SURAT TERBUKA TUN M : SERU PENGUNDI SG BESAR DAN K.KANGSAR SOKONG CALON AMANAH

Ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar berbaki hanya dua hari lagi, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menghangatkan lagi suasana kempen dengan mengutus surat terbuka kepada pengundi dua kawasan parlimen itu agar menolak BN dan Pas.
Dalam surat 14 perenggan bertarikh 13 Jun 2016, Tun Mahathir menyeru pengundi agar menolak BN bagi memberi isyarat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak menyokong terma "cash is king" (duit adalah raja) yang didakwa selalu diungkapkan Presiden Umno itu.
Malah tambah beliau, calon-calon Pas juga perlu ditolak kerana presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menjadi 'ayam sabung' Najib.
"Pas berkata mereka tidak mahu bersama di dalam gerakan menjatuhkan Dato' Najib kerana mereka lebih fokus untuk menjatuhkan Umno dan BN. Jikalau Pas menang pun Umno dan BN tidak akan jatuh.
"Pendirian Pas dan Haji Hadi menyokong Dato' Najib adalah bagi menghalalkan rasuah dan penipuan yang dilakukan oleh Dato' Najib melalui 1MDB," kandungan surat itu dipetik.
Terdahulu dalam suratnya, Dr Mahathir menyifatkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberi peluang kepada para pengundi untuk menyampaikan rasa tidak puas hati kepada Najib.
Menurutnya, walaupun keputusan PRK tidak akan mengubah kerajaan, namun jika calon-calon BN tewas, ia mampu membuka mata pemimpin Umno-BN bahawa dasar-dasar pentadbiran Najib ditolak rakyat.
"Kekalahan kepada kedua-dua calon Dato' Najib akan memberi mesej yang jelas bahawa rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi berkenaan penipuan seta kehilangan berbilion ringgit wang 1MDB dan wang RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Dato' Najib," ujar Tun Mahathir.
Kekalahan calon BN juga, tambah beliau menjadi mesej yang jelas bahawa rakyat enggan menanggung beban hutang 1MDB yang kini berjumlah RM50 bilion seperti dilapor Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC).
Ia juga, tambah beliau menjadi saksi penolakan rakyat terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kos sara hidup yang begitu tinggi, kenaikan tol dan tarif elektrik juga pemotongan subsidi yang semata-mata untuk menampung gaya hidup mewah Najib dan ahli keluarganya.
Tun Mahathir turut menyeru para pengundi di dua PRK itu untuk menyokong Deklarasi Rakyat bagi menyelamatkan Malaysia dengan menyatakan penolakan terhadap Perdana Menteri yang terbabit dengan skandal rasuah.  
"Mereka berpeluang menyatakan rasa malu mereka mempunyai Dato' Najib sebagai Perdana Menteri yang telah menjatuhkan maruah Malaysia di mata dunia dengan skandal rasuahnya.
"Dato' Najib dan calon-calonnya perlu ditolak supaya dia tidak boleh dakwa rakyat sokong 'cash is king' rasuah amalannya," tegas perdana menteri paling lama berkuasa dalam sejarah negara itu.
Beliau juga mengingatkan ahli dan penyokong Umno bahawa kekalahan calon-calon BN akan memperlihatkan betapa Najib telah merosakkan Umno dan BN.
"Jika masih sayang Umno kalahkan calon Najib. Penolakan Najib akan menjadi amaran kepada pemimpin selepasnya, sama ada dari Umno/BN atau parti-parti lain, bahawa jika mereka berperangai seperti Najib, mereka akan menghadapi kemarahan rakyat dan akan menerima nasib yang sama," tegas beliau.
Surat terbuka Tun Mahathir itu disiarkan akhbar rasmi Parti Amanah Negara (Amanah) dan diedarkan kepada para pengundi di kawasan parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. (mdateline).
JIKA TUN MAHATHIR SENDIRI YANG MEMIMPIN UMNO/BN LEBIH 30 TAHUN MENYATAKAN SOKONGAN KEPADA AMANAH TAKKANLAH RAKYAT DI SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR MASIH MAHU MEMILIH UMNO/BN LAGI. 

Comments