Jawapan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Pusat akan memberikan wang ehsan kepada Kelantan benar-benar menghina kerajaan negeri dan rakyat Kelantan. Manakan tidak wang ehsan ini adalah seumpama wang sedekah yang diberikan oleh seseorang kepada peminta sedekah jalanan. Sedangkan mengikut perjanjian Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri ianya adalah wang royalti yang wajib di bayar kepada kerajaan negeri terbabit.
Terbukti Perdana Menteri cuba mempermainkan rakyat Kelantan dan kerajaan negeri. Malah semasa sessi soal jawab di Parlimen hari ini Najib sendiri tidak memberikan jawapan yang diyakini selepas diasak oleh beberapa orang Ahli Parlimen PAS antaranya Sallahuddin Ayub, Khalid Samad dan Siti Zailah Mohd Yusof.
Najib cuma bermain dengan kata-kata dan istilah bagi mengelirukan rakyat dan ahli parlimen. Dalam jawapannya Najib berkata bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti.
Beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.
Dengan sinis Najib berkata yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan.
"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.
Kerajaan Pusat seolah-olah tidak ikhlas menyalurkan wang ehsan ini di mana Najib sendiri tidak berani menjelaskan bagaimana prosedur dan proses penyalurannya samada melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau Kerajaan Negeri.
Saya yakin Kerajaan Pusat akan mengamalkan sistem sama dengan yang digunapakai semasa PAS mentadbir Terengganu dulu, di mana wang ehsan disalurkan melalui JPP dan Ketua Umno Bahagian. Jika sistem ini digunakan sekali lagi maka sahlah BN tidak ikhlas kerana sepatutnya ia disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti termaktub dalam perjanjian Petronas- Kerajaan Negeri.
Demi maruah dan integriti mungkin lebih baik kerajaan Kelantan menolaknya dan pada masa yang sama menyaman kerajaan pusat kerana tidak menunaikan janji dalam perjanjian yang ditandatangani sejak sekian lama itu.
Comments