Ibu rotan anak didakwa di mahkamah.


KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Seorang anggota tentera wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan merotan kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa berusia lapan tahun, Julai lalu.

Tertuduh berusia 31 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Ibu dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan kesan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak, di sini, pada jam 1 tengah hari, 21 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan minimum atas alasan dia masih bekerja.

“Anak saya ini adalah anak bersama bekas suami, saya mempunyai seorang lagi anak dengan suami baharu. Anak saya tinggal bersama saya dan hanya tinggal bersama bapanya buat sementara waktu sebelum ini ketika saya pergi kursus.

“Ia hanya salah faham, anak saya suka buat (kacau) rakan-rakannya… bekas suami akan menarik laporan tersebut,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan mangsa diserahkan kepada bapanya sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Sept ini.

-- BERNAMA

Gambar sekadar hiasan

Comments