.

.

13 December 2008

BN TETAP BERUSAHA BELI ADUN PR PERAK ~ Ref Malaysiakini

BN Perak terus berusaha untuk 'membeli' ADUN Pakatan Rakyat bagi menjayakan hasrat mereka menumbangkan kerajaan PR Perak.

ADUN Titi Serong yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BCC) Perak, Drs Khalili Idham Lim berkata BN Perak terus menerus menawarkan pelbagai habuan kepada ADUN PR namun beliau yakin kesemua ADUN PR akan tetap istiqamah bersama PR.

"Walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh BN tetapi saya yakin anak buah saya akan tetap berama Pakatan Rakyat".

Beliau berkata demikian pada suatu program Pulau Pangkor malam ini.

12 December 2008

KUMPULAN ERDOGAN DAN BUKAN ERDOGAN : STRATEGI MUSUH LAGAKAN PEMIMPIN PAS ~ Ref Malaysiakini

Musuh sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan PAS. Setiap saat dan detik mereka memikirkan apa yang mesti dilakukan untuk melemah dan seterusnya menghancurkan PAS. Pemimpin dan ahli PAS perlu peka dan sedar dengan perang saraf, hasutan, tohmah, fitnah dan strategi musuh untuk menjahanamkan PAS.

Mereka tahu jalan yang paling ampuh untuk menghancurkan PAS ialah memperok-perandakan PAS dari dalam. Dengan itu pemimpin PAS akan berbalah, berpecah dan akhirnya berlaku pergaduhan besar di dalam PAS.

Sejak sedekad lalu, PAS dilihat semakin matang dan tidak mempunyai masalah dalaman yang serius seperti tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Sebab itu kepimpinan PAS dilihat begitu mantap dari segi wehdatul amal maupun wehdatul fikr. Kerana itu musuh-musuh semakin bimbang dengan kekentalan dan perpaduan PAS.

Sejak pilihanraya 1990 PAS kembali mempunyai kerajaan. Malah pada tahun 1999 PAS mempunyai 2 kerajaan negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Kejayaan lebih gemilang dicapai pada PRU 2008 ini apabila kita berjaya membentuk kerajaan campuran di 5 buah negeri. Malah 3 dari 5 buah negeri tersebut diketuai oleh PAS sebagai Menteri Besar. Suatu kejayaan paling manis kurniaan Allah S.W.T.

Kejayaan ini sedikit melekakan pemimpin PAS dan ada yang mungkin sibuk dengan tugas rasmi dan tidak menumpukan perhatian serius kepada parti. Akhirnya musuh mula memasuk jarum dan memasang strategi. Tidak dinafikan nafsu manusia kepada pangkat dan kuasa memang ada. Jadi ada pihak yang nampak perkara dan cuba menjadikannya sebagai jalan untuk memasukkan jarum.

Mereka mula memasang perangkap dengan melabel golongan tertentu dan individu tertentu dengan jolokan kumpulan Erdogan dan Bukan Erdogan. Saya pun pelik mengapa istilah itu dipilih. Mungkin mereka merasakan bahawa pemimpin-pemimpin yang liberal, terbuka dan dilihat berkawan baik dengan PKR dan Anwar adalah sealiran dengan Erdogan yang nampaknya menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang Islam di Turki.

Adakah Husam Musa sebagai Naib Presiden PAS terkanan dikatakan mengetuai kumpulan Erdogan mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan PAS?

Kalau beliau mempunyai fikrah sedemikian saya yakin beliau tidak akan dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada pemilihan lalu.

Bagi saya semua kita mempunyai fikrah yang sama iaitu fikrah Islam yang menjadi panduan perjuangan PAS. Cuma mungkin berbeza dari segi sikap, cara pemakaian, pergaulan dan persahabatan. Mungkin Dato' Kamaruddin Jaffar, Dr Hatta, Dato' Husam, Khalid Samad dan sebagainya mereka boleh berkawan rapat dan intim dengan PKR dan DAP. Tetapi ini tidak semestinya menunjukkan mereka berlainan fikrah dengan pemimpin PAS lain.

Jadi sebagai ahli PAS sejak dari dalam 'perut ibu' lagi, saya ingin memberi amaran kepada semua ahli PAS dan mungkin juga pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak musuh yang cuba melaga-lagakan ahli dan pimpinan PAS. (Siapa lah saya nak beri amaran pulak he he he....). Musuh di luar PAS sebenarnya sekarang sedang bergembira kerana jarum yang mereka cucuk sudah mula menusuk hati dan jantung ahli dan pemimpin PAS.

Target mereka supaya tahun depan PAS akan hancur kerana adanya pemilihan. Namun saya yakin ahli dan pemimpin PAS sudah matang dalam sepak terajang permainan politik musuh. Pertandingan mungkin ada diperingkat tertinggi seperti sebelum ini tetapi ianya ternyata tidak pernah melemah dan menghancurkan PAS tidak sebagaimana Umno dan parti lain.

PRK KUALA TERENGGANU : BN RANCANG SESUATU UNTUK BURUKKAN PAS ~ Ref Malaysiakini

Termasuk kenyataan Mat Taib kali ni sudah 3 orang pimpinan Umno buat kenyataan hampir serupa, iaitu huru hara. Dan yang lebih menariknya ianya akan dilakukan oleh PAS.

Dari kenyataan-kenyataan liar berbaur fitnah ini, kita boleh buat beberapa kesimpulan:-

1.Umno sememangnya berhajat untuk melihat PRK KT ini berjalan dengan suasana yang tidak teratur bagi memudahkannya menggunakan pihak keselamatan untuk menekan PR khususnya PAS.

2. Umno sudah ada perancangan awal untuk menimbulkan suasana tegang dan tidak tenteram sepanjang PRK KT berlangsung dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pengundi.

3.Umno akan menggunakan 1001 helah dan tipu daya, termasuk mengkambing hitamkan pihak keselamatan dan SPR utk mengekalkan kerusi KT.

4. Tindak tanduk dan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Taib dan rakan-rakannya ini membuktikan Umno berada dalam keadaan cemas dan kepanasan.

OLEH YG DEMIKIAN, MINTA SEMUA PIHAK KHUSUSNYA PIMPINAN DAN PEMUDA SUPAYA PEKA DENGAN UGUTAN DAN FITNAH INI. SAMA2 KITA BEKERJA UNTUK ISLAM.

Oleh : Pemuda Kemahang

MAT TAIB TUDUH PAS AKAN CETUSKAN HURU HARA, BOLEH JALANLAH MAT TAIB ~ Ref Malaysiakini

Selain dari taktik merasuah pengundi pada setiap kali Pilihanraya, BN sudah tentu akan menggunakan satu lagi taktik lapuk mereka iaitu menuduh PAS dan PR ganas dan kejam. Pelbagai tohmah, fitnah dan sumpah seranah digunakan oleh mereka untuk memburuk-burukkan PAS dan PR di mata pengundi.

Belum pun bermula kempen PRK Kuala Terengganu menteri yang menjaga Polis, Syed Hamid Albar sudahpun menggambarkan bahawa PRK ini kemungkinan akan hangat dan akan berlakunya huru hara. Manakala Ketua Penerangan Umno, Mat Taib (Tyson) juga bertindak sama dengan menyeru supaya petugas BN supaya tidak takut dengan ugutan pembangkang kerana keselamatan mereka terjamin sepanjang tempoh berkempen.

Beliau juga berkata, jentera kempen UMNO dan BN seharusnya berani berdepan dengan apa sahaja provokasi pembangkang kerana perlu mempertahankan kerusi milik sendiri.

Inilah penipuan dan pembohongan besar yang dilakukan oleh pemimpin Umno/BN pada setiap kali kempen pilihanraya. Mentaliti mereka tetap tidak berubah. Mereka tidak sedar bahawa rakyat sudah celik dan faham benar sikap mereka yang suka menuduh dan memfitnah pembangkang. Rakyat sudah meluat dengan tindak tanduk dan kenyataan akhbar pemimpin BN.

Saya harap pemimpin BN mencari kaedah dan cara berkempen. Jangan lagi gunakan taktik kuno dan lapuk seperti rasuah politik, ugutan, ancaman, penipuan dan sebagainya yang semuanya sudah difahami dan diketahui oleh rakyat. Ini zaman langit terbuka, rakyat sudah tidak mempercayai media arus perdana sebaliknya lebih suka mendapatkan maklumat dari akhbar alternatif dan juga internet.

Selamat Jalan Umno/BN ..........

PRK KUALA TERENGGANU : SAYA BUKAN MELOBI ~ Ref Malaysiakini

Saya mendapat maklumbalas yang positif dan negatif tentang cadangan supaya PAS meletakkan YB Syed Azman Syed Nawawi untuk bertanding pada PRK Kuala Terengganu 17 Jan nanti.

Bagi saya semua calon yang dinamakan oleh PAS untuk dipilih adalah baik dan mempunyai kelebihan masing-masing. Samada ianya Mat Sabu, Wan Mutalib Embong, Syed Azman, Prof Madya Khazani dan sesiapa juga semua baik jika hendak dibandingkan dengan calon Umno yang sudah tentu sebahagian besarnya terpalit dengan politik wang dan kontroversi lain.

Namun sebagai ahli PAS yang prihatin dan mempunyai pendapat sendiri saya cuba memberikan pandangan kepada pimpinan PAS yang saya juga pasti lebih arif dan tajam pemikiran politik mereka berbanding dengan diri saya.

Cuma saya ingin melahirkan rasa hati dan idea saya yang mungkin boleh membantu sahabat-sahabat membuat perkiraan dalam sudut yang lebih luas.

Cadangan saya supaya meletakkan Syed Azman adalah untuk menutup beberapa isu yang dimainkan oleh BN ketika pilihanraya kecil dahulu. Antaranya :-

1) isu orang luar,

2) tidak pernah ambil tahu masalah kami tiba-tiba mu mari nak jadi calong

3) Die tadok ghumah ssssini guane nok khidmat kat kite dan sebagainya...

Walaupun kita faham isu ini adalah remeh dan kecil kepada kita, tetapi kita dapat menafikan bahawa ada segelintir mok cik dan pok cik yang termakang dengang isu ini sehingga memberikang undi kepada Allahyarham Razali Ismail dan Mok Cik Maimung.
Paling penting kepada kita ialah untuk menang nanti. Siapa calon saya tidak kisah asalkan ianya calon terbaik dan dikira boleh membawa kemenangan kepada PAS.
Kita bukan sahaja ingin melihat peranannya di kawasan yang diwakili sahaja tetapi peranannya untuk membawa suara rakyat dan PAS di dalam Dewan Rakyat.
Jadi itu pandangan saya .......................

11 December 2008

SYED AZMAN DIPILIH SEBAGAI CALON PAS? ~ Ref Malaysiakini

Tidak menjadi masalah untuk seorang ADUN bertanding di kerusi parlimen jika beliau diyakini adalah calon terbaik bagi membawa cabaran kepada parti lawan. Inilah juga yang dilakukan oleh BN ketika memilih Ariff Shah untuk menentang Anwar pada PRK Permatang Pauh dahulu.

Bagi saya jika ADUN Batu Burok, YB Syed Azman Syed Ahmad di pilih ia merupakan pilihan terbaik bagi PAS.

Ini berdasarkan beberapa hujah yang saya kemukakan di bawah :-

1) PAS sudah pasti berjaya menepis serangan BN tentang asal usul calon.

2) PAS tidak perlu memperkenalkan siapa calonnya kerana Syed Azman memang sudah lama dikenali dan sekarang adalah ADUN Batu Burok

3) Beliau mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti diperingkat pusat dan kawasan.

4) Berpendidikan tinggi, mempunyai personaliti baik, karisma, akhlaq dan tiada masalah dengan masyarakat setempat. Juga datang dari keluarga yang dihormati di Kuala Terengganu

5) Tidak mendapat tentangan dari anggota akar umbi parti dan pengundi atas pagar

6) Seorang yang dihormati oleh kawan dan lawan

7) Tugas beliau tidaklah berat di Terengganu kerana beliau bukanlah anggota tertinggi parti diperingkat negeri malah beliau juga mempunyai rumah di Kuala Lumpur untuk menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen.

8) Mempunyai pengalaman luas sebagai ahli parlimen dan merupakan ahli parlimen yang lantang, berhujah dengan bernas dan berfakta ketika menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu dari tahun 1999 sehingga 2004 dahulu.

Saya harap PAS tidak perlu pening kepala untuk memilih siapa calon terbaik kerana YB Syed Azman adalah calon terbaik.

PRK KUALA TERENGGANU : UMNO SERBA SALAH PILIH CALON ~ Ref Malaysiakini

Walaupun penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu masih jauh namun Umno benar-benar buntu untuk mencari calon yang sesuai bagi berhadapan dengan PAS yang sudah tentu mempunyai ramai calon yang berkaliber.
Di pihak PAS, nampaknya mereka tiada masalah kerana semua calon yang di'shortlisted'kan mampu untuk membawa kemenangan kepada PAS. Cuma PAS sekarang mencari calon terbaik yang mampu mendapatkan majoriti kemenangan lebih besar.
Samada Dato' Wan Mutalib, YB Syed Azman, Mohamad Sabu atau Prof Madya Khazani Mohamad diletakkan oleh PAS ianya tidak menjadi soal kerana PAS mempunyai pengundi tegar di DUN Wakaf Mempelam dan Batu Burok. Manakala pengundi DUN Ladang dan DUN Bandar yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu tidak mudah di perdayakan oleh Umno. Sementara itu Pengundi Cina di DUN Bandar juga dijangka akan mengundi PAS kali ini dengan bantuan DAP dan PKR yang akan turun habis-habisan di sana. Pengundi Cina juga sudah tentu terpengaruh dengan kehebatan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
Pada permulaannya Umno menamakan Wan Farid, Roslan Awang Chik, Sabri Alwi dan Zuber Embong untuk membawa cabaran mereka. Namun setelah direnungi Umno agak bimbang dengan calon-calon tersebut. 2 calon iaitu Roslan dan Zuber adalah calon 'recycle' yang sudah dibuang tetapi diambil semula oleh Mat Said untuk mengukuhkan kedudukannya di Terengganu bagi mengimbangi pengaruh Derih Jusoh.
Umno juga bimbang untuk meletakkan Wan Farid kerana semua orang Kuala Terengganu tahu siapa beliau dan apa kegemarannya. Begitu juga Sabri atau lebih dikenali dengan Mat Kerak yang menang menewaskan Che Mat Jusoh dalam pertandingan merebut Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu. Beliau menang kerana didakwa menggunakan politik rasuah atau politik wang. Jadi ramai pemerhati politik dan rakyat Kuala Terengganu tidak bersetuju jika Mat Kerak diletakkan di sini.
Akhirnya timbul pula nama Che Mat Jusoh bekas Speaker DUN Terengganu dan bekas calon BN pada PRU 2004 yang ditewas ditangan Dato" Wan Mutalib Embong di DUN Batu Burok. Dengar khabar Che Mat sedang dahsyat melobi dengan menggunakan orang atasan termasuk para pemimpin FAM, di mana Khairy Jamaluddin sendiri adalah Timbalan Presiden FAM. Memang Che Mat mempunyai kedudukan yanga agak baik untuk dipilih kerana beliau juga rapat dengan Pak Lah. Sebelum ini beliau merupakan pegawai Khas Pak Lah di Terengganu.
Jelas sekali Umno/BN berada dalam kekalutan untuk meletakkan ayam sabungnya di Kuala Terengganu. Ini kerana di atas kertas Umno/BN sebenarnya ketinggalan dari segi undi DUN yang mana PAS memenangi 3 dari 4 DUN di Kuala Terengganu.

KEKEJAMAN ISA : KERAJAAN TERUS ZALIMI 46 ORANG YANG TIDAK DIBUKTIKAN BERSALAH ~ Ref Malaysiakini

Walaupun Menteri Dalam Negeri mendabik dada bahawa sepanjang beliau memegang jawatan tersebut jumlah tahanan ISA menurun daripada 75 kepada 46 orang, namun hakikatnya kerajaan BN terus bertindak zalim dan kejam kepada tahanan ISA.
Mungkin ada yang terkejut dengan tuduhan saya bahawa kerajaan zalim dan kejam terhadap tahanan ISA. Bagi saya mengurung tahanan tanpa dituduh dan diberi peluang membela diri adalah tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan.
Mana tidaknya mereka dipisahkan dari isteri, anak-anak, ibu bapa dan dunia luar selama bertahun-tahun tanpa diketahui bila akan dibebaskan. Bukankah itu zalim. Mereka diperlakukan seperti burung di dalam sangkar, diberi makan dan minum tetapi dikurung entah bila akan dibebaskan. Mereka adalah manusia, kalau binatang pun tidak suka dikurung apatah lagi manusia. Lebih menyedihkan mereka langsung tidak diberi peluang membela diri di mana-mana mahkamah.
Tidakkah terdetik dihati pemimpin Kerajaan terutama PM dan Menteri Dalam Negeri, rasa bersalah dan kasihan kepada tahanan yang ada antara mereka sudah dikurung lebih 7 tahun lamanya. Anak isteri porak peranda hidup dalam kesusahan untuk mencari sesuap nasi, ada anak yang tidak bersekolah, ada yang tidak cukup makan pakai dan seribu satu lagi masalah. Semuanya adalah gara-gara kekejaman kerajaan BN yang terus menggunakan ISA untuk kepentingan politik mereka.
Pemimpin kerajaan terutama PM dan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini dengan bongkak dan sombong menyatakan bahawa ISA tidak akan dipinda apatah lagi dihapuskan. Mereka tidak menghiraukan teguran dan nasihat sesiapapun hatta nasihat Mufti sekalipun. Inilah kemuncak kepada ketamakan kuasa dan gila kuasa yang menjadi 'wirid' harian mereka.
Daripada 46 orang tahanan, 16 anggota kumpulan militan JI, 13 orang dari kumpulan Darul Islam, 10 orang kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan dan pasport, lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dan dua individu yang bekerja dengan agensi perisikan asing.

RM9.4 JUTA DUIT RAKYAT HANGUS SETAHUN UNTUK KESELESAAN PM DAN TPM ~ Ref Malaysiakini

RM9.4 juta duit rakyat hangus setahun semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri dan Timbalannya selesa mendiami 'istana' masing-masing. Fakta ini dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri sendiri.

Di saat rakyat miskin tiada rumah atau tinggal di kandang atau pondok buruk, bocor sana tiris sini, pemimpin negara berseronok menghabiskan duit rakyat sebanyak itu untuk sewaan dan penyelenggaraan. Inilah pemimpin berjiwa rakyat yang menghabiskan duit rakyat untuk keselesaan mereka sendiri.

Cuba bandingkan dengan Tuan Guru Nik Aziz, berapa banyak wang rakyat yang beliau habiskan untuk penyelenggaraan rumah beliau di Kg Pulau Melaka?

Bangunlah rakyat Malaysia, bukalah mata kita semua untuk melihat kebenaran. Pemimpin BN atau pemimpin PR kah yang wajib kita sokong?????

Gambar Rumah Tok Guru Nik Aziz berwarna hijau - rumah kampung.

BERSEDIA UNTUK BERDEPAN DENGAN KEMELESETAN EKONOMI TAHUN DEPAN ~ Ref Malaysiakini

Pakar-pakar ekonomi meramalkan tahun depan negara kita akan menghadapi kemelesetan ekonomi akibat tempias dari masalah ekonomi dunia.
Malah sejak beberapa bulan dahulu negara kita juga telah dilanda kemelesetan yang agak teruk. Indikator paling mudah ialah Indek BSKL sekarang hanya berkisar di paras 800 lebih sahaja sedangkan sebelum Pilihanraya umum lalu Indeks BSKL mencecah lebih dari 1000 mata.
Ekonomi negara kita ternyata tidak kukuh dan mantap untuk menghadapi gelombang malap ekonomi dunia. Negara terjejas dengan begitu cepat sedangkan kemelesetan ekonomi dunia baru diperingkat awalan. Bagaimana jika ianya memuncak nanti? Mungkin kita akan terjejas dengan lebih teruk lagi.
Saya tidak mahu menyentuh lebih lanjut tentang ekonomi negara, cuma saya ingin mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat di luar sana agar kita bersedia dengan situasi ini dengan sedaya mungkin.
Riak-riak bahawa semakin banyak majikan akan membuang pekerja atau pekerja di paksarela supaya berhenti sudah mula kelihatan. Kilang-kilang MultiNasional di sebelah utara semenanjung mula memperlahankan proses pengeluaran mereka, ada yang menghadkan kerja lebih masa, tidak menggantikan pekerja yang berhenti dan sebagainya. Malah ada kilang yang mula mencongak dan meneliti pakej Pemberhentian pekerja secara Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
Seperti biasa antara kilang yang terjejas teruk ialah sektor elektronik yang sudah mula terasa bahangnya. Saya juga mendapat berita dari rakan taulan dari Dubai yang menyatakan ramai pekerja dari luar Dubai yang mula diberhentikan kerja lantaran kebimbangan majikan terhadap kemelesetan ekonomi ini.
Dari itu mari kita mempersiapkan diri untuk menghadapi zaman malap ini sebagaimana kita pernah hadapi pada tahun 1987 dan 1997 dahulu.
Kepada kerajaan kita mengharapkan agensi kerajaan dapat memantau dan mengambil perhatian serius kepada tindakan mana-mana majikan yang membuang pekerja secara sesuka hati. Kita mengharapkan mana-mana pekerja yang dibuang mesti mendapat pampasan dan saguhati sesuai dengan peruntukan undang-undang serta juga rasa timbangrasa dan belas kasihan sesama manusia.
Kita tidak mahu ada rakyat kita sendiri yang dianiaya dan dizalimi oleh majikan.
Kepada mana-mana pekerja yang dibuang dan diberhentikan kerja sila pastikan anda mendapat hak yang sepatutnya anda perolehi. Sila laporkan kepada pejabat buruh atau pihak berwajib jika anda dizalimi dan ditindas.

PRESIDEN EU KAGUMI PEMERINTAHAN KELANTAN : TAHNIAH TUAN GURU NIK AZIZ ~ Ref Malaysiakini

Sekalung ucapan tahniah saya ucapkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat atas penghormatan yang beliau terima dari Presiden Kesatuan Eropah (EU), Marc Barety.
Dalam kenyataannya baru-baru ini Marc Barety melahirkan rasa kagum dengan corak pemerintahan Tok Guru.
Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .
Terbukti negara luar kagum dengan kejayaan Tok Guru mentadbir negeri yang didiami oleh masyarakat majmuk dengan aman, tiada rasuah, tiada kezaliman dan sebagainya.
Saya yakin sedikit sebanyak terdetik di dalam hati delegasi tersebut bahawa Islam adalah agama perpaduan dan mampu mentadbir sesebuah negara dengan baik dan aman.
Moga-moga mereka diberikan hidayah oleh Allah untuk menerima Islam atau sekurang-kurangnya tidak memusuhi Islam setelah mereka melihat kebaikan Islam dan keharmonian rakyat Kelantan tinggal di sebuah negeri yang diperintah oleh seorang ulama'.

'SANTA KLAUS' MULA UMUM PROJEK DAN HABUAN UNTUK RAKYAT TERENGGANU ~ Ref Malaysiakini

Saya hairan mengapa BN terus menggunakan taktik lapuk dan tradisional mereka dengan menjanjikan habuan dan projek kepada rakyat Terengganu khasnya Kuala Terengganu.
Bukankah taktik yang sama mereka gunakan semasa PRK Permatang Pauh dan PRU Mac lalu sehingga mereka dimalukan oleh rakyat.
Inilah mentaliti kelas ketiga yang dipunyai oleh pemimpin BN yang terbukti tidak cerdik dan jauh ketinggalan ke belakang.
Semalam, 'Santa Klaus' nombor 1 Terengganu mula mengumumkan projek dan habuan. Seperti biasa jumlahnya juta-juta bukan ribuan.
Menurut 'Santa Klaus' itu Kerajaan Terengganu bakal menerima bayaran royalti minyak tambahan kira-kira RM400 juta yang akan disampaikan bapak No 2 'Santa Klaus' Malaysia.
Selepas ini kita akan mendengar lebih banyak lagi projek 'mee segera', hadiah, habuan dan sebagainya akan terbit dari mulut gerombolan 'Santa Klaus' ini. Surau dan masjid akan dicat walaupun baru dicat, bangunan akan dirasmikan walaupun perasmiannya dibuat bertahun-tahun dahulu, rakyat akan diziarahi walau duduk di ceruk mana sekalipun. Pendekata pemimpin BN memang menjadi pemimpin paling alim, baik, sopan santun, amanah dan berjiwa rakyat semasa kempen pilihanraya kecil.
Selepas pilihanraya kecil sudah tentu batang hidung mereka tidak kelihatan lagi sepertimana terjadi kepada rakyat Permatang Pasir dahulu, walaupun dilanda banjir tidak lama selepas BN menang pada PRK tersebut, tetapi kelibat mereka langsung tidak nampak.
Saya yakin rakyat Kuala Terengganu terutama Pengundi Kuala Terengganu adalah pengundi bijak dan matang sebagaimana mereka tunjukkan semasa PRU dulu di mana 3 dari 4 DUN di Parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh PAS. BN, Insya Allah akan kecundang lagi jika mereka menggunakan taktik lama dan tradisional ini.
Saya mencadangkan supaya kerajaan dan 'Santa Klaus' ini dapat memberikan lebih banyak projek dan habuan kepada rakyat demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Semasa pilihanraya kecil sebeginilah sahaja kerajaan akan menjadikan rakyat macam raja sehari di mana mereka akan cuba memenuhi setiap permintaan rakyat walaupun sebahagian besarnya hanya janji-janji manis yang belum tentu ditunaikan.
Mintalah apa sahaja sudah tentu 'Santa Klaus' akan berkata, kerajaan akan mengotakannya demi untuk rakyat.
Apa yang saya bimbang ialah jika budaya memenuhi permintaan rakyat semasa pilihanraya kecil ini diamalkan, kemungkinan ada rakyat yang mendoakan supaya Wakil Rakyat cepat mati supaya mereka mendapat habuan dan projek untuk kemudahan dan kesenangan mereka. Ini kerana jika Wakil Rakyat mati sudah tentu apa sahaja permintaan mereka akan dilayan dan cuba dipenuhi oleh kerajaan BN.

10 December 2008

PPP SILA KOTAKAN JANJI ~ Ref Malaysiakini

Parti Progresif Penduduk (PPP) mesti mengotakan janji untuk keluar dari BN kerana tiada gunanya PPP bersekongkol dengan BN yang bongkak, angkuh dan sombong tidak mahu mendengar nasihat dan pandangan tentang kezaliman ISA.

Semalam Presiden Umno, Dollah Badawi dengan angkuh menyatakan bahawa ISA tidak akan dipinda dan dihapuskan dan katanya, PPP bebas untuk keluar dari BN kerana sudah pasti ISA tidak akan dipinda.

Itulah kebongkakan dan kebiadapan pemimpin kerajaan yang jelas tidak mahu mendengar nasihat. Apa yang dikesalkan mereka melaung-laungkan konsep Islam Hadhari yang terbukti bertentangan dengan Islam Hadhari dan Islam sebenarnya tidak mahu dihapuskan atau dipinda.

Jadi saya mengharapkan Datuk Kayveas sebagai Presiden PPP mengotakan janjinya untuk keluar dari BN dan menyertai PR secepat mungkin.

AMBIL IKTIBAR DARI KEJADIAN TANAH RUNTUH ~ Ref Malaysiakini

Saya mengharapkan kerajaan mengambil iktibar dari kejadian tanah runtuh Bukit Antarbangsa dengan menutup kawasan-kawasan lain yang juga berisiko. Bukannya sahaja kawasan di lereng-lereng bukit tetapi juga kawasan-kawasan seperti di tebing sungai, tepi pantai dan sebagainya yang juga berisiko tinggi untuk ditimpa musibah.

Apa yang sangat dikesalkan ialah sikap kerajaan negeri di bawah pimpinan BN khususnya di Selangor sebelum ini yang meluluskan 90 projek di kawasan berisiko tinggi seperti di lereng-lereng bukit. Jelas sekali kerajaan BN Selangor sebelum langsung tidak mengambil kira akan risiko yang bakal di hadapi oleh rakyat. Mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Bila musibah menimpa seperti kes Bukit Antarabangsa barulah kerajaan pusat 'terhegeh-hegeh' menghalang sebarang pembangunan di kawasan lereng bukit.

09 December 2008

BASIKAL PUN KENA BAKAR ~ Ref Malaysiakini

Basikal pun jadi mangsa kena bakar. Itulah budaya Malaysia di mana sesuatu kumpulan yang menyuarakan rasa tidak puashati sudah tentu akan dihalang dan diprovok.

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang sedang mengadakan ekspedisi 'Rakyat Pengayuh Perubahan' dari Alor Star ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur dengan menggunakan basikal menghadapo layanan buruk apabila basikal mereka di bakar.

Siapa yang melakukannya tidak dapat dipastikan. Namun ramai yang sangsi dan membuat ramalan bahawa perkara itu dilakukan oleh puak-puak yang selalu membuat provokasi terhadap demonstrasi dan sebagainya. Siapa lagi kalau bukan si DIA????

08 December 2008

HAYATI SEMANGAT KORBAN ~ Ref Malaysiakini

Umat Islam baru sahaja selesai menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha ditempat masing-masing. Sudah menjadi kelaziman Khatib yang berkhutbah akan mengungkap lipatan sejarah bagaimana Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail berkorban untuk menunaikan perintah Allah. Baginda berdua bukannya berkorban binatang tetapi mengorbankan anak dan diri mereka sendiri.
Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya Nabi Ismail manakala Nabi Ismail sanggup dirinya dikorbankan oleh ayahandanya demi menyahut perintah Allah.
Demikian hebatnya pengorbanan kedua-dua Pesuruh Allah ini. Sanggupkah kita melakukan apa yang diperintahkan kepada mereka.?
Allah tidak memerintahkan kita berkorban sehebat baginda berdua. Namun Allah menuntut kita berkorban dengan jiwa raga, harta, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya untuk mendaulatkan Islam yang dihina dan dipinggirkan sekarang.
Di Malaysia Islam 'dioenjarakan' di dalam pejabat Agama dan Jakim. Islam dihalang dari memerintah. Undang-undang Islam hanya diamalkan untuk nikah kahwin, pembahagian harta pusaka, puasa, haji dan zakat. Sistem ekonomi masih sistem kapitalis, sistem undang-undang jenayah menggunapakai undang-undang Lord Reid, pendidikan masih sistem berorientasikan barat.

Maka marilah kita sama-sama kita berkorban untuk mendaulatkan Islam di tanahair kita ini.

Kepada sahabat-sahabat yang bukan Islam kalian jangan bimbang, ini kerana Islam tetap menyanjung dan menjaga hak-hak orang Bukan Islam di dalam negara yang diperintah oleh Islam. Ini terbukti semasa pemerintahan Rasulullah apabila orang-orang Yahudi hidup aman damai di zaman baginda.

Bukti paling nyata ialah bagaimana orang Bukan Islam boleh hidup aman dan damai di Kelantan setelah negeri itu diperintah oleh PAS dan Tok Guru Nik Aziz selama 18 tahun.

MAT SABU CALON PILIHAN RAMAI ~ Ref Malaysiakini

'Polling' yang saya muatkan di dalam Blog ini mendapati Mat Sabu merupakan calon paling popular untuk mewakili PAS pada PRK Kuala Terengganu.
Mat Sabu memperolehi 284 undi (67 %) diikuti jauh di belakang oleh YB Syed Azman yang mendapat 94 undi (22 %) . Bakal calon lain yang dinamakan seperti Mustafa Ali, Wan Mutalib dan Ariffin Deraman ditinggalkan jauh ke belakang.
Mustafa mendapat 19 undi (4%), Wan Mutalib, 16 undi (3%) dan Ariffin 8 undi (1%).
Setakat ini PAS Pusat belum mengumumkan siapa calon yang bakal dinamakan oleh PAS untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini. Pemerhati politik berpendapat PAS berpeluang cerah untuk menang kerana kawasan ini merupakan kubu kuat PAS di Terengganu.
Ramai pemerhati tempatan berpendapat calon anak tempatan lebih baik dari calon luar ini terbukti dengan kekalahan Mat Sabu pada Pilihanraya lalu sedangkan 3 DUN dimenangi oleh PAS.

07 December 2008

TAKZIAH UNTUK KELUARGA MANGSA TANAH RUNTUH DAN KEMALANGAN BAS EKSPRES ~ Ref Malaysiakini

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bala Allah iaitu Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa dan kemalangan bas ekpres di lebuh raya utara-selatan dekat Tangkak.

Seramai 4 orang mangsa tanah runtuh dan 9 orang penumpang meninggal dunia dalam kedua-dua kemalangan tersebut.

Saya mengharapkan keluarga mereka sabar dengan ketentuan Allah S.W.T ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA, BERKORBAN TUMBANGKAN KERAJAAN ZALIM ~ Ref Malaysiakini

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada Umat Islam seluruh dunia khasnya umat Islam di Malaysia.

Hari Raya Aidil Adha dirayakan bersempena dengan ibadat Haji yang ditunaikan di Mekah pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Pada Hari Raya Aidil Adha ini kita juga dituntut berkorban bagi memperingati sejarah bagaimana Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan puteranya Nabi Ismail A.S yang dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk dikorban oleh ayahandanya demi menyahut seruan Allah S.W.T

Semoga kedatangan Hari Raya Aidil Adha, Hari Raya Korban pada tahun ini dapat menyemarakkan semangat seluruh Umat Islam untuk berkorban apa sahaja, harta, wang ringgit, masa, idea hatta nyawa dalam usaha untuk mendaulatkan Islam.

Kalau sahabat-sahabat kita di serata tempat seperti di Iraq, Lubnan, Palestine, Afghanistan, Chehnya, Selatan Thai, Kashmir dan lain-lain berkorban untuk mempertahankan aqidah dan kedaulatan Islam dengan nyawa dan darah kita di Malaysia dituntut untuk berkorban dengan harta, wang ringgit, masa, dan tenaga untuk memastikan Islam tertegak di negara kita.

Perjuangan kita jauh lebih mudah dari perjuangan mereka. Oleh itu janganlah kita lemah, longlai, malas dan berputus asa. Kita mesti terus bergerak memaju perjuangan kita di sini bagi memastikan Islam kembali gilang gemilang. Tetapi jangan kita lupa untuk membantu sahabat-sahabat kita di sana yang terus ditekan dan dizalimi.

Kita di Malaysia juga mengharapkan umat Islam dan kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam terus hidup aman damai dan sejahtera. Apa yang perlu kita lakukan bersama ialah bergerak seiring untuk sama-sama menyedarkan rakyat supaya bangkit menolak kerajaan yang ada sekarang yang jelas menzalimi rakyat, rasuah, tidak adil, tidak telus dan tamakkan kuasa. Rakyat terus tertekan di bawah pemerintahan kerajaan yang ada sekarang.

Oleh itu mari sama-sama wahai rakyat Malaysia kita mengambil kesempatan Hari Raya Aidil Adha dan Hari RayaKorban ini untuk berkorban menumbangkan kerajaan pada pilihanraya akan datang.

BALA ALLAH MENIMPA SEMUA ORANG~ Ref Malaysiakini

Pemimpin negara kita cukup takut bila dikatakan bencana yang menimpa negara kita adalah bala Allah. Antaranya banjir, tanah runtuh, penyakit dan sebagainya. Semuanya diturunkan oleh Allah kepada kita sebagai peringatan supaya manusia insaf dan sedar bahawa kita semua adalah hamba Allah yang lemah dan kerdil jika hendak dibandingkan dengan kekuasaan Allah S.W.T.

Bala atau musibah ini merupakan ujian kesabaran yang dihadapkan oleh kepada manusia. Andai kita semua sabar Insya Allah, Allah akan memberikan ganjaran yang tidak ternilai dan diampunkan dosa oleh Allah.

Mengapa pemimpin negara takut benar untuk mengakui semua bencana yang berlaku adalah bala dan musibah dari Allah. Bukankah semua yang berlaku itu ditentukan oleh Allah yang maha berkuasa terhadap segala sesuatu.

Pemimpin kita sering menyatakan ianya adalah bencana alam dan tidak ada kena mengena dengan bala dari Allah.

Namun tidakkah mereka ingat akan sirah para Rasul dan Nabi, bagaimana Allah menghancurkan umat manusia diatas keangkuhan dan kebongkakan mereka. Umat Nabi Luth A.S yang durjana dilenyapkan oleh Allah dengan gempa bumi dan Umat Nabi Nuh A.S dihapuskan dengan banjir besar. Begitu juga umat Nabi-nabi lain mereka juga ditimpa dengan bala Allah akibat kedegilan dan kejahatan mereka.

Bala Allah tidak mengenal sesiapa, samada hamba yang taat atau durjana.

Apa yang penting kita mesti sentiasa bersyukur dan redha dengan ketentuanNya. Paling penting jangan cuba mencabar kuasa Allah dan mengingkariNya. Insya Allah kita selamat.

Mari sama-sama kita berdoa kepadaNya agar kita semua tidak dihukum dan ditimpa dengan bala yang tidak sanggup kita hadapi. Amin.

KERAJAAN AJAR RAKYAT 'DEWA'KAN BINTANG FILEM BOLLYWOOD? ~ Ref Malaysiakini

Alangkah baiknya kalau sesebuah kerajaan mendidik rakyatnya supaya menghormati dan menyanjung ulama' dan para ilmuan agama. Namun ini tidak berlaku. Kerajaan Negeri Melaka rela menghabiskan wang ratusan ribu malah mungkin juga jutaan ringgit semata-mata untuk menjalankan program menyangjung seorang bintang filem Bollywood yang filemnya lebih banyak menyelitkan unsur maksiat dan hiburan semata-mata. Di saat Melaka bertambah parah dengan gejala maksiat dan hedonisme, kerajaan negeri tidak serik-serik mengajak rakyatnya berseronok ke alam hiburan yang jauh terpesong dari syiar Islam.

Tidak cukup dengan sanjungan dan pengiktirafan kepada Shah Rukh Khan kerajaan Melaka juga menganjurkan konsert artis-artis tanahair untuk menambahkan program maksiat yang sudah tentu melanggar syariat Islam dengan pendedahan aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya. Malangnya Mufti dan Jabatan Agama yang sepatutnya menegur kerajaan negeri senyap seribu bahasa.

Bayangkan betapa mulianya Shah Rukh Khan sehingga kerajaan negeri terpaksa mengadakan upacara khas penganugerahan pingat kebesaran kepada seorang dirinya setelah beliau tidak dapat datang pada upacara asalnya. Berapa banyak wang rakyat dihabiskan untuk upacara tersebut serta persembahan-persembahan yang diadalan di tapak lokasi yang dilawatinya serta juga konsert artis-artis tempatan. Sudah tentu belanja besar dan duit rakyat hangus begitu sahaja. Adakah pemimpin kerajaan BN Melaka rasa bersalah menghanguskan duit rakyat untuk tujuan bersuka ria begini?

Apa yang dikesalkan ialah sikap kerajaan negeri Melaka yang terus bongkak dan sombong tidak mahu insaf dengan bala Allah yang menimpa negeri ini dengan gejala maksiat seperti hamil luar nikah, zina, khalwat, bersekedudukan, pelacuran dan sebagainya. Kes-kes ini meningkat saban tahun dan semakin parah dan membarah. Kerajaan negeri langsung tidak serius menangani gejala ini malah memburukkan lagi keadaan dengan mendewa-dewakan pelakon filem dan mengajurkan konsert dan program maksiat lain.

Sepatutya dalam keadaan gejala maksiat yang terus membarah ini, kerajaan negeri berusaha untuk memperbanyakkan program-program menyedarkan rakyat dengan ilmu agama. Kerajaan negeri sewajibnya menggalakkan rakyat supaya mengenali tokoh-tokoh agama silam dan hari ini bukannya mendewa-dewa pelakon-pelakon yang menggalakkan maksiat. Dengan ini Insya Allah rakyat akan mencontohi akhlaq baik mereka serta berusaha untuk meningkat ilmu agama di dalam dada mereka.

Islam tidak menentang hiburan dan seni. Tetapi ianya mesti dilaksanakan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Islam itu mudah, indah dan sesuai pada keadaan, masa, tempat dan zaman. Apa yang penting kita sebagai penganutnya mesti bijak dan pandai menjayakannya agar kita tidak terkeluar dari ajaran dan aqidah Islam itu sendiri.

Kini rakyat semakin hanyut dibuai hiburan dan hedonisme. Malangnya kerajaan BN terus mencurahkan lagi minyak kepada api maksiat dan hiburan ini.

Tidak ada jalan lain selain menumbangkan kerajaan BN yang ada pada mana-mana pilihanraya akan datang ini.

PRK KUALA TERENGGANU : NAJIB MULA DABIK DADA ~ Ref Malaysiakini

Nampaknya Timbalan Perdana Menteri mula berani mendabik dada bahawa BN akan menang di Kuala Terengganu. Kalau pada PRK Permatang Pauh dulu, pemimpin Umno sejak awal-awal lagi mengaku kalah kini di Kuala Terengganu kelihatan mereka agak yakin untuk menang.
Mungkin kerana kerusi ini adalah kerusi mereka maka, BN yakin menang. Namun saya berpendapat bukan mudah untuk BN menang jika pilihnraya ini dijalankan dengan adil, telus dan tiada ugutan.
Ini kerana pengundi Kuala Terengganu adalah pengundi yang cerdik dan bermaklumat. Sebahagian besar kawasan ini adalah dalam bandar dan pinggir bandar. Maka bukan senang untuk BN menipu, mengumpan dan mengugut. Lebih-lebih 2 dari 4 DUN di dalam kawasan ini memang kubu kuat PAS iaitu Wakaf Mempelam dan Batu Burok. Malah kubu kuat Umno sendiri iaitu DUN Ladang juga di menangi PAS pada Pilihanraya Umum lalu. Hanya DUN Bandar yang mempunyai pengundi Cina yang agak ramai di menangi oleh BN. Namun begitu kali ini kita mejangkakan pengundi Cina akan berubah.
Oleh kerana BN bakal berhadapan dengan situasi sukar lebih-lebih kemelut politik yang dihadapi oleh semua parti-parti utama BN benar-benar merimaskan mereka.

MALAYSIA BENAM LAOS, RESAH HADAPI VIETNAM & THAILAND ~ Ref Malaysiakini

Malaysia membenamkan Laos 3-0. Satu permulaan yang agak baik. Namun belum tentu dapat menyaingi Vietnam dan Thailand yang berada dalam kelas mereka sendiri.

Namun peluang tetap ada jika pemain-pemain kita berjuang habis-habisan dan tidak terlalu merendah diri. Vietnam dan Thailand bukanlah pasukan yang terlalu gagah untuk dijinakkan. Mutu permainan kita tidak jauh bezanya dari mereka. Cuma yang membezakan kita dengan mereka ialah kesungguhan dan komitmen pemain-pemainnya kepada setiap saat permainan dijalankan.

Saya mengharapkan Kejohanan Piala AFF kali ini dapat mengembalikan kegemilangan pasukan negara yang disegani dirantau Asean dan Asia suatu ketika dahulu.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter