SIASAT SOI LEK DAN MUHYIDDIN

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meminta pihak polis menyiasat Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung kenyataannya berhubung ekuiti bumiputera yang didakwanya "berbaur hasutan" dan "tidak mengambil kira sensitiviti bumiputera".

Dalam laporan polis oleh setiausahanya, Syed Hassan Syed Ali, NGO Melayu itu mendakwa kenyataan Dr Chua dalam Kongres Ekonomi Cina pada 14 Ogos lalu tidak bertanggungjawab dan bertujuan memecahbelahkan keharmonian kaum.

Bagi saya bukan Soi Lek seorang sahaja yang perlu disiasat tetapi Muhyiddin Yassin juga mesti disiasat kerana kenyataannya Muhyiddin sebelum ini menyebabkan Soi Lek tidak puashati dan mengeluarkan kenyataan balas.

Selain itu saya juga mencadangkan supaya kedua-dua pemimpin BN ini iaitu Soi Lek dan Muhyiddin disiasat kerana cuba mengeruhkan suasana dan memainkan api perkauman yang merbahayakan keharmonian rakyat Malaysia.

Walaupun mungkin kedua-dua pemimpin BN ini sengaja 'berlakon' memainkan perasaan kaum masing-masing bagi meraih sokongan tetapi perbuatan ini adalah merbahaya dan tidak patut dibiarkan. Pihak berkuasa jangan memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang demi keharmonian rakyat dan negara.

Komen Timbalan Presiden PAS.

Saya memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN,” kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar).

Amaran itu dibuat ekoran resolusi Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menggesa kerajaan untuk mengurangkan ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi baru-baru ini dilihat tidak matang dan tidak wajar.

Malah, katanya tindakan MCA yang menyokong dan memastikan resolusi tersebut diteruskan membuktikan mereka memperjuangkan politik perkauman yang sempit.

Menurutnya, apa yang diperjuangkan oleh MCA jelas menunjukkan bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional gagal mendapat konsensus yang mantap untuk memerintah negara setelah berlaku penafian 2/3 kuasa majoriti di Dewan Rakyat pada 8 Mac 2008 yang lalu.

Manakala Pakatan Rakyat pula, ujarnya telah sama-sama bersetuju untuk berpegang teguh dengan Dasar Pakatan Rakyat yang telah ditandatangani oleh PAS, PKR dan DAP pada bulan Disember 2009 yang lalu.

Berdasarkan dasar tersebut, beliau berkata Pakatan Rakyat akan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153.

“Ini membuktikan bahawa PAS, PKR dan DAP tetap akan mempertahankan perkara ini bila menerajui kerajaan nanti,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sebaliknya, dalam konteks hari ini, beliau memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN sehingga ia telah menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia.

Comments