Saya teramat kecewa dengan tindakan segelintir golongan doktor yang memberi rawatan secara tidak berhemah.
Pada Rabu, 17 Mac 2010 isteri saya telah buat temujanji untuk mendapatkan rawatan kulit.
Sebelum ini saya bekerja di luar negeri Melaka. Apabila saya pindah dan bekerja di Melaka, isteri saya membuat temujanji di Hospital Besar Melaka.
Pada tarikh tersebut saya tidak dapat menemani isteri untuk menerima rawatan tersebut kerana berkerja.
Isteri saya dan anak saya yang berusia satu tahun lebih telah pergi untuk menerima rawatan mengikut temujanji yang ditetapkan. Isteri saya pergi pada awal pagi, dan dimaklumkan menerima rawatan pada sebelah petang.
Apa yang mengecewakan saya, apabila menerima panggilan telefon yang mengatakan doktor yang pertama yang memberi rawatan kepada isteri saya sangat kurang ajar dan tidak melambangkan imej seorang doktor.
Adakah patut doktor tersebut bertanyakan jenis ubat yang biasa isteri saya dapat sebelum ini dari hospital sebelumnya?
Isteri saya memberitahu, dia tidak tahu jenis ubat tersebut oleh kerana ubat tersebut selalu bertukar dan dia bukanlah seorang yang memahami nama ubat tersebut dalam istilah perubatan. Katanya, jika Panadol itu tahulah dia.
Disebabkan dia tidak tahu nama ubat yang sering dimakan, dia dimarahi oleh doktor tersebut.
Isteri saya terasa tersangat malu apabila dimarahi dengan kata-kata yang kurang menyenangkan untuk didengar.
Saya amat kecewa dan cuba menjejaki doktor tersebut. Akhirnya dengan bantuan seorang rakan di kementerian kesihatan di Putrajaya, saya mendapat nama doktor itu yang mempunyai nombor pendaftaran : 47315.
Oleh kerana terlalu marah dan rasa kecewa saya kemudiannya mengarahkan isteri saya untuk pulang dan pergi ke hospital swasta untuk menerima rawatan susulan.
Apabila isteri saya baru mula beredar, seorang doktor perempuan yang mungkin juga bertugas di situ memanggil isteri saya untuk bertemu dengan beliau.
Kalau tak silap dengar namanya ialah Dr. Sonaly. Isteri saya bertemu dengan doktor itu yang disifatkannya sangat mesra, dan lemah lembut.
Menurut isteri saya, doktor itu bukan sahaja cantik malah berbudi bahasa. Itulah yang melemahkan hatinya yang sedang marah.
Malah beliau memberitahu isteri saya jika ingin membuat rawatan susulan bolehlah berjumpa dengannya.
Saya dengan kesempatan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr.Sonaly dan juga rakan saya yang membantu.
Saya berharap tindakan yang tegas diambil ke atas doktor yang bersikap kurang ajar dan tidak mesra pesakit. Saya juga berharap pihak hospital juga tidak menempatkan doktor seperti itu di klinik-klinik yang akan bertemu pesakit secara langsung.
Ridzuan Malik Melaka Dipetik dari Malaysiakini 17 Mac 2010. |
Comments
Obviously the doctor shouldnt have been rude but please remember that doctors have insane wrk hours, mb that doctor was post-call...