26 ladang babi buang sisa kumbahan ke dalam sungai


GEORGE TOWN, 15 Okt  -- Sebanyak 26 ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini didapati membuang sisa kumbahan dan najis secara terus ke dalam sungai di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan negeri Dr. Norlela Ariffin berkata pada masa ini Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah merujuk pemilik ladang babi itu ke mahkamah sementara menunggu Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 dikuatkuasakan, tahun depan.

"Menerusi enakmen itu juga, tindakan perobohan ladang-ladang penternakan babi yang tidak mengikuti syarat termasuk membuang sisa ke dalam sungai boleh diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),"  katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Dewan Sri Pinang hari ini.

Beliau berkata sementara enakmen tersebut dikuatkuasakan pada 1 Jan 2021, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan masalah pencemaran sungai disebabkan pelepasan kumbahan dari ladang babi tersebut.

“Antaranya, bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan memasang perangkap di kawasan parit supaya sisa kumbahan ladang babi tidak terus masuk ke sungai. Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melupuskan sisa pepejal babi termasuk menukarnya bagi industri biogas,” katanya.

Norlela berkata menerusi enakmen itu juga, semua pemilik ladang ternak babi perlu menaik taraf ladang mereka kepada ladang tertutup dan perlu memastikan ladang itu memiliki keluasan yang  mencukupi untuk membina kolam kumbahan supaya sisa tidak terus dibuang ke dalam sungai.

Persidangan dewan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

Comments