ADA semacam kegelisahan dalam politik Malaysia pada ketika ini. Pada akhirnya nanti, status quo tidak akan kekal.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meniti tebing-tebing politik sejak Langkah Sheraton Februari lalu, dan keadaan nampaknya kian sukar, terutamanya selepas pertembungan antara Bersatu dan Umno pasca pilihan raya Sabah tentang pilihan ketua menteri.
Populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat juga nampaknya merosot secara mendadak minggu ini kerana penularan wabak Covid-19 yang tinggi dan juga tanggapan “double standard” atau dua darjat apabila menteri dapat layanan berlainan daripada rakyat. Perutusan TV Muhyiddin semalam (6 Oktober) dikecam oleh ramai.
Jika keadaan antara Bersatu dan Umno tidak mampu bertahan, kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan tidak boleh disangkal.
Rampasan kuasa Sheraton dicetus akibat kegagalan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Anwar Ibrahim untuk bekerjasama, dengan didorong oleh perpecahan antara Anwar dan anak didik beliau di PKR, Azmin Ali.
Terutamanya selepas rakaman video hubungan sejenis yang didakwa melibatkan Azmin tular pada Jun 2019. Perseteruan antara Mahathir dan Muhyiddin yang berakar daripada perkelahian berikutan perubahan menteri besar Johor pada April 2019 turut memainkan peranan.
Dan tentunya, cita-cita besar Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri turut mempercepatkan rampasan kuasa tersebut.
Sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan, api perkauman ditiup terhadap DAP dari sisi Melayu, manakala kemarahan bukan-Melayu dihangatkan terhadap Dr Mahathir dan Bersatu.
Alasan utama rampasan kuasa tersebut adalah untuk membentuk sebuah kerajaan Melayu, tanpa DAP yang hampir semuanya bukan-Melayu.
Rampasan itu berjaya dilakukan kerana kumpulan Muhyiddin dari Bersatu dan kumpulan Azmin dari PKR, dengan 31 kerusi, berpakat dengan musuh sementara mereka; Umno (39 kerusi, 42 jika ditambah sekutu bukan-Melayu mereka, MCA dan MIC) dan PAS (18 kerusi), yang kemudian disokong GPS (18 kerusi) serta beberapa ahli Parlimen dari Sabah.
Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen yang ketika itu dalam Bersatu enggan terlibat dalam rampasan kuasa terbabit. Paling penting, Shafie Apdal, ketua menteri Sabah ketika itu dan 10 lagi dalam kumpulannya turut enggan terlibat.
PKR yang memihak Anwar mempunyai 38 kerusi, DAP 42 manakala Amanah 11.
Ini membawa kepada angka 113 berbanding 109 dalam komposisi 222 kerusi di Parlimen. Muhyiddin mendapat kuasa dengan majoriti empat kerusi. Walaupun pihak pembangkang mempunyai 109 kerusi, rundingan sejak Mac hingga Jun gagal mengumpulkan parti-parti untuk menyokong seorang calon perdana menteri.
Namun, meski mereka memegang kuasa, perikatan Melayu ketiga-tiga parti – Bersatu, Umno dan PAS – yang berlawan sesama sendiri dalam pilihan raya 2018 adalah secara fitrahnya tidak boleh berkekalan.
Bersatu dan Umno masing-masing mahu mendominasi. Keresahan utama Umno ialah walaupun ia mempunyai 39 kerusi berbanding 31 kerusi Bersatu, portfolio kementerian yang paling penting diberikan kepada parti Muhyiddin.
Satu lagi punca konflik antara Bersatu dan Umno ialah, daripada 31 kerusi Muhyiddin, hanya enam dimenangi Bersatu dalam PRU 2018; 15 lagi datang daripada ahli Parlimen Umno yang lompat, manakala 10 lagi daripada kumpulan Azmin.
Umno mempunyai alasan kukuh untuk terus bertanding di kerusi-kerusi yang ia hilang akibat mereka yang lompat.
PRN Sabah pada 26 September adalah sesuatu gangguan perhatian yang tidak diperlukan oleh Muhyiddin.
Ia berlaku hanya kerana rancangan Muhyiddin untuk menumbangkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Shafie memakan diri apabila Shafie secara tegas bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Sabah mungkin merupakan penyebab perpecahan gabungan longgar Muhyiddin. Perikatan Nasional Muhyiddin dan Barisan Nasional pimpinan Umno bertembung di 17 kerusi DUN dalam PRN Sabah; dan apabila menyedari bahawa gabungan kerusi-kerusi menang itu membentuk majoriti yang besar, kedua-dua Bersatu dan Umno berbalah pula tentang siapa yang patut diberikan jawatan ketua menteri.
Ironinya, mantan ketua menteri Sabah Shafie kini bebas terlibat dalam politik di peringkat persekutuan, dan beliau muncul sebagai tokoh kebangsaan dengan mesej perpaduan yang diolah sepanjang tempoh dua minggu berkempen.
Malah pada bulan Jun, ketika kebuntuan melanda antara Dr Mahathir dan Anwar sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang, nama Shafie diajukan sebagai satu alternatif.
Pada 23 September, Anwar mengumumkan beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, dan tanpa bergantung kepada 18 ahli Parlimen yang bersekutu dengan Dr Mahathir dan Shafie. Pun begitu, pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bilangan majoriti tersebut ditangguhkan kerana Baginda gering. Baginda kini sedang berehat dan masih belum memperkenankan Anwar menghadap.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan parti tidak akan bekerjasama dengan Umno, yang dipimpin mantan perdana menteri Najib Razak dan mantan timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang kedua-duanya sedang berdepan perbicaraan rasuah.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pula menyatakan kebimbangan apabila parti tidak dimaklumkan oleh Anwar tentang identiti mereka yang lompat dan memberi kelebihan majoriti kepada beliau.
Tiada siapa tahu ke mana arahnya semua ini. Tetapi sejarah mungkin boleh memberi sedikit panduan: cukup nombor atau tidak, dakwaan Anwar melemahkan kedudukan Muhyiddin.
Pada 16 September, 2008, Anwar juga pernah mendakwa mempunyai cukup bilangan untuk membentuk kerajaan baharu. Walaupun itu tidak berlaku, Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan perdana menteri ketika itu, terkesan teruk akibat dakwaan Anwar.
Seteru-seteru Abdullah dalam Umno, iaitu Najib dan Muhyiddin, berkonfrontasi dengan beliau pada 17 September dan memaksa beliau menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan kepada Najib.
Selepas kejayaan awal, Najib dan Muhyiddin sekali lagi bertemu Abdullah pada 25 September bagi menggesa beliau bersara, yang kemudiannya berlaku pada April 2009. Abdullah dikalahkan oleh Najib dan Muhyiddin, selepas Anwar melemahkannya di kaca mata umum.
Anwar mungkin atau mungkin saja tidak mempunyai bilangan yang mencukupi kali ini, tetapi Muhyiddin kini semakin lemah memandangkan Umno nampaknya sedang bersedia membantu Anwar menjalankan operasinya.
Tidak mungkin bagi DAP dan Amanah untuk bersetuju bekerjasama dengan Umno yang dipimpin Najib dan Zahid jika merekalah yang membentuk majoriti misteri Anwar. Juga tidak mungkin bagi kelompok arus perdana Umno bersedia untuk bekerjasama dengan DAP setelah memomokkan parti ini secara bersangatan, terutamanya sepanjang 12 tahun lalu sejak 2008.
Namun demikian, Umno sendiri bukanlah satu pasukan yang berpadu. Ahli Parlimen Umno terpecah antara puak Najib dan Zahid, dengan puak minoriti Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
Begitu juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan (yang tidak mempunyai kerusi Parlimen), Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan pemimpin lain yang masing-masing mempunyai pengaruh tetapi tidak berpihak.
Malah Mohamad secara terbuka menyeru Zahid mengeluarkan Umno daripada pakatan Muhyiddin.
Muhyiddin sebenarnya boleh memerintah dengan sebuah kerajaan minoriti sekiranya beliau mampu memecahkan Umno; namun dengan syarat semua pihak lawannya tidak boleh bersepakat.
Sebaliknya, Muhyiddin boleh memilih untuk terus bersetuju dengan Umno, contohnya dengan melantik seorang pimpin kanan Umno sebagai timbalan perdana menteri. Namun ini berisiko menjadikannya tawanan tanpa jalan keluar.
Nampaknya juga, parti Islamis PAS kini turut bergayut kepada Muhyiddin, dan ini menjengkelkan Umno. Masuk akal bagi PAS untuk memihak kepada Muhyiddin yang semakin lemah kerana objektif PAS ialah untuk mendapat kawalan mutlak ke atas kerusi-kerusi Kelantan, Terengganu dan Kedah Utara. Dan ini boleh dicapai jika ia memihak Muhyiddin dan bukan Umno. Malah Umno sebenarnya adalah lawan PAS sepanjang enam dekad lalu.
Satu lagi “wild card” dalam permainan ini adalah GPS, sekutu Muhyiddin di Sarawak. Mereka inilah sebenarnya king maker. Ia mampu menunaikan atau menjahanamkan impian mana-mana pihak.
Lapis-lapis parut lama dan pengkhianatan, perpecahan dalaman, serta prospek masa depan menjadikan situasi sekarang begitu rumit dan tidak stabil. Dan Oktober mungkin menjadi tempoh penentu.
Parlimen akan bersidang untuk pembentangan Belanjawan bermula 2 November. Kegagalan untuk meluluskan Belanjawan bererti tumbangnya kerajaan Muhyiddin.
Kecuali sekiranya perdana menteri boleh mencari jalan untuk berkompromi dengan Umno atau dengan pihak pembangkang, atau memecahkan Umno; sepertimana tiada yang boleh menolak kemungkinan pilihan raya mengejut, tiada siapa boleh meramalkan kesudahannya.
Apa pun keadaan, status quo tidak akan kekal
//Liew Chin Tong - TMI
Comments