PRN SABAH : PBS TAK AKAN TARIK DIRI


Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan menegaskan parti itu tidak akan menarik diri daripada 22 kerusi DUN yang ditandinginya.

"Tiada kemungkinan untuk keluar daripada pertandingan. Tiada kemungkinan itu sebab calon kita (sudah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya), sudah pegang simbol (parti) kita.

"Kalau kita tidak mahu bertanding, sebelum pencalonan kita sudah lakukannya (dengan tidak menghantar calon)," katanya ketika ditemui dalam program di Kiulu, iaitu kerusi yang dimenangi PBS sejak penubuhannya pada 1985.

Kitingan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin bahawa Gabungan Rakyat Sabah - yang terdiri daripada BN, PN dan PBS - telah mencapai konsensus untuk tidak bersaing di 17 kerusi yang sebelum ini mereka bertembung.

Menurut Utusan Malaysia, Hamzah berharap GRS dapat mengumumkan calon tunggal mereka di 17 kerusi itu sebelum 26 September ini.

Kitingan yang juga pengasas PBS kelihatan tidak kisah jika ada parti lain atau sekutunya yang enggan bekerjasama denan pihaknya.

"...Mulai sekarang kita akan teruskan perjuangan kita sendirian. Sesiapa yang mahu jadi kawan kita boleh berbuat demikian, terutama dengan kerajaan persekutuan.

"Bagaimanapun kita timbul semua sebagai sebuah parti sendiri agar rakyat kita, terutama generasi muda, tahu tempat untuk mereka berjuang secara berterusan, iaitu parti tempatan - PBS," katanya lagi.

Untuk rekod, parti dalam GRS sebelum ini dijangka bertembung di 11 kerusi namun bilangan itu meningkat kepada 17 setelah penamaan calon pada 11 September lalu.

PN kekal bertanding di 29 kerusi seperti yang dipersetujui, bagaimanapun PBS yang pada mulanya berjanji meletakkan 15 calon akhirnya bertanding di tujuh DUN lagi.

BN pula yang bersetuju bertanding di 40 kerusi DUN kemudian bertanding di satu lagi kerusi.

Comments