KUALA LUMPUR 17 OKT: Kepimpinan tertinggi Muafakat Nasional (MN) termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan bertemu pada Isnin untuk menyelesaikan perselisihan antara tiga parti Melayu dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik yang sedang berlaku, kata sumber.
Mesyuarat itu akan menjadi pertemuan rasmi pertama selepas biro politik Umno mengancam menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya beberapa tuntutan tertentu tidak dipenuhi.
Muhyiddin benar-benar berada dalam tersepit sekarang kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa. Umno pula pandai mencari ruang dan ketika untuk membuat tuntutan. Sudah tentu Muhyiddin terpaksa menimbangkan tuntutan Umno ini jika mahu jawatannya kekal.
Umno sudah pasti akan membuat tuntutan yang besar antaranya jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kanan dan mungkin jawatan-jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri di beberapa negeri.
Cuma PAS sahaja yang kurang cerdik tidak pandai membuat tuntutan untuk masa hadapan parti.
Sebenarnya inilah gambaran Perikatan Nasional di mana perpaduan mereka sangat rapuh. Kita yakin perseteruan ini tidak akan selesai kerana masing-masing tamakkan kuasa dan jawatan. Cabaran paling besar bagi PN ialah pembahagian kerusi untuk PRU15 nanti. Sudah pasti mereka akan berebut kerusi yang sama kerana masing-masing ingin bertanding di banyak kerusi untuk menjadi abang besar.
Comments