KERAJAAN MELAKA DISERU KAJI GAJI PEKERJA INDUSTRI ~ Ref Malaysiakini

Ketua Lajnah Buruh dan Setinggan PAS Kawasan Bukit Katil, Md Yani Ismail menggesa kerajaan Negeri Melaka mengkaji rungutan pekerja industri di dalam negeri Melaka yang resah dengan tangga gaji mereka masih di bawah RM1,000.

Yani berkata, para pekerja di sektor tersebut terutama operator rata-rata menerima gaji dibawah RM1,000.

"Bagaimana mereka ini boleh 'survive' dengan gaji sejumlah itu sedangkan sekarang harga barangan melambung tinggi".

"Gaji ini juga lebih rendah dari paras garis kemiskinan yang sepatutnya sekarang RM1,500 sebulan disebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup"

Menurutnya, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin serta Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunos Hussin mesti menjalankan kajian secepat mungkin dan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini.

"Saya sendiri sering didatangi kawan-kawan saya yang bekerja di sektor industri di negeri ini agar menbawa perkara ini kepada pihak atasan".

Yani juga berpendapat sudah sampai masanya majikan-majikan ini membuat semakan semula kepada tangga gaji minima pekerja-pekerja mereka kerana masalah ini juga akan menjejaskan produktiviti pekerja dan majikan itu sendiri.

Comments