SELAMAT BERSARA KU LI DARI UMNO, LEBIH BAIK SERTAI PAKATAN RAKYAT ~ Ref Malaysiakini

Dengan kejayaan AlNajib mendapatkan lebih dari 133 pencalonan semalam, maka tertutuplah harapan Ku Li untuk menentangnya pada pemilihan Umno Mac ini.
Sehingga hari ini AlNajib sudah mendapat 141 pencalonan untuk jawatan Presiden, manakala Ku Li hanya mendapat 1 pencalonan dari Bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang.
Jadi hanya tinggal 49 Bahagian lagi belum mengadakan persidangan. Andai Ku Li membolot kesemua pencalonan dari bahagian-bahagian tersebut Ku Li hanya akan mendapat 50 pencalonan iaitu kurang dari 8 pencalonan untuk melayakkan beliau menentang AlNajib. Maka peluang untuk Ku Li layak bertanding sudahpun tertutup.
Sekali lagi terbukti bahawa demokrasi telah lama tertutup dalam Umno.

Cubaan Ku Li untuk kesekian kalinya merebut jawatan Presiden Umno ditewaskan oleh Sistem Kouta bukannya oleh calon Presiden lain. Ku Li tersungkur sebelum masuk gelanggang lagi. Pemimpin-pemimpin Umno dan ahli-ahlinya perlu sedar dan insaf bahawa tidak ada gunaya berada di dalam Umno kerana parti itu sudah tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya.

Saya mencadangkan Ku Li supaya bersara dari Umno buat kali kedua dan terakhir sebagaimana pernah beliau lakukan pada tahun 1987 dahulu selepas tewas kepada Dr Mahathir untuk jawatan Presiden pada pemilihan Umno tahun tersebut. Tidak ada gunanya Ku Li untuk terus berada di dalam Umno sedangkan pemimpin dan ahli Umno jelas tidak mahu berubah dan membaiki Umno yang rosak terus dari segi imej dan dasarnya.

Imej Umno tidak dapat dibaiki lagi lantaran gejala rasuah, politik wang, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang begitu berleluasa. Oleh kerana pemimpin yang korup dan hilang maruahnya ini menang dan pemimpin Umno dan kerajaan maka perangai dan stail pentadbiran terbawa-bawa di dalam pengurusan kerajaan. Akhirnya rakyat sedar dan menghukum Umno/BN pada Pilihanraya umum Mac lalu. Namun pemimpin Umno yang ada pada hari ini buta, tuli dan enggan membaiki perkara ini seperti yang dicadangkan oleh Ku Li. Jadi tidak perlu lagi untuk Ku Li berada di dalam parti yang seumpama ini yang akan menghancurkan Islam, Bangsa Melayu dan negara.

Suara Ku Li langsung tidak dihiraukan oleh pemimpin dan ahli Umno, malah beliau dicemuh dan ditohmah sebagai pemimpin yang sudah 'expired' dan tidak berguna lagi. Bagi saya tidak perlulah Ku Li duduk lagi dalam Umno ibarat 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.

Maka perjuangan yang paling relevan untuk Ku Li dan sahabat-sahabatnya ialah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Islam, Bangsa Melayu dan negara. Rakyat jelas semakin faham dan sedar dengan kebobrokan dan kejahatan yang dilakukan oleh Umno/BN. Ternyata inilah masa yang sesuai untuk Ku Li bersama-sama dengan PR untuk membentuk kerajaan baru kalaupun tidak dalam masa terdekat, pilihanraya umum ke 13 Insya Allah PR akan berjaya.

Comments