SYARIKAT BAS AKAN GULUNG TIKAR

11 Jun 2008 lalu saya menghadiri sidang akhbar Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Melaka di Pejabat mereka di Melaka Sentral.

Pengerusinya Hj Razali Endun (gambar) menyatakan bahawa syarikat-syarikat Bas di negara mungkin gulung tikar jika sekiranya kerajaan gagal merangka suatu pelan tindakan yang dapat membantu syarikat-syarikat tersebut.

Dalam kenyataannya, Razali menjelaskan bahawa bahawa beliau sangat berdukacita di atas keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dan pada masa yang sama gagal membantu syarikat-syarikat bas untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Walaupun kerajaan menyediakan subsidi kepada pengusaha bas namun kouta yang disediakan kepada kami tidak mencukupi, malah kami terpaksa membelinya dengan harga pasaran disebabkan penggunaan melebihi kouta".

"Kementerian berkenaan telah berjanji untuk menambah kouta tersebut tetapi ianya masih dalam pertimbangan, jadi kami sekarang ini terpaksa beroperasi dengan menggunakan minyak yang dibeli pada harga pasaran" kata beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Malaysia.

Menurutnya lagi, terdapat pengusaha-pengusaha Stesyen Minyak yang meminta pengusaha bas membayar minyak setiap hari secara tunai pada harga pasaran sedangkan kouta yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak mencukupi.

Jadi pengusaha bas terpaksa berbelanja besar setiap sehingga kadang-kadang mereka terpaksa membayar minyak melebihi pendapatan harian.

Beliau memberikan contoh di mana salah sebuah syarikat bas yang menjalankan operasi antara Tampin ke Bandar Melaka yang sebelum ini membelanjakan RM160 sehari tetapi selepas kenaikan harga minyak mereka terpaksa berbelanja melebihi RM250, sedangkan kadang-kadang pendapatan harian mereka adalah kurang dari RM250.

"Jika keadaan ini berterusan tanpa apa-apa tindakan di ambil oleh kerajaan maka tidak hairan syarikat ini akan gulung tikar. Bukan syarikat ini sahaja menghadapi situasi ini, malah semua syarikat bas di seluruh negara terpaksa menghadapi masalah yang sama".

"Kami naikkan tambang sesuka hati bas kami kena sita, tak naikkan tambang syarikat kami akan 'tutup kedai', jadi kedua-duanya menyebabkan syarikat akan ditutup" tambah beliau lagi. Ditanya apa tindakan yang mungkin di ambil jika sekiranya kerajaan gagal menangani isu ini, beliau berkata kemungkinan banyak syarikat bas terpaksa menghadkan laluan atau mengurangkan kekerapan perjalanan bagi mengurangkan kos operasi.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan yang syarikat-syarikat bas akan memberhentikan operasi mereka dalam masa terdekat. "Kita akan tetap berkhidmat kepada orang awam, sekarang ini pun kami sudah menanggung kerugian tetapi atas dasar tanggungjawab kami terpaksa meneruskan operasi walaupun perkhidmatan kami mungkin tidak lancar, cuma kita harap kerajaan prihatin kepada masalah kami" kata beliau dengan nada kesal.

Haji Razali juga berpendapat bahawa kenaikan tambang dan peningkatan kouta subsidi kepada syarikat-syarikat bas tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Sebaliknya beliau menyarankan supaya kerajaan menyediakan 'master plan' yang lebih menyeluruh untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di negara kita.

Pengusaha bas, katanya, bukan sahaja berhadapan dengan masalah kenaikan harga minyak malah mereka juga sekarang ini dibebankan dengan kenaikan harga alat ganti, tayar (sudah 3 kali naik tahun ini), insurans dan sebagainya yang jelas gagal dikawal oleh kerajaan.

Beliau juga melahirkan kekesalan atas tindakan kerajaan negeri yang membenarkan Bas Panorama yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri yang pada asalnya untuk mengangkut pelancong, tetapi sekarang dibenarkan mengambil penumpang di kalangan orang awam pula.

Lebih malang lagi katanya syarikat tersebut tidak mempunyai kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). "Persatuan telah membuat laporan kepada JPJ tetapi sehingga sekarang tiada tindakan konkrit yang diambil oleh pihak berkenaan.

Sedikit sebanyak syarikat ini telah menjejaskan pendapatan ahli-ahli persatuan kami" tambah Razali. Selain itu Haji Razali juga mengharapkan sistem pengangkutan awam tidak dicampuri oleh orang-orang politik yang akhirnya akan menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk mendapatkan permit dan sebagai.

Beliau memberikan contoh di mana baru-baru ini beberapa permit teksi individu diluluskan di Kuala Lumpur sedangkan sebelum ini ia telah dibekukan. "Kita bimbang sekiranya pengaruh orang politik ini menular dalam pengangkutan awam maka tujuan kita menghasilkan sistem pengangkutan awam yang terbaik akan terjejas disebabkan pengaruh mereka mungkin mengatasi undang-undang yang sedia ada" tegas beliau.

Sementara itu Jaafar Atan, 50, dari Syarikat Bas Jebat Ekspres, menyokong penuh saranan dan keluhan yang dinyatakan Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Melaka yang mencadagkan kerajaan menyediakan satu 'master plan' yang komprehensif bagi menangani masalah kenaikan harga minyak ini.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menaikkan kouta subsidi minyak 100 % berbanding dengan kouta sebelum ini. Menurutnya sekarang ini syarikatnya menggunakan kira-kira 99,900 liter sebulan berbanding dengan kouta yang diberikan oleh kerajaan sebanyak 48960 liter sebulan. "Kami terpaksa berbelanja sekaliganda lebih dari kouta yang diberikan setiap bulan, sebab itulah saya mencadangkan kouta dinaikkan 100 %" kata Jaafar.

Rakan beliau, Rasul Mohamad, 51 mendakwa bahawa jika sekiranya keadaan ini berterusan tanpa sebarang tindakan diambil menaikkan kouta tersebut kemungkinan besar syarikatnya terpaksa menghadkan operasi hanya pada minggu iaitu Sabtu, Ahad dan Isnin. Ini kerana katanya, pada hari-hari tersebut sahaja bilangan penumpang yang agak ramai berbanding hari-hari lain.

Kesemua syarikat-syarikat bas yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Melaka menyokong penuh apa juga saranan dan cadangan persatuan tersebut dan berharap kerajaan membuat keputusan terbaik demi masa depan pengangkutan awam di Malaysia.

Persatuan Pengusaha-pengusaha bas Melaka dianggotai oleh 10 syarikat bas henti-henti dan 3 syarikat bas ekspres iaitu Syarikat Jebat Ekspress, SKA Ekspres dan Malacca-Singapore Expres.

Comments

Hasbullah Pit said…
Telah saya sarankan bahawa pengusaha bas sangkut-sangkut supaya

menuntut harga minyak Disel yang dibelinya diturunkan sehingga RM 1.00 berbanding RM 1.43
(kerana bas sangkut-sangkut lebih banyak berhenti berbanding bas ekspres)

DAN

menuntut supaya kuota disel pengusaha bas itu dinaikkan supaya tiada pengusaha bas yang terpaksa membeli minyak disel pada harga biasa.


http://sebolku.blogspot.com/2008/06/nasib-pengusaha-dan-penumpang-bas-budak.html
mek chabang4 said…
nak jalan salah tak jalan salah semua serba salah,pada pandangan mek susah susah sangat semua syarikat bas negeri melaka mogok satu dua hari biar penumpang rasa padan muka,biar bas panorama ambil alih operasi,dan nanti kita tengok bas panorama 2tingkat tersangkut pada dahan pokok getah.kah kah kah kah kah
Melaka Boy said…
This comment has been removed by the author.
Melaka Boy said…
Pada pandangan saya, janganlah menuding jari kepada sesiapa. Pengguna cuma mahukan pengangkutan awam yang selesa. Lupakan projek rel berbilion RM. Rancang dan sokong pelan pengangkutan awam.
Melaka Boy said…
This comment has been removed by the author.