Bekalan air di 274 kawasan pulih sepenuhnya


 Gangguan bekalan air di semua 274 kawasan dalam wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya melibatkan 309,687 akaun pengguna pulih sepenuhnya jam 6 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata pelan pemulihan bekalan berjaya dilaksanakan 12 jam lebih awal setelah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi.

"Air bersih yang disalurkan kepada pengguna telah melalui ujian kualiti dan pematuhan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Air Selangor berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pengguna atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang gangguan tidak berjadual ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata Air Selangor meminta kerjasama daripada pihak berkuasa dan pengguna untuk menjadi mata dan telinga mereka dengan bersama-sama memelihara sungai daripada tercemar dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

Katanya orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air melalui saluran rasmi seperti aplikasi dan media sosial serta laman web Air Selangor.

Bernama

Comments