PASCA MUKTAMAR : WANITA DIKETEPIKAN DI DALAM PAS?

Keputusan pemilihan pada Muktamar PAS kali 55 di Stadium Malawati Shah Alam minggu lalu menunjukkan bahawa hanya seorang sahaja Ahli Jawatankuasa dari muslimat yang dipilih iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo Mohd Ghazali. Beliau menduduki tempat ke 11 dari 18 calon yang dipilih dengan jumlah 598 undi.

Dalam ucapan penggulungan beliau, Dr Lo' Lo' melahirkan sedikit terkilan kerana menurutnya peranan yang dimainkan oleh muslimat di dalam PAS semakin mengecil, sebagai contoh pemilihan kali ini di mana hanya beliau seorang sahaja dari kalangan muslimat yang dipilih sedangkan ramai lagi calon-calon muslimat lain yang bertanding seperti Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mohamad, Aiman Athirah Al Jundi dan lain-lain.

Dr Lo' Lo' juga melahirkan kekesalan kerana perwakilan kawasan-kawasan dari kalangan muslimat juga semakin berkurangan di mana beliau sendiri menerima beberapa aduan daripada Ketua Muslimat dan juga wakil Muslimat yang dinafikan mewakili kawasan.

Persoalannya benarkah muslimat diketepikan.?

Bagi penulis dakwaan ini boleh dipertikaikan. Kita dapat melihat bagaimana hampir semua negeri meletakkan calon muslimat pada pilihanraya umum yang lalu. Malah kerajaan negeri Kedah,Selangor dan Kelantan melantik masing-masing seorang exco wanita. Exco tersebut ialah Wan Ubaidah Omar(Kelantan), Dr Halimah Ali (Selangor) dan Ustazah Siti Aisyah Ghazali (Kedah).

Selain itu Kelantan juga mempunyai seorang lagi ADUN iaitu Rohani Abdullah.

Malah PAS juga mempunyai Ahli Parlimen Wanita iaitu YB Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa).

Beberapa pemimpin Dewan Muslimat juga diletakkan bertanding di beberapa negeri antaranya Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh bertanding di DUN Tahan (Pahang), bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat di DUN Luit (Pahang), Ustazah Mariam Naam (Parlimen Jempul), Dr Najihatussolehah (Parlimen Parit) dan ramai lagi.

Selain kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS juga telah melantik beberapa orang Senator di kalangan muslimat sejak dari dahulu. Antaranya Senator Khalthom Osman, Senator Wan Ubaidah Omar dan terkini Senator Mumtaz Mohd Nawi yang baru sahaja dilantik sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat yang baru.

Malah dakwaan bahawa tidak ramai perwakilan muslimat mewakili kawasan-kawasan pada muktamar kali ini juga boleh dipertikaikan kerana saya sendiri melihat banyak kawasan yang memilih muslimat untuk menjadi perwakilan antara Dr Rosni Adam mewakili PAS Bandar Tun Razak, Ustazah Mariam Naam mewakili Kawasan Jempol dan malah kawasan Cameron Highland Pahang menghantar 2 orang.

Keputusan pemilihan baru-baru ini yang menunjukkan hanya seorang wanita sahaja dipilih iaitu Dr Lo' Lo' tidak menunjukkan ujudnya diskriminasi jantina sebaliknya perwakilan memilih calon-calon berdasarkan karisma, pengalaman, ketahanan, populariti dan keilmuan.

Saya yakin Tuan Guru Presiden juga akan melantik beberapa orang lagi pimpinan di kalangan muslimat untuk menganggotai jawatankuasa tambahan yang bakal diumumkan Rabu ini apabila Jawatankuasa PAS Pusat yang dipilih akan bermesyuarat bagi menentukan kabinet penuh PAS Pusat sessi 2009/2011.

Comments