BERSEDIA UNTUK BERDEPAN DENGAN KEMELESETAN EKONOMI TAHUN DEPAN ~ Ref Malaysiakini

Pakar-pakar ekonomi meramalkan tahun depan negara kita akan menghadapi kemelesetan ekonomi akibat tempias dari masalah ekonomi dunia.
Malah sejak beberapa bulan dahulu negara kita juga telah dilanda kemelesetan yang agak teruk. Indikator paling mudah ialah Indek BSKL sekarang hanya berkisar di paras 800 lebih sahaja sedangkan sebelum Pilihanraya umum lalu Indeks BSKL mencecah lebih dari 1000 mata.
Ekonomi negara kita ternyata tidak kukuh dan mantap untuk menghadapi gelombang malap ekonomi dunia. Negara terjejas dengan begitu cepat sedangkan kemelesetan ekonomi dunia baru diperingkat awalan. Bagaimana jika ianya memuncak nanti? Mungkin kita akan terjejas dengan lebih teruk lagi.
Saya tidak mahu menyentuh lebih lanjut tentang ekonomi negara, cuma saya ingin mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat di luar sana agar kita bersedia dengan situasi ini dengan sedaya mungkin.
Riak-riak bahawa semakin banyak majikan akan membuang pekerja atau pekerja di paksarela supaya berhenti sudah mula kelihatan. Kilang-kilang MultiNasional di sebelah utara semenanjung mula memperlahankan proses pengeluaran mereka, ada yang menghadkan kerja lebih masa, tidak menggantikan pekerja yang berhenti dan sebagainya. Malah ada kilang yang mula mencongak dan meneliti pakej Pemberhentian pekerja secara Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
Seperti biasa antara kilang yang terjejas teruk ialah sektor elektronik yang sudah mula terasa bahangnya. Saya juga mendapat berita dari rakan taulan dari Dubai yang menyatakan ramai pekerja dari luar Dubai yang mula diberhentikan kerja lantaran kebimbangan majikan terhadap kemelesetan ekonomi ini.
Dari itu mari kita mempersiapkan diri untuk menghadapi zaman malap ini sebagaimana kita pernah hadapi pada tahun 1987 dan 1997 dahulu.
Kepada kerajaan kita mengharapkan agensi kerajaan dapat memantau dan mengambil perhatian serius kepada tindakan mana-mana majikan yang membuang pekerja secara sesuka hati. Kita mengharapkan mana-mana pekerja yang dibuang mesti mendapat pampasan dan saguhati sesuai dengan peruntukan undang-undang serta juga rasa timbangrasa dan belas kasihan sesama manusia.
Kita tidak mahu ada rakyat kita sendiri yang dianiaya dan dizalimi oleh majikan.
Kepada mana-mana pekerja yang dibuang dan diberhentikan kerja sila pastikan anda mendapat hak yang sepatutnya anda perolehi. Sila laporkan kepada pejabat buruh atau pihak berwajib jika anda dizalimi dan ditindas.

Comments

kekwa66 said…
Ya..sediakan lah payung sebelum hujan!
Anonymous said…
Kerajaan menipu rakyat tentang keadaan ekonomi negara demi kepentingan politik.

Kerajaan patut telus dan beri amaran awal kepada rakyat.

Asyik menipu aje . Kerajaan pilihan rakyat ni... patut ditukar aje.