PRN SABAH : SHAFEI DITENTANG ANAK SAUDARA SENDIRI


 TUARAN, 12 Sept -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 Sept ini menyaksikan dua calon yang mempertahan kerusi mereka bakal berentap dengan anak saudara lelaki masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), dicabar oleh anak saudaranya Norazman Utoh Nain daripada Perikatan Nasional (PN) di Senallang.

Mohd Shafie turut dicabar oleh Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).

Ini bukan kali pertama Mohd Shafie ‘berentap dengan ahli keluarga sendiri’ kerana beliau pernah berdepan pertarungan satu lawan satu dengan sepupunya Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (BN) di kawasan sama semasa pilihan raya umum lepas.

Dalam satu lagi ‘pertembungan membabitkan ahli keluarga,’ penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Sulaman selama enam penggal iaitu Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut dicabar oleh anak saudaranya Datuk Aliasgar@Ali Ashgar Basri daripada Warisan.

“Beliau pak cik saya tetapi fahaman politik kami berbeza dan perjuangan harus diteruskan,” kata Aliasgar ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini. 

Seorang lagi calon yang bertanding di kawasan itu ialah Datuk Rekan Hussien daripada Parti Cinta Sabah.

-- BERNAMA

Comments