Hajat dihati ingin menjadi negara maju tetapi ternyata gagal dari segi melahirkan tenaga pekerja mahir. Hanya 28 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi, satu angka yang agak rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang mencapai tahap 40 peratus tenaga kerja mahir di kalangan rakyatnya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ismail Abd Muttalib berkata, sehubungan itu kementerian komited untuk mempertingkatkan sekurang-kurangnya tujuh peratus jumlah berkenaan memastikan negara berada di landasan yang betul untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.
“Usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi ini pastinya selaras dengan perkembangan dan permintaan industri di Malaysia dan bagi mencapai hasrat itu, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) antara lain telah membangunkan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia.
“Sistem ini dibangunkan mengikut peruntukan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi mengawal selia dan menjamin kualiti program latihan kemahiran yang dikendalikan oleh mana-mana penyedia latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Human Resources Summit di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Abdul Rahman.
Persoalannya sekarang adakah Sijil Kemahiran Malaysia itu benar-benar mampu menjadi bukti bahawa lulusannya adalah mahir dan kompeten. Adakah mereka-mereka layak diterima bekerja diluar negara dengan SKM tersebut. Jika jawapannya tidak, kita harap kementerian janganlah angkat bakul, kaji dan buatlah penambahbaikan kepada SKM itu sendiri.
Comments