Sejarah pengisytiharan darurat di negara kita.


Malaysia telah melalui beberapa kali pengisytiharan darurat semasa perang, kekacauan awam, krisis politik dan bencana alam.

Malaysiakini menyorot beberapa contoh perintah darurat yang diisytiharkan pada masa lalu.

Pemberontakan Komunis (1948-1960)

Tempoh darurat yang paling diingati membabitkan pemberontakan komunis atau Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA).

Ini menyebabkan British mengharamkan parti politik tertentu dan mereka yang disyaki terlibat dengan anasir komunis ditahan dan ini peperangan ini berlarutan sehingga pembentukan kerajaan Malaysia.

Pilihan raya umum pertama Tanah Melayu pada Ogos 1959 dan persidangan Parlimen pertama pada bulan September 1959 diadakan pada waktu darurat.

Konfrantasi (1964)

Pada 3 September 1964, kerajaan Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat setelah berlaku pencerobohan oleh tentera Indonesia.

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 diluluskan oleh Parlimen yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat untuk membolehkan harta benda disita, aktiviti pencarian dan tangkapan.

Selain itu Peraturan Darurat (Perbicaraan Jenayah) 1964 digubal untuk mempercepat perbicaraan jenayah.

Sarawak (1966)

Kuala Lumpur meletakkan Sarawak dalam keadaan darurat pada 14 Sept 1966, dalam usaha menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

Parlimen menggubal Akta Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberikan kuasa mutlak kepada gabenor Sarawak dan kuasa untuk mengadakan Majlis Negri tanpa nasihat ketua menteri.

Apabila Majlis Negri bersidang pada 23 September 1966, undi tidak percaya diluluskan dan Kalong Ningkan disingkirkan sebagai ketua menteri.

Rusuhan 13 Mei (1969)

Rusuhan kaum berlaku selepas pilihan raya pada 10 Mei 1969. Darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969, ketika parlimen sudah dibubarkan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 digubal oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan kuasa eksekutif dan perundangan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran, seterusnya menggubal Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Parlimen baru disusun semula pada 20 Februari 1971 - hampir dua tahun selepas pilihan raya.

Kelantan (1977)

Darurat diisytiharkan pada 8 Nov 1977 akibat rusuhan politik di Kelantan setelah Mohamad Nasir enggan meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Parlimen kemudian meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kawalan eksekutif negeri ini kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh perdana menteri, manakala sultan, yang juga Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.

Mohamad Nasir kekal sebagai menteri besar sehingga pilihan raya Kelantan pada 1978.

Darurat jerebu (1997, 2005 dan 2013)

Tidak semua keadaan darurat ada hubungan kait dengan kuasa perundangan atau eksekutif khas.

Pada tahun 1997, 2005 dan 2013, darurat diisytihar di wilayah tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor ketika pencemaran udara mencapai status sangat tidak sihat.

Ini bagi memaksa orang ramai tinggal di rumah dan penutupan operasi sektor perkhidmatan awam dan swasta yang tidak penting.

Comments