Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dalam kenyataan terbarunya berkaitan dengan isu 1MDB menyebut bahawa sepatutnya antara tugas utama Peguam Negara Malaysia ialah mengenalpasti siapakah Malaysian Official 1 yang disebutkan dalam laporan Peguam Negara Amerika semalam.
Sudah tentu kenyataan begini tidak akan disiarkan dalam mana-mana media pengampu di dalam negara kita ini.
Ikuti kenyataan penuh TSMY di bawah ini :
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Sudah tentu kenyataan begini tidak akan disiarkan dalam mana-mana media pengampu di dalam negara kita ini.
Ikuti kenyataan penuh TSMY di bawah ini :
KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Saya sengaja mengambil sedikit masa sebelum menulis kenyataan ini untuk memerhati gelagat pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Perdana Menteri dan Peguam Negara terhadap pengumuman yang amat mengejutkan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat mengenai IMDB dan tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia.
Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan. Mereka telah mencuri wang milik IMDB! Maka ia adalah suatu jenayah!
Jika IMDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia dari kehilangan atau kerugian, pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Lo dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS.
Sebaliknya, logikkah sebagai Perdana Menteri, Najib hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan yang mengejutkan dunia ini dengan berkata kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?
Jika Najib seorang yang beramanah dan bertanggungjawab, apa yang dia sepatutnya kata? Mengejutkan! Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat, hantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat, tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.
Najib juga sudah sepatutnya menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit. Najib juga sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.
Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib. Dia sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara? Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?
Saya mencabar Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya! Saya amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh dia dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.
Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib? Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS? Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?
Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia. Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di Ambank selain Najib!
Yang sepatutnya dibuat oleh Peguam Negara Malaysia bukan melindungi Najib. Dia sepatutnya terperanjat dengan penemuan pasukan penyiasat AS dan terus menghantar pasukan penyiasat Malaysia ke AS untuk mengambil tindakan susulan demi memelihara kepentingan rakyat Malaysia yang telah kehilangan wang berbilion ringgit.
Beliau juga sepatutnya telah mengarahkan SPRM dan PDRM membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB. Bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya? Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara? Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!
Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia? Tindakannya selama ini adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!
Rakyat harus sedar dan bangkit bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum. Seruan agar rakyat bangun menentang kemungkaran ini hendaklah mengikut lunas undang-undang secara aman dan tidak semestinya dianggap provokatif.
DYMM Raja-Raja Melayu yang menjadi Payung Negara yang telah pernah bertindak bertitah sebelum ini sewajarnya tidak boleh membiarkan Perdana Menteri bermaharajalela merosakkan imej negara dan maruah rakyat serta memusnahkan khazanah negara. Majlis Raja-Raja boleh bertindak menjadi benteng terakhir pelindung hak rakyat dan negara! Majlis Raja-Raja tidak menyalahi mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia atas semangat Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.
Sahlah tindakan dan pendirian saya selama ini bahawa kes IMDB adalah satu kes penyelewengan yang amat memalukan yang melibatkan Perdana Menteri. Ia adalah suatu yang sahih dan benar.
Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibah daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini! Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!
Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia!
Marilah kita bersatu hati dan bersama-sama berjuang untuk Selamatkan Malaysia!
Faiza Azamta Fatawakkal AlaLlah!
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Gambar sekadar hiasan.
Comments
Pas pun x suka Najib...kecuali kau pekak buta dan tuli...tapi bkn itu cara kita jatuhkan najib...kan jadi mcm PANdir...kampung tergadai
dan kurangkan la baca roketkini ke msiakini ke