TRAGEDI BAZAR RAMADHAN DI JASIN, PERINGATAN UNTUK KITA SEMUA

Setiap perkara yang terjadi sudah tentu ada sebab musababnya. Sirah Rasul dan Nabi dahulu menceritakan kepada kita bagaimana umat Nabi Lut dibalakan oleh Allah dengan gempa bumi yang dahsyat manakala umat Nabi Nuh A.S diuji dengan bah besar sehingga tiada tempat untuk menyelamatkan diri.

Sebab itulah kita sebagai hamba mesti mengambil peringatan dan pengajaran dari setiap yang berlaku di atas dunia ini.

Saya tidak ingin menyentuh secara spesifik apa yang berlaku di Jasin, tetapi dari pengamatan saya bazar Ramadhan di mana sahaja banyak perkara yang meragukan kita semua.

Bayangkan betapa awalnya para peniaga ini memulakan perniagaan. Ada antara mereka yang mula menjual air, nasi, nasi ayam, kuih dan sebagainya seawal jam 12 tengahari atau sebelum masuk waktu zohor. Persoalannya adakah benar pembeli-pembeli tersebut menyimpan makanan yang dibeli untuk juadah berbuka puasa 7 atau 8 jam kemudian atau adakah mereka 'berbuka awal' itu yang memusykilkan kita semua.

Kita bimbang peniaga dan pembeli bersekongkol untuk menyanggah kewajipan berpuasa sehingga 'mencabar' Allah kerana terang-terang mencemarkan kesucian Islam dan Ramadhan.

Saya berdoa agar semua pembeli yang membeli juadah seawal jam 12.00 tgh atau 1.00 petang memang menyimpan makanan untuk berbuka puasa pada waktu maghrib bukannya waktu zohor.

Mari sama-sama kita mengambil pengajaran kepada apa yang berlaku di Jasin. Salam takziah kepada keluarga 3 sahabat kita yang meninggal pada tragedi ribut Bazar Ramadhan Stadium Jasin. Al Fatihah.

Comments