Walaupun Menteri Dalam Negeri mendabik dada bahawa sepanjang beliau memegang jawatan tersebut jumlah tahanan ISA menurun daripada 75 kepada 46 orang, namun hakikatnya kerajaan BN terus bertindak zalim dan kejam kepada tahanan ISA.
Mungkin ada yang terkejut dengan tuduhan saya bahawa kerajaan zalim dan kejam terhadap tahanan ISA. Bagi saya mengurung tahanan tanpa dituduh dan diberi peluang membela diri adalah tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan.
Mana tidaknya mereka dipisahkan dari isteri, anak-anak, ibu bapa dan dunia luar selama bertahun-tahun tanpa diketahui bila akan dibebaskan. Bukankah itu zalim. Mereka diperlakukan seperti burung di dalam sangkar, diberi makan dan minum tetapi dikurung entah bila akan dibebaskan. Mereka adalah manusia, kalau binatang pun tidak suka dikurung apatah lagi manusia. Lebih menyedihkan mereka langsung tidak diberi peluang membela diri di mana-mana mahkamah.
Tidakkah terdetik dihati pemimpin Kerajaan terutama PM dan Menteri Dalam Negeri, rasa bersalah dan kasihan kepada tahanan yang ada antara mereka sudah dikurung lebih 7 tahun lamanya. Anak isteri porak peranda hidup dalam kesusahan untuk mencari sesuap nasi, ada anak yang tidak bersekolah, ada yang tidak cukup makan pakai dan seribu satu lagi masalah. Semuanya adalah gara-gara kekejaman kerajaan BN yang terus menggunakan ISA untuk kepentingan politik mereka.
Pemimpin kerajaan terutama PM dan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini dengan bongkak dan sombong menyatakan bahawa ISA tidak akan dipinda apatah lagi dihapuskan. Mereka tidak menghiraukan teguran dan nasihat sesiapapun hatta nasihat Mufti sekalipun. Inilah kemuncak kepada ketamakan kuasa dan gila kuasa yang menjadi 'wirid' harian mereka.
Daripada 46 orang tahanan, 16 anggota kumpulan militan JI, 13 orang dari kumpulan Darul Islam, 10 orang kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan dan pasport, lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dan dua individu yang bekerja dengan agensi perisikan asing.
Comments