Kempen pembangkang negeri Gabungan Rakyat Sabah setakat ini dibayangi isu kesetiaan yang sukar ditentukan.
Misalnya lawatan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali ke Tuaran hari ini, untuk kempen calon Perikatan Nasional-Bersatu, Hajiji Mohd Noor.
Hajiji berharap dapat memenangi kerusi Sulaman untuk kelima kalinya.
Berdasarkan ucapan Azmin kepada penyokng yang hadir majlis kempen PN, kemenangan Hajiji akan menjadikan beliau ketua menteri Sabah seterusnya.
Ini kali kedua pemimpin utama Bersatu, selepas Presidennya Muhyiddin Yassin secara terbuka mencadangkan Hajiji sebagai kemungkinan calon ketua menteri.
Hal ini dilihat agak ganjil memandangkan Gabungan Rakyat Sabah belum lagi bersetuju mengenai kepimpinannya apatah lagi soal calon ketua menteri.
Ketika bercakap di hadapan 250 hadirin di Sulaman, Azmin berkata Hajiji layak menjadi ketua menteri kerana ketua Bersatu Sabah itu seorang pemimpin yang dihormati, kuat dan bersih.
Kenyataan ini boleh ditafsir sebagai 'sindiran' terhadap dua pemimpin yang bertanding pada pilihan raya ini, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan Naib Presiden Warisan Peter Anthony yang sedang berhadapan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.
Aneh juga Azmin sengaja mencadangkan Hajiji menjadi calon ketua menteri dan mengambil risiko mengundang kemarahan sekutu Bersatu.
Apatah lagi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kelihatan menyuarakan rasa kurang senangnya ketika Muhyiddin pertama kali secara terbuka melontarkan idea itu.
Turut membingungkan apabila Azmin ke Tamparuli berkempen untuk Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Jahid Jahim.
PBS bukan sebahagian Perikatan Nasional, sebuah gabungan formal yang kini terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (Sapp).
Shafie didakwa gagal jadi KM
Malahan, PBS bertembung dengan Star di enam kerusi dan menentang BN di 12 kerusi DUN.
PBS meletakkan 22 calon pada PRN. Hanya empat yang tidak bertembung dengan calon BN atau PN dan Jahid ialah salah seorang daripadanya.
Di Tamparuli, Azmin tidak menimbulkan isu Hajiji sebagai calon ketua menteri di hadapan 150 hadirin di Tamparuli atau menangani isu 'pertembungan mesra' sesama sekutu.
Sebaliknya, seperti di Sulaman, Azmin menghabiskan sebagian besar masa menyerang Warisan dan bekas partinya PKR.
Menurut Azmin, pemimpin Warisan Mohd Shafie Apdal "gagal sebagai ketua menteri."
Menteri kanan itu berkata pentadbiran shafie runtuh setelah dua tahun kerana majoriti Adun Sabah telah meninggalkannya.
"Apa yang Shafie faham? Itulah sebabnya mengapa majoriti Adu menolaknya sebagai ketua menteri Sabah.
"Dia telah kehilangan majoriti. Kenapa dia hilang majoriti? Kerana dia gagal sebagai ketua menteri. Apa susah sangat kah nak faham," soal Azmin.
Pada satu saat, Azmin membandingkan prestasi Shafie sebagai ketua menteri dengan prestasi perdana menteri Muhyiddin dalam pakej rangsangan berkaitan Covid-19.
Menurut Azmin, Muhyiddin menepati janjinya memberikan bantuan tunai kepada golongan memerlukan manakala Shafie tidak dapat berbuat demikian.
Ketika dihubungi, pembantu Shafie memberitahu Malaysiakini dakwaan itu tidak benar kerana rakyat Sabah berpendapatan RM3,000 atau kurang mendapat bantuan tunai one-off RM300 pada bulan Mac dan April.
Esok, Azmin dijadualkan akan berada di Kota Kinabalu untuk berkempen membantu calon BN-Umno di DUN Darau, Jumat Idris.
Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin yang disebut-sebut sebagai salah calon ketua menteri juga dijangka hadir sama berkempen di Darau.
Malam esok juga akan menyaksikan pelancaran "Aku Janji" (manifesto pilihan raya) Gabungan Rakyat Sabah yang mungkin memberi penjelasan mengenai calon ketua menteri gabungan itu.
.. MKINI
Comments