PAK LAH DIHUKUM KERANA LUPA PESANAN DATUKNYA ~ Ref Malaysiakini

Membaca posting Kadir Jasin dalam blognya yang bertajuk 'Najib menang tapi awas politik' wang, saya tertarik dengan perenggan akhir catatannya itu.

Kadir menulis dalam perenggan akhir bertajuk Pesanan ulama

PADA 12 November 2003 iaitu 12 hari selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri, Utusan Malaysia menyiarkan rencana saya berjudul 'Abdullah Tiada Kurang Teladan'.

Dalam rencana itu saya memetik dua pesanan Sheikh Abdullah Fahim daripada buku 'Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan' karangan Mokhtar Petah (Pustaka Antara, 1997), yang berbunyi:

1. Bila kita dah merdeka, jangan pula ada pemimpin-pemimpin kita mengaut kekayaan di atas belakang rakyat; dan.

2. Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam menjaga tanah air kita.

Akhir kalam, renungkanlah kebenaran nasihat dan amaran Sheikh Abdullah Fahim - "Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina.


Demikian tulisan Kadir.

Apa yang ingin saya komen di sini ialah nampaknya Pak Lah lupa kepada pesanan datuknya seorang ulama' terkenal iaitu Sheikh Abdullah Fahim.

Pak Lah membiarkan anak menantunya kaya raya mengautkan keuntungan tanpa batas. Banyak sekali projek yang dibolot oleh anak menantunya.


Menantunya pula dilihat begitu sombong hingga dikatakan menguasai semua keputusan Pak Lah.

Menantunya ini menjadi Jaguh yang berada di Tingkat 4 yang sangat berkuasa dan berpengaruh.

Tidak siapa yang dapat menyangkal fakta bahawa gagal mengawal anak dan menantunya atau mungkin juga Pak Lah sendiri yang menggalakkan anak dan menantunya menjadi sedemikian rupa.

Akhirnya Pak Lah menerima hukuman di atas dunia lagi apabila dimalukan oleh ahli-ahli Umno dan rakyat.



Comments