KOTA KINABALU, 10 Sept -- Perikatan Nasional (PN) mengumumkan untuk bertanding di 29 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhir bulan ini dan kemungkinan besar bertembung dengan Barisan Nasional di tiga kawasan.
Tiga kawasan itu ialah Paginatan, Tulid dan Sook.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor agak terperanjat, apabila ditanya para pemberita mengenai kemungkinan itu semasa persidangan akhbar yang diadakan bagi mengumumkan 29 kerusi yang akan ditandingi PN, beberapa jam selepas Barisan Nasional mengumumkan senarai calon mereka.
“Saya belum dapat mengesahkan calon daripada UMNO itu…Saya tidak boleh jawab perkara ini sebab saya tiada senarai dan tak dengar sekali pun berita ini, kita tengok macam mana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap perkara tersebut dapat diselesaikan, bagi mengelakkan pertembungan tersebut.
“Jangan (calon BN dan PN) bertembung kerana kita mahu menang (dalam PRN Sabah). Kami akan melihat perkara ini (untuk bertemu BN). Pencalonan pada hari Sabtu, kami akan cuba untuk lakukan yang terbaik untuk semua,” kata Hajiji.
Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan parti komponen dalam PN dan mereka akan menggunakan logo PN pada pilihan raya negeri ini, manakala BN merupakan rakan sekutu PN, akan bertanding dengan menggunakan logo BN.
Hajiji berkata, sebanyak 60 peratus calon adalah muka baharu yang telah dikenal pasti dan berpotensi untuk memberi kemenangan kepada gabungan tersebut.
“Ini adalah calon-calon PN Sabah bagi mewakili kawasan masing-masing. Kita berdoa sama-sama supaya dapat kejayaan dalam PRN ini.
“Kita tampilkan muka-muka baharu bagi memberi tenaga kepada kepada PN. Kita adalah satu pasukan,” katanya selepas mengetuai majlis pengumuman calon-calon PN yang turut dihadiri Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, tidak timbul soal bekas ketua menteri sabah Tan Sri Musa Aman berada dalam kem PN khususnya Bersatu, kerana parti itu sudah mengumumkan semua senarai calon-calonnya.
“Kita sudah umumkan calon-calon Bersatu, jadi, soal dia dalam senarai (calon) Bersatu sudah tidak timbul,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan Musa tidak memohon untuk menjadi calon UMNO dan BN pada PRN Sabah, sekali gus tidak tersenarai sebagai antara calon mewakili parti berkenaan pada pilihan raya kali ini.
-- BERNAMA
Comments