Tidur di dalam kereta boleh menjadi pengalaman yang cukup selesa umpama tidur di hotel lima bintang. Dengan penyaman udara yang berhembus dan suasana yang senyap menjadikan ia pilihan yang optimum.
Namun sejauh mana selamatnya tidur dalam kenderaan?
Kadang-kadang kita melakukan perkara yang baik bagi mengatasi masalah mengantuk ketika memandu dengan berhenti rehat. Ia secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko kemalangan.
Bagaimanapun, aktiviti ini boleh membawa maut sekiranya kita tidak peka kepada bahaya tidur dalam kenderaan yang tertutup dan enjin masih dihidupkan.
Tambahan pula, ramai kalangan kita mengamalkan tabiat menunggu dalam kenderaan - dengan enjin dan penyaman udara dihidupkan - untuk jangka masa yang lama.
Kebanyakan negara maju menganggap perbuatan ini sebagai kesalahan yang boleh dikenakan kompaun. Ini disebabkan kesannya yang bukan saja membahayakan nyawa manusia tetapi dengan pelepasan gas pencemar juga akan memudaratkan alam sekitar.
Faktor menyebabkan kematian
Faktor terpenting yang boleh menyebabkan kematian semasa tidur dalam kereta adalah karbon monoksida (CO) iaitu komponen utama dalam asap ekzos kereta.
Lebih-lebih lagi kenderaan yang 'berusia’ apabila sistem mekanikal kereta tidak sesuai dengan standard yang ditetapkan berkemungkinan boleh berlaku kebocoran ekzos.
Jika jumlah besar CO terkumpul dalam ruang kenderaan anda, risiko maut menanti tanpa disedari kerana anda sedang bernafas dalam racun yang tidak berbau atau berwarna.
Selain itu, peningkatan karbon monoksida juga boleh berlaku disebabkan penyaman udara yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan boleh jadi penyebab kematian semasa tidur.
Jadi bagaimana gas CO membunuh anda? Ia berlaku apabila gas berkenaan mengurangkan kemampuan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam badan, termasuk otak. Ia menyebakan otak kekurangan oksigen seterusnya membawa maut.
Apabila tahap CO meningkat dan kekal lebih 70 ppm (kepekatan dalam 1 molekul CO dalam sejuta-ppm), seseorang itu boleh mengalami sakit kepala, keletihan dan loya.
Pada kepekatan CO yang berterusan lebih 150 hingga 200 ppm pula akan mengakibatkan seseorang itu tidak sedar diri seterusnya membawa kepada kematian.
Sebenarnya, walaupun dalam keadaan kereta dengan sistem penyaman udara yang berfungsi dengan baik, peredaran udara dalam ruang kenderaan tetap tidak mencukupi bagi seseorang yang menghirup udara di tempat tertutup.
Negara kita yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun menjadi lumrah kepada orang ramai memasang penyaman udara termasuk ketika menunggu dalam kenderaan dalam masa singkat.
Demi keselamatan, elak menunggu dalam kenderaan lebih-lebih bersama anak kecil yang bukan sahaja membahayakan nyawa kita malah orang yang tersayang.
Langkah terbaik, elakkan tidur dalam kereta. Namun jika dalam keadaan mendesak, pastikan enjin kenderaan dimatikan dan tingkap dibuka seluas-luasnya serta carilah tempat yang sesuai untuk berehat.
Mengesan karbon monoksida
Langkah tambahan mengatasi masalah ini ialah dengan adanya sistem amaran awal gas CO dengan menggunakan sensor kecil.
Walaupun mengekalkan sistem ekzos dan pelepasan akan mencegah keracunan karbon monoksida dan mengelakkan situasi berbahaya, namun jika ditambah dengan alat pengesan karbon monoksida akan dapat memberikan amaran awal kepada kita.
Memandangkan banyak kes maut di Malaysia akibat pencemaran gas CO ini, teknologi perlu dibangunkan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Sebilangan besar pengesan atau sensor, sensor karbon monoksida direka untuk kegunaan rumah atau pejabat, tetapi kita boleh menggunakan teknologi sensor yang sama dalam kereta atau kenderaan lain.
Saya sendiri bersama Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, UKM sedang membangunkan sistem sensor mikro yang boleh mengatasi masalah kebocoran gas CO dalam kenderaan.
Baru-baru ini, kumpulan kami berjaya mendapat geran protaip (Kementerian Pendidikan Tinggi) dan geran CREST dalam teknologi sensor ini.
Diharapkan teknologi tempatan ini dapat diaplikasikan demi keselamatan masyarakat pada masa hadapan termasuk ingin bekerjasama dengan industri automotif tempatan dan industri perkilangan.
Pada era teknologi sensor berlandaskan IOT dapat menyampaikan informasi kualiti udara kepada pengguna melalui telefon pintar seterusnya memberi amaran awal sekiranya gas dikesan dalam kepekatan yang tinggi.
- Artikel ini disumbangkan oleh Pensyarah Kanan dan Penyelidik Pusat Sains Bumi & Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir.
- Bernama
Comments