ANWAR KE BUKIT AMAN ESOK




Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok berhubung senarai ahli parlimen yang didakwa menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pihak polis setakat ini menerima sebanyak 113 laporan mengenai perkara itu.

"PDRM masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa ketika ini.

"Sehubungan itu, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 16 Oktober 2020 di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya.

Huzir berkata siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM juga katanya menggesa orang ramai tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Anwar dalam sidang media bulan lalu mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Pada Selasa lalu, presiden PKR itu mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mempersembahkan dokumen sahih yang didakwa bukti sokongan lebih 120 anggota parlimen terhadapnya.

Sebelum mengadap Seri Paduka, senarai ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya sebagai perdana menteri tular di media sosial.

Beberapa anggota parlimen Umno yang turut disenaraikan, bagaimanapun menafikan pembabitan mereka dan membuat laporan polis.


Comments