PRK SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR : AMANAH BERPOTENSI BESAR UNTUK MENANG

Kempen Pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar memasuki selekoh terakhir. Tinggal kira-kira 48 jam lagi pengundi-pengundi di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut akan membuang undi. Dalam keadaan ini sebahagian besar pengundi sudah pun mempunyai pendirian masing-masing untuk memilih siapa wakil rakyat mereka. Bagi mereka segala kempen dan rayuan sudah tidak berguna lagi kerana masing-masing sudah bertekad untuk memangkah parti yang mereka yakini. Namun masih ada segelintir pengundi yang belum membuat keputusan.

Dari tinjauan pelbagai pihak jelas sekali AMANAH mampu membuat kejutan di kedua-dua kerusi tersebut. Apa yang hampir pasti AMANAH sudah mengatasi PAS dari segi undi popular di kedua-dua kerusi tersebut. Namun masih bersaing hebat dengan BN untuk penentuan siapa pemenang sebenar. Jelas sekali peningkatan sokongan kepada AMANAH melonjak selepas beberapa hari penamaan calon berbanding dengan sebelum penamaan calon.

Keadaan ini berlaku kerana kejayaan AMANAH menggerakkan jentera kempen mereka dengan hebat berbanding dengan PAS yang dilihat tidak mampu menggerakkan jentera tempatan iaitu dari PAS Selangor/ dan Sungai Besar serta Kuala Kangsar sendiri,  Namun BN masih gagal lantaran bantuan agensi kerajaan dan media elektronik serta cetak.

Di Sungai Besar, AMANAH dijangka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 8,000 undi dari kaum Tionghua serta 5,000 undi Melayu. Jika ini diperolehi maka AMANAH akan memperolehi 13,000 undi popular. Persoalannya sekarang berapa undi Melayu yang akan diraih oleh PAS dan BN. Jika PAS berjaya meraih undi Melayu melebihi 6,000 maka sudah pasti AMANAH akan menang kerana BN pula akan memperolehi 11,000 undi Melayu dan kurang dari 2,000 undi Tionghua. Jika itu keadaannya AMANAH akan memperolehi 13,000 undi, BN dalam lingkungan 11,000-13,000 dan PAS kira-kira 6,000 undi. Maka AMANAH akan menang.

Keadaan di atas diperkukuhkan dengan beberapa faktor semasa antaranya sokongan pengundi Tionghua yang dilihat amat luar biasa dibantu dengan kempen tanpa mengira waktu jentera DAP di Sekinchan dan beberapa lokaliti majoriti Tionghua di Sungai Panjang. Untuk pengundi Melayu pula AMANAH dilihat semakin mencengkam selepas Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan Tun Mahathir menyataka sokongan terbuka kepada calon AMANAH Ustaz Azhar Shukor beberapa hari lepas. Selain itu peranan yang dimainkan oleh Ketua-Ketua Kampung di beberapa Pusat Daerah Mengundi memudahkan lagi jentera AMANAH mendekati pengundi. Pengundi-pengundi Melayu juga terkesan dengan program-program kerajaan negeri yang terbukti memberikan kebaikan kepada mereka.

Faktor keluarga besar Ustaz Azhar dan sokongan padu ayahnya Datuk Abdul Syukor Siraj juga sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada calon AMANAH ini.

Lebih mengejutkan pula ialah faktor kelemahan jentera PAS tempatan yang dilaporkan mempunyai masalah dalaman selepas berlakunya perpecahan dalam PAS sehingga melahirkan AMANAH.

Selain itu lebih 40 % pengundi di Sungai Besar terdiri dari pengundi muda yang umur mereka antara 21 hingga 45 tahun. Golongan ini sebenarnya mempunyai ketajaman minda yang tinggi untuk membuat perubahan. Mereka tidak takut untuk membuat keputusan yang luar biasa berbanding pengundi yang lanjut usia.

Manakala AMANAH juga mempunyai harapan besar di Kuala Kangsar atas bantuan isu-isu nasional, tempatan dan ketokohan calonnya Dr Ahmad Termizi Ramli yang mempunyai keluarga besar di Kuala Kangsar.

Tidak syak lagi keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sangat ditunggu-tunggu kerana ianya memberikan impak besar kepada politik negara kita yang kian kusut ini.

Comments

Anonymous said…
jangan kata begitu... PAS kuat...