KERAJAAN LEMAH DAN LEMBAP, GAGAL TANGANI HARGA BARANGAN MAHAL ~ Rej Malaysiakini

Perdana Menteri, Pak Lah Badawi berkata kerajaan memerlukan kerjasama rakyat dan persatuan pengguna dalam usaha memastikan peniaga menurunkan harga barang keperluan berikutan harga petrol dan diesel yang semakin rendah.

Beliau berkata, tindakan serta merta yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan memilih kedai menjual harga rendah untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka termasuk di pasar raya yang telah bersetuju menurunkan harga barangan.

Dalam hal ini ternyata kerajaan gagal memainkan peranannya sebagai pihak berkuasa sehingga menyerahkannya sendiri kepada rakyat untuk menangani isu harga barangan yang mahal.

Cadangan menyuruh rakyat membeli di kedai-kedai yang menjual barangan dengan harga murah memang tidak masuk akal kerana kebanyakan kedai menjual barangan dengan harga yang tinggi kerana mendapat bekalan dengan harga yang tinggi juga.

Rakyat sendiri tidak mempunyai keupayaan dan kuasa untuk membuat 'survey' kedai mana yang menjual barangan dengan murah. Malah kalau ada perbezaan harga pun cuma 5 sen dan 10 sen sahaja. Tidak berbaloi untuk rakyat menghabiskan masa membuat kajian dan 'survey'.

Amat malang bagi sebuah kerajaan yang sentiasa meletakkan beban kepada rakyat atas kesilapan dan kebodohan dalam mentadbir negara.

Bagi saya sebab utama harga barangan melambung adalah kerana kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak sehingga 78 sen Jun lalu. Oleh kerana itu pembekal dan peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga barang sehingga ke paras yang tidak masuk akal. Kini bila harga minyak turun ke pembekal dan peruncit tidak mahu menurunkan harga barang.

Maka kerajaan sebagai pihak berkuasa yang melakukan kesalahan menaikkan harga minyak Jun lalu mesti bertanggungjawab untuk mengambil apa juga tindakan agar harga barangan diturunkan.

Kerajaan mesti memikirkan mekanisme, akta dan undang-undang yang sesuai untuk menangani isu ini. Jika perlu mungkin undang-undang dan akta baru mesti digubal bagi menjaga kebajikan rakyat terbanyak.

Satu lagi cadangan nkerajaan yang tidak masuk akal ialah cadangan supaya membeli di pasas raya -pasar raya seperti Giant dan Tesco yang dilaporkan telah menurunkan harga barang. Bagi saya cadangan ini merupakan cadangan yang juga tidak masuk akal. Adakah kerajaan tidak sedar bahawa Giant dan Tesco hanya terdapat di bandar-bandar besar sahaja.

Saya ingin tanya Giant dan Tesco ada atau tidak di Hulu Tembeling, Kuala Berang, Lenggong, Sik dan lain-lain?

Comments