disebabkan kerajaan BN pimpinan Umno yang didokong oleh MCA sendiri yang sengaja membiarkan rasuah berleluasa malah ada pemimpin mereka sendiri yang terlibat dengan rasuah.

Chua Soi Lek jelas mengguriskan hati umat Islam dan kenyataan beliau itu jelas membuktikan beliau memperlekehkan kesucian Islam.

Umat Islam di Malaysia mesti memandang serius akan hal ini dan paling penting rakyat khasnya umat Islam mesti menolak MCA yang dipimpin oleh seorang yang memperlekehkan Islam dan pada masa yang sama mempunyai moral yang rendah.

Saya menggesa Chua Soi Lek supaya menarik balik kenyataan beliau tersebut kerana jelas ianya amat merbahaya dan mengguriskan hati umat Islam. Beliau mesti membuat kenyataan akhbar bagi memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia maupun diseluruh dunia.

Namun begitu ada di kalangan pemerhati politik berpendapat bahawa kenyataan Soi Lek ini adalah strategi BN untuk membangkitkan semangat perkauman di kalangan orang Melayu, Cina dan India. Dengan itu mereka mengharapkan orang Melayu akan bersatu atas semangat melayu dan orang Cina bersemangat untuk mempertahankan semangat kecinaan dan tidak akan menyokong PAS.

MANA PERGINYA SLOGAN ISLAM HADHARI

Setelah jutaan ringgit dihabiskan untuk memperkenalkan Islam Hadhari akhirnya Slogan dan prinsip tenggelam begitu sahaja bersama 'tenggelamnya' mahaguru Islam Hadhari, Abdullah Badawi. Kini ianya hanya tinggal nama.

Kini timbul pula slogan 1Malaysia yang diasaskan oleh Najib Razak. Sejak akhir-akhir ini sudah kedengaran kritikan dari pelbagai pihak tentang konsep 1Malaysia ini. Bagi pengkritik tersebut konsep ini sebenarnya gagal direalisasikan dalam ertikata sebenarnya.

Contoh paling tepat ialah sikap Kerajaan Pusat yang seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan PR di 4 buah negeri iaitu Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Royalti minyak untuk Kelantan tidak diberi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dibentuk dan macam-macam. Semua ini tidak menggambarkan bahawa sistem Federalisme yang sepatutnya menjadi asas kepada 1Malaysia tidak diamalkan sebenarnya. Itu belum kita selami dan selidiki di peringkat Institusi Masyarakat seperti JKKK, AJK Masjid dan lain-lain. Sudah tentu lebih banyak tindakan dan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa yang bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang amat mementingkan perpaduan dan kehidupan yang harmoni.

06 August 2010

34 % PEKERJA MISKIN, APA KERAJAAN BN BUAT?

PAS dan PR sudah lama berjuang untuk membela golongan pekerja di negara. Antara yang diperjuangkan oleh PAS dan PR ialah gaji minimum RM1,500 sebulan. Malah ianya dimasukkan di dalam manifesto Pilihanraya Umum 2008 lalu.

Namun kerajaan BN menolak gesaan dan saranan ini mentah-mentah. Mereka tetapi mesra kepada majikan bukan mesra pekerja dan rakyat. Maka tidak hairan bagaimana fakta terkini menunjukkan bahawa hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. Apa yang boleh mereka makan dan hidup dengan jumlah gaji sebanyak itu. Sewa rumah, minyak motor pun mungkin 'tak lepas.'

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata kajian Perolehan Pekerjaan Nasional 2009 memberi penekanan terhadap soal pentingnya tahap gaji ini dinaikkan, terutama selepas kementerian itu mendapati bahawa sukar untuk menyerahkan soal gaji pekerja kepada kuasa pasaran semata-mata.

Ternyata kerajaan BN lambat bertindak dan lemah serta lembap. Kajian demi kajian dibuat tetapi tiada tindakan konkrit bagi membela kebajikan pekerja.

Sudah sampai masanya untuk pekerja bangkit menolak BN pada PRU akan datang dan seterusnya mengundi PR yang terbukti berjuang untuk membela pekerja.

SELOKA UNTUK NAJIB

Assalammualaikum YAB Perdana Menteri;
Dengar khabar sedang bercuti;
Bercuti pula diluar negeri;
Ini adalah nukilan buat Datuk Seri.

Rakyat menghadapi inflasi yang tinggi;
FDI pula merudum lagi;
Jenayah kian menjadi-jadi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri....

UPSR + PMR tak menentu lagi;
Dikurangkan pulak rakyat punya subsidi;
Harga petrol/desil gas masak dan gula naik lagi;
RM222 juta kepada Kuala Dimensi Kerajaan kasi;

Perdana Menteri bercuti di luar negeri .....
Kasihan Mak Tijah hidup sendiri;
Bajetnya sekadar pencen arwah suami;
Barangan keperluan pula melambung tinggi;

Perdana Menteri bercuti d luar negeri....
Muthusamy pergi kerja setiap hari;
Dia kerja bawa teksi;
Mengeluh dia minyak sekarang kurang subsidi;

Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....
Ong sekarang senyum sendiri;
PKFZ punya hantu sudah mali;
Ling Liong Sik punya trial sandiwara lagi;

Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....
Joseph mengeluh sekali lagi;
Apa sudah jadi kes Project M d Sabah ni;
Pendatang haram pun dapat IC;
Kepada BN undi mereka beri;

Perdana Menteri bercuti d luar negeri ....
Kasihan Kaum Penan d bumi sendiri;
Tanah serta hutan mereka sudah menjadi milik kroni;
Nak hidup macam mana mereka nanti;

Perdana Menteri bercuti d luar negeri;
Bercuti bukan dengan duit sendiri;
Ambil duit rakyat dan negeri;
Inilah KPI Perdana Menteri.

Nukilan Village Ghost

UMNO TAKUT BAYANG-BAYANG SENDIRI

Malam tadi Umno Bahagian Bukit Katil mengadakan ceramah di sebelah Pejabat PAS Bukit Katil. Penceramahnya pula, 'penceramah' cari makan, bekas orang kuat AMK, Lokman Noor Adam.

Geli hati saya melihat gelagat pemimpin Umno kerana mereka sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri. Sebenarnya ceramah itu dijalankan kerana mereka menyangka bahawa PAS akan mengadakan ceramah di Pejabat PAS Bukit Katil. Mereka tersilap dengar pengumuman yang dibuat pada ceramah di Bukit Beruang baru-baru ini. Pengerusi mengumumkan bahawa ceramah tersebut akan diadakan pada 5 September bukannya 5 Ogos. Tetapi oleh kerana takut kepada bayang-bayang sendiri mereka tanpa usul periksa mengadakan ceramah tersebut.

Jelas sekali Umno Bukit Katil dan Umno Melaka amnya cukup tertekan dengan kebangkitan rakyat sehingga mereka terpaksa meminjam perangai budak-budak mengajau dan mengejek ceramah PAS. Tetapi malam tadi mereka mengejek diri mereka sendiri kerana mereka telah kemaruk untuk mengacau ceramah PAS sehingga haribuan pun mereka tersilap.

05 August 2010

TOLAK USUL ISYTIHAR HARTA, BN TAKUT

Usul untuk mengisytiharkan harta yang dikemukakan oleh DAP pada Persidangan DUN Melaka baru-baru ditolak begitu sahaja oleh Speaker. Semua pihak memang menjangkakan bahawa usul tersebut akan ditolak kerana Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri memang takut untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Untuk itu kuasa Speaker digunakan untuk menolak usul tersebut yang dilihat amat membahayakan pimpinan kerajaan negeri kerana rahsia mereka mungkin terbongkar.

Penolakan usul tersebut membuktikan sangkaan ramai bahawa ada pihak cuba menyembunyikan harta dan aset masing-masing.

Ketua Menteri dan Exco Kerajaan mesti memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pimpinan kerajaan negeri di negeri ini bersih dan telus. Selagi perkara ini tidak dilakukan, rakyat akan terus syak wasangkan kepada KM, Exco dan semua wakil rakyat negeri Melaka.

Terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang ditujukan khasnya kepada Ketua Menteri, Exco dan ADUN BN yang antara lain menyatakan Ketua Menteri, Exco dan ADUN BN mengumpul kekayaan dan harta yang tidak setimpal dengan pendapatan dan elaun mereka.

Oleh kerana itu rakyat menggesa kepimpinan negeri ini mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat bagi membersihkan nama mereka. Pengisytiharan ini mestilah merangkumi harta isteri dan anak-anak mereka.

Sebelum ini rakyat merasa kesal dengan tindakan DUN Melaka menolak usul ADUN PR yang meminta DUN Melaka membahaskan usul untuk supaya Ketua Menteri, Exco dan ADUN mengisytiharkan harta masing-masing. Penolakan ini menyebabkan rakyat semakin sangsi dengan ketelusan mereka. Apa yang hendak mereka takutkan jika benar mereka bersih dan telus.

03 August 2010

HARGA BARANG : JANGAN SIKSA RAKYAT

Kerajaan mesti mengambil tindakan keras terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati melebihi harga yang ditetapkan dari sekarang secara berterusan.

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab berkata, riak-riak harga barang akan meningkat dengan mendadak semakin hari semakin jelas. Keadaan ini bertambah buruk dengan kenaikan harga minyak, gas dan gula baru-baru ini.

"Seperti biasa kerajaan jamin akan dapat mengawal semua harga barangan di pasaran tetapi hakikatnya terbukti kerajaan gagal berbuat demikian sejak dahulu lagi".

Menurutnya, jika kerajaan gagal mengawalnya, pengguna atau rakyat sudah pasti akan tersiksa dan tidak dapat menikmati musim perayaan dengan sempurna.

Menurutnya, kenaikan harga minyak, gula dan gas sebenarnya menjadi mimpi ngeri kepada rakyat dan ianya dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Persoalannya sekarang kita semua tahu bahawa kerajaan tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga barang tersebut".

"Mana mungkin kerajaan dapat memantau semua kedai termasuk di ceruk kampung dan desa" ujar Yusof.

Yusof menggesa kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menurunkan harga minyak, gula dan gas demi kesejahteraan rakyat.

DAFTAR PEMILIH SECARA AUTOMATIK SELESAI MASALAH

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) kesal dengan sikap tidak konsisten pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu pendaftaran pemilih. Semalam Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi dan pemilih secara automatik dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dimana, setiap warganegara berumur 21 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Pakatan rakyat sudah lama mencadangkan perkara ini dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini sudah membawa cadangan itu tetapi ditolak melalui jawapan Parlimen oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa negara ini mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision' dan rakyat tidak boleh dipaksa untuk mendaftar dan keluar mengundi.

Jawapan berkenaan jelas memberikan masalah kepada SPR yang masih gagal mendaftarkan pengundi-pengundi yang telah layak kerana kekurangan kakitangan dan sumber. Akibat penolakan itu, SPR mewujudkan cadangan baru iaitu menaikan bayaran untuk penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3. Tetapi cadangan ini pula ditolak oleh Dr. Puad atas alasan membazirkan wang rakyat dan kembali semula mengutarakan cadangan yang pernah disebut oleh Pakatan dan SPR iaitu membuat pendaftaran secara automatik.

Jelaslah, bahawa Kerajaan BN sendiri tidak konsisten dan tidak mempunyai persefahaman yang jelas terhadap keputusan yang mereka ambil. SPR menjadi seperti bola yang bukan sahaja ditendang ke sana ke mari, cadangan mereka diperlecehkan dan BN jelas takut untuk membuat penyelesaian terhadap isu pendaftaran pemilih ini kerana jumlah pengundi baru yang ramai adalah satu ancaman kepada mereka.

PAS tegas mahu pendaftaran pemilih secara automatik dibuat dan kita bersedia membantu SPR untuk meningkatkan jumlah pengundi baru. PAS berharap agar SPR bersikap lebih terbuka dan menerima dengan positif bantuan yang ditawarkan oleh PAS. Kita menawarkan perkhidmatan secara PERCUMA kepada SPR bagi mendaftarkan pemilih-pemilih baru dengan syarat pendaftar pemilih dari parti ini dan parti-parti Pakatan lainnya tidak didiskriminasi oleh SPR. Layanan yang adil hendaklah diberikan dan jawapan segera diberikan bagi setiap senarai pendaftaran yang telah diserahkan sebelum ini.

PAS berjanji, bahawa pendaftaran pemilih secara automatik akan dilaksanakan jika Pakatan menjadi kerajaan selepas Pilihanraya kali ke-13 nanti sekaligus dapat menjimatkan wang rakyat dan memudahkan kerja-kerja SPR.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

02 August 2010

CERAMAH PAS DI BUKIT BERUANG ESOK AKAN DIGANGGU

Kita mendapat maklumat dari dalaman Umno bahawa mereka akan terus mengganggu ceramah PAS yang akan dilangsungkan di perkarangan Pejabat PAS Cawangan Bukit Beruang esok. Sumber-sumber dalaman Umno mengesahkan perkara ini.

Ternyata Umno tidak serik-serik memalukan diri sendiri walaupun sebelum ini mereka dimalukan oleh penyokong mereka. Terbaru ceramah mereka yang diadakan kira-kira 50 meter dari ceramah PAS di Bukit Baru Dalam 30 Ogos lalu hanya dihadiri kira-kira 30-70 orang sahaja sedangkan ceramah PAS dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Kita hairan mengapa pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Bukit Katil sanggup memalukan Ketua Menteri dengan hanya berjaya mengumpulkan penyokong seramai itu. Tidakkah ianya memalu dan menjatuhkan maruah Ketua Menteri mereka sendiri.

Bagi Ketua Menteri sendiri sepatutnya beliau sedar akan hal ini. Orang bawahannya hanya mahu membodek dan sanggup memalukan Ketua Menteri dengan mengadakan ceramah bagi mengganggu ceramah PAS.

POLIS TANGKAP RAKYAT : MORAL DAN IMEJ POLIS TERCALAR

Parti Islam Se-Malaysia PAS membantah sikap primitif dan tidak bertamaddun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini. Antaranya tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit Batu Pahat pada 31hb Julai 2010. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.. Sekurang-kurang-kurangnya 9 ditangkap terdiri dari 7 lelaki dan 2 wanita.. Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Di Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos 2010.
Manakala 1hb Ogos 2010 , himpunan di. upacara menyalakan lilin anti ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS mengharapkan polis perlu menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan Umno. Bertindaklah secara professional, beri keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan Umno BN.

PAS yakin tindakan ini sebagai satu usaha, kerana Umno sudah berada penghujung hayat, kerana apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya. Maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis menganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno/BN, dan yang paling kita bimbang moral dan emej polis akan tercalar di mata rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, kesemuanya mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

BN TERDESAK : RAKYAT JADI MANGSA

Setiap kali BN terdesak dan merasakan kedudukan mereka tergugat, BN menggunakan apa juga cara untuk berdepan dengan rakyat. Sejak dari dahulu, kini dan mungkin selamanya rakyat akan berdepan dengan pihak keselamatan bagi menghadapi BN.

Minggu ini kita melihat perkara ini berulang kembali. Program, ceramah dan sebagainya yang dijalankan oleh rakyat yang tertindas dan dizalimi di ganggu oleh pihak berkuasa dengan menangkap rakyat tanpa alasan yang munasabah. Mereka hanya berhimpun untuk mendengar ceramah dan menghadiri program-program yang membela kebajikan mereka tetapi dihalang dengan rakus dan kasar oleh pihak berkuasa.

3 peristiwa berlaku sehari dua ini :-

1) Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini (Ahad) yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung. Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.
Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

2) Seramai 29 orang ditahan, 21 lelaki dan lapan perempuan setelah polis beserta pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyerbu upacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya. Pihak peguam sedang membuat urusan di balai polis.

3) Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit di Batu Pahat, Johor.
Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah dipantas itu malam tadi. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah. Akibat sebuan itu sehingga jam 12.30 pagi tadi difahamkan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita. Kesemua yang ditahan kini dibawa ke balai polis Rengit.

Ternyata BN benar-benar tertekan dan takut kepada bayang-bayangnya sendiri sehingga tergamak menggunakan kekerasan bila berhadapan dengan rakyat. Mana perginya slogan 1Malaysia, pencapaian diutamakan rakyat didahulukan.

Sepatutnya dengan semangat 1Malaysia kerajaan akan berlebih professional bila berhadapan dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh rakyat. Isu-isu Felda, Felcra dan ISA seumpama ini adalah isu kezaliman dan penindasan yang diperjuangkan oleh rakyat. Apa salahnya kerajaan duduk semeja berbincang dan berdialog dengan rakyat malah mungkin juga kerajaan boleh menghantar wakil untuk berdebat dengan rakyat dalam isu-isu tersebut. Menggunakan kekerasan dan kerakusan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah malah rakyat akan semakin benci dan meluat dengan kerajaan dan pimpinannya.

01 August 2010

MCA TAKUT UNTUK TERIMA CADANGAN SPRM BAGI PENGISYTIHARAN HARTA

Semalam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohammad dilaporkan bersetuju dengan cadangan Bekas Presiden Majlis Peguam, S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota Kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

Semua anggota Kabinet kini mengisytiharkan harta mereka setiap tahun kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi ia tidak didedahkan kepada umum. Mengapa mereka takut mendedahkan kepada umum? (Faham-faham sendir la).

Namun cadangan SPRM ini ditentang oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek yang memberikan alasan bahawa tiada satu pun negara di dunia ini yang anggota kabinetnya mengisytiharkan harta kepada umum.

Bagi saya cadangan SPRM itu amat bagus dan sewajarnya dilaksanakan, mengapa MCA tidak bersetuju dengan cadangan yang baik itu. Adakah MCA hendak menyembunyikan kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan. Bagi saya bukans sahaja menteri kabinet yang perlu isytiharkan harta mereka malah isteri, anak dan anggota keluarga terdekat mereka juga mesti berbuat demikian juga. Ini kerana ada di kalangan individu tertentu yang tidak menggunakan nama mereka sendiri untuk harta-harta mereka tetapi menggunakan nama orang lain seperti nama keluarga, pemandu dan sebagainya.

Kepada Chua Soi Lek, apa yang hendak ditakutkan, berani kerana benar takut kerana salah.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter