WARISAN JANJI UBAH STATUS PITAS DAN BINA RUMAH UNTUK VEVEONAH


Parti Warisan akan membantu membina rumah sarang burung walit untuk membantu pelajar universiti, Veveonah Mosibin, sekiranya parti itu memenangi pilihan raya negeri yang akan datang.

Ini sehari selepas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu menjadi perhatian berikutan tuduhan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin terhadapnya.

Dalam satu kenyataan, naib presiden Warisan, Junz Wong berkata dia secara peribadi akan memberikan sumbangan itu sekiranya Warisan terus menguasai Sabah.

"Sekiranya Warisan menang besar dalam pilihan raya negeri bulan September, saya secara peribadi akan memastikan Veveonah dan keluarga menerima rumah sarang burung percuma," katanya.

Wong berkata, ini merupakan lanjutan daripada program pembinaan rumah sarang burung walit oleh kerajaan Warisan yang telah dilaksanakan sejak 2018.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah itu berkata, terdapat 150 rumah sarang burung walit yang dibina di Sabah pada tahun 2019, di mana 55 daripadanya dibina di Pitas, daerah Kudat.

Pitas merupakan kampung halaman Veveonah, yang dimenangi oleh BN selama beberapa kali pilihan raya.

"Kawasan Pitas dan Kudat telah lama dipegang oleh Umno, tetapi sekarang ini merupakan daerah termiskin di Malaysia. Yang paling miskin dari yang miskin.

"Warisan sedar perkara ini. Itulah sebabnya setelah mengambil alih kerajan Sabah, kami mula mengubah Pitas menjadi pusat sarang burung," kata Wong.

Tambahnya, pembinaan rumah berkenaan sememangnya untuk membantu rakyat Sabah seperti Veveonah dan keluarganya.

Veveonah menjadi perhatian pada Jun lalu apabila dia memaparkan video berada di atas pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menduduki peperiksaan universiti.

Semalam, Zahidi mendakwa Veveonah tidak menjalani sebarang peperiksaan dan hanya membuat kandungan tular terbabit untuk hiburan dan menempah nama.

Bagaimanapun Zahidi kemudian berkata dia telah menerima maklumat yang salah dan meminta maaf kepada pelajar tersebut.

Comments