HARGA BARANG : JANGAN SIKSA RAKYAT

Kerajaan mesti mengambil tindakan keras terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati melebihi harga yang ditetapkan dari sekarang secara berterusan.

Penyelia DUN Bukit Baru, Yusof Wahab berkata, riak-riak harga barang akan meningkat dengan mendadak semakin hari semakin jelas. Keadaan ini bertambah buruk dengan kenaikan harga minyak, gas dan gula baru-baru ini.

"Seperti biasa kerajaan jamin akan dapat mengawal semua harga barangan di pasaran tetapi hakikatnya terbukti kerajaan gagal berbuat demikian sejak dahulu lagi".

Menurutnya, jika kerajaan gagal mengawalnya, pengguna atau rakyat sudah pasti akan tersiksa dan tidak dapat menikmati musim perayaan dengan sempurna.

Menurutnya, kenaikan harga minyak, gula dan gas sebenarnya menjadi mimpi ngeri kepada rakyat dan ianya dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Persoalannya sekarang kita semua tahu bahawa kerajaan tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga barang tersebut".

"Mana mungkin kerajaan dapat memantau semua kedai termasuk di ceruk kampung dan desa" ujar Yusof.

Yusof menggesa kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menurunkan harga minyak, gula dan gas demi kesejahteraan rakyat.

Comments