PN, BN dan PBS mungkin menyebut diri mereka sekutu tetapi parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menghantar isyarat membingungkan sejak awal hari kempen pada 12 September lalu.
Daripada perbezaan pendapat calon ketua menteri dan agihan kerusi hinggalah sokongan terhadap calon bebas yang bertanding menentang sekutu mereka sendiri.
Saling menuduh 'berkhianat' nampaknya PN, BN dan PBS tidak pasti mereka benar-benar ingin sudi berteman.
Dalam suasana ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tanpa lelah berikhtiar untuk menyatukan sekutu yang 'bertelagah' dan hari ini memperteguh kerjasama mereka ke dalam gabungan rasmi dengan ikatan manifesto bersama di bawah GRS.
Bercakap di Kota Kinabalu di hadapan wakil pimpinan PN, BN dan PBS, Muhyiddin berkata aku janji itu belum pernah terjadi sebelum ini dan berikrar untuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.
Usaha Muhyiddin menyatukan pembangkang Sabah, sebahagiannya untuk melawan penguasaan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Pakatan Harapan dan Upko.
Gabungan pimpinan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal itu dapat mengumpulkan barisan bersatu dengan menawarkan satu calon untuk semua 73 kerusi yang ditandingi mereka.
Muhyiddin cuba melakukan hal serupa, misalnya secara peribadi terlibat dalam rundingan hingga ke saat akhir hanya untuk melihat sekutunya bertembung sesama sendiri di 11 kerusi DUN.
Muhyiddin galas tugas besar
Ini meningkat menjadi 17 kerusi selepas hari penamaan calon kerana sekutunya itu membuat gerakan terakhir dalam pertembungan sesama sendiri.
GRS bertanding di bawah tiga logo, iaitu lambang PN untuk Bersatu, Star dan SAPP, lambang BN untuk Umno, PBRS dan MCA manakala PBS bertanding di bawah simbol mereka sendiri.
PAS pula merupakan sekutu PN dan BN tetapi dilihat tidak begitu terlibat dalam pilihan raya negeri.
Di sebalik ikhtiar Muhyiddin, jelas sekali beliau menggalas tugas besar di hadapan.
Apalagi, beberapa wakil berseteru yang hadir majlis pelancaran aku janji GRS dilihat saling menghindari antara satu sama lain.
PBS diwakili oleh Timbalan Presidennya Radin Malek dan setiausaha agung parti Jajid Jahim, yang dilihat 'tidak bersapa' dengan Timbalan presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Presiden Star Jeffrey Kittingan.
PBRS dan Star kesal kerana PBS pada saat akhir memutuskan untuk masuk menceroboh bertanding di kerusi yang telah diperuntukkan mereka.
Ini mencetuskan pertembungan sesama sendiri dalam gabungan baru itu.
Jeffrey telah menyuarakan rasa kurang senang terhadap percaturan politik PBS dan berkata PN bertindak balas dengan menyokong calon bebas di kerusi yang diperuntukkan untuk PBS.
Bagaimanapun, hakikatnya Muhyiddin telah berjaya mengumpulkan semua sekutu yang 'saling bertelagah' itu di tempat sama pada majlis hari ini.
Ia suatu kemenangan kecil kepada presiden Bersatu itu.
Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mungkin sedang bersaing merebut jawatan ketua menteri sekiranya GRS menang tetapi mereka amat berhati-hati, cermat mengelakkan perselisihan pada majlis itu.
Sebaliknya, Hajiji dan Bung mengulangi mesej Umno dan Bersatu berasal dari "spesies yang sama."
Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir pada majlis pelancaran aku janji GRS hari ini.
Malam tadi, presiden Umno itu berkempen untuk BN di Kota Kinabalu.
Muhyiddin menawarkan Hajiji sebagai calon ketua menteri di Tuaran pada 12 September namun beliau cukup berhati-hati untuk menyentuh isu berkenaan pada hari ini.
Zahid pula menegaskan parti menang kerusi terbanyak yang layak memutuskan calon ketua menteri, lantas memberi BN kelebihan kerana bertanding 42 kerusi berbanding PN dengan 29 dan 22 kerusi PBS.
Hari ini, mereka mengelak pertikaian kontroversi dan sebaliknya menumpukan perhatian terhadap manifesto GRS.
Pada sidang media kemudian, Hajiji ditanya mengenai pendirian Zahid mengenai parti yang memenangi kerusi terbanyak memutuskan ketua menteri.
Bagaimanapun, Hajiji kekal dengan nada diplomatiknya, berkata PN juga bertanding di banyak kerusi.
Hajiji, yang mempertahankan kerusi DUN Sulaman, berkata isu siapa yang akan menjadi ketua menteri tidak menjadi keutamaan sekarang dan hanya perlu dibincangkan setelah pilihan raya.
Bung pula tidak menyertai sidang media itu tetapi bercakap ringkas kepada wartawan sebelum pergi.
Kata Bung, soal ketua menteri hanya akan diputuskan kemudian. Bung bertanding di kerusi DUN Lamag yang baru dibentuk SPR.
Analisis oleh Mkini.
Comments